Al-Habib Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil bin 'Umar bin Yahya al-'Alawi. Lahir di Pekojan Betawi (Jakarta) pada 17 Rabi'ulawwal 1238H/2 Disember 1822M. Beliau adalah Mufti Betawi. Antara guru-guru beliau adalah Syeikh Ahmad ad-Dimyathi, Sayyidi Ahmad bin Zaini Dahlan, al-Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi, Syeikh Rahmatullah, al-Habib Hasan al-Bar, al-Habib 'Abdullah bin Hussin bin Thohir, al-Habib 'Abdullah bin Umar bin Yahya dan lain-lain. Beliau adalah teman kepada Mufti Beirut, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani. Beliau aktif menulis. Karya beliau berjumlah 109 judul besar dan kecil. Al-Habib Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil bin 'Umar bin Yahya wafat pada tahun 1333H.
Antara karya beliau adalah Ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم . Digunakan perkataan "Ad-Durr" pada awal judul kerana ada pada cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 hijrah. Tetapi, pada edisi cetakan di Betawi digunakan perkataan "Az-Zahar". Tidak ada tarikh mula mahupun selesai penulisan. Semua edisi cetakan diberi keterangan pada bahagian atas dengan kalimat- "Ini kitab menyatakan perihal junjungan kita Saidina wa Maulana Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan sebutan mauludnya dan mi'rajnya dan kelakuannya dan perkataannya dan budi bahasanya. Yang sekalian itu elok dan harum hingga dirupakan dengan bunga ros ."
Sebelum memasuki perbicaraan maulud [Habib 'Utsman Betawi menggunakan istilah "maulud" bukan "maulid". Istilah "maulud" memang digunakan sejak dulu hingga bertukar secara perlahan-lahan pada 1970an] , Habib 'Utsman Betawi terlebih dulu membicarakan adab itu, yang beliau bahagikan pada "Empat Faedah". Ikuti sedikit nukilan dari kitab tersebut yang dipetik daripada tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah.
Kata beliau: "Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.
Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan sehabis-habis hormatnya..." Habib 'Utsman Betawi mengulas pada bahagian ini dengan agak panjang, menurut beliau bahawa jika mengadakan "Maulud Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم" janganlah ada di tempat itu jenis "berhala yang dibenci oleh junjungan kita dan oleh malaikat."
Masih dalam "Faedah yang pertama", Habib 'Utsman Betawi berpendapat: "Dan lagi, tiada pantas pula dibaca itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding [pemisah] antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."
Habib 'Utsman Betawi menegaskan lagi: Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."
Pada "Faedah yang kedua", Habib 'Utsman Betawi menyebut beberapa kitab yang beliau rujuk, antaranya Maulud al-Barzanji, Syaraf al-Anam dan syarahnya.
Selanjutnya mengenai "Faedah yang ketiga", Habib 'Utsman Betawi menulis: "Dibaca di waktu ini Maulud-Mi'raj kapan sahaya [ bila-bila sahaja], maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya. Dan lebih afdal dibaca pada malam 27 bulan Rejab dan pada malam atau pada hari 12, bulan Rabi'ul Awwal adanya."
Terakhir, "Faedah yang keempat", Habib 'Utsman Betawi menggalakkan bacaan selawat, kata beliau: "Jika yang membaca sampai bacaannya kepada suatu fasal, maka dibaca olehnya berserta sekalian yang hadir akan selawat yang ada antara fasal itu berserta doanya".
Selawat dan doa lafaz Arab dan terjemahnya dalam bahasa Melayu beliau sebut pada "Faedah yang keempat" ini. Habib 'Utsman Betawi memulakan riwayat Maulud Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم diawali dengan Jibril mengambil sekepal tanah dari tempat yang nantinya menjadi kubur Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di Madinah.
Kalimat selengkapnya: "Bermula waktu masa yang telah ditakdirkan oleh Allah akan kejadian Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, maka berperintah oleh-Nya akan Jibrail mengambil segempal tanah daripada tanah yang bercahaya, daripada bahagian tempat kubur Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di negeri yang mulia, iaitu negeri Madinah al-Munawwarah.
Maka, lalu turun Jibrail diiringi oleh segala malaikat al-Firdaus dan malaikat ar-Rafi' al-A'la. Maka diambil oleh Jibrail akan yang demikian itu. Maka digulingkannya di syurga dan dicelupkannya di sungai syurga yang bernama Tasnim. Maka bertambah bersinar-sinar cahayanya, lebih dari segala kamalan [keadaan kesempurnaan] syurga. Dan digulingkannya pula di 'Arasy, dan Kursi, dan segala langit dan bumi dan laut. Hingga diketahui oleh segala mereka itu akan kejadian Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم sebelum diketahui oleh mereka itu akan kejadian Nabi Adam عليه السلام..."
Jom Bermaulid!
Sekian dari al-Fagir Abu Zahrah.
Taman Seri Gombak
Dhuha, Khamis, 22 Shafar 1432/27 Januari 2011
0 komen:
Catat Ulasan