Selasa, 22 Mac 2011

Buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA: Inilah Jawapannya ....

Sejak lahirnya fahaman Wahabi yang membawa pelbagai kekeliruan dan mengkucar-kacirkan pemikiran dan kesatuan umat, para ulama yang mewakili setiap generasi telah bangun untuk menyelamatkan masyarakat daripada  tertipu  dengan kekeliruan yang dibangkitkan oleh mereka. Para alim-ulama telah bertungkus-lumus mengajar, berdakwah dan menulis kitab untuk meluruskan kembali kefahaman masyarakat yang telah dikelirukan atau dipesongkan. Maka kita perhatikan, di setiap generasi terdapat kitab-kitab yang dikarang ulama untuk meluruskan kekeliruan yang dibangkitkan sekaligus mempertahankan fahaman ahlus sunnah wal jama’ah yang benar yang diwarisi dari ulama salaf.

Antara kitab-kitab yang dihasilkan (sekadar menyebut beberapa buah kitab):
  • Fasl al-Khitab fi Radd ‘ala Muhammad ibn Abdil Wahhab oleh Syaikh Sulaiman ibn Abdil Wahhab رحمه الله. Inilah merupakan kitab yang pertama yang menolak fahaman Wahhabi yang ditulis oleh saudara kandung pengasas fahaman Wahhabi.
  • As-Sowa’iqul Ilahiyyah fi Raddi ‘ala al-Wahhabiyyah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Sulaiman ibn ‘Abdul Wahhab al-Najdi رحمه الله
  • Fitnah al-Wahhabiyyah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan رحمه الله (kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaluddin ar-Rembawi)
  • Ad-Durarus Saniyah fi al-Raddi ‘ala al-Wahhabiyyah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Habib Zain bin Hussin al-Habsyi رحمه الله dengan judul Permata Yang Berharga Hujah Menolak Fahman al-Wahhabi)
  • At-Taudhih ‘ala Tauhid al-Khallaq fi Jawab Ahli al-Iraq ‘ala Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab karangan Syaikh ‘Abdullah Affendi al-Rawi رحمه الله
  • Al-Haqiqah al-Islamiyah fi ar-Raddi ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Syaikh Abdul Ghani ibn Sholeh Hamadah رحمه الله.
  • Ad-Dalil Kafi fi ar-Radd ‘ala al-Wahhabi oleh Syaikh Misbah ibn Muhamad Syabqalu al-Beiruti رحمه الله
  • Al-Haq al-Mubin fi ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyin oleh Syaikh Ahmad Sa’id al-Faruqi al-Sirhindi al-Naqsyabandi رحمه الله
  • Al-Haqaiq al-Islamiyah fi Radd ‘ala Maza’im al-Wahhabiyyah bi Adillah al-Kitab wa al-Sunnah al-Nabawiyyah oleh Syaikh Malik ibn Syaikh Mahmud رحمه الله.
  • Al-Ifham wal Ifham au Qadaya al-Wasilah wal Qubur dan Usul al-Wushul karangan Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim  رحمه الله
  • Syawahidul Haq fil Istighosah bi Sayyidil Khalaqi karangan Syaikh Yusuf an-Nabhani رحمه الله  (kitab yang bagus di baca didalam persoalan tawassul)
  • Al-Jauhar al-Munazzham karangan Ibn Hajar al-Haithami رحمه الله
  • Ithafu Azkiya bi Jawazi at-Tawassul bin Anbiya wal Auliya karangan al-Muhaddits Syaikh Abdullah Siddiq al-Ghumari رحمه الله
  • Al-Radd al-Muhkam al-Matiin ‘ala Kitab al-Qaul al-Mubiin karangan al-Muhaddits Syaikh Abdullah Siddiq al-Ghumari رحمه الله
  • Bahjah an-Nazir fi Tawassul bi an-Nabi at-Thohir karangan as-Sayyid Hasaan as-Saqqaf حفظه الله
  • Al-Ajwibah al-Ghaliyah fi ‘Aqidah al-Firqah an-Najiyah karangan al-‘Allamah al-Habib Zain al-‘Abidin al-‘Alawi حفظه الله
  • Raf’ul Minaarah li Takhrij Ahadits at-Tawassul wa al-Ziyaarah karangan h Syaikh Mahmud Said Mamduh حفظه الله
  • Mafahim Yajibu an Tushahhah karangan al-Muhaddits as-Sayyid Muhamad ibn ‘Alawi ibn Abbas ibn Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani رحمه الله (kitab ini telah diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi حفظه الله. Kitab ini sangat baik untuk dibaca)
  • Intabih Diinuka fi Khatrin karangan al-‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al-Yamani حفظه الله  (kitab ini telah diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi حفظه الله)
  • Al-Bayan Lima Yashghulul Adzhan (pertanyaan ke-44) dan al-Bayan al-Qawiim li Tashhiih Ba’dhi al-Mafaahim (pertanyaan ke-8) karangan Shaikh Dr. ‘ali Jum’ah حفظه الله, Mufti Mesir. (kitab al-Bayan al-Qawiim telah diterjemahkan ke bahasa Melayu)
  • Dan banyak lagi …..


Selain daripada kitab-kitab yang dikarang oleh ulama arab, ulama di Alam Melayu kita juga  tidak ketinggalan menyumbangkan penulisan untuk membenteras fahaman yang mengelirukan ini, antaranya (sekadar menyebut beberapa buah kitab):


  • Al-Khuththah al-Mardiyyah fi Raddi Syubhah Man Qala Bid’ah at-Talaffuz bin Niyyah oleh Syeikh Ahmad Khatib bin ‘Abdul Lathif al-Minankabawi رحمه الله
  • Tazkiyatul Andzar wa Tashfiyatul Afkar – Menolak Beberapa Faham Syubhat Yang Bersalahan Dengan Pendapat Ulama Mu’tabar oleh Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin ‘Abdurrahman al-Fathani رحمه الله
  • Taman Persuraian oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar Muar رحمه الله
  • Cogan Perikatan oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar Muar رحمه الله
  • Risalah Mustika 'Ajaa`ib Pada Menyatakan Hukum Dan Kelebihan Membaca Maulid an-Nabiy Kita Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar Muar رحمه الله
  • Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-Asy’ari [pelopor fahaman Wahabi di Perlis] karangan Syaikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili رحمه الله
  • Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah atau Beberapa Masalah Yang Penting :Lagi Mudah karangan Syaikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili رحمه الله
  • Al-Mazhab atau Tidak Haram Bermazhab karangan Syaikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili رحمه الله
  • Petunjuk Bagi Umat karangan Syaikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili رحمه الله
  • Senjata Syari’at oleh Ustaz Abu Qani'ah dan Abu Zahidah رحمهما الله
  • Khulasah al-Mardiyyah fi Masail al-Khilafiyah oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin ‘Abdul Wahab al-Fusani رحمه الله
  • Risalah Minhaj as-Salimin fi Thariqah al-Mutaqaddimin oleh Tuan Guru Haji Ismail al-Tatani daripada Legor رحمه الله
  • 40 Masalah Agama oleh Kiyai Sirajuddin Abbas رحمه الله
  • Perbahasan Tuntas Perihal Khilafiyyah oleh H.M.H al-Hamid al-Husaini
  • Risalah Irsyadul Jaawiyyin ila Sabilil 'Ulama-il-'Aamiliin karangan Tuan Guru Haji 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin 'Utsman al-Fathoni رحمه الله
Begitulah, para ulama yang mewakili generasi masing-masing telah bangun untuk mempertahan pegangan ahlus sunnah wal jama'ah dari serangan golongan yang menyebarkan fahaman wahabi. Mereka menghasilkan karya dengan gaya bahasa dan citarasa yang sesuai dengan generasi mereka. Dan kebanyakan karya yang dihasilkan pula di dalam bahasa ‘arab. Maka bagi mereka yang berkemampuan untuk merujuk kitab-kitab arab mungkin tiada masalah untuk membaca karya-karya yang berbahasa arab. Manakala bagi yang tidak berkemampuan memahami kitab-kitab arab,  tetapi berkemampuan membaca kitab jawi maka, terdapat kitab-kitab jawi untuk dijadikan rujukan.

Adapun bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk membaca kitab arab atau kitab jawi ataupun  tidak dapat memahami gaya bahasa kitab jawi klasik maka mereka teraba-raba untuk mencari rujukan yang sesuai untuk menangkis serangan Wahabi yang membid’ahkan amalan yang mereka lakukan. Maka, mereka ini sangat mendambakan buku-buku terjemahan atau pun karya-karya yang dihasilkan di dalam bahasa Malaysia yang menjawab segala kekeliruan yang dipromosi oleh golongan berfahaman Wahabi, dengan gaya bahasa terkini. Dan tidak dapat dinafikan,  bahawa buku-buku sebegini agak berkurangan diterbitkan sedangkan buku-buku yang mempromosi 'fahaman mereka’ berlambak dipasaran. Fenomena ini sungguh mendukacitakan ………..


Sewaktu al-Fagir membaca kitab Mafahim karya agung Abuya Maliki dan kitab  al-Mausu’ah al-Yusufiyyah fi Bayani Adillah ash-Shufiyyah karya al-Ustaz Dr. Yusuf Khattar Muhammad, terdetik di hati al-Fagir siapakah gerangan ulama kita yang akan tampil  mengusahakan terjemahan kedua-dua kitab tersebut ataupun mengarang buku-buku seumpama keduanya bagi menghadapi kekeliruan umat ini???!!!! Diri yang kerdil ini hanya mampu berdoa semoga ulama kita tampil menghasilkan karya sebagaimana ulama terdahulu.

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih-sayangNYA, tampil ulama muda, al-Fadhil Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi mengusahakan terjemahan kitab Mafahim dan juga beberapa kitab lain bagi menjelaskan kekeliruan tersebut. Sumbangan yang sangat besar dan memberi banyak manfa'at kepada umat Islam di Malaysia. Kemudian, seorang lagi ulama muda iaitu al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll tampil pula menghasilkan karya untuk meluruskan fahaman-fahaman yang mengelirukan itu. Buku bertajuk 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah merupakan karya pertama beliau di pasaran. Dan terkini, buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA’ – Inilah Jawapannya. Buku ini adalah merupakan satu sumbangan yang besar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari masyarakat.

Buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA’ – Inilah Jawapannya adalah merupakan hadiah al-Fadhil Ustaz Muhadir kepada masyarakat Malaysia sangat mendambakan hujjah bagi menjawab kekeliruan yang dibawa oleh golongan yang berfahaman Wahabi. Buku setebal 915 halaman yang mencakupi 179 persoalan berkaitan aqidah, ibadah dan tasawwuf yang berkaitan dengan amalan seharian, dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Buku ini sarat dengan dengan hujjah-hujjah atau dalil-dalil bagi setiap persoalan yang dibahaskan dengan merujuk kepada pendapat-pendapat ulama ahlus sunnah wal jama’ah yang  mu’tabar, amat sesuai dan seharusnya untuk dimiliki oleh masyarakat kita. Rujukan yang digunakan untuk menghasilkan buku ini berjumlah lebih daripada 200 buah kitab yang berbahasa ‘arab dan melayu. Selain itu,  mutu penerbitan buku ini sangat baik, dengan berkulit tebal, kertas yang berkualiti dan  susun atur yang menarik. Semoga dengan kehadiran buku ini, masyarakat tidak lagi teraba-raba untuk mencari hujjah dalam menangkis kekeliruan yang dibawa oleh fahaman Wahabi.

Untuk pengetahuan pembaca, selain daripada 2 buah buku di atas, al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll juga sedang menulis beberapa buah buku lagi dalam usaha beliau mempertahankan fahaman ahlus sunnah wal jama'ah, antaranya ialah: Bagaimana Ulama Ahlus Sunnah Memahami Ayat-ayat dan Hadits-hadits Mutasyabihat; Sifat Solat Nabi; Cahaya Yang Menerangi: Dari Fatwa dan Jawapan al-Faqih Syeikh Nuruddin al-Banjari dan lain-lain. (judul buku yang sedang beliau usahakan ini masih belum diputuskan, al-fagir namakan berdasarkan perbahasannya sahaja). Semoga Allah Ta'ala memberi kekuatan kepada Ustaz Muhadir untuk meneruskan tugas ulama terutamanya dalam menghasilkan penulisan yang bermutu.

Akhirkata, marilah kita berdoa agar lebih ramai lagi ulama kita yang akan berkecimpung di dalam lapangan penulisan, agar terhasil lebih banyak buku-buku yang bermutu untuk dihidangkan kepada masyarakat di atas manhaj yang benar iaitu ahlus sunnah wal jama’ah, dan semoga para ulama kita lebih bersemangat untuk membuka pondok-pondok atau institusi-institusi pengajian untuk melahirkan generasi ulama ahlus sunnah wal jama’ah yang menjadi obor dan benteng kepada umat.
 

0 komen:

Related Posts with Thumbnails