Gambar Hiasan |
Al-Qadhi Abu Al-Fadhl ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh bin 'Imrun bin Musa bin Muhammad bin 'Abdullah bin Musa bin 'Iyadh al-Yahshubi al-Maliki, adalah seorang faqih di dalam mazhab Maliki dan seorang ulama hadits pada zamannya. Hal ini disebut oleh al-Qadhi Syamsuddin di dalam kitab Wafayat al-A’yan: “Al Qadhi Iyadh adalah seorang ulama hadits pada zamannya, dan seorang yang alim di antara orang-orang di sekitarnya, dia juga menguasai ilmu nahwu, bahasa, dan dialek bangsa Arab, serta mengetahui ilmu hari dan nasab.”
Qadhi ‘Iyadh lahirkan di Ceuta (hujung utara Maghribi, di persisiran pantai Mediterranean berdekatan dengan Selat Gibraltar) pada bulan Sya’ban tahun 476H. Keluarga beliau berasal dari Andalus yang berhijrah ke kota Fes di Maghribi.
Pada tahun 509H, beliau mengembara ke Andalus untuk mencari ilmu. Di sana beliau belajar kepada Qadhi Abu ‘Abdullah Muhammad ibn ‘Ali ibn Hamdin, Abu al-Hussin as-Siraj, Abu Muhammad ibn ‘Attab dan lain-lain. Menurut Ibnu Khallikan, guru-guru Qadhi Iyadh berjumlah hampir seratus orang. Sekembalinya dari Andalus, beliau di lantik menjadi Qadhi Ceuta. Kemudian dilantik menjadi Qadhi Granada pada tahun 531H. Namun tidak lama setelah itu, beliau kembali menjadi Qadhi di Ceuta.
Beliau juga menulis sejumlah kitab-kitab, antaranya: Al-Ikmal fi Syarh Shahih Muslim sebagai pelengkap kitab Al Mu’lim karya Al Mazari; Masyariq al Anwar fi Tafsir Gharib al Hadits; at-Tanbihat al-Mustanbita; Tartib al-Madaraik wa Taqrib al-Masalik; al-I’lam bi Hudud Qawaid al-Islam; al-Ilma fi Dabt ar-Riwayah wa Taqyid as-Sama’; Ajwiba al-Qurtubiyyin; al-Maqasid al-Hisan fima Yalzam al-Insan; al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa dan lain-lain. Qadhi Iyadh meninggal dunia pada tahun 544H di Marakkesh, Maghribi.
Di kitab beliau berjudul al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (juzuk 2, halaman. 35-36) beliau menyebutkan tentang kewajipan mentakzim Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Kata beliau (maksudnya – dipetik dari blog Sawanih wa Khawatir):
Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, menyebut hadits dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan ahlulbait dan para sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم .
Kata Abu Ibrahim al-Tujibi: Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم atau disebut nama Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.
Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم).
0 komen:
Catat Ulasan