Khamis, 31 Mac 2011

Jom Pakat Pi Sesawang Ni ....

Selasa, 29 Mac 2011

Turats Kita: Kitab Mawahib Rabb al-Falaq Syarah Bint al-Miilaq - Siri 1


(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyayikh tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.



من ذاق طعم شراب القوم يدريه - ومن داراه غدا بالروح يشريه
Barangsiapa mencium ia akan rasa minuman qaum shufiyyah nescaya mengetahui ia akan dia
Dan siapa yang mengetahui akan dia jadilah ia dengan nyawa membeli ia akan dia


Berkata Syaikh Ahmad ibn ‘Allan di dalam Syarah Qashidah ini ertinya barangsiapa yang bershifat ia dengan segala perangai qaum shufiyyah dan menjalani ia akan jalan mereka itu dengan berbaiki [membaiki] dzahirnya dan bathinnya seperti bahwa adalah dzahirnya muwafaqat bagi syariat dan bathinnya berpegang dengan thariqat nescaya menderangi [menerangi] atasnya ketika itu segala nur haqiqat dan jadilah sekelian maqam qaum shufiyyah dan sekelian hal mereka itu jadi makanan baginya yang dirasainya akan rasanya dan jadi minuman yang memuaskan dahaga dan jadi ubat yang menyembuhkan penyakitnya. Dan apabila telah merasai ia akan rasa minuman qaum itu atas shifat ini dan telah mengetahui ia akan dia nescaya berhadaplah ia atasnya dengan segala anggotanya dan membelilah ia akan dia dengan nyawanya seperti kata setengah daripada qaum shufiyyah itu jua,

لوان روحي في كفى وجدت بها * على البشير بكم يامرهم العلل
Jikalau bahwasanya nyawa aku itu di dalam tapak tanganku dan kuberikan akan dia
Atas yang membawa khabar dengan kamu hai ubat sekelian penyakit
ما ان وفيت ببعض من حقوقكم * وضرت من عدم الانصاف في خجل
Nescaya tiada jua sempurna dengan setengah daripada segala hak kamu itu
Dan jadilah daripada ketiadaan inshaf kelakuan pada kemaluan jua
ولو تعوض أرواحاجاد بها * في كل طرفة عين لا يساويه
Dan jikalau diganti akan dia itu akan beberapa nyawa dan memberi ia akan dia itu
Pada tiap-tiap sekejip mata nescaya tiada jua menyamai akan dia itu

Berkata Syaikh Ahmad ibn ‘Allan an-Naqsyabandiy di dalam syarahnya, ertinya dan jikalau diganti akan nyawa mereka itu yang memberikan nyawanya pada membeli minuman qaum shufiyyah dengan beberapa nyawa lagi dan diberikan pula pada membeli minuman itu juga, tiada jua menyamai akan mahal harga perkara yang akan dibelinya itu, tetapi tiada yang mengetahui akan dia itu hanyalah siapa-siapa yang telah merasai akan dia.

ما يعرف الشوق الا من بكابده * ولا الصباية الا من يعانيها
Tiada mengambil akan rindu itu melainkan siapa-siapa yang merasai akan dia
Dan tiada akan berahi melainkan siapa-siapa yang merasai dia jua

Dan betapalah akan menyamai beberapa nyawa diberikannya itu akan perkara yang tuntutnya itu pada halnya perkara yang dituntutnya itu kesudah-sudahan bagi sekelian kesudah-sudahan dan iaitulah angan-angan segala mereka yang ‘arif-‘arif

bersambung ke siri seterusnya ........

Isnin, 28 Mac 2011

Kejadian Gempa-bumi Adalah Peringatan Dari Allah


Beberapa tahun kebelakangan ini kejadian gempa-bumi sering terjadi. Kejaidan gempa bumi ini berentetan dari satu kawasan ke satu kawasan. Mungkin bagi sesetengah orang, kejadian ini adalah fenomena alam yang biasa-biasa sahaja. Namun bagi mereka yang beriman kepada hari akhirat, maka kejadian ini adalah merupakan satu peringatan buatnya. Peringatan tentang qiamat sudah hampir.

Syaikh 'Utsman Jalaluddin bin Muhammad bin 'Abdus Shamad al-Kelantani رحمه الله atau lebih dikenali sebagai Syaikh Utsman Jalaluddin Penanti yang merupakan antara murid al-Marhum Tok Kenali رحمه الله yang menjadi ulama besar serta pengasas pondok yang terbilang menyebut di dalam kitab beliau berjudul ad-Durratun Naafi`ah fi Asyraathis Saa`ah yang membahaskan mengenai tanda-tanda hari qiamat, pada  tajuk Kenyataan ‘Alamat Qiamat Yang Telah Jatuh (Berlaku):


Transliterasi: ‘Alamat yang (20) banyak jatuh (berlaku) bergerak (gerak gempa) bumi dan banyak jatuh berbunuh-bunuhan kerana di riwayat daripada (Sayyidina) Abi Hurairah (رضي الله عنه), bersabda Nabi (صلى الله عليه وآله وسلم): Tiada berdiri qiamat hingga diambil akan ilmu agama, ertinya dipermatikan segala ‘alim ‘ulama yang mu’tabar dan hingga banyak bergerak bumi dan hingga jadi pendek segala masa pada akhir zaman dan hingga dzahir segala fitnah-fitnah dan banyak jatuh (terjadi) berbunuh-bunuhan (yang telah jatuh sekarang).

Kalam Salaf: Akhlaq Sesama Manusia


Qubah al-Imam al-Habib 'Umar bin 'Abdurrahman al-Atthas di Huraidhah
Al-Imam Al-Habib ‘Ali bin Hasan bin ‘Abdullah bin Hussin bin 'Umar bin ‘Abdurrahman al-Atthas lahir pada 12 Rabi’ ats-Tsani 1121H (1709M) di Huraidhah. Mendapat tarbiyyah dan dipakaikan khirqah oleh guru beliau iaitu moyangnya al-Habib Hussin bin Umar bin ‘Abdurrahman al-‘Atthas. Pada usia tujuh tahun beliau sudahpun menghafal al-Qur’an. Beliau banyak menghasilkan karya, antaranya: al-Qirthas fi Syarh Raatib al-Imam ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-Atthas, al-Maqshad fi Syawahidil Masyhad, ar-Rasail wal Mursalah wal Wasail al-Mushalah, al-Hadrah ar-Rabbaniyyah wa an-Nadzrah ar-Rahmaniyyah, al-‘Athiyyah al-Haniyyah wa al-Washiyyah al-Mardhiyyah dan lain-lain lagi.

Di dalam kitab beliau al-‘Athiyyah al-Haniyyah wa al-Washiyyah al-Mardhiyyah, beliau menyebut: 


Terjemahannya: Dan jika menuntut engkau daripada seseorang akan sesuatu hajat, lalu ditunaikan bagimu, maka dia orang yang Allah tundukkan untuk (menunaikan hajat) mu. Oleh itu berterimakasihlah kepadanya dan pujilah atasnya dengan kebaikan kerana sesungguhnya orang yang tidak berterimakasih kepada manusia bererti dia tidak berterimakasih kepada Allah. Dan apabila dia tidak menunaikan (yakni tidak memenuhi hajatmu) maka jangan engkau menjadikan dia musuhmu, lalu engkau memakinya, menuturkan keburukannya dan mencela (mencerca)nya, tetapi engkau katakan (pada dirimu): Tidak ditaqdirkan Allah Ta’ala yang demikian itu.

Dan apabila melihat engkau akan manusia di dalam ma’siat; atau dalam ghaflah (kelalaian, yakni lalai dari Allah); atau duduk dalam majlis yang buruk atau ma’siat; atau ketika ditimpa musibah atau dalam cubaan (bahaya) pada agamanya atau badannya (jasadnya) atau dunianya, maka jangan engkau mengingkari ke atasnya, jangan engkau mencerca dengannya kerana engkau tidak tahu apakah akan terjadi pada kesudahan urusannya dan apakah menghabisan umurnya (yakni apakah husnul khatimah atau su’ul khatimah?). Kerana sesungguhnya segala amal itu tergantung pada penghujungnya.

Oleh itu sayogialah engkau berkata ketika itu:
اَلْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي عَافَانِيْ مِمَّا ابْتَلاَهُ بِهِ وَفَضَّلَنِيْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيْلاً
Ertinya: Segala puji bagi Allah yang telah meng’afiatkan aku dari bala yang dia timpakan dengannya dan menganugerahkan aku fadhilat (kelebihan) atas kebanyakkan makhluk yang Dia jadikan.

Kerana perkataan ini (doa di atas) terdapat keamanan dari segala mushibah dan fitnah pada agama, penyembuh dari segala penyakit dan mushibah yang terjadi pada badan dan apapun yang terjadi. Fahamilah! Dan berpegang teguhlah! Dan jadilah engkau orang yang mendengar perkataan (yakni nashihat) lalu mengikuti yang terbaik darinya. Mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat oleh Allah dan mereka itulah ulul albab.

Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Itsnin, 23 Rabi’ ats-Tsani 1432H/28 Mac 2011

Luahan Hati

Seketika Bersama Ulama

Pada ahad lepas (13/3/2011) bertempat di Masjid Shah Alam telah diadakan majlis tafaquh fi al-Din bersama ulama terkenal iaitu Syeikh Nuruddin al-Banjari. Majlis yang bermula lebih kurang jam 8.30 pagi itu dimulai dengan solat sunat tasbih dengan diimamkan sendiri oleh Syeikh Nuruddin sendiri. Solat sunat 4 rekaat satu salam itu berjalan dengan tenang dan lancar. Selepas itu Syeikh Nuruddin mengetuai sesi zikir munajat beramai-ramai. Suasana jadi damai dan tenang dengan masing-masing menumpukan ingatan kepada makna-makna zikir yang diungkapkan. Apabila Syeikh Nuruddin memulakan sesi muhasabah, suasana jadi sayu dan hiba keinsafan. Bahkan Syeikh Nuruddin sendiri sebak dan teresak-esak. Banyak air mata yang terjurai pada saat itu kerana insaf dengan dosa dan kesalahan masing-masing. Selepas itu doa dibacakan oleh Syeikh Nuruddin dan kami menadah tangan agar diberi keampunan, taufiq dan rahmat-Nya.

Kemudian barulah sesi ceramah disampaikan dengan beliau menyentuh beberapa isu penting antaranya makna hadis mursalsal, isu syiah, masalah tawasul dan lain-lain. Akhirnya sesi soal jawab menyaksikan soalan begitu banyak yang diajukan antaranya tentang nur muhammad, masalah majzub, ihsan dalam solat, naluri fitrah dan banyak lagi. Majlis selesai lebih kurang jam 11.30 pagi dan hadirin terpusu-pusu untuk bersalam dengan Syeikh Nuruddin dan tak kurang juga yang memeluk dan mencium tangan ulama tersohor itu. Di satu ruangan masjid terdapat jualan VCD dan buku-buku karangan Syeikh Nuruddin dalam bahasa Melayu dan Arab.

Terasa puas dan bahagia apabila dapat sejenak duduk bersama ulama. Nasihat dan wasiat ulama menjadi bekalan untuk meniti hidup yang penuh pancaroba. Sesungguhnya bagi orang yang ingin menghidupkan hati maka melazimkan diri dengan ulama adalah jalan yang terbaik. Sebaliknya mendekatkan diri dengan golongan artis, penyanyi, pelakon, dan selebriti hanya menggelapkan hati. Betapa masyarakat kita pada hari ini dilalaikan melalui lagu dan muzik saban hari melalui media massa. Rancangan TV kita sekarang sudah lari daripada nilai timur, adat Melayu dan batasan agama. Agenda syirik, tahyul dan khurafat disebarkan setiap hari dalam filem dan drama-rama seram. Semuanya bagaikan tak terkawal lagi.

Sistem ekonomi kita terus menindas golongan miskin. Kita hidup berhutang seumur hidup. Buang bayi sudah jadi rutin muda-mudi terlanjur. Zina, rogol, homoseksual, lesbian semakin merebak. Jenayah bunuh terjadi setiap hari. Kemalangan jalan raya dah jadi musibah umum. Banjir dan ribut semakin menakutkan. Penyakit dan virus datang bermacam-macam. Politik kita semakin gila. Politik tipu, politik hipokrit, politik liwat. Ramai orang agama cari nama, cari pangkat, cari pengaruh dan gila dunia. Cakap agama sekadar di lidah sedangkan hati penuh riyak, ujub dan sum'ah. Masyarakat kita dah rosak. Kita hidup akhir zaman........

Pada zaman penuh fitnah ini marilah berdamping dengan ulama yakni ulama yang mengajar kita mencintai akhirat.....sebelum terlambat dan sebelum nasi menjadi bubur maka berusahalah untuk berdamping dengan ulama.....bukankah seluruh dunia sekarang sedang kucar kacir?....bukalah mata!

Khutbah Jum'at Syeikh Muhammad Fuad: Bahaya Wahabi



Ahad, 27 Mac 2011

Habib Munzir di Masjid Sultan Salahuddin 'Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Sabtu, 26 Mac 2011

Hindarilah Buku Sebegini .....

Dalam sebuah buku bertajuk Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam, Hafiz Firdaus, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2000, cet. 1, hlm. 186, penulis buku tersebut mengatakan seperti yang dipaparkan di bawah:



Penulis mengomentari kata-kata al-Imam asy-Syafie رضي الله عنه sebagai “berkemungkinan besar dia tidak sempat menemui hadits-hadits yang memerintahkan seseorang itu berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung ketika berwudhu` ….”. Selain itu penulis buku tersebut juga mengatakan: “demikianlah dua contoh yang sempat dikemukakan dalam bab ini. Contoh-contoh ini bukanlah bererti kesilapan itu hanya pada Mazhab Shafie, tetapi ianya juga berlaku dalam semua mazhab-mazhab yang empat, pada perkara-perkara yang tertentu dan berlainan. Hanya sahaja dikhususkan kepada perbicaraan Mazhab Shafie kerana kebanyakan rakyat Malaysia cenderong kepada Mazhab Shafie”.

Sanggahan:
Allahu Allah. Hebat penulis tersebut membetulkan ‘kesilapan’ ulama mujtahid. Inilah padahnya kalau berguru dari buku atau dari guru-guru yang tidak berkeahlian.

Tidak sewajarnya penulis buku tersebut mengomentari kata-kata Imam asy-Syafie رضي الله عنه:“berkemungkinan besar dia tidak sempat menemui hadits-hadits yang memerintahkan seseorang itu ….”, kerana terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahwa beliau menemui hadits tersebut sebagaimana paparan di bawah.

1. Sebagaimana yang sedia maklum bahwasanya, al-Imam asy-Syafie رضي الله عنه, pada ketika berumur kuranglebih 10 tahun sudah menghafal kitab al-Muwattho yang disusun oleh Imam Malik bin Anas رضي الله عنه. Hal ini disebut oleh para ulama di dalam menulis biografi mengenai Imam Syafie. Al-Fagir membawa petikan yang diambil dari kitab al-Madkhal ila Dirasah al-Mazaahib al-Fiqhiyyah tulisan asy-Syeikh ad-Duktur ‘Ali Jum’ah Muhammad, Mufti Mesir.


Hadits mengenai madhmadhah dan istinsyaaq terdapat di dalam kitab al-Muwattho’, sebagaimana paparan dibawah:


2. al-Imam asy-Syafie رضي الله عنه meriwayatkan hadits  beberapa hadits mengenai madhmadhah dan istinsyaaq di dalam Musnad beliau, antaranya:



Maka tidak masuk akal kalau dikatakan al-Imam asy-Syafie رضي الله عنه tidak menjumpai hadits tersebut. Jelasnya, penulis buku tersebut tidak mengetahui biografi Imam asy-Syafie serta tidak membaca kitab-kitab beliau dengan teliti.


Adapun kata-kata al-Imam asy-Syafie رضي الله عنه itu ini hanya mengisyaratkan bicara tentang masalah istinbat dan hukum, dan tiada pengakuan atau isyarat bahawa beliau tidak menemui hadits berkenaan (madhmadhah) dan menghirup air melalui hidung (istinshaq). Ini menunjukkan bahwa penulis buku tersebut gagal memahami apa yang dimaksudkan oleh al-Imam asy-Syafie رضي الله عنه

Hukum madhmadah dan istinsyaaq ini telahpun dibahaskan oleh para fuqaha. Al-Fagir bawakan disini perbahasan yang disebut di dalam kitab Fekah Islam Mengikut Kajian Ulama` Yang Terkumpul Di Dalam Perselisihan Mazhab-mazhab oleh Uztaz ‘Ariffin Awang, Penggal ke-2, cetakan pertama, terbitan Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor.


Transliterasinya:
Bahasan 4
Hukum Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung (al-Isytinsyaaq) ketika mengambil air sembahyang atau berwudhu’.
Pertanyaan: Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang atau berwudhu` itu sunat ataupun wajib?
Jawapan: Disana ada beberapa pendapat dan perselisihan ulama padanya, di antara pendapat-pendapat itu ialah:-
  1. Berkumur-kumur dan menyedut air kehidung itu sunat bukannya wajib
  2. Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung itu wajib dan bukannya sunat
  3. Menyedut air kehidung itu wajib bukannya sunat tetapi berkumur-kumur itu tidak wajib
Pecahan pendapat:

Berkumur-kumur dan menyedut air kehidung itu sunat bukannya wajib
  • Hanafi berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu sunat bukannya wajib (tetapi keduanya itu wajib pula pada mandi bagi menghilangkan hadats besar)
  • Maliki berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu sunat bukannya wajib.
  • Syafie berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu sunat bukannya wajib.

Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung itu wajib dan bukannya sunat
  • Hanbali berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu wajib bukannya sunat.
  • Ibn Abi Laila berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu wajib bukannya sunat.
  • Hamad berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu wajib bukannya sunat.
  • Ishaq berpendapat berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung ketika mengambil air sembahyang itu wajib bukannya sunat.

Menyedut air kehidung itu wajib bukannya sunat tetapi berkumur-kumur itu tidak wajib
  • Daud Dzahiri berpendapat menyedut air ke hidung itu wajib bukannya sunat, tetapi berkumur-kumur tidaklah wajib
  • Abu Tsur berpendapat menyedut air ke hidung itu wajib bukannya sunat, tetapi berkumur-kumur tidaklah wajib.
  • Abu ‘Ubaidah berpendapat menyedut air ke hidung itu wajib bukannya sunat, tetapi berkumur-kumur tidaklah wajib.

Untuk tahu lebih lanjut perbahasannya maka silalah merujuk kitab berkenaan. Juga boleh rujuk kitab Bahrul Madhi oleh Syeikh Idris al-Marbawi.



Cukuplah paparan di atas untuk menilai buku Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam dan penulisnya. Tak perlu kita komen panjang-panjang. Oleh itu, hindarilah buku-buku dan penulis yang tidak bertanggungjawab sebegini. Mereka ghairah menyebarkan fahaman mereka …. Faham-faham sendirilah nooo! Kesimpulannya kalau nak beli buku tu, perhatikan siapa penulisnya? apakah fahamannya? Apakah penulisnya berkeahlian di dalam bidang yang dibahaskan? Bukan apa  …… membaca tulisan mereka bukan mencerahkan tapi mengelirukan! Sekian. Untuk dapatkan sanggahan yang seterusnya sila ke blog Ustaz Ikhram.

Haul Para Habaib

Qubah al-Imam al-Habib Umar bin 'Abdurrahman al-'Atthas رضي الله عنه. Shohib Ratib al-'Atthas. Wafat pada 23 Rabi' ats-Tsani 1072H (Haul ke 360)




Qubah al-Imam al-Habib 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi رضي الله عنه. Shohib maulid Simtud Durar. Wafat pada 20 Rabi' ats-Tsani 1333H. (Haul ke 99)

Al-Imam al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Seggaf (as-Saqqaf) رضي الله عنه. Wafat pada 19 Rabi' ats-Tsani 1431H (Haul Pertama)

AL-FAATIHAH ....

Khamis, 24 Mac 2011

Doa Secara Berjema’ah Bid'ah?


Sudah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia ini, setelah selesai mereka akan berzikir dan berdoa bersama-sama. Yakni imam membaca doa manakala ma’mum mengaminkannya. Namun demikian terdapat juga segelintir yang terus angkat kaki meninggalkan saf tanpa terlebih dahulu berdhikir dan berdoa bersama-sama. Berkemungkinan mereka ada hajat atau keperluan yang perlu diselesaikan segera. Wallahu a’lam. Tetapi ada yang berbuat sedemikian kerana pemikiran mereka telah dijangkiti virus ‘Wahabi’ yang mengatakan bahwa perbuatan tersebut adalah BID’AH, dan pada mereka semua bid’ah adalah menyesatkan dan setiap yang menyesatkan masuk neraka. Dan yang masalahnya pula ‘virus’ tersebut cuba disebarkan kepada orang lain pula. Allahu Allah ….. Apakah benarkah perbuatan berdoa secara berjemaah itu bid’ah? Jom kita tengok apa apa kata ulama.

Al-Imam al-Muhaddits Abu al-Hasanaat Muhammad ‘Abdul Hay al-Laknawi al-Hindi رحمه الله  (wafat 1304H) menyebut di dalam kitab beliau berjudul Sibaahah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Dhikir:
Terjemahannya: Dan adapun bolehnya berkumpul atau berjemaah untuk berdoa (berdoa secara berjemaah), maka ianya tsabit dari hadits yang diriwayatkan oleh al-Hakim, dan beliau berkata: (hadits ini) berdasarkan persyaratan Imam Muslim, secara marfu’: Tidak berkumpul satu kumpulan, lalu berdoa sebahagian mereka, dan mengaminkan sebahagian lainnya, melainkan diperkenankan Allah akan doa mereka.

Al-‘Allamah al-Muhaddits asy-Syeikh Ahmad bin ash-Shiddiq al-Ghumari al-Maghribi رحمه الله (wafat 1380H) pula menyebut di dalam risalahnya berjudul al-Minah al- Mathlubah fi Istijaab Raf al-Yadain fi ad-Du’a ba’d al-Sholaat al-Maktuubah:

Terjemahannya: Al-Hakim telah mengeluarkan di dalam al-Mustadrak, dan beliau berkata: (Hadits ini) shahih atas persyaratan Imam Muslim, daripada hadits Sayyidina Habib ibn Maslamah رضي الله عنه – dan adalah beliau seorang yang dikabulkan doanya –  beliau telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Tidak berkumpul satu kumpulan kaum Muslimin, lalu berdoa sebahagian mereka, dan mengaminkan sebahagian lainnya, melainkan Allah Ta’ala memperkenankan akan doa mereka.

Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah رحمه الله dalam komentarnya terhadap hadits tersebut mengatakan: Hadits ini juga diriwayatkan oleh ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabiir (4/26, hadits no 3536 (Habib ibn Maslamah al-Fihri رضي الله عنه)). Dan al-Haitsami mengatakan di dalam Majma’ az-Zawaid (10/170): Perawi hadits ini adalah perawi-perawi yang shahih melainkan Ibn Luhai’ah, beliau adalah hasanul hadits (yakni haditsnya hasan dengan syarat dia tidak bersendirian dalam periwayatan dan riwayatnya tidak menyalahi riwayat para perawi lain yang lebih terpercaya (thiqah) berbandingnya). Dan perawi hadits yang meriwayatkan dari Ibnu Luhai’ah dalam hadits ini adalah Abdullah bin Yazid Abu Abdurrahman al-Muqri, dimana beliau adalah seorang ubaadalah yang periwayatannya dari Ibnu Luhai’ah terhitung paling adil dan kuat.

Hadits ini juga disenut oleh Imam asy-Syaukani رحمه الله di dalam kitab beliau Tuhfah az-Zakirin:
Dikeluarkan juga oleh al-Hakim, dan beliau berkata isnadnya shahih.  Bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Tidak berkumpul satu kumpulan, lalu berdoa sebahagian mereka, dan mengaminkan sebahagian yang lainnya, melainkan diperkenankan Allah doa mereka.

Hadits di atas menunjukkan bahwa dibolehkan seseorang berdoa manakala yang lain mengaminkannya, tidak kira samada selepas sholat atau di dalam mana-mana majlis pun.

Di dalam sebuah hadits lain yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: اَلدَّاعِيْ وَالْمُؤَمِّنُ فِي اْلأَجْرِ شَرِيْكَانِ. رواه الديلمي في مسند الفردوس بسند ضعيف.

Daripada Sayyidina Ibn Abbas رضي الله عنهما, beliau telah berkata: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan sama-sama memperoleh pahala.” (Hadits riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang dhaif).

Walaubagaimanapun, menurut al-Hafidz Ahmad bin ash-Shiddiq al-Ghumari رحمه الله dalam kitabnya al-Mudawi li-’Ilal al-Jami’ al-Shaghir wa Syarhi al-Munawi (4/43), kedhaifan hadits al-Dailami di atas dapat diperkuat dengan ayat al-Qur’an. Allah Ta’ala berfirman tentang kisah Nabi Musa عليه السلام:
قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا. (يونس : ٨٩)
Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya telah diperkenankan doa kamu berdua, oleh kerana itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus.” (QS. Yunus : 89).

Dalam ayat di atas, al-Qur’an menegaskan tentang dikabulkannya doa Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Padahal yang berdoa sebenarnya Nabi Musa عليه السلام, sedangkan Nabi Harun عليه السلام hanya mengucapkan amin, sebagaimana diterangkan oleh para mufassirin.
Antaranya al-Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya:

Terjemahannya: Dan kerana itulah telah memperkenankan Allah Ta’ala bagi Nabi Musa عليه السلام doa terhadap mereka (fir’aun dan kaumnya), manakala diaminkan oleh saudaranya Harun عليه السلام. Maka berfirman Allah Ta’ala (maksudnya): Dia berfiman: Sesungguhnya telah Aku memperkenankan doa kamu berdua. Berkata Abu ‘Aliyyah, Abu Sholeh, Ikrimah, Muhammad bin Ka’ab al-Quradzi dan ar-Rabi’ bin Anas: Telah berdoa Nabi Musa عليه السلام sedangkan Nabi Harun عليه السلام mengaminkan.

Al-Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, menyebut: Telah berkata Abu ‘Aliyah:
دعاء موسى وامّن هارون
Terjemahannya: Nabi Musa عليه السلام  berdoa sementara Nabi Harun عليه السلام mengaminkan. (al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jilid 8, halaman 346)

Di dalam kitab al-Adab al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari, ada hadits yang menceritakan bahawa Sayyiduna Jibril عليه السلام berdoa manakala Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengaminkan doa tersebut.


Terjemahannya: Hadits 644: Daripada Sayyidina Jaabir bin ‘Abdullah رضي الله عنه bahwa suatu hari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menaiki minbar. Ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menaiki anak-tangga pertama, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan: Amin. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menaiki akan-tangga kedua lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan: Amin. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menaiki anak-tangga ketiga, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan: Amin. Maka para shahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Kami mendengar engkau mengucapkan Amin, 3 kali. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم lalu bersabda: Ketika aku menaiki anak-tangga pertama, datang kepada Jibril lalu berkata: Celakalah seorang hamba yang menemui bulan Ramadhan lalu dia keluar darinya sedangkan dia tidak diampuni, lalu aku menjawab: Amin. Kemudian Jibril berkata lagi: Celakalah seorang hamba yang ada kedua ibubapanya atau salah seorang daripada keduanya (yang masih hidup) tetapi tidak dapat memasukkannya kedalam syurga. Maka aku berkata: Amin. Kemudian Jibril berkata lagi: Celakalah seorang hamba yang apabila disebutkan namamu disisinya tetapi  dia tidak mengucapkan shalawat keatasmu. Maka kau berkata: Amin.

Ath-Thabarani meriwayatkan di dalam kitab beliau Mu’jam al-Ausath daripada Sayyidina Ibn ‘Umar, beliau berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاةَ الْفَجْرِ ، ثُمَّ انْفَتَلَ ، فَأَقْبَلَ عَلَى الْقَوْمِ ، فَقَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا وَصَاعِنَا ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا ويَمَنِنَا " ، فَقَالَ رَجُلٌ : وَالْعِرَاقُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَسَكَتَ ، ثُمَّ قَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا وَصَاعِنَا.

Terjemahannya: Telah bersholat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم akan sholat Shubuh. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berpaling menghadap kepada kaumnya, lalu berdoa: Ya Allah, berkatilah kami pada kota kami, berkatilah kami pada cupak dan gantang kami.

Al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad Yusuf al-Banuri berkata di dalam kitabnya Ma’arif as-Sunan (3/123): “Maka ini (hadits di atas) dan hadits seumpamanya pada bab ini adalah memadai sebagai hujjah (dalil) bagi perkara yang dibuat secara beradat oleh manusia pada sekelian negeri, iaitu berdoa secara berjemaah selepas sholat. Kerana inilah juga telah menyebut fuqaha kami (yakni ahli fiqih bermazhab Hanafi) ….. Dan berkata Imam an-Nawawi dalam Syarah al-Muhazzab: Berdoa disunatkan bagi imam, makmum dan mereka yang bersholat seorang diri mengiringi semua sholat dengan ketiadaan khilaf ulama`. Dan katanya lagi: Disunatkan berhadap imam ke arah makmum dan berdoa.”

Dalam kitab Tsalatsu Rasaail fi Istihbaab ad-Du’a,  halaman 145, dinaqalkan kalam asy-Syeikh al-‘Allamah al-Muhaddits ‘Abdurrahman al-Mubaarakpuri al-Hindi dari kitab beliau Tuhfah al-Ahwadzi:


Terjemahannya: Faedah: Ketahuilah, bahwa ulama ahli hadits telah ikhtilaf (berselisih pendapat) pada zaman ini dalam masalah imam apabila telah selesai daripada sholat yang diwajibkan, apakah boleh baginya mengangkat tangan berdoa dan diaminkan oleh orang dibelakangnya, yakni makmum dengan mengangkat tangan mereka?

Maka berkata sebahagian ulama dengan membolehkannya dan sebahagian lagi tidak membolehkannya kerana menyangka mereka itu ianya adalah perbuatan bid’ah (dholalah). Berkata mereka itu (yang tidak membolehkannya) bahwa yang demikian itu tidak tsabit daripada (hadits) Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan sanad yang shahih. Bahkan ianya adalah perkara baharu. Dan setiap perkara baharu adalah bid’ah (dholalah). Adapun pun yang mengatakan dengan bolehnya, mereka berdalilkan dengan 5 hadits ……

Nah, inikan permasalahan yang diperselisihkan (ikhtilaf)? Maka berlapang dadalah! Bagi kalian yang mengatakan perkara ini bid’ah, tidak mengapalah lah kerana itu pendapat kalian. Namun jangan disalahkan kami yang mengamalkannya kerana kami juga punyai dalil. Berlapang dadalah dalam hal-hal yang sebegini. Kesatuan umat lebih utama untuk diberikan perhatian.

Akhirkata, berdasarkan paparan ringkas di atas, maka dapatlah disimpulkan bahwa membaca doa bersama atau berjema’ah, di mana salah seorang di antara jema’ah memimpin doa, manakala yang lain mengucapkan amin, baik hal tersebut didahului dengan dhikir bersama ataupun tidak,  selepas sholat ataupun tidak, adalah dibolehkan kerana perbuatan tersebut mempunyai dalil berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Maka amalkanlah tanpa ragu-ragu dan was-was kerana ianya bukanlah bid’ah di sisi kita sebagaimana yang dikatakan oleh golongan mu’taridhin (orang-orang yang menentang ‘amalan tersebut a.k.a Wahabi).

Sekian dari,
Al-Fagir ilaLlah Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Lepas dzohor, Khamis, 19 Rabi’ ats-Tsani 1432

Related Posts with Thumbnails