Khamis, 5 Mei 2011

Hebatnya Kesan Dari Bertasyabbuh (Menyerupai) Orang-orang Yang Dimuliakan oleh Allah

Tasyabbuh bermaksud menyerupai. Mulla ‘Ali al-Qaari ketika menghuraikan sabdaan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam kitabnya Mirqaat al-Mafatih syarah Misykat al-Mashobih:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Ertinya: Barangsiapa yang menyerupai dengan satu kaum, maka dia (termasuk) dari kalangan mereka. (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Dan isnad hadits ini hasan sepertimana (tersebut) di dalam al-Misykat al-Mashobih, kitab al-Libaas, hadits: 4347). Beliau mengatakan:

من شبه نفسه بالكفار مثلا من اللباس وغيره ، أو بالفساق أو الفجار أو بأهل التصوف والصلحاء الأبرار  ( فهو منهم ) : أي في الإثم والخير )

Ertinya: Barangsiapa menyerupakan akan dirinya dengan orang-orang kafir misalnya, baik dalam hal pakaian atau selainnya, atau menyerupakan akan dirinya dengan orang-orang fasiq atau orang-orang jahat/berdosa atau dengan ahli-ahli tasawwuf dan orang-orang sholeh yang baik-baik, maka dia termasuk dari kalangan mereka (golongan yang ditiru) yakni dalam hal dosa dan kebaikan. (dinaqalkan oleh Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-Adzim Abadi di dalam ‘Aun al-Ma;bud, Syarah Sunan Abi Daud).

Manakala al-‘Alqami pula menyebut:

من تشبه بالصالحين يكرم كما يكرمون، ومن تشبه بالفساق لم يكرم ومن وضع عليه علامة الشرفاء أكرم وإن لم يتحقق شرفه انتهى

Ertinya: Barangsiapa bertasyabbuh dengan orang-orang sholeh, maka dia akan dimuliakan sebagaimana orang-orang sholeh itu dimuliakan, dan barangsiapa bertasyabbuh dengan orang-orang fasiq, maka dia tidak akan dimuliakan dan barangsiapa memiliki ciri-ciri orang-orang yang mulia, maka dia mulia meskipun belum tahqiq kemuliaannya. (‘Aun al-Ma;bud, Syarah Sunan Abi Daud)

Kitab ini adalah hadiah daripada Ustaz Abu Muhammad, Shohib Blog Bahrus Shofa kepada al-Fagir

Syeikh Abu Thalhah Yunus ibn ‘Abdul Sattar menyebut di dalam kitabnya Libasul Rasul صلى الله عليه وآله وسلم wa ash-Shohabah wa ash-Shahaabiyaat رضي الله عنهم أجمعين


[Terjemahan petikan] Dan telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Ertinya: Barangsiapa yang menyerupai dengan satu kaum, maka dia (termasuk) dari kalangan mereka. (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Dan isnad hadits ini hasan sepertimana (tersebut) di dalam al-Misykat al-Mashobih, kitab al-Libaas, hadits: 4347).

Mulla ‘Ali al-Qaari menyebut di dalam al-Mirqaat (Mirqaatul Mafatih syarah Misykat al-Mashobih, 8/255): Sabdaan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, “فهو منهم” (dia dari kalangan mereka), yakni, pada dosa dan kebaikan. Berkata ath-Thibi: Ini umum pada fizikal dan akhlaq dan syi’aar (pakaian). Dan adalah (maksud) pakaian itu lebih nyata dalam bertasyabbuh sebagaimana yang disebut di dalam bab ini.



[Terjemahan petikan] Aku (yakni pengarang kitab: Syeikh Abu Thalhah Yunus ibn ‘Abdus Sattar) berkata: Bahkan (maksud) pakaianlah yang dikehendaki dengan tasyabbuh, bukan selainnya. Kerana sesungguhnya bentuk fizikal tidak dapat digambarkan dengan tasyabbuh dan akhlaq yang maknawi tidak dikatakan padanya tasyabbuh bahkan ianya disebut takhalluq (berakhlaq).

Satu kisah yang menakjubkan pada menyatakan tasyabbuh (menyerupai): Kemudian dia (Syeikh Mulla ‘Ali al-Qaari) berkata (di dalam kitabnya Mirqaatul Mafaatih): Ini satu kisah yang pelik, halus dan menakjubkan: Bahwasanya tatkala Allah Ta’ala menenggelamkan Fir’aun dan tenteranya, tidak ditenggelamkan (salah seorang tentera fir’aun) tukang ejek bagi Fir’aun, iaitu orang yang adalah kerjanya menyerupai Sayyiduna Musa عليه السلام pada pakaian, perkataan dan percakapannya, lalu akan ditertawakan oleh Fir’aun dan kaumnya daripada kelakuan gerak dan diamnya lelaki ini. Lantas Nabi Musa عليه السلام bertadharru’ (merendahkan diri bertanya) kepada Tuhannya: Wahai Tuhanku! Lelaki ini lebih banyak menyakiti aku berbanding kaum Fir’aun yang lain? Maka Allah Ta’ala berfirman: Tidak Aku menenggelamkan dia, kerana sesungguhnya dia berpakaian seperti pakaianmu. Dan seorang yang menyintai itu tidak akan mengazabkan orang yang adalah ia atas rupabentuk orang yang dicintainya. (Subhanallah!)

Maka perhatikanlah orang yang bertasyabbuh dengan ahlil haq (walaupun) atas maksud yang bathil (tidak benar) terhasil baginya kelepasan yang zahir (di dunia iaitu selamat dari ditenggelamkan di dalam laut) dan mungkin membawa kepada kelepasan yang berbentuk maknawi (di akhirat iaitu selamat dari campak ke dalam api neraka). Maka betapa pula bagi orang yang bertasyabbuh dengan para AnbiyaNya dan para auliyaNya (penghulu bagi segala Anbiya dan auliya adalah Sayyiduna Muhammad al-Musthofa صلوات الله وسلامه عليهم أجمعين) atas qasad (maksud/tujuan) memuliakan dan membesarkan …. sehingga akhirnya sepertimana yang disebut oleh pengarang al-Mirqaat. Dan telah bersyair sebahagian mereka:

تشبهوا إن لم تكونوا مثلهم – إن التشبه بالكرام فلاح

Ertinya: Tasyabbuhlah kalian (dengan orang-orang dimuliakan) walaupun kalian tidak akan menjadi seperti mereka, kerana sesungguhnya tasyabbuh dengan orang-orang yang mulia adalah kejayaan. (Tamat terjemahan petikan di atas).

Berkata al-fagir abu zahrah (mengingatkan diri sendiri dan teman-temannya serta pembaca al-Fanshuri): Maka marilah kita bertasyabbuh dengan kekasih kita Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seperti berserban, memakai rida`, memakai cincin, bersugi, memakan makan yang Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  sukai seperti labu, madu …. dan sebagainya …… atas dasar rasa kecintaan, kerinduan kita yang mendalam kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Atau kita bertasyabbuhlah dengan para auliya dan sholihin, yang mana pastinya mereka ini juga bertasyabbuh dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.  Moga dengan bertasyabbuh ini akan menambahkan lagi rasa kecintaan, kerinduan kita kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan juga kepada auliya dan sholihin.

Walaubagaimanapun biarlah apa yang kita lakukan itu berdasarkan dengan ilmu bukannya sekadar ikut-ikutan. Bukan sekadar bertasyabbuh yang zahirnya sahaja namun yang bathinnya juga. Al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri pernah menegur orang yang bertasyabbuh dengan ulama (yakni berpakaian seperti pakaiannya ulama – berjubah, berserban) namun kosong dari ilmu dan akhlaqnya, beliau berkata (lebih kurang yang al-Fagir ingat): Bertasyabbuh dengan pakaian ulama itu sememangnya suatu yang baik, namun lebih baik lagi sekiranya dihiasi dengan ilmu dan akhlaqnya juga. Begitu juga ketika guru mulia al-Habib Umar bin Hafidz, tatkala memakaikan serban kepada teman al-Fagir beliau menasihatkannya dengan katanya sebaik-baik pakaian adalah taqwa dan beliau membacakan sepotong ayat, iaitu:
وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ
Ertinya: Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya (al-‘Araf: 26).

Dan jauhilah kita daripada bertasyabbuh kepada golongan kuffar, faasiq, faajir dan daripada perkara-perkara yang tidak diredhai Allah dan RasulNya. Kerana ianya dilarang oleh Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Selain daripada hadits yang dibicarakan di atas, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا
"Bukanlah termasuk golongan kami, orang yang bertasyabbuh dengan selain kami.” (Hadits riwayat at-Tirmidhi)

Semoga Allah Ta’ala menambahkan kecintaan kita kepada para kekasihNya terutama-utamanya kepada kekasihNYA, Penghulu Sekian Anbiya, Auliya dan Sholehin, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Wallahu ‘alam.

Sekian dari
al-fagir abu zahrah.
taman seri gombak
dhuha, khamis, 1 jumadilakhirah 1432/5 mei 2011

2 komen:

JeffalQura berkata...

MasyaAllah Tabarakallah, JazakAllahu Khoiran Kaseero.

g-tra berkata...

teruskan apa yg anta buat ni. sebarkan peringatan agar manusia sentiasa tak lalai.

ana nak tanya ada sekeping gambar yg ana amik dari internet. gambar gamis yg dipakai rasulullah. oleh sebab rindu pada dia ana pun cium gambar baju tuh. takpa ka wat macam tu dari segi hukum.

Related Posts with Thumbnails