Selasa, 24 Julai 2007

Ar-Rasail al-Darqawiyah - Siri 4

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya belajar dan bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah sesekali diandaikan dengan kefahaman sendiri. Sekian.)

Biarlah ku(1) ceritakan kepadamu betapa halku pada sekali peristiwa bersama saudaraku fiLlah al-Wali al-Sholih al-Syarif al-Hasani Abu al-Abbas Ahmad al-Thohiri رحمه الله didalam masjid al-Qurawiyyin. Kami berdua sedang di dalam syuhud. Dengan tidak semena-mena temanku itu membiarkan dirinya terlalai – atau, kita katakan menjadi lemah – sehingga ia berceloteh seperti orang kebanyakkan. Dengan tiba-tiba dan dengan marah, aku pun berkata padanya: “Kalau kamu hendak menang menang, palu! Dan lontarkan (dia) keluar!”(2). Dengan makna yang sama, kukatakan kepada seorang saudara yang lain: “Usahlah palu Yahudi atau Nasrani atau Muslim, tetapi palulah nafsumu sendiri(3), jangan berhenti memukulnya sehingga ia mati!” Kamu juga hai ikhwani, buanglah samasekali percakapan yang sia-sia, dengan pasti dan tidak dapat tidak, kerana ia adalah daripada sejahat-jahat godaan atau dorongan nafsu dan tiada layak bagi maqam dan hal mu, dan berkata baik sahajalah terhadap manusia, kerana seperti sabda Rasulullah صلي الله عليه وسلم :
من لم يشكر الناس لم يشكر الله
Ertinya: “Barangsiapa tiada bersyukur kepada manusia, tiadalah ia bersyukur kepada Allah”(4)

Lagipun, seperti yang kami katakan – والله أعلم - : Barangsiapa yang tiada mengambil orang lain kedalam perhitungan, yakni tiada mengenal mereka, tiadalah memusyahadahkan Allah pula dengan sempurna; kerana orang yang kamil ialah orang yang tiada terhijab oleh makhluq daripada mengenal al-Kholiq, dan tiada pula terhijab oleh al-Kholiq daripada mengenal makhluq. Ilmu aqli tiada mendinding orang yang sedemikian daripada ilmu laduni, demikian pula ilmu laduni tiada mendindingnya daripada ilmu aqli. Musabbab tiada mendindingnya daripada sebab, demikian pula sebab tiada mendindingnya daripada musabbab, syariat tiada mendindingnya daripada haqiqat, demikan pula haqiqat tiada mendindingnya daripada syariat, suluk tiada mendindingnya daripada jazbah, demikan pula jazbah tiada mendindingnya daripada suluk, demikianlah seterusnya. Ia telah mencapai matlamatnya, ia adalah orang yang kamil, lagi arifbillah, sedang lawannya ialah orang yang rugi. Kita tidak berbicara disini disini tentang orang yang majzub, iaitu orang yang ditarik secara tiba-tiba oleh al-Haq Ta’ala, keluar daripada kongkongan pancaindera, kerana orang majzub ini tiada sekali-kali rugi.


Notakaki:
(1) Maulay al-‘Arabi ad-Darqawi

(2) Yakni: “Kalau kamu hendak menang dalam mujahadah atau hendak menang di negeri akhirat yang kekal, palulah syaitan yang didalam dadamu itu, dan lontarkan dia keluar!”

(3) Kerana nafsumu itu seketat-ketat musuhmu, lebih perlu ditakuti daripada Yahudi dan Nasrani dan Muslim yang ‘asi dan perlu berwaspada terhadap kelibat dan tipu dayanya.

(4) Hadith Ahmad didalam Musnadnya dan at-Tirmidhi dan ad-Dhiya’ daripada Abi Said. Shahih, menurut as-Suyuthi didalam al-Jami’ al-Shaghir.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails