Jumaat, 20 Mei 2011

Jom Kita Pakat Hadiri Majlis Mengkhatam Kitab Shohih al-Bukhari

InsyaAllah sepertimana yang telah diiklan di dalam al-fanshuri - hebahan majlis ilmu/dhikir/maulid, bahwa Majlis Pembacaan dan Pengkhataman Kitab Shohih al-Bukhari Bersama Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush akan diadakan mulai 1 Jun - 11 Jun 2011. Di sisi al-Fagir kongsikan sedikit mengenai kitab shohih al-Bukhari, tradisi pembacaan dan pengkhataman shohih al-Bukhari pada bulan Rajab dan sedikit mengenai Syeikh Muhammad 'Awadh.


Kitab al-Jami’ ash-Shohih

Kitab al-Jami'  ash-Shohih al-Musnad al-Mukhtasor min Umuri Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم wa Sunanihi wa Ayyamihi @ al-Jami’ ash-Shohih karya al-Imam al-Hafidz Amirul Mu'minin fil Hadits Abu 'Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari رضي الله عنه adalah merupakan kitab hadits pertama yang memuatkan hadits shohih sahaja. Menurut Ibn Sholah di dalam kitabnya Ulumul Hadits jumlah hadits didalam kitab al-Jami' ash-Shohih adalah 7275 termasuk hadits yang berulang. Pendapat ini diikuti oleh Imam an-Nawawi di dalam at-Taqrib. Manakala berdasarkan perkiraan yang disebut di dalam Muqaddimah Fath al-Baari oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani, jumlah keseluruhannya 9082 hadits. Demikian juga yang disebut oleh Dr. Muhammad 'ajaj al-Khatib di dalam Ushul al-Hadits.

Hadits-hadits ini disaring oleh al-Imam al-Bukhari yang beliau pilih daripada 600,000 buah hadits, dan proses penyaringan hadits ini mengambil masa selama 16 tahun dengan persyaratan beliau yang sangat ketat. Oleh kerana itu, maka Kitab al-Jami’ ash-Shohih atau Shohih al-Bukhari adalah merupakan kitab yang paling shohih dan menduduki urutan pertama didalam senarai kitab-kitab hadits. Menurut Imam Nawawi di dalam kitabnya Syarah Muslim bahwa ijma’ ulama salaf menyatakan semua hadits di dalam Shohih al-Bukhari adalah shohih. Manakala Imam Ibn Sholah menyebutkan didalam kitab Mustholahul Hadits bahwa kitab Shohih al-Bukhari adalah kitab paling shohih setelah al-Quran (ashohul kutub ba’da al-Quran).

Antara kelebihan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari bahwa beliau tidak meletakkan satu hadits pun kecuali beliau bersholat dua rakaat dan berdoa kepada Allah Ta’ala terlebih dahulu. Dan beliau mengatakan: "Aku jadikan ia sebagai hujjah antara diriku dengan Allah Ta’ala." Dan menurut asy-Syaikh Dr Muhammad ‘Ajaj al-Khatib di dalam kitabnya Ushul al-Hadits, kitab al-Bukhari ini didengar dan dipelajari oleh lebih kurang 90,000 orang pada masanya (Imam al-Bukhari)

Diceritakan, bahwa sebelum Imam al-Bukhari, menghimpunkan Shohih al-Bukhari, beliau bermimpi berdiri di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan sebuah kipas ditangannya dan mengipas mengusir lalat dari Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Lalu beliau meminta beberapa ahli ta’bir mimpi menta’bir mimpinya tersebut. Dan mereka mengatakan bahwa beliau akan menyingkirkan atau membersihkan pembohongan-pembohongan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.


Acara khataman Kitab al-Jami’ ash-Shohih

Oleh kerana keistimewaan dan ketinggian kedududukan serta keberkatan kitab Shohih al-Bukhari, maka para habaib di Hadramaut telah menjadikannya sebagai kitab yang dibaca dan dikhatam pada bulan Rajab (terutamanya). Menurut Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri, tradisi khataman kitab Shohih al-Bukhari terutama sekali dalam bulan Rajab, yang sudah ratusan tahun diamalkan dikalangan para habaib, dimulakan oleh Syaikh Abul Khair Ahmad bin Manshur asy-Syammadz, seorang ulama ahli hadits yang ‘abid dari Kota Zabid, Yaman.

Khataman Kitab al-Jami’ ash-Shohih di Nusantara

Tradisi ini mungkin agak asing di Malaysia, namun ianya diamalkan di negara jiran kita, Indonesia. Para habaib di Indonesia masih meneruskan tradisi yang dibawa oleh para sesepuh mereka dari Hadramaut yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi. Diantara kota yang masih melangsungkan tradisi ini adalah di Malang, Pasuruan, Surabaya, Pekalongan, Gresik, Solo dan lain-lain. Di Pasuruan, tradisi ini berlangsung sejak dari zaman Habib Habib Ja’far bin Syaikhan bin 'Ali bin Hasyim bin Syeikh bin Muhammad bin Hasyim as-Segaf @ as-Saqqaf (wafat 14 Jumadil Akhir 1374 H - gambar diatas). Manakala di Gresik pula ianya sejak dari Al-Habib al-Quthub Abu Bakar bin Muhammad bin 'Umar bin Abu Bakar bin 'Umar bin Saqqaf atau lebih dikenali sebagai Habib Abu Bakar Gersik (beliau adalah murid kepada al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi, pengarang Simtud Durar. Habib Abu Bakar Gesik wafat pada 17 Dzulhijjah 1376H pada usia lebih daripada 100 tahun).


Tradisi mengkhatam Shohih al-Bukhari ataupun ringkasannya iaitu kitab at-Tajridush Shorih li Ahaadits al-Jami’ ash-Shohih (mengandungi lebih dari 2,200 buah hadits) oleh Imam Zainuddin Ahmad bin ‘Abdul Lathif az-Zabidi (wafat 893H) ini dijalankan di dalam bentuk rohah. Ianya dibaca secara berjemaah dan dibaca secara bergilir-gilir oleh para jemaah sepertimana acara tadarrus al-Quran. Pemimpin majlis ini hanya akan menerangkan hadits-hadits yang dirasakan penting untuk diterangkan. Manakala dari segi adabnya pula, para peserta kebiasaannya akan berpakaian serba putih, berserban, memakai wangi-wangian, duduk dengan beradab serta tenang, membetulkan niat dan membacanya dengan penuh ta’zim. Pembacaannya adalah setiap hari sehingga ianya akan dikhatamkan sebelum berakhirnya bulan Rajab.


Kelebihan Kitab al-Jami’ ash-Shohih

Melalui tradisi ini, selain daripada memahami, mengambil pengajaran dan petunjuk dari hadits-hadits yang dibaca, ianya juga sebagai wasilah untuk menyampaikan segala hajat zahir dan bathin seperti melepaskan seseorang daripada kesusahan dan lain-lain. Imam Abu Muhammad ‘Abdullah bin Sa’ad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi (wafat 699H) menukilkan dalam kitabnya berjudul Mukhtashar Ibn Abi Jamrah (kitab ringkasan kepada Shohih al-Bukhari, mengandungi 290 lebih buah hadits, kitab ini kemudiannya beliau syarahkan dengan judul Bahjatun Nufus) dengan menyatakan seperti berikut:-

فوقع لي أن يكون كتاب البخاري لكونه من أصحها و لكونه رحمه الله تعالى كان من الصالحين و كان مجاب الدعوة و دعا لقارئه. و قد قال لي من لقيته من القضاة الذين كانت لهم المعرفة و الرحلة عمن لقي من السادة المقر لهم بالفضل: إن كتابه ما قرئ في وقت شدة إلا فرجت و لا ركب به في مركب فغرقت قط. فرغبت مع بركة الحديث في تلك البركات لما في القلوب من الصدإ فلعله بفضل الله أن يكشف عما بها وأن شديد الأهواء التي تراكمت عليها

“Aku memilih untuk menjadikan kitab al-Bukhari ini kerana ianya adalah kitab hadits yang paling shohih, juga kerana pengarangnya Imam al-Bukhari adalah seorang sholih yang mustajab doanya dan beliau telah mendoakan para pembacanya. Telah memberitahuku para qadhi yang ahli ma’rifah lagi luas perjalanan mereka (yakni dalam mencari ilmu) yang telah aku temui, daripada para pemuka agama yang diakui keutamaan mereka bahawasanya kitab Imam al-Bukhari ini tidaklah dibaca oleh seseorang pada waktu kesusahan melainkan dilepaskan dia dari kesusahan tersebut dan tidak tenggelam kenderaan yang membawa kitab tersebut sekali-kali. Maka raghiblah aku memperolehi segala berkat disamping berkat hadits untuk pembersih segala karat daki didalam hati, semoga dengan kurnia Allah disingkapkan dari yang menutupinya dan terangkat pula tekanan hawanafsu yang sangat banyak berkumpul padanya ……..”

Dan alhamdulillah, dengan usaha gigih al-Fadhil Ustaz Raja Mukhlis berjaya membawa Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush untuk Majlis Membaca dan Pengkhataman Kitab Shohih al-Bukhari, yang mana akan diadakan di Malaysia, iaitu bermula pada tanggal 28 Jumadilakhirah 1432/1 Jun 2011 sehingga 9 Rajab 1432H/11 Jun 2011M. Sila lihat jadual atau poster yang terpampang di atas. 

Al-Fagir bawakan sedikit biografi Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush, yang ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Raja Mukhlis.

Al-Faqir penulis sempat belajar dengan seorang ulama' hadith yang dihormati ketika di Mesir dahulu iaitu Sheikhna Sheikh Muhammad 'Awad Al-Manqush, seorang ulama' hadith dari Libya yang menetap di Mesir. Beliau pada awalnya adalah seorang tokoh yang mengikut aliran salafi wahabi bahkan antara pengembang aliran tersebut khususnya di Mesir. Beliau memiliki syarikat percetakan dalam mengembangkan kitab-kitab aliran tersebut.

Namun, Allah s.w.t. memberi hidayah kepada beliau dengan menjinakkan hati beliau untuk menghadiri majlis pengajian Al-Mufti Sheikh Dr. Ali Jum’ah. Beliau kemudiannya melazimi majlis Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim seterusnya bersuhbah dengan Sheikhna Sayyidi As-Syarif Yusuf Al-Hasani. Beliau menceritakan kepada saya yang faqir bahawasanya, perkembangan pemikiran beliau dan kecenderungan hati beliau untuk beralih kepada ilmu tasawwuf adalah setelah perbincangan selama tiga hari berturut-turut dengan Sheikhna As-Syarif Yusuf Al-Hasani yang pada ketika itu sering juga menyertai majlis ilmu Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim. Setelah berpuas hati dengan perbincangan tersebut, akhirnya beliau mengambil tarbiah daripada Sheikhna Sayyidi Yusuf Al-Hasani lalu meninggalkan fahaman salafinya.

Namun, beliau mendapat tentangan hebat daripada rakan-rakannya sehingga banyak fitnah dilemparkan kepada beliau. Walaupun begitu, Sheikhna Muhammad ‘Awadh tetap tabah dalam jalan kebenaran. Rakan-rakan beliau daripada golongan wahabi terasa kehilangan yang sangat besar kerana Sheikhna Muhammad ‘Awadh adalah antara tokoh rujukan mereka dalam bidang hadtih terutamanya.

Penulis belajar beberapa kitab turoth daripada beliau antaranya: sebahagian besar daripada kitab Al-Muqizoh karangan Imam Az-Zahabi (dalam ulum hadith), sebahagian kitab Sahih Al-Bukhari (ilmu hadith) beserta penjelasan terhadap manhaj Imam Al-Bukhari dalam penyusunan kitab Sahihnya dan matan al-aqidah at-tohawiyah karangan Imam At-Tohawi (ilmu tauhid).

Al-Faqir juga meriwayatkan beberapa hadith musalsal daripada beliau serta –dengan kemurahan Allah s.w.t.- turut menerima ijazah 'ammah dalam meriwayatkan ilmu-ilmu agama daripada beliau juga (semoga Allah s.w.t. membalasi jasa beliau). Sanad ilmu dan hadith beliau bersambung kepada Rasulullah s.a.w. melalui banyak jalan antaranya melalui Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim, mujizuna Sheikhna As-Syarif Yusuf Al-Hasani, mujizuna Sheikh Al-Muhaddith Syed Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani (Sheikhul Iskandaiyyah, seorang ulama' hadith di Iskandariah, Mesir), Sheikh Muhammad 'Ali Taufiq An-Nahhas, mujizuna Sheikh Dr. Sa'ad Sa'ad Jawis, Sheikh Malik As-Sanusi, Mujizuna Sheikh Dr. 'Ali Jum'ah (mufti Mesir), Sheikh Abdul Salam Bin Muhammad Habus As-Syarqowi, Sheikh Al-Muhaddith Raf'at bin Fauzi Al-Hanafi dan sebagainya.

Adapun Sheikh Abdul Salam Bin Muhammad Habus As-Syarqowi, guru kepada Sheikhna Muhammad 'Awadh tersebut, meriwayatkan hadith-hadith dan ilmu agama daripada Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari, Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani, Sheikh Muhammad Hasyim Al-Bukhari (yang meriwayatkan daripada Sheikh Husein Ahmad Al-Madani daripada Sheikh Ahmad Al-Barzanji) dan sebagainya.

Guru beliau iaitu Sheikh Al-Muhaddith Raf'at bin Fauzi Al-Hanafi pula meriwayatkan ilmu-ilmu agama dan kitab-kitab hadith daripada beberapa guru iaitu Sheikh Abdullah bin As-Siddiq Al-Ghumari (w: 1413 H), Sheikh Abdul Subhan Nur Ad-Din Al-Barmawi (w: 1421 H), Sheikh Sholeh Idris Al-Arkani (w: 1418 H) dan Sheikh Muhammad Al-Hafiz bin Abdul Latif bin Salim At-Tijani Al-Maliki (w: 1398 H).

Beliau sering menasihatkan kepada kami bahawasanya, antara ciri-ciri penuntut ilmu yang sebenar adalah, dia mengkhatamkan kitab sahih Al-Bukhari sekurang-kurangnya setahun sekali. Begitulah antara kesungguhan Sheikhna Muhammad ‘Awadh Al-Manqush dalam bidang ilmu hadith terutamanya.



Semoga kita dapat sama-sama menghadiri majlis yang penuh dengan keberkatan ini. Dan semoga ianya menjadi rutin tahunan iaitu membaca dan mengkhatam kitab Shohih al-Bukhari. Dan ucapan tahniah dan terimakasih kepada al-Fadhil Ustaz Raja Mukhlis dan Ahbab al-Hasani yang menganjurkan majlis. Jom pakat hadir ramai-ramai!




0 komen:

Related Posts with Thumbnails