Selasa, 24 Julai 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 22 – 24

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 22, 23 dan 24)

Penyakit Keduapuluh Dua : Suka menghabiskan masa dengan kerja-kerja dunia yang tidak bermanfaat serta leka dengannya.

Rawatannya : Ialah dengan menumpukan perhatian untuk berfikir dan mengambil sikap tegas meninggalkan kerja-kerja duniawi yang tidak bermanfaat. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:
من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه
Maksudnya: Antara kebaikan untuk agama seseorang itu ialah meninggalkan pekerjaan yang tidak bermanfaat. (Hadits riwayat at-Tirmidhi, Ibn Majah dan Imam Malik dalam Muwattho’)

Penyakit Keduapuluh Tiga : Suka mendzahirkan kepada manusia ketaatan yang dilakukan terhadap Allah. Bahkan ia juga suka sekiranya orang lain mengetahui amal yang telah dilakukannya serta akan memperelok amalnya itu di hadapan manusia.

Rawatannya : Ialah dengan memahami bahawa hakikatnya manusia tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudharat kepada manusia. Oleh itu ia hendaklah beramal dengan penuh ikhlas kepada Allah serta mengikis segala unsur yang boleh merosakkan amal tersebut. Firman Allah Ta’ala:
وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ حُنَفَآء…
Maksudnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya. (Surah al-Bayyinah:5)

Dalam sepotong hadith Qudsi Allah Ta’ala berfirman:
حاكيا عن ربه عزوجل أنه قال من عمل عملا أشرك فيه غيري فأنامنه برئ وهو للذي أشرك
Maksudnya: Sesiapa yang beramal dengan tujuan selain daripadaKu maka Aku berlepas diri daripadanya serta Aku serahkan untuk membalas amalan itu kepada Tuhan yang disembahnya selainKu.(Hadits riwayat Ibn Majah - Kitab Zuhd – Bab: ‘Sesiapa yang melakukan syirik kepada Allah dengan amalannya’)

Penyakit Keduapuluh Empat: Tamak.

Rawatannya: Ialah dengan memahami bahawa sifat tamak ini akan menjerumuskannya ke dalam bahaya riya’ serta kan mencabut kemanisan beribadah kepada Allah. Akhirnya ia akan menjadi hamba abdi kepada makhluq setelah Allah membebaskannya daripada perhambaan sesama makhluq. Nabi صلى الله عليه وسلم memohon perlindungan daripada sifat tamak ini dalam sebuah hadits baginda:

أعوذبك من طمع يجر إلى طمع ومن طمع في غير مطمع
Maksudnya: “Aku memohon perlindunan kepadaMu Wahai Allah daripada sifat tamak yang menjurus kepada ketamakan yang tercela dan aku memohon perlindunganMu daripada sifat tamak yang tidak kena pada tempatnya.”

Seorang ulama’ salaf telah berkata: “Tamak itu adalah satu kefaqiran yang nyata, dan seorang kaya yang tamak itu adalah faqir, seorang faqir yang menjaga maruah itu adalah kaya, sifat tamak itu jugalah yang mencetuskan pembunuhan".


1 komen:

zlaa berkata...

Salam. Terima kasih atas artikel ini. Teruskan menulis

Related Posts with Thumbnails