Jumaat, 6 Januari 2012

Indahnya Bersama Ulama - 3


Majlis Mahabbah dan Ijtima Ulama Thurats Kedah 2012 di Perwaja, Gurun


Pada awalnya tidak bercadang untuk balik ke Kedah menghadiri majlis ini walaupun jauh di sudut hati, ingin menyertainya. Namun sudah menjadi ketentuanNya, al-fagir terpaksa kembali ke Kedah atas satu urusan yang mendesak. Maka pada 27 Disember, al-fagir memandu pulang ke Kedah dengan ditemani anak sulung dan bongsu. Setelah selesai segala urusan pada 31 Disember, al-fagir mengambil kesempatan untuk menziarahi tok-tok guru di Kedah. Alhamdulillah, seorang teman lama, Tuan Hj Rosle al-Jenderami juga ingin bersama. 


Destinasi pertama kami adalah Kuala Nerang, untuk menziarahi Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Nor atau lebih mesra di panggil Pak Teh. Hajat tak kesampaian kerana Tuan Guru Pak Teh keluar menziarahi orang mati. Katanya ada 2 kematian pada hari tersebut dan beliau insyaAllah akan kembali pada sebelah petang. Maka kami menukar haluan ke Gajah Mati untuk menziarahi Tuan Guru Haji Wan ‘Izuddin bin Wan Ibrahim. Anak kepada Pak Chu Him pondok Gajah Mati. Sebelum ke rumah beliau kami mengambil kesempatan untuk menziarahi pusara Tuan Guru Haji Che Doi, Tuan Guru Haji Wan Ibrahim dan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir. 




Sedikit pengenalan mengenai ulama yang diziarahi:


Makam Tok Ayah Doi yang bernesan besar dan tinggi, manakala disebelah tepi yang satu lagi makam Pak Chu Him
Tok Ayah Doi: Tuan Guru Haji Wan Ismail bin Wan Mushthafa bin Wan Musa al-Samlawi @ Tuan Guru Haji Ismai Che Dol @ Tok Ayah Doi merupakan pengasas pondok Gajah Mati. Beliau merupakan murid kepada Tok Wan Din al-Fathoni atau nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani ((1233H/1817M – 18 Dhulhijjah 1325H/21 Januari 1908) bin Musthafa al-Fathani (1160H/1747 atau 1748M – 1280H/1863M), iaitu murid kepada Tok Syeikh Daud al-Fathani. Tok Ayah Doi wafat pada tahun 1948M. Salah seorang anak beliau muncul sebagai Tuan Guru dan juga pejuang kemerdekaaan iaitu Tuan Guru Haji Hussin Che Dol.


Pak Chu Him: Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Wan ‘Abdul Qadir bin Wan Musthafa al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Pak Chu Him. Lahir pada tahun 1312H/1894M di Bendang Daya, Fathani. Beliau adalah adik bungsu kepada Tuan Guru Haji Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani @ Pa Da El (1300H/1882 – 1385H/1965M), seorang ulama Fathani yang terkenal di Makkah. Mewarisi Pondok Gajah Mati dari mertua beliau Tuan Guru Haji Ismail Che Dol. Pak Chu Him menutup umur pada malam Khamis 11 Syawal 1388H bersamaan 11 Januari 1968 dalam usia 76 tahun.


Tuan Guru Hj. Wan Muhammad Shaghir: Nama penuh beliau Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah bin Wan ‘Abdurrahman bin Wan Abu Bakar. Ibu beliau bernama Hajjah Wan Zainab binti Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zein al-Fathani. Maka Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir adalah cucu kepada ulama besar Makkah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Lahir pada hari Jum’at 9 Ramadhan 1264H/17 Ogos 1945M di Pulau Midai, Kepulauan Riau, Indonesia. Seorang ahli sejarah, pengkaji dan penyimpan manuskrip dan sejarah ulama-ulama alam Melayu. Beliau tutup umur pada hari Khamis, 24 Rabi`ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007 dan dikuburkan berhampiran dengan pusara Pak Chu Him.



Selepas menziarahi pusara ulama, al-fagir dan tuan haji Rosle al-Jenderami kerumah Pak Chu Him yang kini dihuni oleh Tuan Guru Haji Wan ‘Izuddin bin Wan Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Njang. Kebetulan Pak Njang dah nak keluar untuk menghadiri kenduri kahwin di Penanti, namun beliau tangguhkan seketika. Sempat juga bersembang dengan beliau sambil-sambil membelek-belek kitab-kitab beliau dan juga kitab yang ditinggalkan Pak Chu Him. Oleh kerana Pak Njang ada urusan maka kami pendekkan masa bersembang dan meminta izin untuk berundur. Sebelum balik, al-fagir tunjukkan kepada Tuan Haji Rosle peninggalan kawasan Pondok Gajah Mati yang mana suatu ketika dulu tersohor namanya.

Rumah Tuan Guru Pak Chu Him. Kini di huni oleh Tuan Guru Wan 'Izuddin @ Pak Njang
Antara kitab yang terdapat di rumah Pak Chu Him
Antara kitab yang terdapat di rumah Pak Chu Him
Madrasah Lama
Pondok yang masih tinggal. Sewaktu zaman kegemilangan Pondok Gajah Mati yang di terajui Pak Chu Him, terdapat hampir 600 buah pondok. Tuan Guru Pak Teh Mat memberitahu, dahulu susunan pondok mengikut negeri ... pondok negeri sembilan sejurai ... pahang sejurai ..... perak sejurai ... begitulah kata pak teh ...

Destinasi kami seterusnya ke Gurun untuk menziarahi Syeikh Hasan Bangkok. Sebelum itu kami singgah bersholat di Masjid Pekan Gurun dulu. Sewaktu tiba di rumah Syeikh Hasan, beliau sedang menyapu halaman rumahnya. Masyaallah, walaupun berusia lanjut tapi masih kuat. Katanya pada kami …. Saya minta pada Allah agar diberi umur panjang dalam beribadah kepada Allah …. Agak panjang perbualan kami dengan beliau …. terutama mengenai sejarah perjuangan Fathani dan Tuan Guru Haji sulung Fathani. Syeikh Hasan adalah seorang yang istiqamah dalam sholat berjemaah setiap waktu di masjid. 


Setelah menziarahi Syeikh Hasan kami kembali ke Kuala Nerang menzirahi Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Nor @ Pak Teh di Pondok Padang Nyor, Padang Terap, Kuala Nerang. Alhamdulillah Pak Teh ada di rumah. Al-fagir berbual panjang dengan Pak The kerana kebetulan beberapa orang guru al-fagir seperti Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Osman, Bukit Kepelu Kodiang, Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Haji Sholeh dan lain-lain adalah merupakan kenalan beliau. Al-fagir menyatakan hasrat untuk menulis buku tentang biografi ulama-ulama Kedah dahulu dan kini, dan beliau terus berikan satu risalah mengenai biografi beliau. Alhamdulillah.


Sepintas lalu mengenai Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Nor @ Pak Teh Mat (berdasarkan risalah yang mengandungi biografi beliau dan cerita beliau kepada al-fagir)


Beliau lahir pada malam Jum’at, 14 Syaban 1348 di Kampung Bukit Sebelah, Qariah Padang Gelenggang, Padang Terap, Kuala Nerang Kedah. Mula bersekolah di Sekolah Padang Terap pada tahun 1354H dan lulus darjah empat pada tahun 1358H. Kemudian meneruskan pengajian di Pondok Merbok, Bedong Kedah pada 14 Rabi’ al-Awwal 1358H. Disini beliau berguru kepada Tuan Guru Dato Mursyid Di Raja Haji ‘Abdurrahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Merbok. Beliau menceritakan pada al-fagir ketika di Pondok Merbok, beliau mendapat santunan dari bonda kepada Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Merbok. Beliau sering diberi kueh, nasi dan sebagainya. Ketika beliau diumumkan sebagai pelajar terbaik pondok di dalam satu majlis ihtifal, maka keesokkan harinya bonda Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Merbok berkata pada beliau: Mat semalam depa sebut nama …. Maka dijawab oleh Pak Teh Mat dengan rendah diri, berkat makanan dan doa dari toksu lah ….. Pak Teh juga memberitahu al-fagir … sewaktu di pondok merbok, walaupun saya pelajar baru, saya dok ikut mengaji kitab (berbahasa) tinggi-tinggi. Maka ditegur pelajar lama … saya jawab: Tok guru ngajaq dalam bahasa Melayu saya boleh faham ….. satu pantun guru beliau, Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Merbok yang cukup beliau ingat dan bacakan kepada al-fagir:

Empat kepoi satu cupak,

Empat cupak satu gantang,

Tidak betoi ibu bapa,

Anak-anak lintang pukang.


Semasa pendudukan Jepun, Pak Teh Mat belajar dengan Tuan Guru Haji Sa’id bin Lebai Awang pada tahun 1363H sehingga 1366H. Kemudian mengaji dipondok Gajah Mati dari tahun 1366 hingga 1370. Ketika di Gajah Mati beliau mengaji dengan Tuan Guru Pak Chu Him dan juga Tuan Guru Syeikh ‘Abdul Qadir al-Mandili (guru pembantu). Sudah menjadi adat para penuntut ilmu di masa itu bahawa ‘tidak sah’ ilmu kalau tidak pergi belajar kepada ulama-ulama besar di Makkah. Maka pada tahun 1370, Pak Teh naik ke Makkah untuk belajar. Beliau bermukim di Makkah sehingga tahun 1380H. Antara guru beliau di Makkah: Syeikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da El), Syeikh ‘Abdul Wadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili, Syeikh Daud Kelantan, Syeikh Afnan al-Jawi, Syeikh Sulaiman al-Jawi, Syeikh Zakaria Bila, Syeikh Hassan Masyath, Sayyid ‘Alawi dan lain-lain. 


Sekembalinya dari Makkah, beliau membuka pondok di Padang Nyor, Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah. Di atas tanah seluas 8 relung. Terdapat sejumlah 180 pondok, iaitu 30 pondok pelajar putera, 40 pondok pelajar puteri dan lebih kurang 100 buah pondok warga tua.  Pak Teh Mat mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Wan Shalihah bin Tuan Guru Haji Wan Ibrahim @ Pak Chu Him. Beliau menyatakan kepada al-Fagir, Pak Da El lah yang mengaqadkannya di Makkah …. Rasanya setakat ini dahulu mengenai biografi Pak Teh Mat, insyaAllah akan al-fagir sambung lagi dalam penulisan yang khusus tentang beliau sepertimana yang beliau ceritakan kepada al-fagir.


Tak puas rasanya duduk bersama Pak Teh. Itu baru mengenai diri beliau, guru-guru beliau dan pengalaman pengajian beliau. Itupun belum habis cerita … belum masuk lagi bab tasuf tareqah, fiqah dan lain-lain …. Insyaallah akan al-fagir ziarahi lagi beliau bila punya kesempatan.


1 Januari 2012, al-fagir bersama Tuan Haji Rosle al-Jenderami dan Tuan Haji Zolkefli Awang Kechik (mereka berdua teman sekampung, junior al-fagir beberapa tahun) ke Dataran Perwaja Gurun untuk menghadiri Majlis Mahabbah dan Ijtima Ulama Thurats Kedah 2012. Majlis yang menghimpunkan ulama-ulama tua dan muda Kedah. Ramai ulama tua dan muda Kedah yang hadir. Turut hadir ulama dari Fathani, wakil dari Singapura dan wakil dari Madrasah Tazkiyyah, KL.


Sejuk hati melihat para ulama yang berjasa berkumpul bersama. Majlis di rasmikan oleh Dato Mufti Kedah, Syeikh Badruddin bin Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Osman. Para hadirin, pencinta ulama juga ramai, mungkin dalam 5 -8 ribu orang. Majlis bermula dengan sholat maghrib berjemaah dan berdhikir. Kemudian diikuti dengan bershalawat beramai-ramai. Dan setelahnya ucapan pihak penganjur, ucapan Tuan Guru Haji Sholeh Sik selaku penasihat program dan seterusnya perasmian oleh Dato Mufti. Untuk lebih detail sila layari disini. Al-fagir mengucapkan jutaan tahniah kepada saudara al-fagir yang dikasihi, Ustaz Helmi dari Pondok Sik kerana bekerja keras dengan team beliau untuk menjayakan program ini. Satu program yang baik untuk memperkenalkan ulama kepada masyrakat. Semoga dengan majlis ini masyarakat dapat mengenali ulama ahlus sunnah wal jamaah yang benar dan ikhlas dalam memimpin ummat terutamanya dalam hal aqidah, kerana dewasa ini, fahaman Wahabi, Syiah sedang giat berkembang di Malaysia. Dan al-fagir berharap agar ketika ziarah Guru Mulia al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ke Malaysia, satu program perhimpunan bersama ulama ini dapat diadakan. Sekian dahulu untuk entri kali ini … insyaAllah bertemu lagi …

sekian dari,
al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
dhuha, jumaat, 12 shafar 1433H/6 januari 2012
taman seri gombak

0 komen:

Related Posts with Thumbnails