Selasa, 26 Jun 2007

Penyakit 19 – 21
Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 19, 20 dan 21)


Penyakit ke-19 : Apabila nafsu suka dan senang kepada sesuatu lalu dipujinya setinggi-tinggi pujian tetapi apabila ia marah dihinanya seburuk-buruk hinaan.

Rawatannya : Ialah dengan sentiasa melatih diri bersifat siddiq dan menerima kebenaran sehingga tidak bersifat melampau ketika memuji atau memarahi sesuatu. Sekiranya sifat ini masih lagi berleluasa, hal ini menunjukkan sangat sedikit perhatian dan sensitiviti terhadap suruhan dan tegahan Allah. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

قال النبي صلى الله عليه وسلم : احثوا في وجوه المداحين التراب

Maksudnya: Campakkanlah tanah atau pasir ke muka orang yang suka memuji-muji.(1)


******

Penyakit Ke-20 : Ia memohon dan mengharapkan pemilihan daripada Allah terhadap sesuatu hajat, tetapi tidak redho setelah Allah memberikan jawapannya.

Rawatannya : Ialah hendaklah diketahui bahawa kamu hanya mengetahui sesuatu itu hanya lahiriah sahaja tetapi Allah mengetahui zahir dan bathin serta hakikatnya. Jika Allah telah menentukan sesuatu pilihan itu bererti pilihan itu adalah yang terbaik. Apabila nafsu kamu memutuskan untuk membuat pilihan yang lain selepas itu, ini bererti bahawa kamu akan menghadapi kekecewaan dengan bala bencana yang akan datang.

Hendaklah diketahui bahawa tidak ada kuasa yang Maha Mentadbir selain Allah. Begitu juga sekiranya kamu tidak redha dengan pilihan Allah bukanlah bererti kamu boleh mengubah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mendidik diri supaya redha dengan ketentuan Allah serta bersenang hati menerimanya.(2)

******

Penyakit Ke-21 : Panjang angan-angan. Perbuatan ini akan menghasilkan tindakan menolak ketentuan taqdir Ilahi.

Rawatannya : Ialah dengan menyedari akibat angan-angan kosong itu samada ia beroleh kebaikan ataupun tidak atau adakah mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya. Apabila ia benar-benar menyakini akan natijahnya hendaklah ia kembali kepada mengharapkan keredhaan Allah dan penyerahan diri yang mutlak kepadaNya, maka ia akan rasa tenang dan tenteram. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

لايتمنين أحدكم الموت لضر نزل به, وليقل: اللهم أحيني ما كانت الحياة خيرلي, وتوفني إذا كانت الوفاة حيرالي

Maksudnya: Janganlah seseorang daripada kamu bercita-cita untuk mati apabila ditimpa sesuatu musibah, tetapi hendaklah ia berkata: Ya Allah Ya Tuhanku! Kurniakanlah kehidupan kepadaku sekiranya ianya baik untukku, jika sebaliknya maka matikanlah daku.(3)

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda lagi:

إذا تمنى أحدكم فلينظرما تمنى فإنه لا يدري ما يكتب له من أمنيته

Maksudnya: Apabila kamu berangan-angan maka hendaklah kamu meneliti apakah faedahnya angan-angan itu, kerana kamu tidak mengetahui apakah yang tertulis di dalam catatan amalan kamu dengan angan-angan tersebut.(4)

Tujuan pendedahan tentang penyakit-penyakit jiwa ini ialah untuk memberi peringatan kepada setiap mu’min peri pentingnya mengetahui bahaya pengaruh unsur-unsur keduniaan daripada menguasai hati. Hal ini adalah kerana pengaruh tersebut akan mengubah arah tuju hati dengan menjadikan dunia ini sebagai tujuan dan matlamat kehidupan. Padahal Allah menghendaki supaya kita berhati-hati dengan dunia, jangan sampai ketahap mengabdikan diri kepadanya. Cinta kepada dunia adalah antara punca segala kejahatan.

______________________________________________________

Notakaki:-

(1) Muslim meriwayatkan hadith ini dalam lafaz yang berlainan, lafaznya:
أمرنا أن نحثى التراب في وجوه المداحين التراب
(Kitab al-Zuhd), Abu Daud (Kitab al-adab), al-Tirmizi (kitab al-Zuhd), Ibn Majah (kitab al-adab)

(2) Adalah diperingatkan bahawa maksud redha dengan ketentuan Allah bukanlah bermaksud mesti atau wajib menerima dan mendiamkan diri. Jadi apabila Allah mentaqdirkan kepada kita mendapat sakit, maka wajiblah kita redha dengan qada’ itu serta beriman kepadanya. Tetapi kita tidak boleh mendiamkan diri tanpa apa-apa ikhtiar. Wajib hal ini bersesuaian dengan hadith:
تداووا عباد الله فإن الله ما خلق داء إلا و خلق له دواء
Maksudnya: “Berusahalah kamu berubat wahai hamba Allah, sesungguhnya apabila Allah menjadikan penyakit, DIA akan menjadikan penawarnya sekali”.
Berusahalah untuk berubat adalah tidak bertentangan dengan qada’ Allah.

(3) al-Bukhari (kitab redha), Muslim (kitab Zikr), Abu Daud (kitab janiz), an-Nasai (kitab janaiz), Ibn Majah ( al-Zuhd) al-Darimi (kitab al0-Raqaiq), Ibn Hanbal 2/283.

(4) at-Tirmidhi (kitab al-zuhd), Ibn Majah (kitab al-Fitan), Muwattho’ (kitab husnul khuluq)

3 komen:

Tanpa Nama berkata...

salam ya abu zahrah,

Terima kasih pengisian.

Saya ingin dapatkan jadual kuliah Skh Nuruddin untuk bulan Jamadilakhir/July termasuk yang ada di luar KL (ipoh).

Semoga Allah memberkatimu.

Tanpa Nama berkata...

salam ya abu zahrah,

ya Allah, seolah-olah jantung saya pun ikut berdegup. saya copy jantung tu, jazakallah.

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa'alaikumussalam anoy,
InsyaAllah jadual penuh kuliah asy-Syaikh Muhammad Nuruddin untuk bulan Julai, nanti saya paparkan. Selewat-lewatnya hari Jum'at.

Related Posts with Thumbnails