Khamis, 16 Oktober 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 12

Setelah selesai ziarah kami di Zanbal, maka kami bergerak pulak ke 'Inaat untuk menziarahi makam al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه. Perjalanannya agak jauh. Sepanjang jalan kelihatan kaum hawa mengembala kambing … manakala dilereng bukitnya pula terdapat sarang-sarang lebah. Memang hadramaut terkenal dengan madu lebahnya. Dalam perjalanan tersebut sempat juga aku lelapkan mata seketika untuk melepaskan penat. Ustaz Ibrahim al-Fathoni yang memandu kami kesana rancak berbual dengan Ustaz Azhar. Maklumlah … depa lama dok di Tarim. Dah tu pulak lama tak jumpa .... sembang orang lama tak balik kampung ....... Ustaz Azhar dah hampir 6 tahun (kalau tak silap) tak menjengok Tarim.

Sesampai di 'Inaat, kami terus kekawasan perkuburan di 'Inaat. Disana terletaknya kubah makam al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه dan anak-anak beliau. Guru kami yang mulia, al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz adalah merupakan anak-cucu dari al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim. Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه merupakan seorang daripada ulama yang terkenal di Hadramaut. InsyaAllah … aku akan bawakan manaqib beliau ….. manaqib beliau akan abu zahrah paparkan secara berperingkat kerana agak panjang …

Manaqib al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim:
Beliau, al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim dilahirkan di kota Tarim al-Ghanna pada 13 Jumadil Akhir 919H.

Nasab sebelah ayahandanya: asy-Syaikh Abu Bakar bin Salim bin ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman bin ‘Abdullah bin al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله.

Manakala nasab sebelah bondanya: Hababah Thalhah bin ‘Agil bin Ahmad bin Abu Bakar as-Sakran bin al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله.


Qubah Makam al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه

Diceritakan bahwa al-Imam Ahmad bin ‘Alwi al-Majzub bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf telah mengkhabarkan akan kelahiran Syaikh Abu Bakar bin Salim. Suatu ketika ketika beliau berada di ‘Inaat, sambil duduk diatas sebidang tanah yang penuh berbatu-batu dan ditumbuhi belukar, beliau mengatakan kepada yang hadir bersamanya: Akan hadir seorang anak yang mempunyai kemuliaan dan akan tinggal ditempat ini. Lalu beliau bangun dan berjalan mengelilingi sekitar ‘Inaat sambil menunjukkan tempat-tempat yang berkaitan dengan Syaikh Abu Bakar bin Salim seperti masjid dan rumah yang akan didirikannya.

Hal sebegini juga pernah berlaku kepada Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه dimana setiap kali beliau pergi ke kota Tarim, beliau selalu berhenti di suatu tanah sambil berkata, “
Tanah ini nantinya akan menjadi sebuah ribath…”. Benarlah sebagaimana apa yang dikatakan oleh beliau, dimana, diatas tanah tersebut akhirnya terbangunlah Rubath Tarim yang sangat masyhur itu. Rubath Tarim secara rasminya dibuka pada 14 Muharram 1305H, manakala Syaikh Abu Bakar bin Salim wafat pada 992H.

Pendidikan: Beliau lahir dari keluarga yang sholeh, maka sejak kecil lagi sudah terdidik menghafal al-Quran. Dikisahkan bahwa beliau mendapat kesulitan menghafal al-Quran pada awalnya. Maka ayahnya telah mengadukan halnya kepada Syaikh al-Imam Syihabuddin bin ‘Abdurrahman bin Syaikh ‘Ali. Maka syaikh itu berkata: “Biarkanlah dia! Dia akan mampu menghafal dengan sendirinya dan kelak dia akan menjadi orang besar”. Maka jadilah beliau seperti mana yang dikatakan oleh syaikh tersebut.

Seterusnya beliau menuntut ilmu dari ulama-ulama yang terkenal, antaranya:-

  • Sayyid ‘Umar bin Muhammad bin Abi Bakar Ba Syaiban
  • Sayyid Ahmad bin ‘Alawi BaJahdab
  • Al-Faqih al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin Muhammad bin Sahl BaQasyir
  • Al-Faqih ‘Abdullah bin Muhammad BaMakhramah
  • Syaikh Ma’ruf bin ‘Abdullah BaJammal asy-Syibami ad-Dau’ani. Kisah bagaimana al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim mengambil ilmu dari Syaikh Ma’ruf: Pada suatu hari, Syaikh Abu Bakar bin Salim berniat untuk mempelajari ilmu daripada Syaikh Ma'ruf BaJammal yang tinggal di kota Syibam. Namun beliau terpaksa berhenti di pinggir kota Syibam kerana Syaikh Ma'ruf masih belum mahu menemuinya. Setiap kali dikatakan kepada Syaikh Ma'ruf: “Anak Salim bin Abdullah meminta kebenaran untuk menemuimu”. Beliau sering menjawab: “Katakan kepadanya bahawa aku belum berkenan untuk menerimanya”. Walaupun Syaikh Abu Bakar merupakan seorang anak kepada seseorang yang dihormati kerana kesholehannya, Syaikh Abu Bakar tidak pernah bersikap sombong dan marah di atas perlakuan Syaikh Ma’ruf tersebut, malah beliau tetap bersabar menunggu di bawah terik matahari dan dinginnya angin malam. Setelah 40 hari, barulah beliau menerima khabar bahawa Syaikh Ma'ruf bersedia untuk menemuinya. Dengan berkat kesabarannya itu, dalam waktu yang singkat sahaja beliau telah dapat menyerap ilmu yang disampaikan oleh gurunya. al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim mengungguli guru beliau didalam hal kerohanian dan sirr. Bahkan, setelah wafat gurunya ini bahwa beliau yang terus menyinarkannya.
  • Syaikh Umar bin ‘Abdullah BaMakhramah – dari ulama ini beliau belajar kitab Risalah al-Qusyairiyah karangan Imam al-Qusyairi.

Beliau رضي الله عنه adalah seorang yang sangat tekun dalam menuntut ilmu. Beliau mengkhatamkan kitab Ihya ‘Ulumiddin sebanyak 40 kali, kitab Minhaj oleh Imam an-Nawawi sebanyak 3 kali.

Akhlaq: al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه amat menyantuni para tamu dan memperhatikan keadaan mereka. Beliau adalah seorang yang pemurah dimana setiap hari tidak kurang dari 1,000 keping roti beliau sedekahkan kepada faqir miskin. Syaikh Abu Bakar bin Salim adalah seorang yang sangat mengasihani orang-orang lemah dan berkhidmat kepada orang-orang yang menderita kesusahan. Dia memperlihatkan dan menyenangkan perasaan mereka dan memenuhi hak-hak mereka dengan baik.


Beliau seorang yang sentiasa berlapang dada. Beliau seorang yang tawadhu. Dikatakan bahwa tidak ada seorang pun yang pernah lihat beliau duduk bersandar ataupun bersila. Beliau sentiasa duduk dalam keadaan yang melambangkan sifat kehambaan iaitu duduk tawarruk. Al-Faqih Syaikh Abdurrahman bin Ahmad BaWazir mengatakan: Sejak 15 tahun sebelum kewafatannya, didalam berbagai majlisnya baik bersama ulama maupun orang awam, Syaikh Abu Bakar bin Salim tidak pernah kelihatan duduk melainkan beliau dalam keadaan tawarruk (duduk dalam tahyat akhir).

Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim seorang yang sangat memuliakan tetamu. Sekira tetamu yang mengunjunginya ramai maka beliau akan menyembelih satu atau dua ekor unta untuk menjamu tetamunya. Dan beliau sendiri akan memenuhi keperluan tetamunya.

Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim juga adalah seorang yang sangat mengasihani orang-orang lemah dan berkhidmat kepada orang-orang yang menderita kesusahan. Beliau memperlihatkan dan menyenangkan perasaan mereka dan memenuhi hak-hak mereka dengan baik.

Sampai disini dulu .... insyaALLAH, nanti abu zahrah sambung lagi manaqib ini ......

0 komen:

Related Posts with Thumbnails