Alhamdulillah, hari Ahad 3 Jun 2007, berpeluang mengikuti pengajian Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki asy-Shadhuli. Kitab pengajian adalah kitab Hidayatus Salikin karangan Syaikh Abdusshamad al-Falimbani. Pengajian bulanan ini dahpun sampai ke tajuk mengenai sholat sunat tasbih. Aku rasa nak kongsi sedikit bab ni dengan pengunjung blog al-Fanshuri pasai ada juga aku dengar golongan yang mengatakan sholat tasbih ni takdak dalil bahkan ada yang membid’ah dholalahkan mereka yang mengerjakannya [mungkin golongan ni hanya membaca pendapat Ibn Jauzi yang mengatakan hadits tentang sholat tasbih tu dhoif/maudhu’. Maka mereka pun hukumkan bid’ah, pasai bagi mereka setiap ibadah yang berlandaskan hadits dhoif/maudhu maka dihukumkan bid’ah (dholalah)… … ish!ish!ish! Boleh pi tengok قوائد معرفة البدع (kaedah mengenal bid’ah) tulisan Dr Muhammad bin Husain al-Jizani Tapi setau aku ‘salapi’ kat Malaysia ni tak dak masalah pasai al-Albani kata hadits tentang sholat tasbih ni shahih … Cuma yang depa dok bid’ahkan bila dilakukan secara berjemaah …. hehehe. Takpalah .. ikut suka hangpa! ] Mudah-mudahan apa yang aku kongsi sama-sama kita dapat beramal dengannya. Insyaallah.
وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
Syaikh Abdusshamad al-Falimbani menyebut didalam kitab Hidayatus Salikin:
Ini suatu faedah yang amat baik pada menyatakan kelakuan sembahyang tasbih dan menyatakan kelebihannya yang tersebut di dalam hadits Nabi صلى الله عليه وسلم. ……
Sholat tasbih ini dianjurkan dan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم kepada bapa saudara baginda sebagaimana yang tersebut didalam hadits.
“Maka jikalau kuasa engkau perbuat akan sembahyang tasbih itu pada tiap-tiap hari maka olehmu. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap hari maka perbuat olehmu di dalam tiap-tiap satu Jum’at sekali [seminggu sekali]. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap Jum’at sekali, maka perbuat olehmu akan yang demikian itu di dalam tiap-tiap bulan sekali. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap bulan sekali maka perbuat olehmu akan yang demikian itu di dalam tiap-tiap setahun sekali. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap setahun sekali maka perbuat olehmu akan yang demikian itu seumur hidupmu sekali.” [Hidayatus Salikin]
Antara kelebihan shalat tasbih sebagaimana yang tersebut didalam kitab Hidayatus Salikin adalah
- Diampuni Allah akan dosa-dosa yang dikerjakan, awalnya, akhirnya, sedianya [yang lama] dan baharunya [yang baru], tersalahnya [tidak sengaja] dan sengahajanya, sembunyinya atau nyatanya [terang-terangan], kecil atau besar. Pendekata diampuni sekelian dosa walaupun dosa itu sebanyak buih dilautan atau sebanyak bilangan pasir dipadang pasir. [kelebihan ini berdasarkan kepada hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Khuzaimah, al-Hakim dan al-Baihaqi]
- Menurut Syaikh Ahmad al-Qusyasyi sholat tasbih itu mentsabitkan ta;sir (kesan) yang amat besar pada membaikkan hati dan arwah (rohani) dan melembutkannya. Membuka dan menerangkan hati. Mendatangkan hikmah pada lidah dan hati. Terpelihara daripada segala seteru
Adapun tentang kaifiat dan dalil sholat tasbih, apakah boleh ianya dilakukan secara berjemaah dan lain-lain lagi, nanti aku tulis kemudian, insyaAllah. Rasanya ramai yang dah tau dan pakat dok amal dah.
Adapun hukum mengerjakan sholat tasbih adalah sunat sebagaimana yang tersebut didalam kitab-kitab fiqh.Didalam kitab Fathul Mu’in ada disebut:
“ … dan termasuk [di dalam golongan sholat-sholat sunat yang tidak disunatkan berjemaah ialah] sholat tasbih. Dan ianya ialah terdiri daripada 4 rakaat dengan satu salam atau dua salam. Dan hadits berkaitan dengannya adalah hasan kerana banyak jalan periwayatannya. Dan sholat tasbih itu pahalanya tidak terkira banyaknya. Dari segi itu sebahagian muhaqqiqin berkata: Tiadalah seseorang yang mendengar tentang besar kelebihannya dan tidak melakukan sholat itu melainkan ianya adalah seorang yang meringan-ringankan agamanya…..”[salah seorang ulama’ yang mengatakan demikian adalah imam Taj as-Subki]
Tok Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni رحمه الله تعالى di dalam kitabnya ada menyebut:
“ … dan setengah daripadanya, sunat kita muwadzabahkan yakni mengekalkan dan mengamalkan sembahyang tasbih kerana amat besar fadhilatnya lagi amat besar kadarnya pada Allah Ta’ala, serta muwafaqat segala ulama pada disuruh mengerjakan dan mengekalkan dia pada tiap-tiap hari jika kuasa. Maka jika tiada, maka tiap-tiap Jum’at. Dan jika tiada, maka tiap-tiap bulan. Dan jika tiada, maka tiap-tiap tahun sekali. Dan jika tiada, maka di dalam seumur hidup sekali ….”
Al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad رحمه الله تعالى menyebut didalam kitab beliau an-Nasho-ih ad-Diniyah wal Washoya al-Imaniah:
“….sholat tasbih adalah di antara sholat-sholat sunat yang amat digalakkan oleh agama …….. Pada pendapatku, setiap orang yang rajin beribadah tidak harus meninggalkan sholat ini, sekurang-kurangnya seminggu sekali ataupun setiap bulan sekali …”
Demikianlah serba sedikit yang dapat aku kongsi bersama untuk hari ini, aku agak sibuk sedikit dengan beberapa tugasan. Dan insyaAllah akan sambung lagi mengenai kaifiat dan beberapa hadits yang mengenai sholat tasbih, kalau ada kesempatan. Khamis ni balik Kedah lagi dalam 2-3 hari.
0 komen:
Catat Ulasan