Rabu, 11 Julai 2007

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah
(Siri - 2)


Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى - Mufti Kerajaan Inderagiri


(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana dikhuatirii tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
Adapun kemudian daripada itu, maka berkata hamba yang dhoif lagi yang amat hina iaitu ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif Banjari غفرله ولوالدين ولمشائخه ولجميع المسلين ربه البارئ manakala hamba bersangatan puas dan jemu melihat dan mendengar di dalam berpuluh-puluh tahun keadaan ghalib manusia di Tanah Jawi kita ini masing-masing menuntut ilmu penghabisan dan ilmu kesempurnaan diri dan ilmu perpegangan ketika sakratul maut yang sehabis-habis tinggi – manakala ditaqrirkan oleh oleh ulama yang haq ahlul sunnah wal jamaah akan jalan ma’rifat ahlul tasawwuf yang sebenar yang berasal daripada al-Quran dan hadits dan ijma’ ulama’ maka tiba-tiba jadi ringan kepada mereka itu setengah mereka itu berkata belum lagi sampai kepada ilmu yang sebenarnya dan masih kulit, belum isinya. Dan setengah mereka itu mendakwa menyembunyikan ilmu yang sebenarnya dan yang diajarkan ulama’ itu emas muda bukannya emas perada [emas tua yang berkilauan warnanya – abu zahrah] hingga berbagai-bagai perkataan mereka itu dan mereka itu pun sentiasa beredar dia keliling segala negeri kita ini mencari-cari ilmu yang sebenarnya hingga bertemu dengan mereka itu dengan dhollun mudhillun artinya orang yang sesat lagi menyesatkan orang pada pada hal ia mengaku mempunyai ilmu yang sebenarnya yang tiada ada pada ulama’. Dan dia merupakan dirinya ulama’ yang haq. Maka menuntutlah mereka itu kepadanya ilmu rahsia yang halus-halus dengan segala syarat mendapat itu ilmu setengahnya dengan syarat kain putih dan tikar putih dan setengahnya dengan ketan [beras pulut – abu zahrah] dan ayam dan wang yang tertentu dan barang sebagainya.

Maka diajarkannya oleh guru-guru palsu itu akan ilmunya yang tiada pula muafaqat pengajar segala guru-guru palsu itu. Setengahnya Allah ada dalam diri kita, dan setengahnya dengan satu dua kalimat seperti (طَقُّوَ الله) yang apabila mendengar bengkarung atau cicak nescaya masuk syurga dan setengahnya apabila hampir sakratul maut datang kepadanya malaikat yang empat dan Nabi Muhammad dan Allah Ta’ala, dan ada nur yang terdiri kelangit yang diperpegangi. Dan setengahnya apabila memakai ilmunya sampai kepada martabat tawassu’ [توسّع] artinya keluasan dan kelapangan, sembahyang jadi tidak sembahyang jadi dan tidak wajin menuntut ilmu agama yang lain daripada امر [amr- suruhan] dan نهي [nahyun - tegahan] dan jikalau mau sembahyang pun tiada wajib qasod, ta’rudh dan ta’yin, hanya musyahadah wujud Allah Ta’ala atau fana’ dalam nur Muhammad hingga beberapa bagai yang amat banyak yang didapat daripada pengajar guru-guru yang palsu yang ia dhollun mudhillun [orang yang sesat lagi menyesatkan]. Dan ia khalifah dajjal bagi menyesatkan orang Islam sekeliannya itu, telah hamba [pengarang kitab - Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq al-Banjari] didalam berpuluh-puluh tahun.


اللهم احفظ وارحم امة محمد صلى الله عليه وسلم من تلك البدع المنكرة المكفرة – آمين
Hai Tuhanku, peliharakan dan kasihankan kiranya olehMu umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم daripada beberapa bid’ah yang mungkar lagi yang mengkapirkan itu.

4 komen:

Awanama berkata...

Assalammualaikum ya abu zahrah,

Adapun pengisian yang tuan zahirkan di dalam blog berkisar kitab-kitab penulisan ulama-ulama terdahulu yang arif lagi mursyid pada ilmu di dalam merungkai persoalan-persoalan berkaitan tasawuf peringkat tertinggi adalah amat terpuji. Maka hendaklah kiranya tuan dapat meneruskan penyalinan kekal dengan bahasa aslinya dikekalkan mudah mudahan celiklah hati dan nurani yang menitipnya agar kekelabuan dalam benak hati dilepaskan. Semoga usaha ini dirahmati dan disebarkan kerahmanannya ke sekalian alam. Insyaallah...

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa-'alaikumussalam Wa-rahmatuLlahi Wa-barakatuh

InshaAllah. Saya mengekalkan bahasa asli penulis kitab. Kalau ada maksud perkataan yang sulit, atau khilaf dalam percetakan, maka saya letakkan dalam bentuk notakaki atau dalam [] disisi perkataan tersebut.

Saya hanya merumikan kitab yang ditulis dengan tulisan jawi tanpa mengubah atau mengolah bahasa. Siapalah saya untuk menambah atau mengubah bentuk dan bahasa asli kitab-kitab yang saya rumikan. Terimakasih diatas peringatan tuan buat saya.

Awanama berkata...

salam ya abu zahrah,

semoga cepat sembuh dan boleh menulis lagi, insyaAllah, ameen.

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa-'alaikumussalam Wa-rahmatuLlahi Wa-barakatuh

Ameen.

Terimakasih kerna mendoakan saya.

Related Posts with Thumbnails