Ahad, 18 Disember 2011

Tawaran Istimewa


Tawaran istimewa untuk untuk penghuni lembah Klang.  

Majlis Ta’lim Rahmatan lil ‘Alamin yang dipimpin oleh al-Fadhil Ustaz Haji Azhar bin Hasyim menawarkan kepada mana-mana masjid atau surau yang ingin mengadakan Majlis Maulid/Pembacaan Maulid terutamanya di bulan Rabi’ al-Awwal al-Anwar, maka bolehlah menghubungi Tuan Haji Huzair bin Haji Ismail di talian +6012 311 0444.


Insyaallah, jemaah Majlis Ta’lim Rahmatan lil ‘Alamin akan hadir untuk membacakan kitab maulid adh-Dhiya al-Laami’ karya Guru Mulia al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله, berqashidah dan tausiyyah oleh al-Fadhil Ustaz Haji Azhar bin Hasyim dalam 20 minit. Insyaallah, semuanya adalah percuma.


Sehingga kini beberapa tarikh telahpun ditempah, antaranya 28 Januari 2012, 29 Januari 2012, 2 – 5 Februari 2012, 11 Februari 2012, 12 Februari 2012, 18 Februari 2012 dan 19 Februari 2012. Mohon para pembaca tolong sebarkan atau sampaikan tawaran ini kepada pengerusi atau ajk masjid/surau di kawasan kediaman tuan-tuan/puan-puan. Mudah-mudahan acara maulid akan terlaksana di kediaman tuan-tuan/puan-puan. Ketahuilah bahwasanya majlis maulid adalah diantara majlis yang penuh dengan keberkatan.



al-Fadhil Ustaz Hj. Azhar Hasyim
Marilah kita meriahkan dan terangi kariah kita dengan majlis maulid. Hubungi segera untuk 'book' tarikh yang diinginkan.

Dibawah al-fagir bawakan sedikit petikan dari tulisan al-‘Alim al-‘Allamah al-Musnid al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani mengenai sambutan maulid.


Mengapa Kita Harus Merayakan (Menyambut) Keputeraan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم?

Banyak pendapat telah disuarakan dari segi hukum mengenai merayakan hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Bagaimana pun tidaklah menjadi tujuan saya yang utama untuk membahaskan soal ini, kerana apa yang sering saya fikirkan dan difikirkan oleh para cendekiawan, adalah mengenai masalah-masalah yang jauh lebih penting daripada perkara ini. Tetapi oleh kerana desakan para shahabat yang ingin mengetahui pendapat saya dalam hal ini dan kerana saya takut terdiri dalam golongan mereka yang menyembunyikan ilmu pengetahuan, maka saya menuliskan risalah ini dengan harapan agar Allah Ta’ala mengarahkan kita semua ke jalan yang benar. آمين

Sebelum saya membentangkan dalil-dalil saya mengenai mengadakan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, saya suka menjelaskan di sini beberapa perkara:-

Pertama: Kami mengatakan harus merayakan hari keputeraan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan harus berkumpul untuk mendengar sirah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, berselawat kepadanya, mendengar qasidah-qasidah yang memuji Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mengadakan jamuan makan, yang mana semua ini akan menimbulkan kegembiraan dan ketenangan di hati sanubari kaum muslimin.

Kedua: Kami tidak mengatakan sunnah merayakan hari keputeraan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, pada malam tertentu sahaja, malah siapa yang mengi’tiqadkan sedemikian, sebenarnya dia telah membuat satu bid’ah di dalam agama. Sebab mengingati dan menghayati sejarah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم itu adalah wajib dilakukan pada setiap waktu dan masa dengan sepenuh jiwa.

Memang benar, merayakan hari keputeraan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم pada bulan keputeraannya merupakan seruan yang lebih kuat dalam mengumpulkan lebih ramai umat Islam untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Ini akan meninggikan lagi syiar Islam, menghubungkan kisah-kisah zaman dahulu dengan zaman kini, dan mendatangkan manfaat bagi mereka yang tidak hadir daripada mereka yang hadir.

Ketiga: Kumpulan-kumpulan seperti ini merupakan satu perantaraan dan peluang keemasan untuk berdakwah. Kesempatan ini harus tidak diabaikan, terutama sekali apabila menjadi satu kewajipan bagi para pendakwah dan para ulama untuk mengingatkan umat Islam tentang riwayat hidup Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, mengenalkan mereka tentang akhlaq, pergaulan, ibadah baginda serta mengajak mereka kepada kebaikan, dan menjauhkan diri mereka daripada bencana, bid’ah dan fitnah.


Dalil-dalil Yang Mengharuskan Merayakan Hari Keputeraan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم

Dalil Pertama: Bahawa merayakan hari keputeraan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, melambangkan satu kegembiraan dan kebahagiaan terhadap junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Malah orang yang tidak beriman (Abu Lahab) juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.1

Telah disebutkan di dalam kitab al-Bukhari, bahawa Abu Lahab telah diringankan siksaannya pada tiap-tiap hari Isnin kerana ia telah membebaskan hambanya Tsuwaibah, apabila hambanya itu membawa khabar akan keputeraan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.

Hal ini juga diterangkan dalam sebuah syair al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Nasiruddin ad-Dimasyqi:-
إِذَا كَانَ هَذَا كَافِرًا جَاءَ ذَمُّهُ * بِتَبَّتْ يَدَاهُ فِيْ الجَحِيْمِ مُخَلَّدًا
أَتَى أَنَّهُ فِيْ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ دَائِمًا * يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُوْرِ بِأَحْمَدَا
فَمَا الظَّنُّ بِالعَبْدِ الذِّيْ كَانَ عُمْرُهُ * بِأَحْمَدَ مَسْرُوْرًا وَمَاتَ مُوَحِّدَا
Ertinya:
Jikalau sikafir ini (Abu Lahab) yang telah datang cercaan Allah kepadanya (di dalam surah al-Masad) dan celakalah kedua tangannya didalam neraka selam-lamanya
Telah datang (khabar) sesungguhnya dia pada setiap Isnin sentiasa diringankan (azab siksa) darinya kerana kegembiraan dengan kelahiran Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم
Maka tidak syak lagi, bagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembira dengan Muhammad r dan mati dalam keadaan mengesakan Allah (sudah tentu mendapat kelebihan melebihi daripada apa yang dikurniakan kepada Abu Lahab)

Kisah ini diriwayatkan didalam Shahih al-Bukhari, bab nikah dan dinukilkan oleh Ibn Hajar رحمه الله di dalam kitabnya al-Fath. Juga diriwayatkan oleh Imam Abdurrazak as-San’ani رحمه الله didalam kitabnya al-Musannaf (jilid 7 mukasurat 478), al-Hafiz didalam kitabnya al-Dala’il, Ibn Katsir di dalam kitabnya, al-Bidayah bab as-Sirah an-Nabawiyyah (jilid 1 mukasurat 224). Ibn ad-Daiba asy-Syaibani رحمه الله didalam kitabnya Hada’iq al-Anwar (jilid 1, mukasurat 134), Imam Hafiz al-Baghawi رحمه الله didalam kitabnya Syarah Sunnah (jilid 9 mukasurat 76), Ibn Hisyam رحمه الله dan as-Suhaili didalam al-Raudh al-Unuf (jilid 5 mukasurat 192), al-Amiri رحمه الله didalam kitabnya Bahjatul Mahaafil (jilid 1 mukasurat 41).

Imam al-Baihaqi رحمه الله berkata, bahawa walaupun hadits ini hadits mursal, tetapi ia boleh diterima kerana telah dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari رحمه الله hadits ini di dalam kitabnya. Para ulama yang telah disebutkan tadi, juga sependapat menerima hadits ini kerana perkara itu terdiri dari bab manaqib dan khosois (keistimewaan), fadhoil (kelebihan) dan bukannya perkara berkaitan hal hukum halal dan haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadits pada bab manaqib atau ahkam.

Berkenaan dengan manfaat seorang kafir daripada amal perbuatannya sendiri, banyak ulama telah membahaskannya. Tetapi tidak dapat saya terangkan sepenuhnya disini. Asalnya adalah apa yang disebutkan di dalam kitab al-Bukhari berkenaan dengan Abu Thalib mendapat keringanan siksa disebabkan doa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Dalil Kedua:Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sendiri memuliakan hari keputeraannya, dan bersyukur kepada Allah Ta’ala pada hari keputeraannya, diatas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke atas wujudnya di alam semesta ini, yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud diatas mukabumi ini.
Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memuliakan hari keputeraannya juga dengan berpuasa. Hal ini diterangkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Qatadah رضي الله عنه:
أَنَّ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وآله وسلم سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيْهِ وُلِدْتُ، وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Ertinya: Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pernah ditanya akan sebab baginda berpuasa pada hari Itsnin. Baginda menjawab: Pada hari itu aku diputerakan, dan pada hari itu juga wahyu turun kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim; Bab Puasa)
Ini jelas menunjukkan bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pernah menyambut hari keputeraannya. Cuma bentuknya sahaja berlainan, namum haqiqatnya sama, iaitu samada disambut dengan berpuasa, atau mengadakan jamuan makan atau berkumpul untuk mengingati baginda atau berselawat ke atas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ataupun mendengar ajaran-ajaran, pesanan-pesanan dan petunjuk dari Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

Dalil Ketiga: Sesungguhnya bergembira dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dituntut melalui perintah Al-Quran dari firman Allah Ta'ala (ertinya): “Katakan (wahai Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira …” (Surah Yunus:58)

Maka Allah Ta'ala lah yang memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat, dan Nabi صلى الله عليه وسلم sebesar-besar rahmat. Allah Ta'ala telah berfirman (ertinya): “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk sekelian alam”. (al-Anbiya:107)

Dan dikuatkan lagi tafsiran ini, pakar dalam pentafsiran al-Quran, hibrul ummah wa turjumaanul Quran al-Imam Ibn Abbas رضي الله عنهما. Abu Syeikh رحمه الله meriwayatkan dari Ibn Abbas رضي الله عنهما pada membicarakan ayat di atas beliau telah berkata: فصل الله ialah ilmu, manakala ورحمته adalah Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Allah telah berfirman (ertinya): “Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.” (al-Anbiya:107)

Maka kegembiraan dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat, dan pada setiap keutamaan, tetapi dikuatkan lagi tuntutan ini pada setiap hari isnin dan setiap kali bulan Rabi’ul Awwal. Ini adalah kerana kuatnya kesesuaiannya serta bertepatan dengan waktunya.
Dalil Keempat:Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم selalu mengambil kira ikatan masa, dengan peristiwa-peristiwa besar dalam agama yang telah berlalu sebelumnya. Apabila datangnya masa berlakunya peristiwa tersebut ia menjadi peluang bagi mengingatinya dan membesarkan hari tersebut kerana peristiwa tersebut.
Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sendiri telah menetapkan kaedah ini seperti mana dijelaskan dalam hadits sahih bahawa ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berhijrah ke Madinah, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura'. Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bertanya mereka. Mereka lalu menjawab: Itulah hari Fir'aun ditenggelamkan dan Musa عليه السلام diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta'ala. Maka Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم pun berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa.

Cukup sekadar ini. al-‘Alim al-‘Allamah al-Musnid al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani membawa 21 dalil dan banyak lagi pendapat-pendapat ulama. Nak tau lebih lanjut, maka silalah rujuk kitab berkenaan. 

sekian dari
al-fagir ilaLlah abu zahrah ‘abdullah thahir al-qadahi
taman seri gombak
22 muharram 1433/18 disember 2011


2 komen:

Aaden - Terapi Saraf dan Tulang berkata...

Assalamualaik ya Akhi, minta izin ya Akhi untuk saya copy n paste artikel Akhi yg menarik untuk simpanan sendiri atau untuk dipanjangkan diblog saya....

Tanpa Nama berkata...

tuan, minta izin copy and paste ya...

syukran diatas perkongsian...

Related Posts with Thumbnails