Isnin, 2 Julai 2007

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah
(Siri - 7)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Maka gemar olehmu hai saudaraku akan lazat minuman ini dengan banyak tawajuh kepada Allah dan berpaling dengan hatimu daripada barang yang lain daripada Allah. (Dan barangsiapa) ada himmahnya(2) itu ma-siwallah lemahlah lidah daripada memperikan(3) ruginya. Maka angkat olehmu akan himmahmu dari dua negeri [dunia dan akhirat] dan daripada hawa nafsumu kepada Allah, kerana himmah ahli dunia dan himmah ahli akhirat dan doa mereka itu menutupkan bahagian nafsu mereka itu daripada Allah. Maka ialah membimbangkan mereka itu daripada zikrullah, tiada merati [memperhati] mereka akan berseteru mereka itu. Dan tiada menutup mereka itu akan Allah, hanya menutup akan isteri dan anak didalam dunia, dan anak bidadari dan mahligai di dalam akhirat. Maka buatlah ibadat mereka itu kerana nafsu mereka itu. Dan ahli dunia kasih mereka itu akan nafsu dan menjadi hamba nafsu serta berkhidmatkan dia dengan menyakitikan makhluk Allah dan membinasakan hati mereka itu iaitu baitullah. Dan tiada malu daripada Allah pada hal [D]ia serta mereka itu dan sangat menyesal mereka itu kemudian daripada mati dengan sebab tiada beradab dengan Allah kerana membinasakan baitullah itu terlebih besar daripada segala dosa pada Allah. Seperti adalah membaikkan baitullah itu terlebih kasih daripada segala ibadat kepada Allah. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
ان اعداءعدوك نفسك التي بين جنبيك
Artinya: Bahwasanya sejahat-jahat seteru engkau itu nafsumu engkau antara dua lambung engkau(1)

Menjadikan dia [nafsu] oleh Allah Ta’ala seteru kamu sekira-kira jikalau engkau ikut dia tiga puluh (30) tahun dengan berbuat kejahatan kemudian apabila engkau hendak meninggal kejahatan dan hendak berkhidmat kepada Allah Ta’ala nescaya menegah ia akan dikau dan menyeru ia akan adat [kebiasaan] dia [nafsu] dahulu. (Adapun) seteru yang lain daripadanya jika engkau ikut dia tiga (3) kali nescaya berbalik jadi shahabat dan menolong ia atas kebajikan engkau. Maka apabila engkau ketahui bahawasanya nafsu engkau itu terlebih jahat daripada segala seteru kamu, maka berikan dia hak seteru kamu dengan menyalahi dia dan jangan engkau berikan kehendaknya meninggalkan taat [kepada] Allah, dan jaga-jaga kamu akan tipu-dayanya dan kamu periksakan dakwanya dan tipu-dayanya. Dan berlazat-lazat olehmu dengan tawajuh kepada Allah dan pada tiap-tiap saat engkau sebutkan Allah dan engkau merendahkan diri engkau kepada Allah supaya engkau daripada ahlullah. Dan kamu tawajjuh dengan hatimu kepada Allah supaya dapat lazat engkau berjinak-jinak dengan Allah di dalam hatimu.

________________________________________

Notakaki:-
(1) Hadits riwayat ad-Dailami dengan lafaz yang sedikit berbeza. Al-Baihaqi meriwayatkan hadits seumpamanya dengan isnad yang dhaif di dalam kitab az-Zuhd daripada Ibn Abbas` dengan lafaz berikut:
أعدى عدوّك نفسك التي بين جنبيك

(2) Maksud himmah dengan bahasa yang mudah adalah kekuatan dorongan hati, tekad dan keazaman yang kuat untuk mendapatkan sesuatu dan tumpuan hati kepada perkara yang hendak diperolehi itu.

(3) Memperikan atau memerikan bermaksud menceritakan atau mengisahkan atau menggambarkan sesuatu hal.

2 komen:

Awanama berkata...

omUstaz abu zahrah, kenapa translasinye kecil sangat, tak boleh besarkan sikit ke.. berpinar kepala saya mambaca nya..

al-fagir abu zahrah berkata...

Sidi Faqirdehilir, mohon maaf kerna tranliterasinya menggunakan font kecil. InsyaAllah, yang akan datang, ana akan besarkan.
Hehehe ... ambo suko yang kecil molek. :) .....
Terimakasih atas teguran tu. Sidi abumuhd pun ada tegur dulu .... :)
Terimaksih juga kerna sidi sudi singgah di blog ana.:)

Related Posts with Thumbnails