Jumaat, 29 Jun 2007

PENGUMUMAN MAJLIS ILMU

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر





Jadual Pengajian Bersama al-Fadhil asy-Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki - Bulan Julai 2007



Tarikh: 20 Jumadilakhir 1428 / 5 Julai 2007

Masa: Selepas 'Asar
Tempat: Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
Kitab: Sunan Tirmidhi

Masa: Lepas Maghrib
Tempat: Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
Kitab: Hadits Riwayat 10 Shahabat

********

Tarikh : 21 Jumadilawwal 1428 / 6 Julai 2007

Masa: Mulai jam 9.00 pagi (muslimat)
Tempat: INTIM, Ipoh
Kitab: Nasihat Agama dan Wasiat Iman

Masa: Lepas Maghrib
Tempat: Masjid Daerah Kuala Kangsar
Kitab: Hadits Riwayat 10 Shahabat

*********

Tarikh : 22 Jumadilakhir 1428 / 7 Julai 2007
Masa: 9.00 pagi – 1.00 tengahari
Tempat: Masjid al-Falah USJ 9 Persiaran Kewajipan, Subang Jaya
Kitab: Kitab Hadits Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2 dan Nashihat Agama dan Wasiat Iman.

Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Akan ditentukan kemudian
Program: Akan ditentukan kemudian

*********

Tarikh : 23 Jumadilakhir 1428 / 8 Julai 2007
Masa: 9.30 pagi – 1.00 tengahari
Tempat: Masjid al-Falah USJ 9 Persiaran Kewajipan, Subang Jaya
Kitab: Kitab Hadits Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2 dan Nashihat Agama dan Wasiat Iman.

Masa: Selepas Sholat ‘Asar
Tempat: Surau an-Nur, Bandar Seremban Selatan
Program: Kuliah Untuk Muslimat

Masa: Selepas Sholat Maghrib
Tempat: Surau an-Nur, Bandar Seremban Selatan
Program: Kuliah Maghrib


Rabu, 27 Jun 2007

Kenali Ulama' Kita - Siri 1 (Ulama' Kedah)

Tuan Guru Tuan Hussain Muhammad Nasir al-Mas'udi al-Banjari رحمه الله تعالى

Gambar asy-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Tuan Guru Tuan Hussin Kedah dan Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussin


Abu Abdullah Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan pada hari Ahad 20 Jumadil Awwal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.

Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dan beliau adalah dari keturunan seorang ulama yang sangat tersohor di Nusantara iaitu Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pengarang kitab Sabil al-Muhtadin. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah.
Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.

Pendidikan dan Membuka Pondok

Tuan Hussin Kedah mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. (Insyaallah, tulisan mengenai tokoh ini akan paparkan keblog ini nanti). Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar.

Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun.

Pada tahun 1900, beliau berpindah Bohor dan membuka pondoknya di sana. pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan "Tuan Hussain Bohor".


Pada tahun 1912, Tuan Hussin berpindah pula ke Bagan Ulu dan membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (gambar sebelah). Tuan Hussin mentadbir pondok Bagan Ulu selama 8 tahun sebelum membuka pondok baru di Selengkoh, Mukim Sungai Limau. Keadaan persekitaran di Selengkoh yang becak mengurangkan penuntut Tuan Hussin. Beliau berkhidmat di sana selama 4 tahun dan kemudiannya berangkat mengerjakan fardhu haji bersama anak dan cucu-cucunya.

Kepulangannya dari Mekah pada tahun 1924M telah memberi ilham kepada Tuan Hussin untuk membuka pondok baru pula di Padang Lumat. Dan seterusnya beliau membuka pondok di Pokok Sena, Seberang Perai pada akhir tahun 1929M. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan Beliau bertariqat Syattariah. Beliau adalah seorang tuan guru pondok yang tegas. Pelajarnya tidak dibenarkan merokok dan berambut panjang. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya adalah:-
  • an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305H/1888M. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang.
  • Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318H. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346H, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
  • Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
  • Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336H. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356H/April 1937M.
  • Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336H. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
  • Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927M. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377H/1957M.
  • Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341H. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Acheh Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382H/1962M.
  • Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343H. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350H Dicatatkan: “Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30”.
  • Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
  • ‘Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345H. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
  • Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346H. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fekah. Dicetak oleh Mathba'ah az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347H (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355H (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadhi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jumadilawwal 1393H
  • Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347H. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
  • Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jumadilawwal 1348H. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Acheh Street, Pulau Pinang.
  • Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350H. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360H.
  • Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jumadilakhir 1352H (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jumadilakhir 1360H.
  • Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
  • Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
  • Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Sya’ban 1354H. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan: “Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.”
  • Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pentadbiran pemerintahan.
  • Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan. Kitab ini merupakan kitab terakhir yang beliau tulis

Meninggal Dunia

Menurut catatan dari kelaurganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang.

Demikianlah sekelumit kisah ulama seorang ulama tersohor dan berjasa. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan dalam seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang. Akhirkata, marilah kita hadiahkan al-Fatihah pada ulama besar ini. al-Fatihah.


Rujukan:
Tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah didalam kolum Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia 29 Jumadilakhir 1425H / 6 Ogos 2004
Buku Tokoh-tokoh Ulama Semenajung Tanah Melayu -1
Buku Sejarah Ulama Kedah
Portal MyKedah.
Laman Web Madrasah al-Khairiah al-Islamiah

Selasa, 26 Jun 2007

Penyakit 19 – 21
Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 19, 20 dan 21)


Penyakit ke-19 : Apabila nafsu suka dan senang kepada sesuatu lalu dipujinya setinggi-tinggi pujian tetapi apabila ia marah dihinanya seburuk-buruk hinaan.

Rawatannya : Ialah dengan sentiasa melatih diri bersifat siddiq dan menerima kebenaran sehingga tidak bersifat melampau ketika memuji atau memarahi sesuatu. Sekiranya sifat ini masih lagi berleluasa, hal ini menunjukkan sangat sedikit perhatian dan sensitiviti terhadap suruhan dan tegahan Allah. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

قال النبي صلى الله عليه وسلم : احثوا في وجوه المداحين التراب

Maksudnya: Campakkanlah tanah atau pasir ke muka orang yang suka memuji-muji.(1)


******

Penyakit Ke-20 : Ia memohon dan mengharapkan pemilihan daripada Allah terhadap sesuatu hajat, tetapi tidak redho setelah Allah memberikan jawapannya.

Rawatannya : Ialah hendaklah diketahui bahawa kamu hanya mengetahui sesuatu itu hanya lahiriah sahaja tetapi Allah mengetahui zahir dan bathin serta hakikatnya. Jika Allah telah menentukan sesuatu pilihan itu bererti pilihan itu adalah yang terbaik. Apabila nafsu kamu memutuskan untuk membuat pilihan yang lain selepas itu, ini bererti bahawa kamu akan menghadapi kekecewaan dengan bala bencana yang akan datang.

Hendaklah diketahui bahawa tidak ada kuasa yang Maha Mentadbir selain Allah. Begitu juga sekiranya kamu tidak redha dengan pilihan Allah bukanlah bererti kamu boleh mengubah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mendidik diri supaya redha dengan ketentuan Allah serta bersenang hati menerimanya.(2)

******

Penyakit Ke-21 : Panjang angan-angan. Perbuatan ini akan menghasilkan tindakan menolak ketentuan taqdir Ilahi.

Rawatannya : Ialah dengan menyedari akibat angan-angan kosong itu samada ia beroleh kebaikan ataupun tidak atau adakah mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya. Apabila ia benar-benar menyakini akan natijahnya hendaklah ia kembali kepada mengharapkan keredhaan Allah dan penyerahan diri yang mutlak kepadaNya, maka ia akan rasa tenang dan tenteram. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

لايتمنين أحدكم الموت لضر نزل به, وليقل: اللهم أحيني ما كانت الحياة خيرلي, وتوفني إذا كانت الوفاة حيرالي

Maksudnya: Janganlah seseorang daripada kamu bercita-cita untuk mati apabila ditimpa sesuatu musibah, tetapi hendaklah ia berkata: Ya Allah Ya Tuhanku! Kurniakanlah kehidupan kepadaku sekiranya ianya baik untukku, jika sebaliknya maka matikanlah daku.(3)

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda lagi:

إذا تمنى أحدكم فلينظرما تمنى فإنه لا يدري ما يكتب له من أمنيته

Maksudnya: Apabila kamu berangan-angan maka hendaklah kamu meneliti apakah faedahnya angan-angan itu, kerana kamu tidak mengetahui apakah yang tertulis di dalam catatan amalan kamu dengan angan-angan tersebut.(4)

Tujuan pendedahan tentang penyakit-penyakit jiwa ini ialah untuk memberi peringatan kepada setiap mu’min peri pentingnya mengetahui bahaya pengaruh unsur-unsur keduniaan daripada menguasai hati. Hal ini adalah kerana pengaruh tersebut akan mengubah arah tuju hati dengan menjadikan dunia ini sebagai tujuan dan matlamat kehidupan. Padahal Allah menghendaki supaya kita berhati-hati dengan dunia, jangan sampai ketahap mengabdikan diri kepadanya. Cinta kepada dunia adalah antara punca segala kejahatan.

______________________________________________________

Notakaki:-

(1) Muslim meriwayatkan hadith ini dalam lafaz yang berlainan, lafaznya:
أمرنا أن نحثى التراب في وجوه المداحين التراب
(Kitab al-Zuhd), Abu Daud (Kitab al-adab), al-Tirmizi (kitab al-Zuhd), Ibn Majah (kitab al-adab)

(2) Adalah diperingatkan bahawa maksud redha dengan ketentuan Allah bukanlah bermaksud mesti atau wajib menerima dan mendiamkan diri. Jadi apabila Allah mentaqdirkan kepada kita mendapat sakit, maka wajiblah kita redha dengan qada’ itu serta beriman kepadanya. Tetapi kita tidak boleh mendiamkan diri tanpa apa-apa ikhtiar. Wajib hal ini bersesuaian dengan hadith:
تداووا عباد الله فإن الله ما خلق داء إلا و خلق له دواء
Maksudnya: “Berusahalah kamu berubat wahai hamba Allah, sesungguhnya apabila Allah menjadikan penyakit, DIA akan menjadikan penawarnya sekali”.
Berusahalah untuk berubat adalah tidak bertentangan dengan qada’ Allah.

(3) al-Bukhari (kitab redha), Muslim (kitab Zikr), Abu Daud (kitab janiz), an-Nasai (kitab janaiz), Ibn Majah ( al-Zuhd) al-Darimi (kitab al0-Raqaiq), Ibn Hanbal 2/283.

(4) at-Tirmidhi (kitab al-zuhd), Ibn Majah (kitab al-Fitan), Muwattho’ (kitab husnul khuluq)

Jumaat, 22 Jun 2007

Jadual Diskusi Kitab/Ceramah Ustaz Rohimuddin

Tarikh: 22/6/2007 (Jum’at)
Masa: 10 malam – 12 malam
Tempat: Maahad Tahfiz Darul Tahzib, Teluk Kumbar, Pulau Pinang (Ustaz Hj.Shahul Hameed)

*****

Tarikh: 23/6/2007 (Sabtu)
Masa: Selepas Asar
Tempat: Balai Islam Kemunting, Taiping (Rumah Ustaz Zaki)

Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Masjid Maimun, Kemunting, Taiping

******

Tarikh: 24/6/2007 (Ahad)
Masa: 9.30pagi – 1.00 tengahari
Tempat: Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya
Kitab: al-Bayan (lihat sini)

******

Tarikh: 25/6/2007 (Isnin)
Masa: Selepas Asar
Tempat: Taiping (lokasi dipastikan kemudian)

Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Masjid Expo, Kemunting, Taiping

******

Tarikh: 26/6/2007 (Selasa)
Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Surau an-Nur, Bandar Seremban Selatan

******

Tarikh: 27/6/2007 (Rabu)
Masa: Selepas Maghrib
Tempat: ABIM, Anjung Rahmat, Gombak

Khamis, 21 Jun 2007

Hilangnya Ilmu Dengan Kematian Ulama’

Awal pagi tadi saya mendapat sms dari Azma. Khabar sedih. Kembalinya kerahmatUllah Tuan Guru Pondok Chegar, Pantai Johor, Kedah iaitu Tok Su ‘Ali dalam usia 80an. Walaupun saya tidak mengenali Tok Su Ali, tapi hati saya sangat sedih. Seorang lagi ulama pergi meninggalkan kita. Saya teringat akan sebuah hadits daripada Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما:

Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)


Para ulama seumpama bintang dilangit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara kan hilang pedoman dan langit menjadi suram tiada tidak berseri.

Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi ini adalah seperti bintang-bintang yang dijadikan petunjuk di dalam kegelapan-kegelapan darat dan lautan, apabila bintang-bintang ini sirna di antara kegelapan-kegelapan tadi, maka sudah tentu para penunjuk jalan akan berhadapan dengan kesesatan jalan – Hadits riwayat Imam Ahmad

Daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim ( Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)


Ucapan takziah saya buat keluarga Tok Su Ali juga buat keluarga Azma atas pemergian beliau. al-Faatihah buat al-Marhum.

الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح

Semoga Allah mengampuni, merahmati, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin.

Rabu, 13 Jun 2007

Majlis Ilmu

InsyaAllah pada hari Ahad 24 Jun 2007, satu pengajian kitab akan diadakan di Masjid al-Falah USJ 9. Masanya dari jam 9.30 pagi – 12.30 tengahari. Ustaz yang akan mengajar adalah al-Fadhil Ustaz Rohimuddin dan kitab diskusi berjudul al-Bayan. Ustaz Rohimuddin adalah merupakan murid dan juga sahabat kepada asy-Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari. Dibawah ini disertakan biodata ringkas Ustaz Rohimuddin dan ringkasan kitab diskusi.


Biodata ringkas Ustaz Rohimuddin bin Nawawi al-Bantani.

Beliau dilahirkan pada 8hb Oktober 1965 di Bekasi, Indonesia. Dan merupakan cucu saudara kepada seorang ulama alam Melayu yang terkenal di Mekah iaitu asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani atau Syaikh Nawawi Bantan.

Ustaz Rohimuddin mendapat pendidikan awalnya di Pesantren Cirebon Jawa Barat. Seterusnya di Pesantren Lirboyo. Beliau seterusnya melanjutkan pelajarannya ke Universitas Syarif Hidayatullah di Jakarta. Kemudian beliau ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk meneruskan pengajiannya. Selain belajar secara formal, beliau juga belajar secara tidak formal dengan para ulama yang terkenal di Indonesia, Mekah dan Mesir.

Antara guru-guru beliau adalah:-
  • Ayahanda beliau sendiri – Kiyai Nawawi
  • Kiyai Maemun Zuber
  • al-Marhum Kiyai Mahrus Ali
  • al-Marhum Kiyai Umar Sholeh
  • al-Marhum Kiyai Aqiel Siraj
  • al-Marhum Kiyai Syadzeli
  • al-Marhum Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani
  • asy- Syaikh al-Habib Yusuf al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi
  • Syaikh Umar Hasyim
  • al-Marhum Syaikh Mutawalli Asy-Sya'rawi
  • al-Marhum Syaikh Zaki Ibrahim
  • Syaikh Ibrahim Al-Khuli
  • Dr Saad Jawis
  • al-Marhum Syaikh Gad al Haq
  • Syaikh ‘Abdullah
  • Syaikh Dr Ali Jum’ah (Mufti Besar Mesir)
  • Dan ramai lagi ulama’.

Buat masa ini beliau adalah merupakan antara tenaga pengajar merangkap pengetua di Dar Hasani di Mesir, dan merupakan khalifah (muqaddam) kepada Sheikhuna Sidi Yusuf al-Hasani dalam thariqah asy-Syadhuliyah ad-Darqowiyah. Di samping itu, beliau juga giat memberi ta'lim kepada anak-anak Malaysia dan Indonesia yang menuntut di Mesir, di rumah-rumah dan di tempat-tempat organisasi mereka. Beliau juga sering menjadi tenaga pengajar jemputan di pelbagai pesantren dan organisasi. Di samping juga bakal menjadi tenaga pengajar di Ma'ahad Az-Zein di Bogor bagi membantu Sheikh Muhammad Noeruddin al-Banjari.


Kitab diskusi

Tajuk buku: al-Bayan (البيان لما يشغل الأذهان) (merupakan edisi terjemahan ke bahasa Indonesia dari kitab al-Bayan tulisan Mufti Mesir)
Pengarang : asy-Syaikh al-Allamah ad-Doktor Ali Jum'ah (Mufti Mesir).
Harga buku: RM25.00 (Boleh dibeli sewaktu pengajian atau order dari kami di blog al-Fanshuri)

Buku ini adalah merupakan himpunan fatwa Syaikh Dr. Ali Jum'ah. Buku Al-Bayan ini merupakan antara buku yang terlaris di pasaran khususnya di Mesir, kerana ianya menjelaskan tentang beberapa persoalan yang sering dipersoalkan dan ditimbulkan oleh sebahagian golongan muslimin, bahkan ada yang sampai tahap membid'ahkan perkara-perkara tersebut.

Antara persoalan-persoalan dan fatwa beliau adalah mengenai:
  • Warisan dalam Islam: benarkah ada "double standard"?
  • Ulasan tentang toleransi dalam islam,
  • Menjawab beberapa persoalan mengenai aqidah yang kesamaran.
  • Menjawab beberapa persoalan daripada tuduhan yang dilemparkan ke atas golongan sufi seperti masalah berhimpun dalam berzikir, nur muhammadi dan sebagainya.
  • Persoalan fiqh seperti persoalan sholat, puasa, zakat dan haji
  • Persoalan mu'amalat dan lain-lain dengan penjelasan dan penerangan yang sederhana serta bersandarkan kepada al-Qur'an, as-Sunnah dan ijtihad-ijtihad ulama' muktabar.
  • Dan lain-lain lagi

Marilah kita sama –sama menghadhiri majlis ilmu. Ubat kepada kejahilan itu adalah dengan menuntut ilmu. Manakala amal yang dilakukan tanpa ilmu itu ditolak.

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


Segala kebinasaan lidah – Siri ke 4
Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.


Kebinasaan Keempat:

الآفة الرابعة المراء والمجادلة

Artinya: Bermula kebinasaan keempat itu iaitu Mira`un (al-Mira`), yakni mencela akan perkataan orang dan mungkir [mengingkari] akan dia dan mujadalah yakni membantahi akan perkataan orang dengan dalil, supaya ia menang dan supaya alah [kalah] orang itu. Dan yang demikian itu haram yang ditegah oleh syara’ (seperti) sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
لاَتُمَارِ أَخَاكَ وَلاَ تُمَازِحْهُ وَلاَتَعِدْهُ مَوْعِدًا فَتُخْلِفُهُ

Artinya: “Jangan engkau cela akan perkataan saudaramu dan jangan engkau mungkir akan dia dan jangan engkau persenda-sendakan akan dia dan jangan engkau berjanji akan dia sesuatu janji maka engkau menyalahi akan janji itu.” (Hadits riwayat Imam at-Tirmidhi – al-‘Iraqi)

(Dan lagi) sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
مَنْ تَرَكَ المِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بَنَى اللهُ تَعَالى لَهُ بَيْتًا فِيْ أَعْلَى الجَنَّةِ وَمَنْ تَرَكَ المِرَاءَ وَهُوَ مُبْطِلٌ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِيْ رَبَضِ الجَنَّةِ

Artinya: Barangsiapa meninggalkan mencelakan akan perkataan manusia dan tiada membantahi ia akan dia padahal ia benar, nescaya memperbuat Allah Ta’ala baginya akan rumah diatas syurga. Dan barangsiapa meninggalkan akan mencelakan perkataan manusia dan ia meninggalkan akan membantahi akan dia padahal ia tiada benar nescaya memperbuat Allah Ta’ala baginya akan rumah di tepi syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidhi dan Ibnu Majah; hasan - al-‘Iraqi)

(Kata Imam) al-Ghazali رحمه الله تعالى (artinya):
“Dan had (batas) mira’ itu iaitu tiap-tiap membantahi atas perkataan orang lain dengan sebab menyatakan akan cedera di dalamnya. Adakalanya cedera pada lafaz dan ada kalanya cedera pada makna dan ada kalanya pada qasad orang yang berkata-kata itu serta mengqasad akan menghinakan orang itu dan serta menunjukkan kelebihannya atas orang yang lain itu. Dan yang demikian itu haram lagi dicela syara’”

Kemudian berkata pula Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى (artinya):
“Dan meninggalkan mira’ itu iaitu dengan meninggalkan akan menegur perkataan orang lain dan meninggalkan akan membantahi akan perkataan orang lain. Maka tiap-tiap perkataan yang engkau dengar akan dia, maka jika perkataan itu benar maka sayogianya engkau benarkan akan dia, dan jikalau ada perkataan itu bathil dan tiada takluk [bersangkut] ia dengan pekerjaan [urusan] agama maka sayogianya engkau diam daripadanya.”

(Kemudian) maka berkata pula Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى (artinya):
“Dan mencela di dalam perkataan orang lain itu ada kalanya di dalam lafaznya dengan menyatakan cedera perkataannya itu daripada pihak bicara nahwunya atau daripada lughatnya atau daripada pihak nazamnya dan tertibnya dengan jahat terdahulu dan terkemudian. Dan demikian itu adakalanya daripada singkat pengatahuannya dan adakalanya dengan tersalah lidahnya. Dan tiap-tiap barang mana kelakuan yang demikian itu maka tiada jalan yang mengharuskan bagi menyatakan akan cedera perkataan yang demikian itu.
Dan adapun cedera pada pihak makna, seperti engkau kata tiada ada makna perkataan itu seperti yang engkau kata itu. [Dan] [se]sungguhnya telah salah perkataanmu itu dengan begian-begian salahnya. Dan adapun cedera didalam qasadnya itu maka seperti engkau kata: Perkataan ini benar tetapi tiada qasadmu itu daripadanya sebenar-benarnya. Hanyasanya engkau qasad di dalamnya itu akan kehendak yang lain daripada makna lafaz itu. Dan barang yang berlaku atas kelakuannya itu. Dan perkataan yang mencela akan perkataan orang lain itu jikalau berlaku didalam masalah ilmu maka iaitu terkadang ditentukan dengan nama jidal, dan yang demikian itu pula dicela oleh syara’, tetapi wajib diam daripada mencela akan perkataan orang lain itu atau bertanya akan orang lain di dalam perkataan yang memberi faedah, bukan atas sifat menyangkali akan orang lain itu. Dan jangan dengan menyakitkan hati orang lain itu atau menyatakan kesalahan perkataan orang lain itu. [dan hendaklah] dengan perkataan yang lemah lembut di dalam mengingatkan akan dia dan jangan dengan perkataan yang mencela akan perkataan orang lain itu.”

(Kemudian) maka berkata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى dengan katanya (artinya):
“Dan mujadalah itu, iaitu ‘ibarat daripada qashad mengalahkan akan orang lain dan melemahkan akan dia, dan mengurangkan akan dia dengan mencela di dalam perkataannya. Dan dibangsakan kepada cedera perkataan itu dan dibangsakan akan dia kepada jahil di dalam perkataannya itu dan yang demikian itu haram lagi dicela oleh syara’”

(Kemudian) maka berkata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى(artinya):
“ Betapa wajib bahwa membenarkan apa yang mendengar ia akan dia daripada perkataan yang benar itu. Dan wajib diam daripada perkataan yang salah itu melainkan apabila ada di dalam menyebutkan akan dia itu faedah di dalam agama dan ada orang yang mendengar itu daripadanya. Maka sayogianya menyebutkan akan dia dengan perlahan dan jangan dikerasi menegur akan dia itu”

[Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; halaman 76 - 78]
Bersambung ke kebinasaan lidah yang kelima … iaitu berkelahi dan berbantah-bantah …….

Selasa, 12 Jun 2007

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah
(Siri 1 - Pengenalan )

Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى [keturunan Syaikh Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى] (1288H/1867M – 1358H/1939M) – Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

Sebelum memulakan transliterasi kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat MengEsakan Allah, maka ada baiknya diperkenalkan dahulu pengarang kitab berkenaan. Tulisan mengenai pengarang kitab berkenaan yakni Shaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى. Tulisan mengenai beliau kami kutip daripada tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir bin Wan Abdullah رحمه الله تعالى.

Shaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى adalah merupakan keturunan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى. Jalur keturunan sebelah ayahnya adalah: Syaikh Haji Abdurrahman Shiddiq bin Haji Muhammad ‘Afif bin Haji anang Mahmud bin Haji Jamaluddin bin Kiyai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Jamaluddin bin Ahmad al-Banjari.

Jalur keturunan yang menyentuh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama dunia Melayu yang sangat terkenal, ialah bahawa ibunya bernama Shafura binti Mufti Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As'ad. Ibu Mufti Haji Muhammad As'ad bernama Syarifah binti Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Bajut. Dari jalur yang lain pula bahawa ibu Muhammad Afif bernama Sari binti Khalifah Haji Zainuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Guat.

Dilahirkan pada tahun 1288H dan wafat pada hari Itsnin 4 Sha’ban 1358H bersamaan 18 September 1939M dalam usia 70 tahun.

Mendapat pendidikan awal dari keluarganya yang terdiri dari ‘alim ulama’ di Banjar. Sampai ke Mekah pada musim haji tahun 1306H, dan tinggal di sana hingga tahun 1312H. Antara shahabatnya sewaktu belajar di Mekah adalah Tuan Husein Kedah al-Banjari, keturunan Banjar yang dilahirkan di Kedah ini, (lahir 1280H/1863M), Haji Abdullah Fahim (lahir 1286H/1869M), Tok Kenali (lahir 1287H/1871M) dan ramai lagi. Antara guru-gurunya sewaktu di Mekah adalah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Sayyid Bakri Syata’, Syaikh Abdul Qadir bin Abdurrahman al-Fathani dan ramai lagi.

Sekembalinya dari Mekah terus ke Martapura, kemudian pindah ke Bangka dilanjutkan pengembaraan di seluruh Semenanjung menziarahi teman-temannya, di antaranya Tok Kenali. Beberapa sultan, di antaranya sultan Johor meminta beliau menjadi mufti, semuanya beliau tolak. Akhirnya Syaikh Haji Abdur Rahman Shiddiq membuka perkampungan sendiri yang kemudian diberi nama Parit Hidayat di Inderagiri Hilir. Di sanalah beliau membina umat membuka pengajian sistem pondok. Dalam masa kejayaannya membuka perkampungan untuk perkebunan kelapa dan pengajian itulah Syaikh Haji Abdur Rahman Shiddiq dilantik sebagai Mufti Kerajaan Inderagiri.

Dibidang penulisan, karya-karya Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang telah ditemui oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir] adalah seperti berikut:

  1. Asrarus Shalah, diselesaikan pada bulan Rejab 1320H. Kandungannya membicarakan mengenai sembahyang. Cetakan yang pertama Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Kampung Silong, Jalan Arab Street, Kedai Surat No, 82 Singapura, akhir Zulhijjah 1327H. Cetakan selanjutnya oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929M (cetakan ketiga).
  2. Fat-hul `Alim, diselesaikan pada 10 Syaaban 1324H. Kandungannya membicarakan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara lengkap. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 28 Syaaban 1347H/8 Januari 1929M.
  3. Risalatut Tazkirah li Nafsi wa lil Qashirin Mitsli, diselesaikan pada 20 Syaaban 1324H. Kandungannya merupakan tazkirah dan nasihat yang dipetik daripada Majmu' karangan Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Cetakan pertama, Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 1324H.
  4. Risalah Amal Ma'rifat, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 8 Rabiulawal 1332H. Kandungannya membicarakan akidah menurut pandangan tasawuf. Cetakan yang kedua, 30 Muharam 1344H oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura. [Kitab inilah yang akan ditransliterasi untuk tatapan pengunjung blog al-Fanshuri – InsyaAllah]
  5. Syair Ibarat dan Khabar Kiamat, diselesaikan 25 Zulhijjah 1332H. Kandungannya menceritakan peristiwa Hari Kiamat ditulis dalam bentuk syair. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 9 Syaaban 1344H.
  6. Risalah Kecil Pelajaran Kanak-kanak Pada Agama Islam, diselesaikan 1 Safar 1334H. Kandungannya merupakan pelajaran fardhu ain untuk kanak-kanak. Cetakan yang ketiga oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929 M.
  7. Aqaidul Iman, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 16 Rabiulawal 1338H. Kandungannya membicarakan tentang akidah. Cetakan baru oleh Toko Buku Hasanu, Jalan Hasanuddin Banjarmasin atas izin Mahmud Shiddiq, Pagatan, Kota Baru, Pulau Laut, Kalimantan Selatan, 1405M. Diterbitkan daripada salinan tulisan tangan oleh Hasan Bashri Hamdani.
  8. Syajaratul Arsyadiyah, diselesaikan 12 Syawal 1350H. Kandungannya membicarakan asal-usul Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan-keturunannya. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura.
  9. Risalah Takmilah Qaulil Mukhtashar, diselesaikan 10 Safar 1351H. Kandungannya menceritakan tanda-tanda Hari Kiamat dan mengenai kedatangan Imam Mahdi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, dicetak kombinasi dengan Syajaratul Arsyadiyah (103 halaman) oleh pengarang yang sama, dan Risalah Qaulil Mukhtashar fi `Alamatil Mahdil Muntazhar (55 halaman) karya Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.
  10. Mau'izhah li Nafsi wa li Amtsali minal Ikhwan, diselesaikan 5 Rejab 1355H. Kandungannya merupakan kumpulan pengajaran akhlak. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1355H.
  11. Beberapa Khuthbah Pakai Makna Karangan Jaddi as-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah yang pernah diucapkan oleh Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetakan.
  12. Majmu'ul Ayat wal Ahadits fi Fadhailil `Ilmi wal `Ulama' wal Muta'allimin wal Mustami'in, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan hadis serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1346H/1927M.

Ar-Rasail al-Darqawiyah
(Siri – 2)

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya belajar dan bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah sesekali diandaikan dengan kefahaman sendiri. Sekian.)

فاعلموا- رحمكم الله- أن الفقير إذا بدل ذكر كل شيء بذكر الله خلصت له عبوديته لله ، ومن تخلصت عبوديته لله فهو ولي الله ، ومن كذب فعليه لعنة الله . فلا تذكروا إلا الله ، ولا تكون إلا لله ، إذ من كان لله كان الله له ، ويا سعد من كان لله وكان الله له ، ويكفي في ذكرالله قوله تعالى : فَاذْكُرُوْنِيْ أَذْكُرْكُمْ (سورة البقرة الآية 152) وقوله صلى الله عليه وآله وسلم فيما رواه عن ربه عز وجل : أنا جليس من ذكرنـي .

Ketahuilah, (semoga Allah memberi rahmat kepadamu!) bahawa faqir(1) apabila ia menukarkan ingatan terhadap selain Allah dengan ingatan terhadap Allah (yakni dhikrullah), ia mengikhlaskan ‘ubudiahnya kepada Allah, dan barangsiapa memperhambakan dari kepada Allah dengan tulus adalah ia wali Allah. (ومن كذب فعليه لعنة الله) (Barangsiapa yang berdusta maka atasnyalah laknat Allah!) Oleh itu, ingatlah Allah sahaja. Jadilah kepunyaan Allah sahaja. Kerana jika engkau kepunyaaan Allah (dengan engkau memperhambakan diri kepadanya dan berserah diri sepenuh-penuhnya kepadaNya), nescaya adalah Allah kepunyaanmu (sebagai tuan yang menjaga, memelihara dan memberi perlindungan kepadamu), dan mendapat berkatlah orang yang kepunyaan Allah maka Allah menjadi kepunyaannya. Memadalah firman Allah ( فاذكروني أذكركم ) yakni “kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu”(2) menjadi bukti tentang fadhilat dhikrullah. Demikian juga hadith qudsi yang berbunyi ( أنا جليس من ذكرني ) Ertinya: “ Aku teman sedudukan orang yang mengingat akan Daku”(3).


وكان أستاذي رضي الله عنه يقول لي : نحب ما نسمع عليك . فكذلك العربي الدرقاوي يحب ما يسمع عليكم مما يميت نفوسكم ويحيي قلوبكم لا العكس ، إذ لا يشتغل بما يحيي النفوس ويميت القلوب إلا الغافل الجاهل المطموس البصيرة المظلم السريرة ، إذ المرء ما له إلا قلب واحد ، ومهما أقبل على جهة إعرض عن الأخرى ، إذ مَّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّنْ قَلْبَيْنِ فِيْ جَوْفِهِ (سورة الأحزاب الآية 4) كما قال الله تعالى . وقد قال الشيخ الجليل سيدي ابن عطاء الله رضي الله عنه : إقبالك على الحق إدبارك عن الخلق ، إقبالك على الخلق إدبارك عن الحق .

Syaikhku (semoga Allah redho dengannya) pernah berkata kepadaku: Aku suka mendengar perkataan-perkataan yang mencelamu”. Demikanlah al-‘Arabi al-Darqawi pun suka mendengar perkataan-perkataan yang mencelamu – yakni perkataan-perkataan yang membunuh nafsumu (atau sifat takburmu) dan menghidupkan hatimu (dengan merasa hina dan berpaling kepada Allah); tetapi sebaliknya, hanya orang yang lalai, orang yang jahil orang yang aqalnya sudah kehilangan cahaya dan hati nuraninya telah menjadi kelam, yang menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang menghidupkan nafsu(4) dan mematikan hati. Kerana manusia hanya mempunyai satu hati. Bilamana ia berpaling kepada suatu pihak, ia membelakangi pihak yang lainnya. Firman Allah Ta’ala:

ما جعل الله لرجل من قلبين في جوفه
Ertinya: “Allah sekali-kali tidak menjadikan seseorang dua buah hati dalam rongganya”(5). Dengan maksud yang sama, syaikh yang mulia, Sidi ‘Atho’ilaah رضي الله عنه berkata: “Berhadap kepada Allah ialah dengan membelakangkan makhluq, berhadap kepada makhluq ialah dengan membelakangkan Allah”.


________________________________
Notakaki:-

(1) Orang yang papa, yang diisyaratkan disini ialah ( الفقير إلى الله ) “orang yang papa terhadap Allah” yakni amat berhajat kepada Allah dalam segala perkara, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah al-Faathir : 15: (يأيها الناس أنتم الفقراء إلى الله والله هو الغني الحميد ). Ertinya: Hai sekalian manusia! Kamu semuanya faqir terhadap Allah dan Allah, Dialah yang amat kaya lagi amat terpuji. Di dalam bahasa Parsi “faqir” itu disebut “darwish”. Sidi Abu al-Mawahib at-Tunisi menyebut didalam kitabnya رسالة قوانين حكم الاشراق : Orang yang faqir dalam hubungan dengan Allah (فقير الى الله) akan dikayakan melalui Allah. Tetapi orang yang merasa dirinya terlalu kaya untuk menyeru Allah (atau berdoa kepada Allah) akan berhajat kepada segala suatu, dan orang yang berhajat kepada segala suatu akan ditinggalkan oleh segala suatu dan tiadalah suatu apa yang dapat memberi manfaat kepadanya sebagai ganti Allah.

(2) Surah al-Baqarah: 152

(3) Hadits ini diriwayatkan oleh ad-Dailami daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها secara marfu’. Diriwayatkan juga oleh Sidi ‘Abdul Qaadir al-Jailani di dalam kitab al-Fath al-Rabbani wa al-Faidh al-Rahmani dalam majlis ketiga dan majlis keempat pulah tujuh. Hadith qudsi atau hadith Rabbani ialah hadith daripada Nabi صلي الله عليه وسلم yang menghikayatkan firman Allah Ta’ala selain daripada firmanNya didalam al-Quran. Adapun hadits biasa dinamakan hadith Nabawi.

(4) Dimaksudkan dengan nafsu disini ialah ( النفس الامارة بالسوء ) an-Nafsu al-Ammaaratu bissuu’ (diri yang menyuruh kepada kejahatan) iaitu ibarat daripada himpunan segala sifat yang tercela pada seseorang insan.

(5) Surah al-Ahzaab: 4

Isnin, 11 Jun 2007

Ziarah Ulama' Di Kedah




Pada 8 jun 2007, alhamdulillah, aku berkesempatan menziarahi beberapa orang ulama di Kedah bersama dengan dua orang lagi saudaraku iaitu Ustaz Orkhan Ghazi [gambaq sebelah .... hehehe] dan Ustaz Muhasibi ats-Tsani [tak dak gambaq ... dia bujang teruna lagi, kalau boh gambaq nanti ramai pakat berkenan .... hehehe. Maaf no, Ustaz Muhasibi ats-Tsani]. Alhamdulillah, pada pagi Jum’at tersebut destinasi pertama kami adalah ke Bukit Tembaga menziarahi Pak Su Mid. Nama Pak Su Mid Bukit Tembaga ni terkenal di Kedah. Pendekata orang ‘ngaji’ kenal dia sapa. Bahkan Tuan Guru kami, Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari juga sering menziarahi beliau. Sejuk hati melihat wajah bersih Paksu Mid. Alhamdulillah, banyak mutiara ilmu, hikmah dan nasihat yang dapat aku kutip darinya. Seronok dapat ziarah ulama nih. Kelmarin Ustaz Orkhan Ghazi dan Ustaz Muhasibi ats-Tsani pi ziarah Pak Lang Keria di Kubang Rotan. Aku tak dan ikut pasai masih dalam bas menuju ke Kedah. Untung sungguh depa, dapat pi jumpa murid kepada Pa Da El, Shaikh Yasin Padang dan Shaikh Abdul Qadir Mandili. Takpa next trip aku pulak ... ramai lagi nak pi ziarah ni ... tu baru Kedah. tak masuk Perak, Kelantan, Terengganu dan lain-lain. Belum masuk Indon lagi ... Allahu Allah. Semoga dimudahkan.


Setelah hampir Jum’at, kami bergegas kembali ke Aloq Staq, bersholat Jum’at di Masjid Jamek Jalan Sultanah. Usai sholat Jum’at kami bertemu dengan seorang ulama ‘tua’ Kedah iaitu Dato’ Syaikh Zakaria Haji Ahmad Wan Besaq. Seorang yang bertubuh kecil tapi kaya dengan ilmu, wajahnya bersih menenangkan hati, tuturkatanya lembut dan dihiasi senyuman. Kalau tak silap aku Syaikh Zakaria dilahirkan di Mekah dan membesar disana. Menurutnya dia mendapat didikan awal dari ulama tersohor, Syaikh Yasin al-Fadani [gambaq sebelah]. Bahkan katanya …….saya kenai alif, ba, ta melalui beliau….. Beliau juga dibaiahkan dengan thoriqat Syattariah oleh Pak Da El al-Fathoni al-Makki sewaktu di Mekah. Menurut Dato Syaikh Zakaria …dia baiah saya semasa saya masih kecil …waktu baiah tu tenggelam tangan saya bawah tangan Pak Da El …. Selain itu beliau juga sempat bertemu dan belajar dengan Syaikh ‘Ali al-Maliki. Bahkan katanya, abang beliau sempat berkhidmat selama 7 tahun kepada Syaikh ‘Ali al-Maliki. Allahu Allah … Alangkah bertuahnya mereka. Namun aku rasa bertuah dan gembira kerna dapat bertemu dengan ulama yang bertemu dengan ulama-ulama besaq dulu. Selain mendapat pendidikan dari Mekah beliau juga menyambung pengajiannya ke al-Azhar, Mesir. Beliau juga merupakan seorang ahli jawatankuasa fatwa negeri Kedah Darul Aman.

Dato Syaikh Zakaria, walaupun sudah berusia namun sangat gigih menyampaikan ilmu. Sebelumnya beliau mengajar diSik, dan selepas Jum’at beliau akan pergi ke Kulim pula untuk mengajar …. Subhanallah. Boleh dikatakan setiap hari jadual beliau penuh. Suaranya juga boleh didengari dicorong radio Kedah apabila beliau menyampaikan ilmu menerusi radio. Selain mengajar beliau juga menulis. Antara kitab beliau adalah:-
  • ‘Aqidah al-Mu’minin untuk menghuraikan ‘ibarat kitab ‘Aqidah an-Naajin
  • Terjemahan kitab al-Qaul at-Taam fi Ahkaam al-Ma’mum wa al-Imaam ‘ala Mazhab al-Imaam asy-Syafie
  • Mathla’ an-Nurain untuk menghuraikan ‘ibarat kitab Mathla’ al-Badrain
  • Sullam at-Tauhid
  • al-Jawaahir ash-Shufiah huraian kitab Qathr al-Ghaithiyah fi Ilmi ash-Shufiah ‘ala Syariah al-Muhammadiah.
Diakhir majlis pertemuan singkat di Masjid Sultanah itu, saudaraku, Ustaz Orkhan Ghazi telah membacakan beberapa buah hadits .. dan seterusnya Dato Zakaria mengijazahkan sanad hadits tersebut dan kitab-kitab yang beliau terima dari guru-gurunya di Mekah, terutamanya Syaikh Yasin Padang. Alhamdulilah.

Selesai pertemuan tersebut, aku dan Ustaz Muhasibi menghantar Ustaz Azlan ke hotel untuk berehat seketika. Setelah itu, aku dan Ustaz Muhasibi pi makan tengahari.


Dalam jam 3.30 kami meneruskan lagi program ziarah. Destinasi seterusnya adalah ke Gajah Mati. Kami singgah di Masjid Lama Gajah Mati untuk menziarahi pusara Tuan Guru Syaikh Haji Wan Muhammad Shaghir Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdurrahman bin Wan Abu Bakar yang telah kembali kerahmatullah pada hari Khamis, 24 Rabi`ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007. Alangkah bertuahnya Tuan Guru kerna pusaranya berjiran dengan dua orang ulama besar iaitu Tuan Guru Syaikh Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Tok Ayah Doi (Dol) dan juga Syaikh Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir atau lebih dikenali dengan nama Pak Chu Him (adik kepada Pa Da El al-Fathoni al-Makki). Ada sepotong hadits berbunyi:
ادفنوا موتاكم وسط قوم صالحين فإن الميت يتأذي بالجار السوء
“Kebumikanlah simati dari kalangan kamu ditengah-tengah kaum yang sholeh, kerana sesungguhnya mayat itu merasai sakit disebabkan jirannya (jiran kuburan) yang jahat.” – Hadits riwayat Abu Nuaim daripada Malik bin Anas daripada Nafi’ bin Malik daripada ayahnya daripada Abu Hurairah رضي الله عنه .


Rasanya elok aku cerita sedikit mengenai dua orang ulama ini secara ringkas. Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Tok Ayah Doi adalah merupakan pengasas Pondok Gajah Mati, Kedah. Beliau berasal dari Fathoni dan merupakan salah seorang murid kepada ulama besar Fathoni iaitu Tok Wan Din al-Fathoni atau nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani, kemudian disingkat dengan Syeikh Muhammad Zain saja. Tok Wan Din lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Ulama dan tokoh ini selain mendapat pendidikan dari orang tuanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I), seterusnya Tok Wan Din mendapat pendidikan langsung dari ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah. Setelah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani wafat, Tok Wan Din al-Fathani mengikuti pengajian-pengajian yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang kedua-duanya ulama bangsa Arab yang sebaya umur dengan beliau. Begitulah sedikit mengenai guru kepada Tok Ayah Doi.

Salah seorang anak Tok Ayah Doi yang terkenal adalah Tuan Guru Haji Hussin Che Doi yang membuka pondok di Guaq (Guar) Cempedak [gambaq atas tuu....]. Pondok Tok Ayah Doi di Gajah Mati diserahkan kepada menantu beliau iaitu Syeikh Wan Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Pak Cu Him, yang juga merupakan anak saudara Tok Wan Din al-Fathoni (guru kepada Tok Ayah Doi).


Pak Chu Him, dilahirkan di Bendang Daya, Fathoni pada tahun 1884. Beliau adalah adik kepada Pak Da El, seorang ulama di Mekah yang terkenal dengan ilmu usuluddin/tauhid. Mereka adalah anak kepada Tuan Guru Wan Abdul Qadir al-Fathoni atau lebih masyhur dengan nama Tok Bendang Daya II. Diantara murid Pak Chu Him yang terkenal di Mekah adalah adalah Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al-Mandili al-Indonisi. Pak Chu Him lah yang menghantar Syaikh abdul Qadir untuk belajar dengan abangnya Pak Da El di Mekah. Pak Chu Him kembali ke rahmatullah pada hari Khamis 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 ketika berumur 74 tahun. Jenazahnya diabadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Doi. Semoga Allah merahmati mereka semua dan meninggikan darjat mereka di syurga, dan memberi kita manfaat dari mereka, ilmu-ilmu mereka, rahsia-rahsia mereka, cahaya dan berkat mereka di dalam agama, dunia dan akhirat.. Begitulah serba sedikit mengenai ulama yang pusara mereka aku ziarahi.

InsyaAllah, kalau ada kesempatan aku ingin menulis mengenai mereka diblog ini agar generasi sekarang lebih mengenali ulama kita. Sebenarnya banyak yang ingin aku kongsi bersama, namun kesuntukan masa dan keuzuranku yang menjadi sedikit penghalang. InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusanku.


Selepas menziarahi pusara, kami bertandang ke rumah Ustaz Wan Izzuddin bin Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir. Beliau lebih mesra di panggil dengan Pak Njang Izuddin. Menatap wajah beliau …. ada iras dengan Pak Chu Him. Masyaallah, rumah beliau, yang merupakan rumah tinggalan Pak Chu Him, penuh dengan kitab-kitab cetakan lama. Bahkan ada sesetengah kitab sudah tidak dijumpai dipasaran lagi. Seronok dapat bertemu ulama. Dan aku kagum, walaupun Pak Njang baru sampai dari Kelantan, beliau tetap melayan kami dengan mesra. Pak Njang dari mendapat didikan awal dari ayahandanya, dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Deoband, India dan Mesir. Beliau juga belajar di Mekah. Selain dari bersilaturrahim, berbincang, dengan Pak Njang, kami juga ambil kesempatan untuk membelek kitab-kitab yang terdapat dirumah Pak Njang. Allahu Allah …… Oelh kerana maghrib sudah hampir maka, kami mohon undur diri dahulu. Seperti biasa diakhir majlis, Ustaz Orkhan Ghazi meminta izin untuk dibaca beberapa buah hadits dihadapan Pak Njang …. InsyaAllah kalau ada kesempatan, kami akan datang lagi … tapi kali ini untuk membaca kutubusssittah dengan beliau …

Itulah serba sedikit catatan perjalananku menziarahi ulama pada 8hb Jun 2007. Namun satu dua perkara yang aku kesali ….. pertama, aku lupa bawa kamera untuk merakamkan gambar kenang-kenangan dan kedua tidak membawa buku catatan untuk mencatit ilmu, hikmah dan nasihat yang diberikan. Memang aku ini alpa … guruku dulu sering ingatkan sebagaimana sepotong syair:

العلم صيد والكتابه قيده * قيد صيودك بالحبال الواثقة
Ilmu adalah [seumpama] haiwan buruan, dan menulis itu adalah ikatannya. Ikatlah buruan kamu (yakni ilmu) dengan tali yang kuat (yakni dengan menuliskannya).

InshaAllah, moga bulan depan aku bercadang untuk menziarahi beberapa ulama lagi ….

Selasa, 5 Jun 2007

Sholat Tasbih

Alhamdulillah, hari Ahad 3 Jun 2007, berpeluang mengikuti pengajian Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki asy-Shadhuli. Kitab pengajian adalah kitab Hidayatus Salikin karangan Syaikh Abdusshamad al-Falimbani. Pengajian bulanan ini dahpun sampai ke tajuk mengenai sholat sunat tasbih. Aku rasa nak kongsi sedikit bab ni dengan pengunjung blog al-Fanshuri pasai ada juga aku dengar golongan yang mengatakan sholat tasbih ni takdak dalil bahkan ada yang membid’ah dholalahkan mereka yang mengerjakannya [mungkin golongan ni hanya membaca pendapat Ibn Jauzi yang mengatakan hadits tentang sholat tasbih tu dhoif/maudhu’. Maka mereka pun hukumkan bid’ah, pasai bagi mereka setiap ibadah yang berlandaskan hadits dhoif/maudhu maka dihukumkan bid’ah (dholalah)… … ish!ish!ish! Boleh pi tengok قوائد معرفة البدع (kaedah mengenal bid’ah) tulisan Dr Muhammad bin Husain al-Jizani Tapi setau aku ‘salapi’ kat Malaysia ni tak dak masalah pasai al-Albani kata hadits tentang sholat tasbih ni shahih … Cuma yang depa dok bid’ahkan bila dilakukan secara berjemaah …. hehehe. Takpalah .. ikut suka hangpa! ] Mudah-mudahan apa yang aku kongsi sama-sama kita dapat beramal dengannya. Insyaallah.

وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب

Syaikh Abdusshamad al-Falimbani menyebut didalam kitab Hidayatus Salikin:

Ini suatu faedah yang amat baik pada menyatakan kelakuan sembahyang tasbih dan menyatakan kelebihannya yang tersebut di dalam hadits Nabi صلى الله عليه وسلم. ……

Sholat tasbih ini dianjurkan dan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم kepada bapa saudara baginda sebagaimana yang tersebut didalam hadits.

“Maka jikalau kuasa engkau perbuat akan sembahyang tasbih itu pada tiap-tiap hari maka olehmu. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap hari maka perbuat olehmu di dalam tiap-tiap satu Jum’at sekali [seminggu sekali]. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap Jum’at sekali, maka perbuat olehmu akan yang demikian itu di dalam tiap-tiap bulan sekali. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap bulan sekali maka perbuat olehmu akan yang demikian itu di dalam tiap-tiap setahun sekali. Maka jikalau tiada kuasa tiada kuasa engkau perbuat akan demikian itu pada tiap-tiap setahun sekali maka perbuat olehmu akan yang demikian itu seumur hidupmu sekali.” [Hidayatus Salikin]

Antara kelebihan shalat tasbih sebagaimana yang tersebut didalam kitab Hidayatus Salikin adalah
  • Diampuni Allah akan dosa-dosa yang dikerjakan, awalnya, akhirnya, sedianya [yang lama] dan baharunya [yang baru], tersalahnya [tidak sengaja] dan sengahajanya, sembunyinya atau nyatanya [terang-terangan], kecil atau besar. Pendekata diampuni sekelian dosa walaupun dosa itu sebanyak buih dilautan atau sebanyak bilangan pasir dipadang pasir. [kelebihan ini berdasarkan kepada hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Khuzaimah, al-Hakim dan al-Baihaqi]
  • Menurut Syaikh Ahmad al-Qusyasyi sholat tasbih itu mentsabitkan ta;sir (kesan) yang amat besar pada membaikkan hati dan arwah (rohani) dan melembutkannya. Membuka dan menerangkan hati. Mendatangkan hikmah pada lidah dan hati. Terpelihara daripada segala seteru

Adapun tentang kaifiat dan dalil sholat tasbih, apakah boleh ianya dilakukan secara berjemaah dan lain-lain lagi, nanti aku tulis kemudian, insyaAllah. Rasanya ramai yang dah tau dan pakat dok amal dah.

Adapun hukum mengerjakan sholat tasbih adalah sunat sebagaimana yang tersebut didalam kitab-kitab fiqh.Didalam kitab Fathul Mu’in ada disebut:

“ … dan termasuk [di dalam golongan sholat-sholat sunat yang tidak disunatkan berjemaah ialah] sholat tasbih. Dan ianya ialah terdiri daripada 4 rakaat dengan satu salam atau dua salam. Dan hadits berkaitan dengannya adalah hasan kerana banyak jalan periwayatannya. Dan sholat tasbih itu pahalanya tidak terkira banyaknya. Dari segi itu sebahagian muhaqqiqin berkata: Tiadalah seseorang yang mendengar tentang besar kelebihannya dan tidak melakukan sholat itu melainkan ianya adalah seorang yang meringan-ringankan agamanya…..”[salah seorang ulama’ yang mengatakan demikian adalah imam Taj as-Subki]

Tok Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni رحمه الله تعالى di dalam kitabnya ada menyebut:

“ … dan setengah daripadanya, sunat kita muwadzabahkan yakni mengekalkan dan mengamalkan sembahyang tasbih kerana amat besar fadhilatnya lagi amat besar kadarnya pada Allah Ta’ala, serta muwafaqat segala ulama pada disuruh mengerjakan dan mengekalkan dia pada tiap-tiap hari jika kuasa. Maka jika tiada, maka tiap-tiap Jum’at. Dan jika tiada, maka tiap-tiap bulan. Dan jika tiada, maka tiap-tiap tahun sekali. Dan jika tiada, maka di dalam seumur hidup sekali ….”

Al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad رحمه الله تعالى menyebut didalam kitab beliau an-Nasho-ih ad-Diniyah wal Washoya al-Imaniah:

“….sholat tasbih adalah di antara sholat-sholat sunat yang amat digalakkan oleh agama …….. Pada pendapatku, setiap orang yang rajin beribadah tidak harus meninggalkan sholat ini, sekurang-kurangnya seminggu sekali ataupun setiap bulan sekali …”

Demikianlah serba sedikit yang dapat aku kongsi bersama untuk hari ini, aku agak sibuk sedikit dengan beberapa tugasan. Dan insyaAllah akan sambung lagi mengenai kaifiat dan beberapa hadits yang mengenai sholat tasbih, kalau ada kesempatan. Khamis ni balik Kedah lagi dalam 2-3 hari.

Related Posts with Thumbnails