Khamis, 17 Januari 2008

Baca al-Qur’an di kubur bidaah?

Sekadar berkongsi apa yang telah hamba baca di ruangan ad-Din akhbar Harian Metro Online sebentar tadi. Ini artikel lama. Tapi tak mengapalah.
*************
ZIARAH kubur menjadi amalan bagi sesetengah anggota masyarakat dan tidak terkecuali bagi orang Melayu, terutama pada hari kebesaran seperti hari raya.



Apabila berziarah, kita akan berzikir atau membaca tahlil untuk disedekahkan kepada arwah.


Ada juga yang membaca ayat suci al-Quran seperti al-Fatihah, Yasin dan disusuli doa dengan harapan roh si mati mendapat keampunan dan ditempatkan di kalangan golongan aulia dan alim.

Namun, timbul dakwaan amalan membaca al-Quran di kubur dilarang beralasan Rasulullah s.a.w tidak melakukan perbuatan itu malah tiada dalil mengenainya. Jika dilakukan ia dikira bidaah.

Justeru, wujud perbezaan pendapat yang mungkin mengelirukan umat Islam mana satu yang betul dan perlu diikuti, sama ada harus membaca al-Quran atau tidak harus membacanya?

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata amalan membaca al-Quran di kubur adalah perkara ranting dalam agama, bukannya perkara tunjang mendasari iman dan Islam.

“Amalan ranting biasanya bersifat elektif bukannya subjek teras untuk seseorang mukmin.

“Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan,” katanya.

Menurutnya, untuk memberikan justifikasi dalam perkara ini boleh dirujuk kepada lembaran suci al-Quran antaranya ayat 21 surah as-Thur, ayat 38 dan 39 surah an-Najm, ayat 261 surah al-Baqarah, ayat 82 surah al-Kahf dan ayat 204 surah al-A'raf.

Katanya, dalil syarak ada ketika bersifat qatie (tetap) dan ada ketika pula bersifat dzanni (membuka ruang kepada ulama untuk berijtihad).

“Justeru, perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam permasalahan ranting agama.

“Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan situasi ini. Ini penting supaya kehidupan seharian menepati hukum syarak.

“Ia juga bagi mengelak diri bersikap keras kepala terhadap amalan yang diiktiraf ulama,” katanya.

Beliau berkata, amalan membaca al-Quran di kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai yang ada ketikanya berstatus sahih, hasan, daif dan amat daif.

Katanya, Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperoleh melalui dua rakaat solat pada waktu dhuha.”

“Imam al-Qurtubi mengatakan berdasarkan dalil inilah ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Quran itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa penziarah kubur.

“Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan hadis ini memberi kita satu kefahaman bacaan al-Quran juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.

“Sebenarnya isu klasik ini sudah diselesaikan ulama dengan jayanya. Antaranya Muhammad bin Ahmad al-Muruzi yang berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah Fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”

“Dalam kitab al-Azkar bawah tajuk: Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian? Imam an-Nawawi menyebutkan: As-Syafie dan kalangan sahabat (ulama Syafiiyyah) mengatakan: Disunatkan membaca di sisi kubur sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, itu adalah (sesuatu yang) baik.

“Imam al-Zahabi dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan: Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Quran di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.

“Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za'farani berkata: Aku bertanya kepada al-Syafi'ie mengenai bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab: Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya'bie katanya: Orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka selalu mengunjungi kubur untuk membaca al-Quran di sisinya.”

Zamihan berkata, himpunan dalil yang ada menjelaskan perbuatan itu sebagai amalan sunat atau aksesori saja.

“Kita perlu memahami permasalahan usul dan furuk (cabang) secara menyeluruh serta dalil dan kaedah syariah yang jelas.

“Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak, di samping boleh mengelak diri dari bersikap fanatik dan melampau,” katanya.

Beliau berkata, amalan yang tidak dilakukan Rasulullah s.a.w dan generasi salaf (terdahulu) tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.

Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Perak, Zamri Hashim, berkata jika masuk kawasan perkuburan lalu menyedekahkan bacaan al-;Fatihah, ada ulama mengatakan sunat.

“Tetapi mazhab Imam Malik mengatakan makruh, namun pengikut mazhab itu yang kemudian mengatakan tidak sedemikian.

“Ulama aliran Syafie ada membuat komentar pada hadis berkaitan pelepah tamar yang dibelah dua oleh nabi, kemudian baginda memacakkannya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian baginda bersabda mudah-mudahan ia dapat meringankan azab mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.

“Daripada hadis di atas ulama terbabit melakukan istinbat (mengambil usul) mayat itu mendapat manfaat daripada bacaan al-Quran, kerana pelepah tamar iaitu hanya tumbuhan dan berkeyakinan ia bertasbih, inikan pula manusia.

“Pasti bacaan ayat suci itu lebih istimewa daripada pelepah tamar berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Ibnu Taimiyah pernah mengatakan sampai pahala bacaan al-Quran apabila ditanya mengenai bacaan al-Quran untuk mayat serta tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat.

“Dalam hal ini yang penting jangan suka menyalahkan orang. Jika hendak buat, kita buat dan jika tidak mahu buat, lebih baik berdiam diri,” katanya.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails