Bersiwak atau bersugi adalah merupakan sunnah junjungan kita, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Ianya adalah satu ‘amalan yang tidak pernah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tinggalkan hatta disaat-saat akhir hayat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersiwak. Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها menceritakan:
دَخَلَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرٍ عَلَى النَّبِيِّ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا مُسْنِدَتُهُ إِلَى صَدْرِي وَمَعَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ سِوَاكٌ رَطْبٌ يَسْتَنُّ بِهِ ، فَأَبَدَّهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ بَصَرَهُ، فَأَخَذْتُ السِّوَاكَ فَقَصَمْتُهُ وَنَفَضْتُهُ وَطَيَّبْتُهُ، ثُمَّ دَفَعْتُهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَنَّ بِهِ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ اسْتَنَّ اسْتِنَانًا قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ، فَمَا عَدَا أَنْ فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَ يَدَهُ أَوْ إِصْبَعَهُ، ثُمَّ قَالَ : فِي الرَّفِيقِ الْأَعْلَى ثَلَاثًا، ثُمَّ قَضَى، وَكَانَتْ، تَقُولُ : مَاتَ بَيْنَ حَاقِنَتِي وَذَاقِنَتِي
Terjemahannya: Telah masuk ’Abdurrahman ibn Abu Bakar ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, sedangkan aku ketika itu menyandarkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم pada dadaku (yakni ketika detik-detik wafatnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) dan bersama ‘Abdurrahman kayu siwak basah yang dipergunakannya untuk bersiwak. Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menolehkan pandangannya kepadanya. Maka mengambil aku akan siwak itu dan meleraikannya, mengunyahnya serta melembutkannya, kemudian memberikannya kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersiwak dengannya. Maka tidak pernah samasekali melihat aku akan Rasululah صلى الله عليه وآله وسلم bersiwak dengan cara yang lebih baik dari keadaannya hari ini. Maka setelah selesai bersiwak Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengangkat tangannya atau jarinya kemudian bersabda: Pada teman yang tertinggi … (iaitu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memilih untuk bertemu dengan Allah Yang Maha Mulia). Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkannya sebanyak 3 kali. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم wafat. Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم wafat di antara tulang selangkaku dan tulang daguku. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam al-Qusthullani رحمه الله تعالىdi dalam Khushusiyyaat ar-Rasuul dan Al-Habib Muhammad bin ‘Alwi al-Aidarus @ Habib Sa’ad حفظه الله تعالى di dalam kitab Fawaid al-Siwaak Syar’iyyan wa Thibbiyyan, menyebut bahawa bersiwak/bersugi ini adalah daripada khususiat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.yakni diwajibkan keatas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Manakala ke atas umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.adalah disunatkan.
Melaksanakan Sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah bukti kecintaan:
لو كان حبك صادقاً لأطعته * إن المحب لمن يحب مطيع
Jikalau adalah cintamu benar nescaya engkau akan menta’atinya
Sesungguhnya orang yang mencintai itu taat bagi orang yang dicintai
Al-‘Allamah Hadratus Syaikh Hasyim Asy'ari رحمه الله تعالى (pendiri Nahdatul Ulama di Indonesia, wafat 25 Julai 1947) رحمه الله menyebut di dalam kitab beliau berjudul an-Nur al-Mubin: Menyintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ada tanda-tandanya. Barangsiapa yang dzahir pada dirinya tanda-tanda tersebut, adalah ia benar-benar mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dan sekiranya tidak, maka cintanya dakwaan semata-mata. Antara tanda-tanda yang beliau sebutkan adalah: Meneladani Bagindaصلى الله عليه وآله وسلم samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya.
Beberapa hadits mengenai tuntutan ber siwak dan kelebihannya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ
Terjemahannya: Bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda ia: Seandainya tidak memberatkan aku ke atas umatku nescaya aku perintahkan mereka dengan bersiwak (hadits riwayat al-Bukhari)
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: أَكْثَرْتُ عَلَيْكُمْ فِي السِّوَاكِ
Terjemahannya: Daripada Sayyidina Anas bin Malik رضي الله عنه , telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Telah aku sering (memperingatkan) atas kalian mengenai bersiwak. (hadits riwayat al-Bukhari)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ
Terjemahannya: Daripada Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه , telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Seandainya bahwa tidak memberatkan aku ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka dengan bersiwak tatkala setiap kali berwudhu`. (hadits riwayat Ibn Abi Syaibah)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ
Terjemahannya: Daripada Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه , telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Seandainya bahwa tidak memberatkan aku ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka dengan bersiwak tatkala setiap kali bersholat. (hadits riwayat Imam Ahmad)
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، قَالَت : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ
Terjemahannya: Daripada Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Siwak itu membersihkan bagi mulut, keredhaan bagi Rabb. (hadits riwayat Imam Ahmad)
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنّ النَّبِيَّ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: عَلَيْكُمْ بِالسِّوَاكِ، فَإِنَّهُ مَطْيَبَةٌ لِلْفَمِ ، وَمَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ
Terjemahannya: Daripada Sayyidina Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Hendaklah kalian bersiwak, kerana sesungguhnya bersiwak membaikkan bagi mulut dan keredhaan bagi Rabb. (hadits riwayat Imam Ahmad)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: قَصُّ الشَّارِبِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَحَلْقُ الْعَانَةِ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَالسِّوَاكُ
Terjemahannya: Daripada Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه , telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: 5 perkara daripada fitrah. Memotong misai, mengetip kuku, mencukur bulu kemaluan, mencabut buku ketiak dan bersiwak. (hadits riwayat al-Bukhari)
عَنْ حُذَيْفَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَامَ لِلتَّهَجُّدِ مِنَ اللَّيْلِ يَشُوصُ فَاهُ بِالسِّوَاكِ
Terjemahannya: Daripada Sayyidina Huzaifah رضي الله عنه: Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah apabila bangun ia bagi bertahajjud diwaktu malam, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengosok mulut Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dengan siwak. (hadits riwayat al-Bukhari)
عَنْ عَائِشَةَ، أَنّ النَّبِيَّ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ ، كَانَ إِذَا دَخَلَ بَيْتَهُ، بَدَأَ بِالسِّوَاكِ
Terjemahannya: Daripada Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها bahwasanya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, apabila memasuki Baginda صلى الله عليه وآله وسلم akan rumahnya, memulai ia dengan bersiwak. (hadits riwayat Muslim)
رَكْعَتَانِ بِسِوَاكٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً بِغَيْرِ سِوَاكٍ
Terjemahannya: 2 rakaat dengan bersiwak lebih utama daripada 70 rakaat tanpa bersiwak. (hadits riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dengan sanad hasan dan diriwayatkan oleh ad-Daaruqutni dimana perawi-perawinya tsiqah)
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا ، قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ : فَضْلُ الصَّلاةِ الَّتِي يُسْتَاكُ لَهَا عَلَى الصَّلاةِ الَّتِي لا يُسْتَاكُ لَهَا سَبْعِينَ ضِعْفًا
Terjemahannya: Daripada Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها telah berkata ia: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Keutamman sholat dengan bersiwak ke atas sholat tanpa siwak adalah 70 kali ganda (hadits riwayat Ahmad, Ibn Khuzaimah dan al-Hakim, beliau berkata hadits ini shohih atas syarat Muslim dan diakui oleh adz-Dzahabi)
Demikianlah beberapa buah hadits daripada sekian banyak hadits tentang tuntutan bersiwak dan keutamaannya.
Takrif siwak: Apakah ta’rif siwak? Siwak menurut bahasa adalah ‘الدلك’ bererti mengosok atau menyental. Manakala menurut istilah ‘دلك الأسنان وما حواليها بكل شيء خشن’ bererti mengosok gigi dan sekitarnya dengan segala sesuatu yang kesat (atau kasar) atau ‘استعمال عود أو نحوه كالفرشاة اليوم في تنظيف الأسنان وما حولها كاللسان واللثة لإذهاب التغير وآثار الطعام’ yang bermaksud penggunaan kayu siwak atau yang seumpamanya seperti berus gigi pada zaman sekarang, bagi membersihkan gigi dan apa-apa yang berada disekitarnya seperti lidah dan gusi bagi menghilangkan perubahan bau mulut dan sisa-sisa makanan.
Hukum bersiwak: Setelah mengetahui ta’rif siwak maka mari kita lihat pula hukum bersiwak. Hukum bersiwak terbahagi kepada 5 iaitu:
Wajib: Jika siwak itu diperlukan untuk menghilangkan najis dimulut, atau menghilangkan bau yang sangat buruk untuk yang menghadiri sholat Jum’at, dan wajib juga apabila di nadzarkannya.
Sunat: Hukum asal bersiwak, dan lebih di tekankan lagi (yakni sunat mu’akkad) ketika berwudhu’ (sunat juga bagi orang yang tak dak gigi, ketika berwudhu maupun sholat), sholat (yakni bagi setiap takbiratul ihram samada sholat fardhu atau sunat bahkan sekiranya seseorang itu lupa bersiwak tatkala takbiratul ihram kemudian ingat ia akan dia didalam sholatnya, sunatlah baginya bersiwak di dalam sholatnya dengan perbuatan yang sedikit – demikian yang telah disebut akan dia oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh Ramli), ketika hendak membaca Al Qur’an, ketika hendak masuk ke dalam rumah, ketika hendak tidur, ketika bangun dari tidur dan tatkala berubah bau mulut (disebabkan panjang masa diam – tak buka mulut – atau kerana lama tidak makan)
Makruh: Bagi orang yang berpuasa bersiwak setelah gelincir matahari. Namun Imam an-Nawawi memilih pendapat tidak makhruh.
Khilaful aula: Yakni memakai kayu siwak kepunyaan orang lain dengan keredhaannya, kecualilah untuk mengambil keberkatannya maka ianya disunatkan sepertimana Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها yang pernah menggunakan siwaknya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
Haram: Sekiranya menggunakan kayu siwak orang lain tanpa keizinannya dan tanpa diketahui keredhaannya.
Alat bersiwak: Yang utama adalah kayu aarak, kemudian pelepah tamar (inilah siwak yang digunakan diakhir hayat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.) kemudian kayu zaitun kemudian setiap kayu yang mengeluarkan bau yang wangi seperti gaharu dan lain-lain kecuali kayu raihaan – kerana ia dilarang oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kerana mewariskan (menyebabkan) penyakit kusta - kemudian kayu-kayu lain (yang tidak memudharatkan kesihatan).
Masalah: Bolehkah bersiwak menggunakan berus gigi sepertimana yang ada sekarang? Jawabnya, berdasarkan kepada takrif bersiwak menurut istilah syarak sepertimana disebut diatas maka pengunaan berus gigi atau kain yang kesat (sekiranya tiada alat siwak yang lain), maka secara langsung termasuk di dalam maksud penggunaan siwak. Adapun yang afdhalnya adalah menggunakan kayu aarak seperti yang disebut kerana mengikuti akan perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Tertib memakai kayu siwak yang baik bagi setiap alat bersiwak diatas: Memakai kayu siwak yang dibasahi dengan air bersih terlebih dahulu; memakai kayu siwak yang dibasahi air mawar; memakai kayu siwak yang dibasahi air ludahnya; memakai kayu siwak yang lembap; memakai kayu siwak yang kering.
Kadar panjang kayu siwak: Disunatkan kadar panjang kayu siwak tidak melebihi sejengkal ( jengkal orang yang sederhana besarnya) dan tidak pula kurang dari ukuran 4 jari. Makruh kayu siwak melebihi sejengkal kerana dikatakan syaitan akan bertenggek bahagian yang lebih itu. Wallahu a’lam. Saiznya pula hendaklah sederhana, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
Cara memegang kayu siwak: Disunatkan memegang kayu siwak dengan tangan kanan. Dan cara memegangnya sepertimana disebut oleh al-Habib ‘Abdullah bin Hussin Balfagih sunnah dijadikan kelingking dan ibu jari dibawah kayu siwak (yakni jari kelingking dibahagian belakang dan ibu jari dibahagian depan) manakala 3 jari yang lain (telunjuk, tengah dan manis) diatas kayu siwak. Lihat gambar disebelah dan dibawah.
Cara bersiwak: Sunat bersiwak pada lintang gigi (yakni secara melintang, melebar) dan dimakhruhkan dengan cara membujur (memanjang) pada gigi kerana ia boleh menyebabkan gusi akan berdarah. (lihat Syarah Shahih Muslim oleh an-Nawawi dan Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari). Disunatkan bersiwak pada lidah dan langit-langit mulut yakni dengan cara membujur.
Diantara cara yang dianjurkan oleh ulama: (Dan sunat) memulai bersugi itu pada pihak [gigi] geraham diatas dan bawah dan luar dan dalam, maka dilakukannya [kayu sugi] hingga pertengahan [jajaran gigi]. Maka dimulainya pula pada geraham kiri seperti demikian itu [seperti dilakukan pada geraham sebelah kanan], maka dilakukannya hingga pertengahan [jajaran gigi].
Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى menerangkan bahwa disunnahkan bersiwak memulai dari tengah jajaran gigi atas, lalu menggosokkan siwak ke kanan sampai ujung barisan gigi kanan atas, lalu turun ke barisan gigi kanan bawah, lalu digosokkan pada barisan gigi bawah ketengah, lalu naik lagi ke barisan gigi atas dan digosokkan ke kiri sampai ujung barisan gigi kiri atas, lalu turun ke ujung barisan gigi kiri bawah, lalu digosokkan ketengah barisan gigi bawah (seumpama menulis angka delapan ‘∞’. Demikian ini untuk perhitungan 1 kali, maka diulangi sebanyak 3 kali).
Disunatkan membersihkan kayu siwak sebelum dan selepas menggunakannya. Adapun cara bersiwak ini tiadalah ketentuan yang khusus, maka cara apapun adalah sudah terhasil baginya pahala sunnah. Menurut Ibnu Daqiq seseorang itu telah dihitung sebagai bersiwak walaupun hanya melalukan kayu siwak sepanjang mulutnya (yakni melalukan kayu siwak atas jajaran gigi atas dan bawah). Dan para shahabat رضي الله عنهم menyimpan atau meletakkan kayu siwak mereka dicelah telinga kiri.
Niat-niat bersiwak: Niat ber’amal dengan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.; membersihkan mulut kerana hendak bermunajat kepada Allah di dalam sholat, dan dhikir dan membaca al-Qur’an; memutihkan gigi dan mengharumkan bau mulut; untuk kebersihan kerana ianya sebahagian daripada iman; mendatangkan keredhaan Allah dan lain-lain.
Niat bersiwak adalah :
نويت الاستياك سنة لله تعالى
Sahaja aku bersiwak sunat kerana Allah Ta’ala
Bagi seseorang yang bersiwak dalam rangkaian ibadah, seperti sebelum wudhu dan lain-lain, tidak diharuskan melakukan niat siwak sebab niat ibadah tersebut sudah mengandung niat bersiwak.
Doa ketika mula bersiwak: Elok dibaca doa dibawah walaupun ianya tiada asal (yakni tidak warid daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم), kerana tiada mengapa mengamalkannya. Doanya:
اَللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِيْ وَشُدَّ بِهِ لِثَاتِيْ وِثَبِّتْ بِهِ لِهاَتِيْ وَأَفْصِحْ بِهِ لِسَانِي وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Wahai Tuhanku, putihkanlah dengannya gigiku, kuatkanlah dengannya gusiku, teguhkanlah dengannya lisanku, fasihkanlah dengannya lisan pengucapanku dan berkatilah aku padanya wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Bilakah disunatkan bersiwak: Ketika setiap kali melaksanakan sholat, yakni setiap kali sebelum takbiratul ihram; ketika hendak sujud tilawah atau syukur; ketika hendak menghadiri sholat Jum’at; ketika hendak thawaf; ketika hendak membaca al-Qur’an; ketika hendak membaca hadits; ketika hendak berdhikruLlah; ketika berubah bau mulut kerana diam yang lama; ketika sebelum dan sesudah makan; ketika sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur; ketika hendak masuk ke dalam masjid; ketika hendak masuk kedalam rumah; ketika nazak; ketika membaca kitab-kitab ilmu agama dan juga kitab-kitab ilmu alat; ketika berwudhu atau bertayammum, ketika hendak mandi junub, ketika makan sesuatu makanan yang berbau; ketika sebelum berjima’ dan banyak lagi.
Kelebihan bersiwak: Terdapat banyak kelebihannya. Ulama berkata terdapat hampir 70 kelebihan bersiwak. Antaranya: 2 rakaat sholat dengan bersiwak lebih baik daripada tidak bersiwak – yakni menggandakan pahala ‘amalan; mendatangkan keredhaan Allah, membersihkan gigi, mewangikan bau nafas, mencerahkan mata (menajamkan penglihatan), memudahkan keluarnya ruh tatkala sakaratul maut, menambah kecedasan, menguatkan ingatan/hafalan, melambatkan penuaan, melambatkan tumbuh uban, memutihkan gigi, menguatkan tulang belakang, memudahkan untuk melafazkan kalimah syahadah tatkala nazak, menguatkan gigi ………….. dan banyak lagi.
Cukupkah dahulu perkongsian mengenai siwak, untuk memendekkan bicara. InsyaAllah sekiranya ada kesempatan al-Fagir akan tulis beberapa permasalahan yang berkaitan dengan siwak ini. Mohon para pengunjung membetulkan mana-mana yang tersalah atau tersilap, kerana manusia itu tiada sunyi ia daripada berbuat kesilapan. Akhirkata marilah kita mengamalkan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ini, iaitu bersiwak dan istiqamah dengannya. – “Menyintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ada tanda-tandanya. Barangsiapa yang dzahir pada dirinya tanda-tanda tersebut, adalah ia benar-benar mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dan sekiranya tidak, maka cintanya dakwaan semata-mata. Antara tanda-tandanya adalah: Meneladani Bagindaصلى الله عليه وآله وسلم samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya” - al-‘Allamah Hadratus Syaikh Hasyim Asy'ari رحمه الله تعالى
sekian daripada alfagir ilaLlah abu zahrah ‘abdullah thahir al-qadahi
dhuha, di taman seri gombak
itsnain, 26 Jumadilakhirah 1432/30 Mei 2011
Daftar rujukan:
- Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah oleh al-Habib Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf , Dar al-‘Ilm wa ad-Da’wah, cetakan pertama ,2003/1423
- Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Dr.Muhammad al-Zuhaily cetakan Darul Qalam jilid 1
- Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari, Maktabah wa Matba’ah Sulaiman Mar’ie, Singapura
- Fawaid as-Siwaak Syar’iyyan wa Thibbiyan oleh al-Habib Muhammad bin ‘Alwi al-Aidarus @ Habib Sa’ad, cetakan pertama 2009/1430
- Syarah Shahih Muslim oleh Imam an-Nawawi, cetakan Dar Ihya at-Turat al-‘Arabi, Jilid ke-2
1 komen:
moga Allah memberkati usaha tuan dan mengiranya sebagai amal soleh yang akan mempertemukan tuan dengan Kekasih tuan Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam.
Catat Ulasan