Rabu, 30 Januari 2008

Hilangnya Ilmu Dengan Kematian Ulama’

Tengahari tadi hamba mendapat sms yang membawa khabar sedih dari al-Fadhil Ustaz Azian, Imam Masjid al-Falah USJ. Khabar sedih yang hamba terima adalah Kembalinya kerahmatUllah Sahibus Samahah Dato’ Haji Ishak Baharom, Bekas Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan pada tengahari ini (21 Muharram 1429/ 30 Januari 2008). Seorang lagi ulama’ yang berjasa kepada masyarakat Islam di Malaysia pergi meninggalkan kita. Teringat hamba akan sebuah hadits daripada Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما:
Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Para ulama seumpama bintang dilangit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara kan hilang pedoman dan langit menjadi suram tiada tidak berseri.
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi ini adalah seperti bintang-bintang yang dijadikan petunjuk di dalam kegelapan-kegelapan darat dan lautan, apabila bintang-bintang ini sirna di antara kegelapan-kegelapan tadi, maka sudah tentu para penunjuk jalan akan berhadapan dengan kesesatan jalan [Hadits riwayat Imam Ahmad]
Dalam sepotong hadits lain menceritakan bahawa kewafatan seorang ulama itu adalah merupakan suatu musibah yang besar pada umat Islam.


Daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim. [Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi]


Ucapan takziah hamba buat keluarga Dato’ Haji Ishak Baharom.

الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين

Semoga Allah mengampuni, merahmati, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.

Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah Al-Faatihah dan surah Yaasin kepada beliau dan seterusnya mendoakan beliau.


اللهم اغفر له و ارحمه و اجعل قبره روضة من رياض الجنة


0 komen:

Related Posts with Thumbnails