Khamis, 21 Jun 2007

Hilangnya Ilmu Dengan Kematian Ulama’

Awal pagi tadi saya mendapat sms dari Azma. Khabar sedih. Kembalinya kerahmatUllah Tuan Guru Pondok Chegar, Pantai Johor, Kedah iaitu Tok Su ‘Ali dalam usia 80an. Walaupun saya tidak mengenali Tok Su Ali, tapi hati saya sangat sedih. Seorang lagi ulama pergi meninggalkan kita. Saya teringat akan sebuah hadits daripada Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما:

Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)


Para ulama seumpama bintang dilangit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara kan hilang pedoman dan langit menjadi suram tiada tidak berseri.

Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi ini adalah seperti bintang-bintang yang dijadikan petunjuk di dalam kegelapan-kegelapan darat dan lautan, apabila bintang-bintang ini sirna di antara kegelapan-kegelapan tadi, maka sudah tentu para penunjuk jalan akan berhadapan dengan kesesatan jalan – Hadits riwayat Imam Ahmad

Daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim ( Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)


Ucapan takziah saya buat keluarga Tok Su Ali juga buat keluarga Azma atas pemergian beliau. al-Faatihah buat al-Marhum.

الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح

Semoga Allah mengampuni, merahmati, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin.

3 komen:

Abu Muhammad berkata...

Innalillahi wa inna ilahi raji`un. Moga Allah mencucurkan hujan rahmatNya sentiasa atas roh beliau serta menempatkannya di kalangan para sholihin...al-Fatihah.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih pak cik, saya memang rasa ralat tak dapat balik masa jenazah disimpan. Saya rasa sedih sampai terbawak-bawak tak boleh buat apa semalam...saya asyik teringat suara tok su. Saya jadi emosional sampai dalam posting kat blog saya juga... Jazakumullah khair al-jaza'

amni berkata...

la pakcik... saya baru sedaq tok su ali tu tok guru pondok chegaq. tu la, bila dah tak dak baru sedaq kan??? :(

Related Posts with Thumbnails