Selasa, 8 Februari 2011

Perihal Pengarang Kitab Mawlid al-Barzanji


Beberapa orang teman al-Fagir yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di UKM memberitahu al-Fagir bahwa terdapat segelintir pensyarah fakulti pengajian Islam yang aktif menghentam golongan yang menyambut Maulidurrasul صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, terutamanya dalam bulan mawlid sekarang ni. Bukan itu saja, bahkan mereka juga lontarkan pelbagai komen-komen negatif, memperlekehkan dan sebagainya kepada kitab Mawlid al-Barzanji dan pengarangnya. Hal ini juga pernah terjadi sebelum ini, tatkala seorang mantan mufti di sebuah negeri paling utara di semenanjung tanahair melecehkan pengarang kitab Mawlid al-Barzanji. Begitu juga seorang pendakwah Wahhabi tegar dari selatan tanahair, pernah membuat kritikan terhadap kitab Mawlid Berzanji, bahkan pendakwah yang tersebut telah mensyirikkan orang yang membaca kitab Mawlid al-Barzanji. Golongan ini, dengan bersandarkan PhD mereka, dengan sinisnya melecehkan para ulama silam. Allahu Allah ….  Maka kerana itulah, entri seterusnya ini al-Fagir ingin perkenalkan siapakah pengarang kitab Mawlid al-Barzanji ini. Maka bolehlah dibezakan taraf keilmuaan mereka yang menentangnya dengan pengarang kitab Mawlid al-Barzanji ni …. Tulisan ini adalah cuplikan dari tulisan teman al-Fagir, iaitu Abu Muhammad di blog Bahrus Shofa, dengan sedikit olahan dari al-Fagir …..

As-Sayyid Ahmad bin Zaki bin Ismail al-Barzanji. Salah seorang dari keluarga al-Barzanji yang pernah menjawat jawatan Mufti di Kota Madinah al-Munawwarah

 Sayyid Ja'far bin Sayyid Hasan bin Sayyid 'Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji adalah seorang ulama besar keturunan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dari keluarga Saadah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1126H. Segala usul Sayyid Ja'far semuanya merupakan ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesholehan. Habib Prof. Dr. Muhammad bin 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki (Gambar sebelah. Jika ada orang berbangga-bangga dengan gelar Dr.nya dalam bidang hadits, maka aku nyatakan bahawa al-Habib Muhammad al-Maliki ini juga telah meraih gelar Dukturahnya dalam bidang hadits pada usianya 25 tahun dari 'Harvard dan Oxford'nya dunia Islam iaitu Universiti al-Azhar asy-Syarif, oleh itu jika kamu berbangga-bangga dengan kesarjanaan versi dukturah ini, maka simpanlah dulu Dr. kamu tu dalam poket) dalam "Haul Ihtifaal bi dzikra al-Mawlid an-Nabawi asy-Syarif" menulis pada halaman 54 :-

العلامة المحدث المسند السيد جعفر بن حسن بن  عبد الكريم البرزنجي مفتي الشافعية بالمدينة المنورة، قد اختلف في وفانه، فقد ذكر بعضهم، أنه توفي سنة 1177هـ  والزبيدي في المعجم المختص وهو مخطوط أنه توفي سنة 1184هـ  والزبيدي لقيه وحضر دروسه في المسجد النبوي الشريف، وهو صاهب المولد المشهور المعروف بمولد البرزنجي، واسمه ((عقد الجوهر في مولد النبي الأزهر)) ومولده هذا من أشهر الموالد وأكثرها انتشارا في البلاد العربيه والإسلامية شرقا وغربا، بل يحفظه الكثير من العجم والعرب، يقرؤونه في المناسبات الاجتماعية والدينية، وقد اشتمل على خلاصة للسيرة النبوية من المولد فالمبعث فالهجرة فالأخلاق فالغزوات ألى الوفاة ......
وشرحه العلامة الفقيه الشيخ أبو عبد الله محمد بن أحمد المعروف بعليش المتوفي سنه 1299هـ شرحا كافيا مفيدا سماه (( القول المنجي على مولد البرزنجي)) طبع بمصر مرارا

Terjemahannya: Al-'Allaamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji adalah MUFTI ASY-SYAFI`IYYAH di Kota Madinah al-Munawwarah. Telah berlaku perselisihan tentang tarikh kewafatannya, di mana sebahagiannya menyebut yang beliau meninggal pada tahun 1177H. Menurut Imam az-Zubaidi dalam manuskrip "al-Mu'jam al-Mukhtash" menulis bahawa beliau wafat tahun 1184H, di mana Imam az-Zubaidi pernah berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia. Beliau adalah pengarang kitab mawlid yang masyhur dan terkenal dengan (nama) Mawlid al-Barzanji yang namanya I'qdul Jawhar fi mawlid an-Nabiyyil Azhar. Mawlid karangan beliau ini adalah di antara kitab mawlid yang paling tersohor dan paling luas tersebar ke pelosok negeri 'Arab dan Islam, baik di Timur maupun di Barat. Bahkan ramai kalangan 'Ajam dan 'Arab yang menghafalnya dan mereka membacanya dalam perhimpunan-perhimpunan agama yang munasabah. Kandungannya merupakan khulaashah (ringkasan) sirah nabawiyyah yang meliputi kisah lahir baginda صلى الله عليه وآله وسلم, perutusan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sebagai rasul, hijrah, akhlak, peperangan sehingga kewafatan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم................

Kitab "Mawlid al-Barzanji" ini telah disyarahkan oleh al-'Allaamah al-Faqih asy-Syaikh Abu 'Abdullah Muhammad bin Ahmad yang terkenal dengan panggilan Ba`ilisy yang wafat tahun 1299H dengan satu syarah yang memadai, cukup elok dan bermanfaat yang dinamakan "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji" yang telah banyak kali diulang cetaknya di Mesir.

Ikhwah lihat, bagaimana Habib Muhammad menyatakan bahawa Sayyid Ja'far adalah seorang 'allaamah, seorang muhaddits lagi musnid yang menjadi sanad dan sandaran umat. Jadi bagaimana kita tergamak membuka mulut kita dan menggerakkan lidah kita yang tidak bertulang untuk mencemoh dan merendah-rendahkan pribadi seperti Sayyid Ja'far, Mufti Syafi`iyyah di Kota Madinah. Allahu ... Allah.

Sebagaimana dinyatakan oleh Buya al-Maliki di atas, mawlid Sidi Ja'far al-Barzanji ini telah disyarahkan pula oleh para ulama kenamaan umat ini. Antara yang masyhur mensyarahkannya ialah Syaikh Muhammad bin Ahmad 'Ilyisy al-Maaliki al-'Asy'ari asy-Syadzili al-Azhari yang mengarang kitab "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji". Beliau ini adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif, bermazhab Maliki lagi Asy`ari dan menjalankan Thoriqah asy-Syadziliyyah. Beliau lahir pada tahun 1217H (1802M) dan wafat pada tahun 1299H (1882M). Beliau bukanlah calang-calang ulama pula, ketinggian ilmunya dapat dilihat dalam kitab-kitab karangannya yang bernilai tinggi, antaranya : "Hidaayatul Muriid li 'Aqiidati Ahlit Tauhiid", "Syarah al-'Aqaa-idul Kubra lis Sanusi", "Haasyiah 'ala Syarhish Shoghir lid-Dardiir", "Minhul Jaliil 'ala Mukhtashar Khaliil" dan "Hidaayatus Saalik ila Aqrabil Masaalik fi Furu`il Fiqhil Maaliki".

Selain Syaikh Ba`ilisy, ulama kita kelahiran Banten, Pulau Jawa, yang terkenal sebagai ulama dan penulis yang produktif dengan banyak karangannya. Sayyidul 'Ulama-il Hijaz, an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi turut menulis syarah yang lathifah bagi "Mawlid al-Barzanji" dan karangannya itu dinamakannya "Madaarijush Shu`uud ila Iktisaa-il Buruud". Manakala, seorang keturunan Sayyid Ja'far al-Barzanji yang mempunyai nama yang sama dengan beliau, iaitu Sayyid Ja'far bin Sayyid Isma`il bin Sayyid Zainal 'Abidin bin Sayyid Muhammad al-Hadi bin Sayyid Zain yang merupakan suami kepada satu-satunya anak Sayyid Ja'far al-Barzanji, telah juga menulis syarah bagi "Mawlid al-Barzanji" tersebut yang dinamakannya "al-Kawkabul Anwar 'ala 'Iqdil Jawhar fi Mawlidin Nabiyil Azhar". Sayyid Ja'far ini juga adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif. Beliau juga merupakan seorang Mufti Syafi`iyyah. Karangan-karangan beliau banyak, antaranya: "Syawaahidul Ghufraan 'ala Jaliyal Ahzan fi Fadhaa-il Ramadhan", "Mashaabiihul Ghurar 'ala Jaliyal Kadar" dan "Taajul Ibtihaaj 'ala Dhau-il Wahhaaj fi Israa` wal Mi'raaj". Beliau juga telah menulis sebuah manaqib yang menceritakan perjalanan hidup dan ketinggian nendanya Sayyid Ja'far al-Barzanji dengan jodol "ar-Raudhul A'thar fi Manaqib as-Sayyid Ja'far". Allahu ... Allah, dunia Islam kaya dengan khazanah keilmuan. Luas melaut ilmu para ulama kita. Cuma kail kita yang panjang sejengkal tak mampu menduga kedalaman lautan tersebut... Allahu...Allah. Oleh itu, janganlah jadi seumpama “katak di bawah tempurung”, hanya kenal sorang dua ulama terus menyerang dan menghukum orang lain yang tidak sefaham. Kepada yang merasakan Mufti Sidi Ja'far al-Barzanji hanya seorang lelaki seperti dirinya atau beranggapan dia mufti, aku pun mufti, atau mereka yang ‘terperasan’ mengatakan “hum rijaal wa nahnu rijaal” eloklah cari kitab-kitab tersebut dan kaji pribadi dan sejarah hidup Sidi Ja'far al-Barzanji yang mawlid karangannya telah lumrah jadi bahan bacaan dan amalan umat ini. Lepas tu cari cermin tengok muka sendiri dan buat perbandingan.
Berbalik kepada Sidi Ja'far al-Barzanji, selain dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan bahawa satu ketika di musim kemarau, sedang beliau sedang menyampaikan khutbah Jumaatnya, seseorang telah meminta beliau beristisqa` memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan, dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  dahulu. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebahagian ulama pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:-
سقى الفروق بالعباس قدما * و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك و سيلة لهم و هذا * وسيلتنا إمام العارفينا
Dahulu al-Faruuq dengan al-'Abbas beristisqa` memohon hujan
Dan kami dengan Ja'far pula beristisqa` memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang 'aarifin

Sidi Ja'far al-Barzanji wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi`, sebelah bawah maqam nenda-nenda beliau dari kalangan anak-anak perempuan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Allahu ... Allah. Bertuah sungguh Sayyid Ja'far. Karangannya membawa umat ingatkan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, membawa umat kasihkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat rindukan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Setiap kali karangannya dibaca, pasti sholawat dan salam dilantunkan buat Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Juga umat tidak lupa mendoakan Sayyid Ja'far yang telah berjasa menyebarkan keharuman pribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia keturunan Adnan. Allahu ... Allah.
 اللهم اغفر لناسج هذه البرود المحبرة المولدية
سيدنا جعفر من إلى البرزنج نسبته ومنتماه
وحقق له الفوز بقربك و الرجاء و الأمنية
واجعل مع المقربين مقيله و سكناه
واسترله عيبه و عجزه و حصره وعيه
وكاتبها و قارئها و من اصاخ إليه سمعه واصغاه
Ya Allah ampunkan pengarang jalinan mawlid indah nyata
Sayyidina Ja'far kepada Barzanj ternisbah dirinya
Kejayaan berdamping denganMu hasilkan baginya
Juga kabul segala harapan dan cita-cita
Jadikanlah dia bersama muqarrabin berkediaman dalam syurga
Tutupkan segala keaiban dan kelemahannya
Segala kekurangan dan kekeliruannya
Seumpamanya Ya Allah harap dikurnia juga
Bagi penulis, pembaca serta pendengarnya
  
وصلى الله على سيدنا محمد و على اله و صحبه و سلم والحمد لله رب العالمين

Sekian dari al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Ashar, 5 Rabi'al-Anwar 1432H 

1 komen:

Manifold887 berkata...

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم

Related Posts with Thumbnails