Rabu, 22 Julai 2009

Haul Habib Salim bin Hafidz

Sebentar tadi ambo terima sms dari seorang teman di Tarim, Hadramaut. Beliau memberitahu bahwa hari ini (malam ini) di di Dar al-Mushthafa, Tarim, diadakan majlis haul al-Habib Salim bin Hafidz, salah seorang daripada anak-cucu al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim. Beliau, Habib Salim, adalah merupakan datuk kepada Guru Mulia al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Maka untuk itu, sukalah ambo bawakan sedikit manaqib al-Habib Salim bin Hafidz sebagaimana yang telah ambo paparkan di CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 4.


Beliau adalah al-Habib Salim bin Hafidz bin ‘Abdullah bin Abi Bakar bin Aydrus bin Umar bin Aydrus bin Umar bin Abi Bakar bin Aydrus bin al-Hussin ibn al-Syaikh Abi Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far al-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

Beliau lahir di Bondowoso, Pulau Jawa pada 25 Syawwal 1288H bersamaan 6 Januari 1872M. Kemudian beliau dibawa ayahandanya balik ke Kota Misythah, Hadhramaut pada 15 Shafar 1297 (27 Januari 1880M). Ketika itu beliau berusia kira-kira 8 tahun. Menerima didikan awal daripada ayahnya dan beberapa ulama di Kota Misythah antaranya dengan Mu'allim 'Abud bin Sa'id BaSyu'aib dari kampung al-Suwairi dan Mu'allim 'Abdullah bin Hasan BaSyu'aib.

Pada 1304H, Habib Salim berangkat ke Kota Tarim al-Ghanna untuk menuntut ilmu. Di kota yang berkat ini, beliau menimba pengetahuan agama daripada para ulama di sana antaranya Mu'allim 'Abdullah bin Ahmad BaGharib, Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur dan lain-lain ulama. Beliau mengerjakan haji pada tahun 1320H (1903M). Dan kesempatan ini juga beliau gunakan untuk bertemu dengan sejumlah ulama dan orang-orang sholeh untuk mengambil ilmu dan ijazah daripada mereka. Selain itu, beliau turut mengadakan perjalanan sama ada untuk mendalami ilmunya juga untuk menyebarkan ilmu dan dakwah ke Seiwun, Dau'an (1349H), al-Haramain (1355H, & 1357H), Zanzibar (1358H), Mombasa(1358H), India (1357H) dan tidak ketinggalan tanah kelahirannya, Pulau Jawa (1356H & 1357H).



Di negeri-negeri yang dikunjunginya, beliau tidak melepaskan peluang untuk mengadakan pertemuan dan menjalinkan hubungan dengan para ulama dan awliya' yang menetap di sana. Hasil pertemuan dan hubungan ini, baik berupa wasiat, nasihat dan ijazah beliau kumpulkan dalam satu catatan yang dinamakannya "Minhah al-Ilah fil ittishal bi ba'dhi awliya", yang mana didalamnya tercatat sejumlah 149 orang ulama yang beliau bertemu dan mengambil pelbagai sanad dari mereka. Didalam kitab tersebut juga beliau bawakan sanad kitab Shohih al-Bukhari dan Shohih Muslim melalui jalur Sadah ‘Alawiyyah. Beliau tidak banyak meninggalkan karya ilmiyyah, hanya lebih kurang 7 buah sahaja iaitu:-
  • شجرة آل الشيخ أبي بكر
  • منحة الإله في الاتصال ببعض أولياء
  • الرحلة الهندية
  • مكاتبات الحبيب عبيد الله بن محسن السقاف ووصاياه
  • فتاوى شيخ العلامة أبي بكر بن أحمد الخطيب التريمي
  • مختصر كتاب كشف الحجاب والران
  • مكاتبات الحبيب مصطفى المحضار


Habib Salim terkenal sebagai seorang ulama yang bersifat khumul yang tidak suka namanya dikenali orang. Apa yang penting baginya ialah keredhaan Allah Ta’ala, dan bukannya penghargaan manusia. Di akhir usianya, sifat khumul ini semakin terserlah bila beliau sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan dirinya dalam majlis-majlis umum dengan duduk di shaf yang paling belakang. Beginilah sikap beliau sehingga beliau dipanggil pulang ke rahmatullah. Beliau mula mengalami sakit pada malam Sabtu 22 Rajab 1378 dan wafat malam Sabtu 29hb Rajab tahun 1378H di Kota Misythoh dan dimakamkan disana. Walaupun beliau tidak meninggalkan karya ilmiyyah yang banyak, tetapi perjuangannya diteruskan zuriatnya antaranya oleh anakandanya Habib Muhammad bin Salim dan kini teruskan pula oleh cucu-cucunya Habib 'Umar bin Muhammad dan Habib 'Ali Masyhur bin Muhammad [ketua Majlis Fatwa Tarim]. Moga rahmat Allah sentiasa dicucuri ke atas roh beliau dan ditempatkan beliau bersama nendanya Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. ... al-Fatihah.

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah, ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian.



0 komen:

Related Posts with Thumbnails