Rabu, 15 Julai 2009

Yaqazah

Lepas lohoq kemarin ambo bertemu dengan seorang rakan yang juga guru kepada ambo. Beliau meminta ambo bawakan beberapa buah kitab yang membicarakan hal melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dalam keadaan jaga atau yaqazah. Menurut beliau, beliau telah disesatkan, disyirikkan oleh seorang ustaz (berjenama W) kerana menerima dan mengutarakan pendapat yang mengharuskan pertemuan dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah didalam majlis ta'limnya. Allahu Allah.

Maka ambo bawakanlah beberapa buah kitab iaitu al-Hawi li Fatawi oleh Imam as-Sayuthi, Sa’adah ad-Daraini oleh Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, Bahjatun Nufus Syarh Mukhtasor Ibn Abi Jamrah oleh Syaikh Abu Muhammad Abdullah bin Sa’ad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi, Khushushiyaat ar-Rasul oleh al-Imam al-Hafidz Ahmad bin Muhammad al-Qusthollani dan sebuah buku bertajuk Masalah Berjumpa Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم Ketika Jaga Setelah Wafatnya oleh Husain Hasan Tomai, diterjemahkan oleh Ustaz Anuar Hj. Abdul Rahman. Ambo tidak sempat berbicara lama dengan saudara ambo tersebut dek kerana ramai tetamu yang ingin berurusan dengan beliau.

Balik rumah, datang dalam benak ambo rasa ingin berkongsi dengan pengunjung al-Fanshuri mengenai persoalan tersebut. Maka terhasillah entri ini. Terpulanglah kepada pembaca samada untuk menerimanya ataupun menolaknya. Persoalan ini telah dibahaskan oleh para ulama dengan panjang lebar. Kalau nak terima, alhamdulillah, dan kalau tidak terima pun berlapang dadalah … jangan disesatkan atau dikafirkan saudara kita, kerana andaikata tuduhan tersebut meleset, maka ianya itu kembali kepada yang menuduh. Begitulah maksud dari sepotong hadits. Maka berhati-hatilah. Dan terlebih dahulu ambo mohon maaf mau kalau terdapat salah silap dalam menukilkan pendapat ulama.

Untuk menjawab persoalan ini, ambo petik daripada kitab al-Ajwibah al-Ghaliyah fi ‘Aqiidah al-Firqah an-Naajiah oleh al-‘Allamah al-Faqih al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith حفظه الله (kitab ini telah selesai ambo dan rakan-rakan terjemahkan, juga disertakan notakaki tambahan – dalam proses pembetulan, semakan dsb ….insyaAllah akan diterbitkan nanti ….promisi1 promosi! Hehehe!)

KEMUNGKINAN BERTEMU ATAU MELIHAT RASULULLAH DALAM KEADAAN JAGA (SEDAR)

Pertanyaan: Apakah mungkin seseorang itu bertemu dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم (setelah kewafatan Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم) dalam keadaan jaga (sedar) ?

Jawaban: Bertemu Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara sedar atau dalam keadaan jaga itu sangat mungkin sekali [1], ulama telah menyebutkan diantara mereka yang pernah bertemu Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم diwaktu tidur kemudian juga bertemu dalam keadaan jaga, dan mereka bertanya tentang sesuatu maslahat dan pendapat mereka. Maka hal tersebut memang benar-benar ada dengan dalil-dalil dari sekian banyak cerita para wali yang pernah bertemu dengan Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, hanya orang yang hatinya telah dicap dengan kebencian yang tidak mahu menerima realiti tersebut.

Pertanyaan: Apa dalil kemungkinan tersebut?

Jawaban: Dalil atas yang demikan itu, hadits yang masyhur tentang melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, adalah bahwa Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bersabda:

من رآني في المنام فسيرني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي

Ertinya: “Barangsiapa yang melihat aku didalam mimpinya, maka dia akan bertemu aku didalam keadaan jaga, dan syaithan tidak boleh menyerupaiku” [2]

Para ulama mengatakan: Makna hadits ini adalah suatu khabar gembira [3], bahawa seseorang dari umatnya akan beruntung jika dapat bertemu Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم didalam mimpinya. Dan tidak boleh tidak, insyaAllah bahwa dia akan dapat bertemu Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara jaga, walaupun perkara itu akan terjadi seketika sebelum maut menjemput. Dan tidak benar hadits ini ditafsirkan bahawa melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم diakhirat atau di alam barzakh, kerana bahawasanya semua umat akan melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم disana. Maka hadits ini adalah dalil yang terkuat, untuk mempertegas pendapat ini, sebab dia mencakup bagi semua orang yang memimpikannya, baik itu di timur atau pun di barat.

Imam Suyuti رحمه الله تعالى berkata: Hasil dari sekian banyak hadits menyimpulkan bahawa Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم itu masih hidup dengan jasad dan ruh Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, dan dapat ke sana sini sekehendaknya ke seluruh pelusuk bumi dan alam malakut. Keadaan Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم sama persis seperti keadaannya semasa hayat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم tidak dapat dilihat oleh mata kasar, sebagaimana para malaikat. Apabila Allah Ta’ala menghendaki mengangkat hijab kepada orang yang Dia muliakan untuk melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, maka seseorang itu akan dapat melihatnya. [4] [5]


Notakaki:

[1] - Di dalam fatwa al-Ustaz al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad al-Khalili, ketika beliau menjawab soalan yang diajukan kepadanya mengenai apakah harus melihat al-Musthafa صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah ataupun secara mimpi, beliau menjawab:

إتفق الحفاظ رحمهم الله أن رؤيته صلى الله عليه وآله وسلم يقطة ومناما جائزة ولكن اختلفوا هل يرى الرأى ذاته الشريف حقيقة أو يرى مثالا يحكيها فذهب إلى الأول جماعة وذهب إلى الثانى الغزالي واليافعى وآخرون

Ertinya: Telah ittifaq (sepakat) para huffaz رحمهم الله bahwa melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah atau mimpi adalah HARUS. Akan tetapi yang diperselisihkan adalah apakah yang dilihat itu hakikat zat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم atau mitsalnya (rohaniyah Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم). Segolongan bersetuju dengan pendapat yang pertama (melihat hakikat zat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم) dan segolongan bersetuju dengan pendapat yang kedua (melihat mitsal Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم), (yang bersetuju dengan pendapat kedua) ialah Imamal-Ghazali, al-Yafie dan lainnya. – penterjemah (rujukan: Sa’adatut Daaraini fis Shalati ‘ala Sayyidil al-Kaunain صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم oleh al-‘Allamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani.

Begitu juga fatwa oleh Imam Ibn Hajar al-Haithami di dalam kitab Fatawa al-Haditsiyah tatkala ditanyakan kepada beliau apakah mungkin berhimpun dengan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah dan bertalaqqi dengan Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه sekarang? Maka beliau jawab: Ya, berkemugkinan yang demikian itu. Dan telah nyata bahwa yang demikian itu adalah daripada karamah para auliya seperti al-Ghazali, al-Barizi, at-Taj as-Subki dan ‘Afif al-Yafie daripada ulama Syafiiyyah, al-Qurthubi dan Ibn Abi Jamrah daripada ulama Malikiyah – penterjemah (Fatawa al-Haditsiyaah; Syaikhul Islam Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haithami al-Makki; 391)


Didalam kitab yang sama, ditanya kepada beliau نفع الله به: Apakah mungkin melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dalam keadaan jaga (yaqazah)?

Maka dijawab dengan katannya: Mengingkari sebahagian daripada ulama yang demikan itu dan mengHARUSkannya sebahagian yang lain, dan pendapat inilah yang benar. Telah mengkhabarkan dengan yang demikian itu (perihal melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم didalam keadaan jaga @ yaqazah), orang yang tidak pernah dituduh (ditohmah) melakukan kesalahan daripada golongan orang-orang sholih. Bahkan mereka mengambil dalil daripada hadits riwayat Imam al-Bukhari (yang bermaksud): Barangsiapa yang melihat aku didalam mimpinya, maka dia akan bertemu aku didalam keadaan jaga. – Yakni dengan mata kepalanya dan ada pendapat mengatakan dengan matahatinya.

Dan penafsiran ‘bertemu secara jaga’ dimaksudkan dengan pertemuan pada hari kiamat, maka yang demikian itu jauh dari makna lafaz yaqazah tersebut, kerana tiada faedah jika mengkhususkan dengan pertemuan padahari qiamat kerana bahwasanya seluruh umat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم akan melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم pada hari qiamat, samada orang yang pernah melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di dalam mimpi ataupun yang tidak pernah melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di dalam mimpi. – penterjemah (Fatawa al-Haditsiyaah; Syaikhul Islam Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haithami al-Makki; 392)

Al-‘Allamah al-Imam an-Nafrawi kitabnya al-Fawakih ad-Dawwani menyebut: “Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja? Sebahagian ulama’ berpegang dengan pendapat pertama (di mana seseorang yang bertemu dengan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah melihat tubuh Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara hakiki). Sebahagian ulama’ pula berpegang dengan pendapat yang kedua (iaitu: melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah dalam bentuk imej, gambaran seperti pantulan di cermin dan sebagainya, Wallahu a’lam), di antara mereka (yang berpegang dengan pendapat kedua adalah): Imam al-Ghazali, Imam al-Qarafi, Imam al-Yafi’e dan sebagainya. – penterjemah (al-Fawakih ad-Dawwani; Al-‘Allamah al-Imam an-Nafrawi; 2/360)

Syaikh Ibn al-Hajj di dalam kitab al-Madkhal berkata: Sebahagian daripada mereka (ulama) mendakwa melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit untuk diperbahaskan (sukar untuk diperbahaskan). Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walaubagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah Ta’ala zahir dan batin mereka. – penterjemah (al-Madkhal; Ibn al-Hajj al-Maliki; 3/194)


[2] - Hadits riwayat al-Bukhari (hadits nombor 110), Muslim (hadits nombor 2266) daripada Abu Hurairah رضي الله عنه

Catatan tambahan dari penterjemah: Mengenai hadits فسيراني في اليقظة - ertinya: Maka ia akan melihat aku di dalam keadaan jaga. Para ulama berselisih pendapat mengenainya, antara pendapat-pendapat tersebut:

i. Ada yang mengatakan maknanya ialah, akan melihat aku di hari qiamat nanti. Pendapat ini dibangkang. Bahwasanya tiada faedah mengkhususkan hadits tersebut kerana bahwasanya semua umat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم akan melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم pada hari qiamat, samada mereka bermimpi Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم atau tidak semasa di dunia

ii. Ada yang berpendapat maksudnya ialah: Mereka yang beriman dengan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم semasa hayatnya tetapi tidak pernah melihat dan berjumpa dengan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم kerana ketika itu dia duduk jauh. Maka untuk mengembirakannya dia pasti melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dalam jaganya sebelum matinya (yakni bertemu Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di kota Madinah atau sebagainya)

iii. Menurut kaum (ahli) shufi, mereka mengatakan hadits tersebut dimaknakan mengikut dzahirnya, iaitu, sesiapa yang bermimpikan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم maka sudah pasti dia akan melihat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dalam keadaan jaga, dengan mata kepalanya (بعين رأسه)

iv. Ada yang mengatakan iaitu dia melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan matahatinya (بعين في قلبه)

Pendapat (iii) dan (iv) telah diterangkan oleh al-Qadhi Abu Bakar Ibnu al-Arabi. (rujukan: al-Hawi lil Fatawi oleh Imam as-Sayuthi dan Sa’adatut Daaraini fis Shalati ‘ala Sayyidil al-Kaunain صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم oleh al-‘Allamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani)

Manakala di dalam kitab Syarah Shahih Muslim oleh Imam Nawawi didalam mengutarakan 3 pendapat (daripada banyak pendapat-pendapat lain) bagi menjelaskan maksud فسيراني في اليقظة - ertinya: Maka ia akan melihat aku di dalam keadaan jaga, beliau mengatakan ada beberapa pendapat:

i. Bagi mereka yang sezaman dengan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم yang tidak berpeluang berhijrah tetapi bermimpi Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, akan dapat berhijrah dan berjumpa Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.

ii. Dia akan melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di akhirat sebagai membenarkan mimpinya itu. Kerana Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dilihat oleh umatnya di akhirat.

iii. Melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara khusus di akhirat secara dekat serta mendapat syafaat.

Persoalan timbul, apakah mereka yang bertemu Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara jaga itu boleh dikatakan atau tergolong sebagai shahabat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم? Maka jawabnya adalah TIDAK kerana melihat tersebut adalah di alam malakut, ia tidak boleh menjadi sebab yang seseorang itu menjadi shahabat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. – al-Hawi lil Fatawi oleh Imam as-Sayuthi.

Persoalan melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم telah dibincang panjang lebar oleh para ulama, maka untuk mengetahuinya secara terperinci sila rujuk kitab, antaranya Sa’adatut Daaraini fis Shalati ‘ala Sayyidil al-Kaunain صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم oleh al-‘Allamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, al-Hawi lil Fatawa (di dalam risalah berjudul Tanwirul Halak fi Imkani Ru’yatin Nabiy wal Malak) oleh Imam as-Sayuthi. Penterjemah hanya bawakan secara ringkas untuk sebagai catatan tambahan ke atas terjemahan kitab ini.

[3] - Di dalam menerangkan hadits ini, al-‘Allamah asy-Syaikh Yusuf an-Nabhani menyebutkan di dalam kitabnya Sa’adatut Daaraini: Hadits ini menberi khabar gembira kepada umat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, yang berpeluang bermimpi Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم yang pastinya akan melihatnya pula dalam keadaan jaga walaupun ketika hampir saat kematian. InsyaAllah. Bahwa majoriti orang-orang sholeh dari kalangan salaf dan khalaf, mereka pernah bertemu Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم secara jaga …. – penterjemah.

[4] - Lihat risalah yang ditulis oleh Imam as-Sayuthi berjudul ‘Tanwirul Halak fi Imkani Ru’yatin Nabiy wal Malak.

[5] - Diantara ulama-ulama yang di muliakan oleh Allah Ta’ala, pernah beryaqazah dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم adalah: Imam as-Sayuthi (beliau beryaqazah sebanyak 75 kali); Imam Abu Muhammad Abdullah bin Sa’ad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi; Syaikh Abu al-Hasan asy-Syadhuli; Syaikh Abu al-‘Abbas al-Mursi; Syaikh ‘Abdurrahim al-Qunawi; Syaikh Ibrahim ad-Dasuqi; Syaikh Ibrahim al-Matbuli, Syaikh al-Barawi (guru kepada Syaikh Muhamad Syinwani; al-Barizi, Imam al-Ghazali, Imam al-Qurthubi, Imam as-Subki, Imam Yafie dan ramai lagi ….



Persoalan melihat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم telah dibincang panjang lebar oleh para ulama, maka untuk mengetahuinya secara terperinci sila rujuk kitab, antaranya Sa’adatut Daaraini fis Shalati ‘ala Sayyidil al-Kaunain صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم oleh al-‘Allamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, al-Hawi lil Fatawi (di dalam risalah berjudul Tanwirul Halak fi Imkani Ru’yatin Nabiy wal Malak) oleh Imam as-Sayuthi dan Khushushiyaat ar-Rasul oleh al-Imam al-Hafidz ahmad bin Muhammad al-Qistholani dan lain-lain. Penterjemah hanya bawakan secara ringkas sebagai catatan tambahan ke atas terjemahan kitab ini

Sekadar itulah nukilan ambo dari pendapat-pendapat ulama kita. Berlapang dada lah di dalam persoalan khilafiyah ini. Janganlah disakiti saudara-saudara kita dengan tuduhan-tuduhan yang tidak sewajarnya. Jangan terlalu ringan menuduh sesat, syirik, kafir dan sebagainya kepada mereka yang tidak sehaluan dengan pemikiran kita di dalam sesuatu perkara, terutamanya di dalam perkara khilafiyah, sebelum kita terlebih dahulu meneliti dengan halus perbahasan para ulama tentang perkara tersebut.



Sekian dari,
~abu zahrah~

0 komen:

Related Posts with Thumbnails