Isnin, 13 Julai 2009

Tradisi Mengkhatam Kitab Shohih al-Bukhari di Bulan Rajab

Kitab al-Jami’ ash-Shohih

Kitab al-Jami’ ash-Shohih karya al-Imam al-Bukhari adalah merupakan kitab hadits pertama yang memuatkan hadits shohih sahaja. Kitab ini mempunyai lebih dari 9 ribu buah hadits (termasuk hadits yang berulang), yang beliau pilih daripada 600,000 buah hadits. Dan proses penyaringan hadits ini mengambil masa selama 16 tahun dengan persyaratan beliau yang sangat ketat. Oleh kerana itu, maka Kitab al-Jami’ ash-Shohih atau Shohih al-Bukhari adalah merupakan kitab yang paling shohih dan menduduki urutan pertama didalam senarai kitab-kitab hadits. Menurut Imam Nawawi di dalam kitabnya Syarah Muslim bahwa ijma’ ulama salaf menyatakan semua hadits di dalam Shohih al-Bukhari adalah shohih. Manakala Imam Ibn Sholah menyebutkan didalam kitab Mustholahul Hadits bahwa kitab Shohih al-Bukhari adalah kitab paling shahih setelah al-Quran (ashohul kutub ba’da al-Quran).

Antara kelebihan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari bahwa beliau tidak meletakkan satu hadits pun kecuali beliau bersholat dua rakaat dan berdoa kepada Allah Ta’ala terlebih dahulu. Dan beliau mengatakan: "Aku jadikan ia sebagai hujjah antara diriku dengan Allah Ta’ala." Dan menurut asy-Syaikh Dr Muhammad ‘Ajaj al-Khatib di dalam kitabnya Ushul al-Hadits, kitab al-Bukhari ini didengar dan dipelajari oleh lebih kurang 90,000 orang pada masanya (Imam al-Bukhari)

Diceritakan, bahwa sebelum Imam al-Bukhari, menghimpunkan Shohih al-Bukhari, beliau bermimpi berdiri di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan sebuah kipas ditangannya dan mengipas mengusir lalat dari Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Lalu beliau meminta beberapa ahli ta’bir mimpi menta’bir mimpinya tersebut. Dan mereka mengatakan bahwa beliau akan menyingkirkan atau membersihkan pembohongan-pembohongan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.



Acara khataman Kitab al-Jami’ ash-Shohih

Oleh kerana keistimewaan dan ketinggian kedududukan serta keberkatan kitab Shohih al-Bukhari, maka para habaib di Hadramaut telah menjadikannya sebagai kitab yang dibaca dan dikhatam pada bulan Rajab (terutamanya). Menurut Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri, tradisi khataman kitab Shohih al-Bukhari terutama sekali dalam bulan Rajab, yang sudah ratusan tahun diamalkan dikalangan para habaib, dimulakan oleh Syaikh Abul Khair Ahmad bin Manshur asy-Syammadz, seorang ulama ahli hadits yang ‘abid dari Kota Zabid., Yaman.

Khataman Kitab al-Jami’ ash-Shohih di Nusantara

Tradisi ini mungkin agak asing di Malaysia, namun ianya diamalkan di negara jiran kita, Indonesia. Para habaib di Indonesia masih meneruskan tradisi yang dibawa oleh para sesepuh mereka dari Hadramuat yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi. Diantara kota yang masih melangsungkan tradisi ini adalah di Malang, Pasuruan, Surabaya, Pekalongan, Gresik, Solo dan lain-lain. Di Pasuruan, tradisi ini berlangsung sejak dari zaman Habib Habib Ja’far bin Syaikhan bin 'Ali bin Hasyim bin Syeikh bin Muhammad bin Hasyim as-Segaf @ as-Saqqaf (wafat 14 Jumadil Akhir 1374 H - gambar diatas). Manakala di Gresik pula ianya sejak dari Al-Habib al-Quthub Abu Bakar bin Muhammad bin 'Umar bin Abu Bakar bin 'Umar bin Saqqaf atau lebih dikenali sebagai Habib Abu Bakar Gersik (beliau adalah murid kepada al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi, pengarang Simtud Durar. Habib Abu Bakar Gesik wafat pada 17 Dzulhijjah 1376H pada usia lebih daripada 100 tahun).


Tradisi mengkhatam Shohih al-Bukhari ataupun ringkasannya iaitu kitab at-Tajridush Shorih li Ahaadits al-Jami’ ash-Shohih (mengandungi lebih dari 2,200 buah hadits) oleh Imam Zainuddin Ahmad bin ‘Abdul Lathif az-Zabidi (wafat 893H) ini dijalankan di dalam bentuk rohah. Ianya dibaca secara berjemaah dan dibaca secara bergilir-gilir oleh para jemaah sepertimana acara tadarrus al-Quran. Pemimpin majlis ini hanya akan menerangkan hadits-hadits yang dirasakan penting untuk diterangkan. Manakala dari segi adabnya pula, para peserta kebiasaannya akan berpakaian serba putih, berserban, memakai wangi-wangian, duduk dengan beradab serta tenang, membetulkan niat dan membacanya dengan penuh ta’zim. Pembacaannya adalah setiap hari sehingga ianya akan dikhatamkan sebelum berakhirnya bulan Rajab.


Kelebihan Kitab al-Jami’ ash-Shohih

Melalui tradisi ini, selain daripada memahami, mengambil pengajaran dan petunjuk dari hadits-hadits yang dibaca, ianya juga sebagai wasilah untuk menyampaikan segala hajat zahir dan bathin seperti melepaskan seseorang daripada kesusahan dan lain-lain. Imam Abu Muhammad ‘Abdullah bin Sa’ad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi (wafat 699H) menukilkan dalam kitabnya berjudul Mukhtashar Ibn Abi Jamrah (kitab ringkasan kepada Shohih al-Bukhari, mengandungi 290 lebih buah hadits, kitab ini kemudiannya beliau syarahkan dengan judul Bahjatun Nufus) dengan menyatakan seperti berikut:-

فوقع لي أن يكون كتاب البخاري لكونه من أصحها و لكونه رحمه الله تعالى كان من الصالحين و كان مجاب الدعوة و دعا لقارئه. و قد قال لي من لقيته من القضاة الذين كانت لهم المعرفة و الرحلة عمن لقي من السادة المقر لهم بالفضل: إن كتابه ما قرئ في وقت شدة إلا فرجت و لا ركب به في مركب فغرقت قط. فرغبت مع بركة الحديث في تلك البركات لما في القلوب من الصدإ فلعله بفضل الله أن يكشف عما بها وأن شديد الأهواء التي تراكمت عليها

“Aku memilih untuk menjadikan kitab al-Bukhari ini kerana ianya adalah kitab hadits yang paling shohih, juga kerana pengarangnya Imam al-Bukhari adalah seorang sholih yang mustajab doanya dan beliau telah mendoakan para pembacanya. Telah memberitahuku para qadhi yang ahli ma’rifah lagi luas perjalanan mereka (yakni dalam mencari ilmu) yang telah aku temui, daripada para pemuka agama yang diakui keutamaan mereka bahawasanya kitab Imam al-Bukhari ini tidaklah dibaca oleh seseorang pada waktu kesusahan melainkan dilepaskan dia dari kesusahan tersebut dan tidak tenggelam kenderaan yang membawa kitab tersebut sekali-kali. Maka raghiblah aku memperolehi segala berkat disamping berkat hadits untuk pembersih segala karat daki didalam hati, semoga dengan kurnia Allah disingkapkan dari yang menutupinya dan terangkat pula tekanan hawanafsu yang sangat banyak berkumpul padanya ……..”


Pengalaman mengikuti khataman Kitab Adabul Mufrad (juga karangan Imam al-Bukhari) di Ma’ahad az-Zein Bogor

Abu Zahrah secara peribadi belum pernah mengikuti acara khataman Shohih al-Bukhari (moga-moga Allah perkenanankan ambo untuk mengikuti majlis khataman ini suatu hari nanti … samada di Malaysia atau di Indonesia ...), namun pada 9 Rejab 1430, Abu Zahrah bersama-sama Ustaz Azhar at-Tarim dan keluarga, Ustaz Muhadir UIA, Ustaz (Kiyai) Syuhadak KUIS, Ustaz (Kiyai) Khusyairi berangkat ke Ma’had az-Zein, Bogor untuk mengikuti Program Khataman Kitab al-Adabul Mufrad (gelaran kiyai itu diberikan kepada Ust Syuhadak dan Ust Khusyairi sewaktu kunjungan Syaikh Nuruddin ke Negeri Sembilan pada bulan Jun bebaru ni). Kitab al-Adabul Mufrad juga merupakan sebuah karya Imam al-Bukhari dan ianya mengandungi sekitar 1,300 lebih buah hadits. Acara khataman al-Adabul Mufrad bermula selepas sholat ‘Asar pada hari Jum’at dan dikhatamkan pada hari Itsnin (malam Selasa). Selain daripada para santri Ma’had az-Zein, acara khataman ini juga disertai oleh wakil atau ustaz-ustaz dari Medan, Langkat, Cipinung, Bogor, dan Jakarta. Ada perserta dari Medan, dek kerana kesempitan perbelanjaan, datang ke Bogor dengan mengikuti jalan laut yang mengambil masa 3 hari perjalanan semata-mata untuk mengikuti pengajian ini ... Allahu Allah....


Method pengajiannya, matan hadits dibacakan oleh santri, kemudian disyarahkan oleh Tuan Guru Syaikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Beliau menggunakan kitab syarah al-Adabul Mufrad yang bertajuk FadhluLlah ash-Shamad karya al-‘Allamah as-Sayyid FadhluLlah al-Kailani. Alhamdulillah. Banyak manfaat yang kami perolehi dari pengajian ini. Dan sewaktu penutup majlis, Syaikhuna, Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari telah sudi memberikan ijazah kitab al-Adabul Mufrad yang beliau terima daripada masyaikh beliau iaitu al-‘Allamah al-Faqih al-Fahhamah asy-Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki, al-‘Allamah al-Musnid al-Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani dan al-‘Allamah al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri.

Walaupun majlis khataman kitab Adabul Mufrad ini singkat, namun sudah terasakan barokahnya. Maka apatah lagi bagi mereka yang dapat mengkhatamkan kitab at-Tajridush Shorih li ahaadits al-Jami’ ash-Shohih, dan lebih-lebih lagi kitab induknya iaitu al-Jami ash-Shohih. Tentunya berlipat ganda ilmu, barokah, asrar dan nafahat yang diperolehi. Semoga tradisi khataman ini akan diadakan di Malaysia suatu hari nanti.

Akhirkata, Abu Zahrah ingin merakamkan ucapan terimakasih kepada mereka yang telah menaja keberangkatan kami ke Bogor untuk mengikuti majlis khataman tersebut. Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik balasan kepada mereka yang berkenaan. الدل على الخير كفاعله. Dan Abu Zahrah mengharapkan semoga nanti ada yang akan menganjur dan menguruskan acara khataman kitab Shohih al-Bukhari ataupun ringkasannya iaitu kitab at-Tajridush Shorih li Ahaadits al-Jami’ ash-Shohih pada bulan Rajab di Kuala Lumpur sebagaimana yang dilakukan oleh para habaib kita di Hadramaut dan Indonesia.



0 komen:

Related Posts with Thumbnails