Selasa, 12 Jun 2007

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah
(Siri 1 - Pengenalan )

Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى [keturunan Syaikh Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى] (1288H/1867M – 1358H/1939M) – Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

Sebelum memulakan transliterasi kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat MengEsakan Allah, maka ada baiknya diperkenalkan dahulu pengarang kitab berkenaan. Tulisan mengenai pengarang kitab berkenaan yakni Shaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى. Tulisan mengenai beliau kami kutip daripada tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir bin Wan Abdullah رحمه الله تعالى.

Shaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى adalah merupakan keturunan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى. Jalur keturunan sebelah ayahnya adalah: Syaikh Haji Abdurrahman Shiddiq bin Haji Muhammad ‘Afif bin Haji anang Mahmud bin Haji Jamaluddin bin Kiyai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Jamaluddin bin Ahmad al-Banjari.

Jalur keturunan yang menyentuh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama dunia Melayu yang sangat terkenal, ialah bahawa ibunya bernama Shafura binti Mufti Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As'ad. Ibu Mufti Haji Muhammad As'ad bernama Syarifah binti Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Bajut. Dari jalur yang lain pula bahawa ibu Muhammad Afif bernama Sari binti Khalifah Haji Zainuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Guat.

Dilahirkan pada tahun 1288H dan wafat pada hari Itsnin 4 Sha’ban 1358H bersamaan 18 September 1939M dalam usia 70 tahun.

Mendapat pendidikan awal dari keluarganya yang terdiri dari ‘alim ulama’ di Banjar. Sampai ke Mekah pada musim haji tahun 1306H, dan tinggal di sana hingga tahun 1312H. Antara shahabatnya sewaktu belajar di Mekah adalah Tuan Husein Kedah al-Banjari, keturunan Banjar yang dilahirkan di Kedah ini, (lahir 1280H/1863M), Haji Abdullah Fahim (lahir 1286H/1869M), Tok Kenali (lahir 1287H/1871M) dan ramai lagi. Antara guru-gurunya sewaktu di Mekah adalah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Sayyid Bakri Syata’, Syaikh Abdul Qadir bin Abdurrahman al-Fathani dan ramai lagi.

Sekembalinya dari Mekah terus ke Martapura, kemudian pindah ke Bangka dilanjutkan pengembaraan di seluruh Semenanjung menziarahi teman-temannya, di antaranya Tok Kenali. Beberapa sultan, di antaranya sultan Johor meminta beliau menjadi mufti, semuanya beliau tolak. Akhirnya Syaikh Haji Abdur Rahman Shiddiq membuka perkampungan sendiri yang kemudian diberi nama Parit Hidayat di Inderagiri Hilir. Di sanalah beliau membina umat membuka pengajian sistem pondok. Dalam masa kejayaannya membuka perkampungan untuk perkebunan kelapa dan pengajian itulah Syaikh Haji Abdur Rahman Shiddiq dilantik sebagai Mufti Kerajaan Inderagiri.

Dibidang penulisan, karya-karya Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang telah ditemui oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir] adalah seperti berikut:

  1. Asrarus Shalah, diselesaikan pada bulan Rejab 1320H. Kandungannya membicarakan mengenai sembahyang. Cetakan yang pertama Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Kampung Silong, Jalan Arab Street, Kedai Surat No, 82 Singapura, akhir Zulhijjah 1327H. Cetakan selanjutnya oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929M (cetakan ketiga).
  2. Fat-hul `Alim, diselesaikan pada 10 Syaaban 1324H. Kandungannya membicarakan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara lengkap. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 28 Syaaban 1347H/8 Januari 1929M.
  3. Risalatut Tazkirah li Nafsi wa lil Qashirin Mitsli, diselesaikan pada 20 Syaaban 1324H. Kandungannya merupakan tazkirah dan nasihat yang dipetik daripada Majmu' karangan Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Cetakan pertama, Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 1324H.
  4. Risalah Amal Ma'rifat, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 8 Rabiulawal 1332H. Kandungannya membicarakan akidah menurut pandangan tasawuf. Cetakan yang kedua, 30 Muharam 1344H oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura. [Kitab inilah yang akan ditransliterasi untuk tatapan pengunjung blog al-Fanshuri – InsyaAllah]
  5. Syair Ibarat dan Khabar Kiamat, diselesaikan 25 Zulhijjah 1332H. Kandungannya menceritakan peristiwa Hari Kiamat ditulis dalam bentuk syair. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 9 Syaaban 1344H.
  6. Risalah Kecil Pelajaran Kanak-kanak Pada Agama Islam, diselesaikan 1 Safar 1334H. Kandungannya merupakan pelajaran fardhu ain untuk kanak-kanak. Cetakan yang ketiga oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929 M.
  7. Aqaidul Iman, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 16 Rabiulawal 1338H. Kandungannya membicarakan tentang akidah. Cetakan baru oleh Toko Buku Hasanu, Jalan Hasanuddin Banjarmasin atas izin Mahmud Shiddiq, Pagatan, Kota Baru, Pulau Laut, Kalimantan Selatan, 1405M. Diterbitkan daripada salinan tulisan tangan oleh Hasan Bashri Hamdani.
  8. Syajaratul Arsyadiyah, diselesaikan 12 Syawal 1350H. Kandungannya membicarakan asal-usul Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan-keturunannya. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura.
  9. Risalah Takmilah Qaulil Mukhtashar, diselesaikan 10 Safar 1351H. Kandungannya menceritakan tanda-tanda Hari Kiamat dan mengenai kedatangan Imam Mahdi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, dicetak kombinasi dengan Syajaratul Arsyadiyah (103 halaman) oleh pengarang yang sama, dan Risalah Qaulil Mukhtashar fi `Alamatil Mahdil Muntazhar (55 halaman) karya Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.
  10. Mau'izhah li Nafsi wa li Amtsali minal Ikhwan, diselesaikan 5 Rejab 1355H. Kandungannya merupakan kumpulan pengajaran akhlak. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1355H.
  11. Beberapa Khuthbah Pakai Makna Karangan Jaddi as-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah yang pernah diucapkan oleh Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetakan.
  12. Majmu'ul Ayat wal Ahadits fi Fadhailil `Ilmi wal `Ulama' wal Muta'allimin wal Mustami'in, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan hadis serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1346H/1927M.

4 komen:

Awanama berkata...

Assalamualaikum saudara Abu Zahrah Al-Fansuri, saya nak minta izin letak gambar Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari r.a didalam blog saya, senang2 silalah jengok blog baru saya.

Slm ukhwah.

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa-'Alaikumussalam Wa-RahmatuLlahi Wa-Barakatuh

Silahkan wahai saudaraku. InsyaAllah, ada kelapangan saya akan menziarahi blog saudara.

Awanama berkata...

Slm, tima kasih banyak2.

Tok Pake berkata...

Assalamualaikum saudara Abu Zahrah Al-Fansuri,
sy copy dan letakkan dlm blog sy. Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

dan Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى

InsyaAllah,ada kelapangan sy akan berikan audio/mp3 yang disyarah oleh guru saya...kebetulan baru 2 bulan ianya dipelajari...

Related Posts with Thumbnails