Nukilan dari buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA: Inilah Jawapannya .... karya al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll as-Senari. Sebentar tadi al-Fadhil Ustaz Muhadir menalipon al-Fagir dan mengkhabarkan, insyaAllah, buku ini akan di edarkan dalam masa dua, tiga hari nii oleh pihak penerbit. Masalah yang dipaparkan disini adalah satu daripada lebih daripada 100 permasalahan khilafiyyah yang dibahaskan di dalam buku tersebut.
Soalan: Sejak akhir-akhir ini, ada kumpulan yang secara keras melarang menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم dengan alasan ia adalah Bid’ah Dhalalah yang tidak disuruh dalam agama. Apakah pendapat ulama’ tentangnya?
Jawapan: Perkara ini sudah diselesaikan oleh para ulama’ dan mereka membolehkannya sejak dahulu lagi. Perayaan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم ini sudah disambut di seluruh dunia sejak dahulu lagi. Apakah seluruh ulama’ di dunia sejak dahulu sampai sekarang ini dikatakan sesat kerana membiarkan umat Islam menyambutnya? Tentunya perkara ini tidak boleh diterima oleh akal yang sihat.
Kelahiran (Maulid) Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah sebesar-besar rahmat Allah kepada alam dan manusia keseluruhannya. Rahmat ini ada dalam aqidah, muamalah, akhlaq, malah dalam semua bidang kehidupan. Rahmat ini tidak hanya terbatas untuk manusia di zaman Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sahaja, tetapi ia meluas ke sepanjang sejarah manusia seluruhnya. Allah berfirman:
وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
“Dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka (generasi sahabat) yang belum berhubungan dengan mereka.” (Surah al-Jumu’ah: 3)
Di dalam ayat lain, Allah berfirman:
وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللهِ
“…dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.” (Surah Ibrahim: 5)
Tidak diragukan lagi bahawa hari kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم termasuk di dalam hari-hari Allah.
Memperingati, menyambut, merayakan dan membesarkan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم adalah satu amal yang paling utama dan cara pendekatan diri kepada Allah di samping suatu ungkapan kebahagiaan dan kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Haruslah diketahui bahawa cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah salah satu dasar dan rukun keimanan. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتىَّ أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِن وَالِدِهِ وَوَلِدِهِ
“Demi Zat yang diriku berada di dalam kekuasaanNya, tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tua dan anaknya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadith lain, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتىَّ أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِن وَالِدِهِ وَوَلِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya dan anaknya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Cinta kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم termasuk prinsip-prinsip dasar iman. Cinta ini seiring dengan cinta kepada Allah. Cinta kepada Allah dan kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sering disebut bersama dan mengancam sesiapa sahaja yang lebih mengutamakan kecintaan kepada perkara-perkara lain yang sudah menjadi tabiat manusia seperti cinta kaum kerabat, harta benda dan tanah air lebih dari cinta kepada Allah dan Rasul (lihat Surah At-Taubah: 24).
Ketika Sayyiduna Umarرضي الله عنه berkata kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم : Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Tidak wahai Umar, sehingga aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri. Umar berkata: Demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Sekarang (barulah sempurna iman kamu) wahai Umar.” (Riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam As-Suyuthi, Raja Al-Muzhaffar Abu Sa’id Kukburi ibn Zainuddin Ali ibn Baktakin (630H) adalah penguasa pertama yang menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم secara besar-besaran. Dikatakan lebih kurang 300000 dinar telah beliau gunakan tujuan tersebut. Tujuannya ialah tidak lain, hanyalah untuk membesarkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , mengingati sirah dan akhlak Baginda صلى الله عليه وآله وسلم melalui pembacaan syair, qasidah dan tazkirah tentang ketinggian peribadi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .
Sebahagian ulama’ mengatakan isyarat menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم telah ada di zaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم lagi. Buktinya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sendiri menyambutnya dengan cara berpuasa setiap hari Isnin sebagai tanda mensyukuri kelahiran dan awal penerimaan wahyunya.
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ اْلأَنصَارِي رضي الله عنه: أَنَّ رَسُولَ اللهِ سُئِلَ عَن صَوْمِ يَوْمِ اْلإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيهِ وُلِدتُّ وَفِيهِ أُنزِلَ إِلَيَّ
“Dari Abi Qatadah al-Anshari رضي الله عنه, sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah ditanya mengenai puasa hari Isnin. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.” (Riwayat Muslim)
Memang secara umum para ulama’ Salaf menganggap perbuatan ini termasuk bid’ah (kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat) tetapi termasuk Bid’ah Hasanah (sesuatu yang baik).
Sahabat memuliakan hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
Pada zaman Nabi صلى الله عليه وآله وسلم terdapat banyak penyair yang terkenal dan hebat datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan mempersembahkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berhalaman-halaman syair yang memuji dan mengagungkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Ini dibuktikan dengan banyaknya syair yang dikutip di dalam Sirah Ibn Hisham, Al-Waqidi dan lain-lain. Penyair-penyair terkenal mengagung-agungkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di hadapan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat رضي الله عنهم dan tidak dilarang oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan tidak ada para sahabat رضي الله عنهم yang mencela atau mengatakan hal tersebut berlebih-lebihan (ghuluw).
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم amat suka syair yang indah seperti yang diriwayatkan Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad dan kitab-kitab lain.
Rasulullah bersabda: "Terdapat hikmah di dalam syair.”
Ayah saudara Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , Al-Abbas رضي الله عنه mengarang syair memuji kelahiran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Di antara bait terjemahannya sebagai berikut:
“Dikala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu, dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin” (Lihat Mustadrak ala ash-Shahihain, Husn al-Maqsid, Imam As-Sayuthi, ms. 5, kitab Maulid Ibn Kathir, ms. 30 dan Fath al-Bari)
Ibn Kathir menerangkan di dalam kitabnya bahawa para sahabat رضي الله عنهم ada meriwayatkan bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم memuji nama dan nasabnya serta membaca syair mengenai diri Baginda صلى الله عليه وآله وسلم semasa peperangan Hunain untuk menambah semangat para sahabat dan menakutkan para musuh. (Lihat Mustadrak ala ash-Shahihain, Husn al-Maqsid, Imam As-Sayuthi, ms. 5, kitab Maulid Ibn Kathir, ms. 30 dan Fath al-Bari)
Hasan bin Thabit رضي الله عنه selalu melagukan dan membacakan syair-syairnya di depan Sayyidul Mursalin Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan di depan para sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Tidak ada satu pun yang mencela atau mengatakan berlebih-lebihan (ghuluw). Tertera di batu nisan Hasan Ibn Thabit رضي الله عنه, beliau menulis mengenai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم : “Bagiku tiada siapa dapat mencari kesalahan di dalam diriku, Aku hanya seorang yang telah hilang segala derita rasa, Aku tidak akan berhenti daripada memujinya (Nabi ), kerana hanya dengan itu mungkin aku akan kekal di dalam syurga bersama-sama 'Yang Terpilih', yang daripadanya aku mengharapkan syafaat, dan untuk hari itu, aku kerahkan seluruh tenagaku ke arah itu.”
Menurut riwayat yang berasal dari Abu Bakar Ibn al-Anbari (Beliau ialah Abu Bakar Muhammad bin Al-Qasim al-Anbari. Antara kitabnya ialah Gharib al-Hadith. Meninggal pada tahun 328H) , ketika Ka’ab bin Zuhair رضي الله عنه (Beliau ialah Ka'ab bin Zuhair bin Abi Sulma al-Mazni dari keturunan suku Muzainah. Seorang sahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan seorang penyair 'Mukhadram' iaitu penyair yang hidup pada zaman Jahiliah dan sempat pula hidup pada zaman awal Islam. Meninggal pada tahun 26 H (645M) (ada pendapat yang mengatakan beliau meninggal dalam zaman pemerintahan Mu'awiyah bin Abi Sufyan)) dalam mendendangkan syair pujiannya sampai kepada sanjungan bahawa Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah sinar cahaya yang menerangi dunia dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم laksana pedang Allah yang ampuh terhunus. Sebagai tanda kegembiraan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menanggalkan kain burdahnya (kain penutup punggung) dan diberikan pada Ka’ab رضي الله عنه. Mu’awiyyah bin Abi Sufyan رضي الله عنه pada masa kekuasaannya berusaha membeli burdah itu dari Ka’ab dengan harga sepuluh ribu dirham, tetapi Ka’ab رضي الله عنه menolaknya. Setelah Ka’ab رضي الله عنه wafat, Mu’awiyyah رضي الله عنه membeli burdah pusaka Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu dari ahli waris Ka’ab رضي الله عنه dengan harga dua puluh ribu dirham.
Banyak sekali hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tentang bagaimana mereka memuliakan dan mengagungkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم seperti Amr bin ‘Ash, Anas bin Malik, Usamah bin Syarik dan lain-lain رضي الله عنهم. Semua pujian dan syair-syair ini tidak dilarang oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Juga syair-syair tersebut boleh dilagukan dan diiringi dengan bermain gendang.
Di dalam kitab Madarij as-Salikin, Ibn Qayyim menulis bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم memberi izin untuk menyanyi pada hari perkahwinan dan membenarkan syair dipersembahkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mendengar Anas dan para sahabat رضي الله عنهم memujinya dan membaca syair ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sedang menggali parit semasa peperangan Khandaq dan mereka pernah berkata: "Kamilah yang telah memberi bai'ah kepada Muhammad untuk berjihad selama kami hidup."
Ibn Qayyim juga telah menceritakan mengenai Abdullah Ibn Rawahah رضي الله عنه membaca syair yang panjang memuji-muji Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . semasa penaklukan kota Makkah, dan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pun berdoa untuk Abdullah. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga pernah mendoakan untuk Hasan Ibn Thabit agar Allah sentiasa memberi bantuan kepadanya dengan roh suci selama beliau memuji-muji Nabi صلى الله عليه وآله وسلم melalui syairnya. Nabi juga pernah meminta Aswad bin Sarih untuk mengarang syair memuji-muji Allah dan Baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pernah meminta seseorang untuk membaca syair puji-pujian yang memuat seratus halaman yang dikarang oleh Umayyah Ibn Abi Halh.
Menurut Ibn Qayyim lagi: '‘Aisyah رضي الله عنها selalu membaca syair memuji Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم amat menyenanginya."
Ditulis juga oleh Ibn Qayyim di dalam kitabnya, Allah memberi keizinan kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم agar membaca Al-Qur’an dengan berlagu. Pada suatu hari Abu Musa al-Asy'ari رضي الله عنه sedang membaca Al-Qur’an dengan berlagu dan suara yang merdu dan ketika itu Nabi sedang mendengar bacaan beliau. Setelah dia selesai mengaji, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan tahniah kepadanya kerana bacaannya yang begitu merdu dan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Engkau mempunyai suara yang merdu”, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda lagi bahawa: “Abu Musa al-Asy'ari telah dikurniakan Allah 'mizmar' (seruling) di antara mizmar-mizmar Nabi Daud.”
Abu Musa رضي الله عنه pun berkata: “Ya Rasulullah, jika aku tahu yang engkau sedang mendengarkan bacaanku nescaya aku akan membaca dengan suara yang lebih merdu dan lagu yang lebih enak lagi yang engkau belum pernah dengar lagi.”
Ibn Qayyim menulis lagi, Nabi bersabda : ”Hiasilah Al-Qur’an dengan suara kamu, dan sesiapa yang tidak melagukan Al-Qur’an bukanlah dari kalangan kami."
Ibn Qayyim mengatakan juga: “Untuk menyenangi suara yang merdu adalah dibenarkan seperti juga kita menyenangi pemandangan yang indah, gunung-gunung, alam semesta ataupun harum-haruman dan wangi-wangian ataupun hidangan yang lazat selama semua itu tidak melanggar batas-batas syariat.”
Seorang ahli hadith, Ibn 'Abbad telah memberikan fatwa tentang hadith Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berikut ini: “Seorang wanita telah datang menemui Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di waktu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم baru pulang dari medan peperangan, dan wanita itu pun berkata; ‘Ya Rasulullah, aku telah bernazar jika sekiranya, Allah menghantarkan engkau kembali dalam keadaan selamat, aku akan bermain gendang di sebelahmu.’ Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pun bersabda; ‘Tunaikanlah nazarmu’ ." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)
Masih banyak lagi kata-kata Baginda صلى الله عليه وآله وسلم untuk dirinya. Sekiranya pujian-pujian ini semuanya dilarang, maka tidak akan diucapkan dari lisan orang yang paling taqwa dan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم serta dari lisan para sahabat yang ditujukan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . (Lihat dalil-dalil yang kuat dalam membolehkan puji-pujian ke atas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam Al-Qaul ash-Shahih fi Masyru’iyyah al-Madih, Syaikh Ahmad Abd al-Baqi Asy-Syaikh Daf’ullah ash-Sha’im Daimah, Al-Qahirah: Dar Jawami’ al-Kalim, t.t.)
Amalan menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم sudah disambut sejak dahulu lagi oleh para ulama’ besar Islam yang diakui keilmuan mereka dalam bidang aqidah, feqah, hadith dan Tasawwuf, bahkan umat Islam seluruh dunia sejak dahulu lagi melihat amalan ini sebagai sesuai yang sangat mulia dan baik. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِندَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ قَبِيحًا فَهُوَ عِندَ اللهِ قَبِيحٌ
“Apa-apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu amalan yangbaik, maka ia adalahbaik di sisi Allah, dan apa-apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang keji, maka ia adalah keji d isisi Allah.” (Riwayat Ahmad dari Ibn Mas’ud)
0 komen:
Catat Ulasan