Isnin, 9 Mei 2011

Syamaail ar-Rasuul - 1: Kasihnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Kepada Umat

Kasihnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Kepada Ummat

Saudaraku, sempena hari Itsnin, iaitu hari di mana junjungan kita, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dilahirkan, al-Fagir ingin kongsikan sesuatu untuk kita renungi bersama, iaitu beberapa buah hadits yang menggambarkan kasih dan cintanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم

Terdapat sebuah hadits di dalam kitab Syamail Muhammadiyyah karangan Imam at-Tirmidhi رحمه الله, juga di dalam Wasaail al-Wushuul ila Syamaail ar-Rasuul صلى الله عليه وآله وسلم oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani رحمه الله:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : قَامَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِآيَةٍ مِنَ الْقُرْآنِ لَيْلَةً

Ertinya: Daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang malam dengan hanya membaca satu ayat daripada al-Qur’an.

Hadits ini ini tercantum di dalam kedua buah kitab di atas pada bab ibadahnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Pada riwayat ini tidak diceritakan apakah ayat yang dibaca oleh Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Walau bagaimanapun, guru dari guru kami, Al-‘Allamah Syeikh ‘Abdullah bin Sa’id al-Lahji رحمه الله telah menghuraikan hadits di atas di dalam kitabnya Muntaha as-Suuul ‘ala Wasaail al-Wushuul ila Syamaail ar-Rasuul صلى الله عليه وآله وسلم, beliau berkata, ayat yang dibaca itu adalah:

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maaidah: 118).

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengulangi ayat tersebut di dalam sholat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sambil menangis sehingga shubuh. Beliau (al-‘Allamah Syeikh ‘Abdullah bin Sa’id al-Lahji رحمه الله) kemudiannya mendatangkan hadits yang menceritakan hal di atas.

Seterusnya al-Imam Ibn Katsir رحمه الله juga menyebut hadits seumpamanya tatkala beliau menafsirkan ayat ke-118 dari surah al-Maaidah. Beliau berkata:

وهذه الآية لها شأن عظيم، ونبأ عجيب، وقد ورد في الحديث: أن النبي صلى الله عليه وسلم قام بها ليلة حتى الصباح يرددها.

Ertinya: Dan ayat ini mempunyai makna yang besar dan merupakan berita yang menakjubkan. Dan telah warid di dalam sebuah hadits bahwasanya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mendirikan sholat malam dengan membaca ayat ini sehingga shubuh, yakni dengan mengulang-ulangi bacaan ayat ini.

قال الإمام أحمد: حدثنا محمد بن فضيل، حدثني فُلَيْت العامري، عن جَسْرَة العامرية، عن أبي ذر رضي الله عنه، قال: صلى النبي صلى الله عليه وسلم ذات ليلة، فقرأ بآية حتى أصبح، يركع بها ويسجد بها: {إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ} فلما أصبح، قلت: يا رسول الله، ما زلت تقرأ هذه الآية حتى أصبحت، تركع بها، وتسجد بها؟ قال: إني سألت ربي عز وجل الشفاعة لأمتي، فأعطانيها، وهي نائلة إن شاء الله لمن لا يشرك بالله شيئاً

Ertinya: Telah berkata Imam Ahmad رحمه الله: Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibn Fudhail, telah menceritakan kepada Fulait al-‘Aamiri daripada Jasrah al-‘Aamiriyyah daripada Sayyidina Abu Dzar رضي الله عنه, beliau berkata: Telah bersembahyang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada satu malam lalu membaca Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dengan satu ayat sehinggalah masuk shubuh, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم rukuk dengan membaca ayat tersebut dan sujud dengan membaca ayat tersebut:

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maaidah: 118)

Ketika waktu Shubuh, aku (Sayyiduna Abu Dzar رضي الله عنه) telah bertanya: Wahai Rasulullah, mengapa engkau terus menerus membaca ayat ini sehingga shubuh, engkau rukuk dengan membaca ayat tersebut dan engkau sujud dengan membaca ayat tersebut? Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkata: Sesungguhnya aku memohon kepada Tuhanku ‘Azza wa Jalla, syafa’at bagi ummatku, maka Dia memberinya kepadaku, dan syafa’at itu dapat diperolehi insyaAllah bagi orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatupun. (Tafsir al-Qur’aan al-Adzim oleh al-Hafidz Ibn Katsir, jilid 3, halaman 269)


Di dalam tafsir Ibn Katsir juga dibawakan sebuah lagi riwayat:

. وقال ابن أبي حاتم: حدثنا يونس بن عبد الأعلى، حدثنا ابن وهب، أخبرني عمرو بن الحارث: أن بكر بن سوادة حدثه، عن عبد الرحمن بن جبير، عن عبد الله بن عمرو بن العاص: أن النبي صلى الله عليه وسلم، تلا قول عيسى: { إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ } فرفع يديه، فقال: " اللهم أمتي " وبكى، فقال الله: يا جبريل اذهب إلى محمد -وربك أعلم - فاسأله ما يبكيه؟ فأتاه جبريل فسأله، فأخبره رسول الله صلى الله عليه وسلم، بما قال، وهو أعلم، فقال الله: يا جبريل اذهب إلى محمد، فقل: إنا سنرضيك في أمتك ولا نسوْءُك.

Ertinya: “Dan telah berkata Ibn Abi Haatim: Telah menceritakan kepada kami Yuunus ibn ‘Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Ibn Wahhab, telah mengkhabarkan kepada kami ‘amru ibn al-Haarits: Bahawa Abu Bakar ibn Suwaadah menceritakan kepadanya, daripada ‘Abdurrahman ibn Jubair, daripada Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Amru ibn al-‘Ash رضي الله عنهما, bahwa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah membaca perkataan Nabi ‘Isa عليه السلام (sebagaimana yang diceritakan oleh Allah dalam firmanNya):

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Ertinya: Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maaidah: 118)

Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengangkatkan tangannya seraya berdoa: YA ALLAH (SELAMATKAN) UMMATKU. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menangis. Maka Allah Ta’ala berfirman: Wahai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad – sedang Allah Ta’ala lebih mengetahui –  dan tanyakan kepadanya apakah yang menyebahkan dia menangis? Maka malaikat Jibril lalu bertanya kepadanya, lalu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menceritakan apa yang telah diucapkannya – sedangkan Allah lebih mengetahui – Maka Allah berfirman: Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan engkau katakan (kepadanya): Bahwa sesungguhnya Kami akan membuatnya redha tentang nasib ummatnya dan Kami tidak akan membuatnya bersedih hati.” (Tafsir al-Qur’aan al-Adzim oleh al-Hafidz Ibn Katsir, jilid 3, halaman 269)

Manakala di dalam Shohih Muslim, terdapat sebuah hadits sepertimana hadits di atas yang bererti: Daripada Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Amru ibn al-‘Ash رضي الله عنهما, bahwa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah membaca firman Allah ‘Azza wa Jalla tentang perkataan Nabi Ibrahim عليه السلام:

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ
Ertinya: “Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku” (Surah Ibrahim: 36)

Dan perkataan Nabi ‘Isa عليه السلام (sebagaimana yang diceritakan oleh Allah dalam firmanNya):

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Ertinya: Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maaidah: 118)

Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengangkatkan tangannya seraya berdoa: YA ALLAH (SELAMATKAN) UMMATKU, (SELAMATKAN) UMMATKU. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menangis. Maka Allah Ta’ala berfirman: Wahai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad – sedang Allah Ta’ala lebih mengetahui –  dan tanyakan kepadanya apakah yang menyebabkan dia menangis? Maka Jibril عليه السلام menemui Nabi صلى الله عليه وآله وسلم lalu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, dan Rasulullah mengkhabarkan apa kepada Jibril عليه السلام. Maka Allah berfirman kepada Jibril عليه السلام: Pergilah engkau menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya: Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau redha pada umatmu dan Kami tidak akan menyakitimu dalam urusan umatmu..” (Hadits riwayat Muslim)

Al-Imam an-Nawawi r رحمه الله, dalam syarah beliau ke atas hadits diatas mengatakan: Hadits ini menggambarkan kesempurnaan sifat kasih sayang dan cinta Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. terhadap umatnya, dan keprihatinan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bagi segala kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang ketinggian kedudukan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hambaNya. Pengutusan Jibril عليه السلام kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mendzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Shohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)

Saudaraku, daripada beberapa buah hadits di atas jelas menggambarkan betapa kasih dan cintanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada ummatnya.

Renunglah wahai saudaraku, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersholat semalaman dengan mengulang-ulangi membaca ayat 118 dari surah al-Maaidah, untuk memohon syafa’at buat umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم

Renungkanlah saudaraku sekalian, tatkala Baginda صلى الله عليه وآله وسلم membacakan ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan keadaan manusia pada hari pembalasan kelak, perkara pertama yang terbayang di fikiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bukanlah keluarga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, akan tetapi saudaraku sekalian, perkataan pertama yang terbit dari bibir Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ialah keselamatan dan nasib ummat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu kita semua.

Begitulah dalamnya kasih dan cintanya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم terhadap kita umatnya. Walaupun tempat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di syurga sudah terjamin, namun Baginda صلى الله عليه وآله وسلم masih tidak sanggup dan tega melihat keadaan ummatnya jika mereka terseksa di hari pembalasan kelak. Malah, menjadi harapan Baginda agar sekalian ummatnya dapat masuk ke syurga bersamanya dan terus kekal di sana selamanya.

Renungkanlah saudaraku sekalian, apakah demikian juga kasih dan cinta kita kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم? Apa pernah airmata kita mengalir kerana merindui Baginda صلى الله عليه وآله وسلم? Apa pernahkah kita menangis kerana tidak bersungguh dalam menuruti sunnah-sunnah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم? Berapa banyak sholawat ke atas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang telah kitab baca sehari semalam? Sejauh manakah cinta kita? Apakah kita telah buktikan cinta kita kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم?

Saudaraku sekelian, cinta itu bukan sekadar ungkapan dibibir semata, cinta itu punya tanda-tandanya ….. al-'Allamah Hadratus Syaikh Hasyim Asy'ari (pendiri Nahdatul Ulama di Indonesia, wafat 25 Julai 1947) menyebut di dalam kitab beliau berjudul an-Nur al-Mubin: Menyintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ada tanda-tandanya. Barangsiapa yang dzahir pada dirinya tanda-tanda tersebut, adalah ia benar-benar mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dan sekiranya tidak, maka cintanya dakwaan semata-mata.

Tanda-tandanya adalah:
  • meneladani Baginda صلى الله عليه وآله وسلم samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya
  • mengamalkan sunnah-sunnah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya, berusaha beradab dengan adab Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dalam semua keadaan, baik dikala susah, maupun senang, dikala cergas maupun malas
  • mengutamakan sesuatu yang telah disyariatkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan yang digalakkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم untuk dilakukan, daripada mengikuti hawa nafsu dan syahwat (yakni mengutamakan perintah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم daripada kehendak nafsu dan syahwat)
  • banyak menyebut Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yakni bershalawat ke atas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, sebab orang yang mencintai sesuatu, maka dia banyak atau sering menyebutnya dengan perasaan rindu kepada yang dicintainya, mengagungkannya, memuliakannya dan mendzahirkan kekhusyu’kan dan rendah diri ketika mendengar nama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disebut.
  • rindu untuk bertemu dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, kerana sesungguhnya setiap kekasih ingin bertemu dengan yang dikasihinya.
  • mencintai mereka yang dicintai oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu yang punya hubungan dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم seperti ahlulbait Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, para shahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dari kalangan Muhajirin dan Anshar.
  • membenci orang-orang yang dibenci oleh Allah dan RasulNya, memusuhi orang yang memusuhinya, menjauhi orang yang menyimpang dari sunnahnya serta berkeberatan terhadap orang yang menyimpang dari sunnahnya.
  • mencintai al-Quran yang diturunkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Mencintai al-Quran bererti membaca, memahami dan mengamalkan segala tuntutan-tuntutannya di dalam mengatur kehidupan kita dan seterusnya memperjuangkannya.
  • mencintai sunnahnya serta memperhatikan dan memahami hukum-hakamnya. Sahal bin ‘Abdullah at-Tusturi berkata: Tanda-tanda mencintai Allah adalah mencintai al-Quran dan mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Tanda-tanda mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  adalah mencintai sunnahnya. Tanda-tanda mencintai sunnahnya adalah membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia adalah enggan mengambilnya melainkan untuk bekalan menuju kampung akhirat.
  • belas kasihan (yakni bersikap lemah lembut dan mengasihi) terhadap ummatnya, memberi nasihat kepada mereka tanpa jemu, berusaha memberi kemaslahatan dan menghindarkan mereka daripada marabahaya. (tamat petiakan dari an-Nur al-Mubin)

Saudaraku sekelian, apabila terlintas di fikiran kita untuk melakukan keburukan, dosa ataupun kezaliman, walaupun sekecil-kecilnya bayangkanlah tangisan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. yang tidak redha akan segala perbuatan buruk kita itu. Ingatilah Allah, bersholawatlah kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, ucapkanlah istighfar dan, agar dengan itu terpadam segala hasrat dan niat untuk melakukan segala dosa dan kemungkaran. Lakukanlah segalanya itu kerana CINTA. Cinta kepada Allah dan RasulNYA.

Sekian dahulu dari al-Fagir. Semoga kita semua dikurniakan kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan kecintaan yang mendalam sepertimana juga cintanya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم kepada kita

saudara kalian, al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
taman seri gombak
dzuhur, itsnin 5 jumadilakhirah 1432/9 mei 2011M

1 komen:

JeffalQura berkata...

Teringat sebahagian mafhum hadis Nabi Salallahu Alaihi Wassalam berkenaan amalan ummatnya dipersembahkan kepada baginda di alam barzakh. Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam menyebut dengan bibirnya yang mulia, 'Jika amal yg selain dari itu ditunjukkan kepadaku, maka aku akan meminta pengampunan pada Allah'. Yakni, Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam tidak sanggup untuk berkata amal jahat, buruk ataupun tidak baik. Allahu Allah.. inlah MAQAM CINTA RASULULLAH SALALLAHU ALAIHI WASSALAM KEPADA KITA SEMUA. betulkan saya ustaz, kerna hanya ingat sebahagian dan tidak lengkap naqalan hadis.

Related Posts with Thumbnails