Qubah al-Imam al-Habib 'Umar bin 'Abdurrahman al-Atthas di Huraidhah |
Al-Imam Al-Habib ‘Ali bin Hasan bin ‘Abdullah bin Hussin bin 'Umar bin ‘Abdurrahman al-Atthas lahir pada 12 Rabi’ ats-Tsani 1121H (1709M) di Huraidhah. Mendapat tarbiyyah dan dipakaikan khirqah oleh guru beliau iaitu moyangnya al-Habib Hussin bin Umar bin ‘Abdurrahman al-‘Atthas. Pada usia tujuh tahun beliau sudahpun menghafal al-Qur’an. Beliau banyak menghasilkan karya, antaranya: al-Qirthas fi Syarh Raatib al-Imam ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-Atthas, al-Maqshad fi Syawahidil Masyhad, ar-Rasail wal Mursalah wal Wasail al-Mushalah, al-Hadrah ar-Rabbaniyyah wa an-Nadzrah ar-Rahmaniyyah, al-‘Athiyyah al-Haniyyah wa al-Washiyyah al-Mardhiyyah dan lain-lain lagi.
Di dalam kitab beliau al-‘Athiyyah al-Haniyyah wa al-Washiyyah al-Mardhiyyah, beliau menyebut:
Terjemahannya: Dan jika menuntut engkau daripada seseorang akan sesuatu hajat, lalu ditunaikan bagimu, maka dia orang yang Allah tundukkan untuk (menunaikan hajat) mu. Oleh itu berterimakasihlah kepadanya dan pujilah atasnya dengan kebaikan kerana sesungguhnya orang yang tidak berterimakasih kepada manusia bererti dia tidak berterimakasih kepada Allah. Dan apabila dia tidak menunaikan (yakni tidak memenuhi hajatmu) maka jangan engkau menjadikan dia musuhmu, lalu engkau memakinya, menuturkan keburukannya dan mencela (mencerca)nya, tetapi engkau katakan (pada dirimu): Tidak ditaqdirkan Allah Ta’ala yang demikian itu.
Dan apabila melihat engkau akan manusia di dalam ma’siat; atau dalam ghaflah (kelalaian, yakni lalai dari Allah); atau duduk dalam majlis yang buruk atau ma’siat; atau ketika ditimpa musibah atau dalam cubaan (bahaya) pada agamanya atau badannya (jasadnya) atau dunianya, maka jangan engkau mengingkari ke atasnya, jangan engkau mencerca dengannya kerana engkau tidak tahu apakah akan terjadi pada kesudahan urusannya dan apakah menghabisan umurnya (yakni apakah husnul khatimah atau su’ul khatimah?). Kerana sesungguhnya segala amal itu tergantung pada penghujungnya.
Oleh itu sayogialah engkau berkata ketika itu:
اَلْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي عَافَانِيْ مِمَّا ابْتَلاَهُ بِهِ وَفَضَّلَنِيْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيْلاً
Ertinya: Segala puji bagi Allah yang telah meng’afiatkan aku dari bala yang dia timpakan dengannya dan menganugerahkan aku fadhilat (kelebihan) atas kebanyakkan makhluk yang Dia jadikan.
Kerana perkataan ini (doa di atas) terdapat keamanan dari segala mushibah dan fitnah pada agama, penyembuh dari segala penyakit dan mushibah yang terjadi pada badan dan apapun yang terjadi. Fahamilah! Dan berpegang teguhlah! Dan jadilah engkau orang yang mendengar perkataan (yakni nashihat) lalu mengikuti yang terbaik darinya. Mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat oleh Allah dan mereka itulah ulul albab.
Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Itsnin, 23 Rabi’ ats-Tsani 1432H/28 Mac 2011
0 komen:
Catat Ulasan