Selasa, 3 Julai 2007

Ar-Rasail al-Darqawiyah
(Siri – 3)

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya belajar dan bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah sesekali diandaikan dengan kefahaman sendiri. Sekian.)


Salah seorang daripada saudara-sauadara kita berkata kepadaku: “(Diri) saya ini tiada”. Aku menjawab: “Jangan berkata, (diri) saya ini tiada, jangan pula berkata (diri) saya ini sesuatu. Jangan berkata, saya berhajat kepada perkara anu, pun jangan berkata, saya tidak berhajat kepada apa-apa, tetapi katakanlah الله, nescaya kau akan melihat pelbagai perkara yang ajaib.”


Seorang saudara lagi berkata kepadaku: “Bagaimana hendak mengubati nafsu?” Jawabku: “ Lupakan sahaja dan jangan fikirkan tentang nafsu. Kerana orang yang tidak melupai nafsunya (tidak melupai diri sendiri) tidak ingat kepada Allah.” Kalau begitu, kamu tidak tidak boleh membayangkan didalam fikiran bahawa wujud alam inilah yang menyebabkan kita melupai Tuhan kita. Apa yang menyebabkan kita melupai tuhan kita ialah wujudnya diri kita sendiri, iaitu nafsu kita.(1) Tiadalah yang mendinding kita daripada Tuhan kita melainkan kesibukkan kita memuaskan keinginan hawa nafsu kita sendiri. Adapun alam ini sendirinya tiada menjadi penghalang untuk kita mengenal Allah. Sekiranya kita boleh melupai wujud diri kita sendiri, nescaya kita akan mendapati al-Haq Ta’ala yang menjadi sumber bagi wujud kita dan pada masa yang sama kita akan melihat bahawa sebenarnya kita tidak maujud.(2) Bagaimanakah boleh tasawwur [tergambar] dalam fikiran bahawa manusia boleh fana’ daripada alam ini dengan tiada fana’ daripada nafsunya? Ini tidak mungkin berlaku.


Tidak tasawwur pada aqal bahawa seseorang faqir boleh memisahkan dirinya daripada segala sesuatu, tanpa tidak berada ia pada hadrat Allah Ta’ala. Tak mungkin (ia tidak sampai pada hadrat Allah Ta’ala setelah terpisah dirinya yakni hatinya daripada terikat dengan makhluq), kerana orang yang himmah(3)nya telah mengatasi sekalian makhluq, sesungguhnya telah sampailah ia kepada al-Khaaliq (الخالق), dan sampai kepada Allah itu bererti mengenalnya (dengan pengenalan yang zauqi, iaitu melalui ilmu laduni). Oleh itu, berazamlah tinggalkan segala perkara yang engkau bertawakkal atau berserahdiri kepadanya – baik apa sahaja perkara itu – dan janganlah bertawakkal (atau berserahdiri atau bergantung hati) kepada semua itu.

لقد خاب من رضي دونك بدلا ، وفقد خسر من بغى عنك متحولا
لكل شيء إن فارقته عوض ، وليس لله إن فارقت من عوض

Sungguh gagallah orang yang redho dengan tuan hamba sebagai ganti tuan hamba
Dan sungguh rugilah orang yang berkehendak berpindah dari tuan hamba
Apa sahaja yang kamu tinggalkan boleh dicari gantinya
Tetapi tiadalah sesuatu yang boleh menggantikan ALLAH sekiranya kau meninggalkan DIA(4)


**************

Notakaki

(1) Wujud alam ini, kata setengah-setengah ‘arifin billah, tiada mendinding kita daripada mengenal Allah. Ini adalah kerana wujud alam ini hanyalah wujud yang majazi bukannya haqiqi. Sebagaimana wujudnya bayang-bayang kayu di dalam air tiada sekali-kali menghalang laluan perahu. Hanya sanya yang mendinding kita daripada Allah atau menyebabkan kita lupa kepadaNya ialah waham kita jua atau kesibukan kita dengan keinginan-keinginan nafsu.

(2) Yakni kita tidak maujud dengan wujud yang haqiqi. Wujud haqiqi hanyalah wujud al-Haq Ta’ala. Adapun wujud kita wujud khayali atau wujud wahmi atau wujud majazi jua, iaiatu ibarat barang-bayang nisbah kepada wujud al-Haq Ta’ala.

(3) Himmah ( الهمة ) ialah kehendak yang bangsa ruhaniah atau tumpuan hati yang bangsa ruhaniah yang mengatasi nafsu yang bangsa duniawi.

Sedikit tambahan oleh Abu Zahrah: Maksud himmah menurut Tok Pulau Manis di dalam kitab syarah hikam …(Bermula) himmah itu iaitu kuat nafsu berbuat dalam wujud dengan izin Allah Ta’ala. (Dan) adalah himmah itu dua bahagi suatu kubra [besar] dan kedua sughra [kecil], maka yang sughra itu iaitu taa’luq hati pada suatu yang dicita padanya dan yang kubra itu iaitu ittisol [berhubung atau bersambung] hati pada Allah dengan tiada infisol [berpisah atau bercerai. Adapun maksudnya ‘iaitu ittisol hati pada Allah dengan tiada infisol’ adalah hati itu sentiasa ingat dengan muraqabah serta musyahadah kepada Allah tanpa lalai walaupun sedetik, seolah-olah terikat dan terhubung yang tiada dapat dipisah-pisahkan].

Manakala menurut Syaikh Abdusshamad al-Falimbani di dalam kitab Sairus Salikin, ianya bermaksud:
Bersungguh menjalani akan jalan [Allah] ini seumur hidupnya iaitu sekira-kira jangan lalai dan jangan lupa dan jangan segan [malas] dan jangan letih supaya sampai kepada martabat yang tinggi dan maqam yang tertinggi.

(4) لقد خاب من رضي دونك بدلا ، ولقد خسر من بغى عنك متحولا
Sungguh gagallah sesiapa yang redha dengan yang selainMu sebagai ganti,
Dan rugilah sesiapa yang daripadaMu berkehendak dia berpaling diri.
لكل شيء إن فارقته عوض ، وليس لله إن فارقت من عوض
Bagi setiap sesuatu ada pengganti jika engkau berpisah dengannya,
Tiada bagi Allah sebarang pengganti jika engkau berpisah denganNya.
وقل ليس لي في غير ذاتك مطلب ، ولا صورة تجلى ولا طرفة تجتنى
Dan katakanlah, “Tiadalah bagiku selain daripada zatMu yang kucari,
Tidak (pada sebarang) bentuk pentajallian dan tidak (pula pada sebarang) “permata” (yang indah lagi asing) yang diperolehi.”

2 komen:

Awanama berkata...

salam ya abu zahrah,

Terima kasih pengisian,semoga diberkati Allah sentiasa. Berkemungkinan kuliah Ust Fahmi pada 18 julai 07 kali ni saya tidak dapat hadir kerana ada kelas yang lain, jadi saya nak minta tolong saudara abu zahrah berkongsi sedikit ilmu yang akan disampaikan oleh Ust Fahmi nanti.

Semoga Allah sentiasa membaikkan penulisan saudara abu zahrah.

-alida-

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,

InsyaAllah.

Related Posts with Thumbnails