Nama penuhnya ialah Syaikh 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin Utsman. Tokoh mutakhir Fathani Darus Salam (sehingga penghujung abad 20) yang paling banyak menulis. Lahir pada 1340H/1921M di Kampung Sekam. Memulakan pendidikan awalnya di Pondok Balur (1356H – 1360H) sebelum menyambung di Pondok Kubang Pasir selama 2 tahun dan kemudian di Pondok Pusan, Perigi selama 5 tahun. Setelah mengitari 3 buah pondok di Fathani, beliau pergi ke Kelantan dan berguru dengan Tuan Guru Haji 'Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payung yang masyhur itu. Selain daripada itu, beliau juga berguru dengan Tok - Tok Guru sekitar Kota Bahru seperti dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Muhammad Nur Penambang. Setelah itu, beliau menyambung pengajian di Makkah dan berguru di sana dengan Syaikh Ismail bin 'Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da 'Eil) dan guru-guru bangsa 'Arab yang lain. Beliau berada di Makkah selama 5 tahun (berangkat ke Makkah pada akhir 1370H dan pulang pada tahun 1375H).
Apabila pulang ke pulang ke tanahairnya, beliau membuka pondok di Kampung Wakaf Budi, Sekam. Selama menjadi guru pondok, beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu Ushul ('Aqidah). Ayah Dir menjadi pengasuh Pondoknya “al-Ma'had al-Islamiy” sehingga ke akhir hayatnya, kira-kira selama 35 tahun lamanya. Selama waktu ini, beliau berjaya muncul sebagai salah seorang ulama Fathani yang disegani. Kerana reputasinya yang sebegini, tidak hairan jika beliau dijemput menganggotai Lujnah Ulama Fathani oleh Majlis Agama Islam Fathani. Ayah Dir tutup usia pada pagi Khamis, (jam 1.15 pagi) 18 Rabi`ul Awwal 1412H (26 September 1991).
Beliau rajin menulis dan mengarang kitab. Antara karya beliau ialah:-
- Taqribul Ikhwan fi Ta'limi 'Aaqa-idul Iman (3 Dhulhijjah 1355H)
- Asasul I'tiqaad (selesai tulis pada 14 Syawwal 1376H)
- Cermin Suluhan Pada Menyatakan Hukum Sembelihan (8 Syawwal 1377H)
- Tashiludh-Dhu`afa` wa radd ba'adh aqwal as-Sufaha` (akhir Rajab 1385H)
- Ta'limul Awlad fi dzikri ba`adh ahwal al-'Ibad (3 Muharram 1387H)
- Tabyin Kadzb al-Muftari fi ma Yata’allaqu bi al-Baari (akhir Muharram 1388H)
- Tadzkiratu li Dzawil Afkar fi ma Yamurru bil Insani minal A'maar (14 Rabi’ Tsani 1389)
- Wasaailu 'Ilmil Kalam (22 Syawwal 1392H)
- Risalah Minhaj Ahlis Sunnah (11 Jumad al-Ula 1405H)
- Irsyadul Jawiyyin ila Sabilil-Ulama-il 'Amiliin (18 Dhulqaedah 1409H)
Kitab “Irsyadul Jawiyyin” mengandungi bahasan mengenai kesesatan dan kesilapan fahaman Wahhabi dan Ibnu 'Abdul Wahhab. Dalam kitab ini beliau, pada halaman 10, ada menyentuh tentang menyambut maulidurrasul صلى الله عليه وآله وسلم di bawah tajuk: Bicara Maulud an-Nabiy صلى الله عليه وآله وسلم. Kata beliau:
Adalah buat maulud pada panggilan orang melayu kita ialah setengah daripada bagi membesarkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan keseronokannya dan baca maulud zanji (kitab maulid Barzanji) atawa (atau) lainnya, dan berdiri ketika menyebutkan beranaknya (lahirnya) صلى الله عليه وآله وسلم, dan berjamu makanan dan lainnya daripada bermacam-macam kebajikan pada bulan Rabi’ al-Awwal tiap-tiap tahun sebagai mendzahirkan kesukaan beranak Nabi صلى الله عليه وآله وسلم padanya, semetelah pula dengan ‘ain malamnya dan harinya [1] maka adalah itu-itu perkara ialah daripada bid’ah hasanah sepangkat dengan buat pondok-pondok dan madrasah-madrasah masalan (misalnya), tetapi jika dibuatnya dengan niat membesarkan bulan yang diperanakkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم padanya dan tidak digaulkan (dicampurkan) dengan permainan-permainan yang haram masalan (misalnya) atawa dengan tujuan-tujuan yang lain, dan dalam Hawi bagi (karangan Imam) Sayuthi menshorihkan dengan katanya: Maka disunatkan bagi kita mendzahirkan syukur dengan diperanakkan صلى الله عليه وآله وسلم dengan berhimpun dan berjamu jamuan dan umpamanya kerana Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم sendiri syukur ia akan Allah di atas mengadakan dia rahmat bagi sekelian ‘alam ……….
Notakaki [1]
قال الإمام أبو شامه شيخ للصنف رحمه الله تعالى: ومن أحسن ماابتدع في زماننا ما يفعل في كل عام في يوم الموافق ليوم مولده (صلى الله عليه وآله وسلم) من الصدقات والمعروف واظهار الزينة والسرور فان ذلك مع ما فيه من الاحسان الى الفقراء يشعر يمحبة النبي صلى الله عليه وآله وسلم وتعظيمه وجلالته في قلب فاعل ذلك وشكر الله تعالى ما من به من ايجاد رسول الله الذي ارسله رحمة للعالمين (صلى الله عليه وآله وسلم) اعانه - 271/1
Telah berkata Imam Abu Syamah guru bagi Imam an-Nawawi: Dan setengah daripada sebaik-baik perkara yang diadakan pada zaman kita iaitulah barang yang diperbuat akan dia pada tiap-tiap tahun pada hari yang bersamaan bagi hari diperanakkan Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dengan bersedekah dan berbuat ma’ruf dan mendzahirkan perhiasan dan kesukaan, maka bahwasanya yang demikian itu serta dengan ihsan bagi segala faqir miskin iaitu menunjukkan kasih akan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan membesarkan akan dia dalam hati orang yang memperbuat akan yang demikian itu. Dan syukur akan Allah Ta’ala atas barang yang telah dikurniai ni’mat dengannya dengan dibangkitkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang telah dijadi akan dia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم rahmat bagi sekelian ‘alam. – I’anatut Tholibin, 1/271.
Al-Fatihah untuk Ayah Dir Sekam al-Fathani dan guru-gurunya.
Sekian dari al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Dhuha, Selasa, 5 Rabi' al-Awwal 1432H
1 komen:
Masya Allah.. Terima kasih kepada saudara blogger yang menulis latar belakang Allahyarham.. Beliau adalah datuk saya yang amat dikasihi.. Saya sangat mengagumi beliau.. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.. Amiin..
Suhaimi
Kajang, Selangor
Catat Ulasan