Khamis, 27 Ogos 2009

Sholat Tarawih: 8 atau 20 - Bhg 2

Sambungan dari entri sebelumnya

Hujah kepada pendapat yang mengatakan rakaat Tarawih hanya 8 rakaat (dan menjadi 13 termasuk sholat Witir)


1) Jumlah 13 rakaat bukan untuk Sholat Tarawih, tetapi sholat malam (Qiyamullail) serta Sholat Witir

Syaikh Muhammad bin ‘Allan dalam kitab Dalil al-Falihin menerangkan bahawa:

“Hadith di atas adalah hadith tentang Sholat Witir kerana Sholat Witir itu paling banyak hanya sebelas rakaat, tidak boleh lebih. Hal itu terlihat dari ucapan ‘Aisyah bahawa:

مَا كَانَ رَسُوْلُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَزِيْدُ فِى رَمَضَانَ وَلاَ فِى غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشَرَةَ رََكْعَةً...

“Tidaklah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menambah pada bulan Ramadhan dan
tidak pula pada bulan lainnya lebih sebelas rakaat….” sedangkan sholat Tarawih atau “Qiyam Ramadhan” hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja.” [43]


Syaikh Al-Khan mengatakan di dalam Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’i: “Sholat Tarawih hanyalah dilaksanakan pada malam bulan Ramadhan.”[44]

K.H. Siradjuddin Abbas berkata:

“Sembahyang yang dikatakan oleh Ummul Mu’minin Siti ‘Aisyah yang bahwa Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم tidak lebih dari mengerjakannya dari 11 rakaat itu ialah sembahyang Tahajjud malam hari dan Witir di belakangnya, bukan sembahyang Tarawih…”[45]

Beliau (K.H. Siradjuddin Abbas) menulis bahawa Imam Bukhari ketika meletakkan hadith ‘Aisyah ini di dalam Shahihnya, beliau (Imam Bukhari menulis):

بَابُ قِيَامِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم بِاللَّيْلِ فِي رَمَضَانَ وَفِي غَيْرِهِ

“Bab pada menyatakan Qiyam Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pada waktu malam
pada bulan Ramadhan dan pada bulan selainnya.”

Komen dari beliau ialah:

“Ini petunjuk bahwa Imam Bukhari juga berpendapat bahwa sembahyang ini bukan Sembahyang Tarawih, tetapi Sembahyang Tahajjud Malam yang dikerjakan dalam bulan Ramadhan dan luar Ramadhan.”[46]

Syaikh Abdullah bin Ibrahim al-Anshari [47] di dalam muqaddimah kitab Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih menyebutkan:

أَمَّا حُجَّةُ مَن يَحْتَجُّ بِحَدِيثِ عَائِشَةَ مِنْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم مَا كَانَ يَزِيدُ عَن ثَلاَثِ عَشْرَةَ رَكْعَةٍ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِ رَمَضَانَ، فَإِنَّهَا تَحْكِي مَا كَانَ مِنْ عَمَلِ الرَّسُولِ صلى الله عليه وسلم فِي صَلاَتِهِ فِي بَيْتِهِ وَبِمُفْرَدِهِ. وَهَذَا لاَ يُعَارِضُ مَا رَآهُ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِنْ إِقَامَةِ صَلاَةِ اللَّيْلِ فِي رَمَضَانَ بِالْجَمَاعَةِ حَيْثُ جَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ.
وَلَعَلَّ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ تَحْكِى غَالِبَ مَا كَانَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِي حَيَاتِهِ مِن قِيَامِ اللَّيْلِ وَكَانَ ذَلِكَ تَيْسِيرًا عَلَى أُمَّتِهِ كَمَا نَصَّ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ الْكَرِيمُ بِقَوْلِهِ تَعَالَى: (( إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَى مِن ثُلُثَيِ اللَّيْلِ...))

“Adapun hujah orang yang berhujah dengan hadith ‘Aisyah di mana sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah menambah lebih dari 13 rakaat pada Ramadhan dan tidak pula pada luar Ramadhan, maka dia (Sayyidatuna ‘Aisyah) bahawasanya menceritakan apa yang termasuk dalam amalan sholat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di rumah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan apa yang dikerjakan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم secara sendirian[48]. Dan ini (apa yang dilihat oleh Sayyidatuna ‘Aisyah) tidaklah menyalahi (membatalkan) apa yang diijtihadkan oleh Umar bin Al-Khattab untuk mendirikan sholat malam pada bulan Ramadhan secera berjemaah di mana dia mengumpulkan mereka dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab.


Dan bolehlah dianggapkan bahawa Ummul Mukminin (dalam mengatakan tentang 13 rakaat itu) menceritakan apa yang selalu dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam hidup Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dalam qiyamullail, dan itu adalah kerana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم inginkan keringanan ke atas umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم seperti yang dinashkan tentangnya oleh Al-Quran al-Karim dalam firman Allah Ta’ala mafhumnya: “Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu berdiri (sembahyang) kurang dari dua pertiga malam….(Surah Al-Muzammil: 20).”[49]

Mungkin juga hadith Sayyidatuna ‘Aisyah menunjukkan Sholat Witir kerana ia adalah sholat malam yang dilaksanakan dengan 1 atau 3 atau 5 atau 7 atau 9 atau 11, yang dilakukan selepas sholat Isya’, dilaksanakan pada bulan Ramadhan dan luar Ramadhan [50].

Al-Mukarram H.M.H. Alhamid Alhusaini di dalam bukunya Risalah Tentang Beberapa Soal Khilafiyah[51] mengatakan bahawa hadith ‘Aisyah tidak boleh dijadikan alasan kerana 2 sebab:

1- Hadith daripada ‘Aisyah menunjukkan apa yang dilihat oleh ‘Aisyah ketika giliran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di rumahnya pada malam-malam tertentu sahaja kerana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mempunyai isteri-isteri lain. Kemungkinan bilangan rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di rumah isteri-isteri Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang lain adalah lebih dari itu. Perkara ini tidak mustahil kerana perkara lain pernah berlaku kepada ‘Aisyah umpamanya dalam Sholat Dhuha.

Di dalam hadith dari ‘Aisyah menyebutkan:

مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي سَبْحَةَ الضُّحَى، وَإِنِّي لأُسَبِّحُهَا – أَيْ لأُصَلِّيهَا – وَإِن كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم لِيَدْعَ الْعَمَلَ وَهُوَ يُحِبُّ أَن يَعْمَلَ خَشْيَةً أَن يَعْمَلَ بِهِ النَّاسُ فَيُفْرَضُ عَلَيْهِمْ

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang Sholat Dhuha sama sekali. Dan aku sendiri mendirikan sembahyang Dhuha. Dan walaupun Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri sebenarnya menyukainya tetapi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم meninggalkannya kerana khuwatir orang ramai akan melakukannya lalu (nantinya) akan difardhukan ke atas mereka.”[52]


Walau bagaimana pun, terdapat hadith lain yang jelas menunjukkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mendirikan Sholat Dhuha dan menganjurkan Abu Hurairah agar tidak meninggalkannya. Di dalam hadith dari Abu Hurairah disebutkan:

أَوْصَانِي حَبِيبِي بِثَلاَثٍ لَنْ أَدْعُهُنَّ مَا عِشْتُ: بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ كُلَّ شَهْرٍ وَصَلاَةِ الضُّحَى وَبِأَن لاَّ أَنَامَ حَتَّى أُوتِرَ

“Kekasihku (Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) telah mewasiatkanku 3 perkara, tidak sekali-kali aku meninggalkannya selagi masih hidup: agar berpuasa 3 hari setiap bulan, Sholat Dhuha dan tidak tidur sehingga sholat Witir terlebih dahulu.”[53]


Di dalam hadith dari Abd ar-Rahman bin Abi Laila menyebutkan:

مَا أَخْبَرَنِي أَحَدٌ أَنَّهُ رَأَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الضُّحَى إِلاَّ أُمُّ هَانِئ، فَإِنَّهَا حَدَثَتْ: أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ فَصَلَّى ثَمَانِي رَكَعَات مَا رَأَيْتُهُ قَطٌّ صَلَّى صَلاَةً أَخَفَّ مِنْهَا غَيْرَ أَنَّهُ كَانَ يُتِمُّ الرُّكُوعَ وَالسُّجُودَ

“Tidak ada seorang pun yang pernah memberitahu kepadaku bahawa dia pernah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang Dhuha melainkan Ummu Hani’, sesungguhnya dia berkata: Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم masuk ke rumahnya pada hari pembukaan Makkah, lalu sholat 8 rakaat. Aku tidak pernah melihat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sholat lebih ringan daripada sholat yang aku lihat itu, beliau ruku’ dan sujud dengan sempurna.”[54]


Pernyataan Sayyidatuna ‘Aisyah bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah bersembahyang Dhuha adalah berdasarkan apa yang dilihatnya di rumahnya. Walau bagaimana pun, di tempat lain, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memang ada melakukannya.

2) Hadith lain menunjukkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang malam lebih dari 11 rakaat.

Hadith dari Ibn Abbas mengatakan:

كَانَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ سِتَّ عَشْرَةَ رَكْعَةً سِوَى الْمَكْتُوبَةِ

“Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang malam 13 rakaat.”[55]


Hadith dari Ali bin Abi Tholib pula menyatakan:

كَانَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً

“Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang malam 16 rakaat selain sholat wajib.”


Dalam hadith dari Zaid bin Khalid al-Jahni pula mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersembahyang malam sebanyak 13 rakaat [56]

Semua hadith ini menunjukkan bahawa sembahyang malam Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم lebih dari 11 rakaat, tidak sama dengan bilangan rakaat yang disebutkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah.

2) Kedudukan istimewa para sahabat

Pendapat dan kedudukan para sahabat adalah sangat istimewa yang harus diikuti oleh umat Islam. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ مِن بَعْدِي
"Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunatku
dan sunat al-Khulafa' Ar-Rasyidun sesudah aku.”[57]

Oleh itu, Sayyiduna Umar tidak mungkin mengada-adakan sesuatu tanpa ada asas pendapat dari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kerana para sahabat semuanya sepakat mengerjakan Tarawih dengan 20 rakaat pada zaman Umar dan selepasnya dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya. Ini dinama “ إِجْمَاعُ الصَّحَابَةِ السُّكُوتِي “ (Sepakat para sahabat menerimanya walaupun tidak menyuarakan pendapat mereka ketika bersetuju tentangnya).

Al-Allamah Taqiy ad-Din Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hushni ketika menyebutkan tentang ijtihad Sayyiduna Umar menyuruh 20 rakaat itu menyatakan di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar fi Hall Ghayah al-Ikhtishar:

وَأَجْمَعَ الصَّحَابَةُ مَعَهُ عَلَى ذَلِكَ

“Dan para sahabat telah ijma’ bersama (pendapat)nya atas perkara itu (mengerjakan Tarawih 20 rakaat secara berjemaah dengan dipimpin oleh seorang imam di masjid).” [58]



K.H. Siradjudin Abas menulis:

“Saidina Umar, seorang Sahabat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang dipercayai Khalifah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang kedua memerintahkan 20 rakaat. Ini berarti bahwa beliau mengetahui bahwa banyaknya sembahyang Tarawih Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, baik di mesjid atau di rumah sebanyak 20 rakaat. Kalau tidak, tentu Saidina Umar tidak akan memerintahkan begitu. Ini namanya riwayat hadits dengan perbuatan. Kita ummat Islam disuruh oleh Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengikuti Saidina Abu Bakar dan Umar.”[59]

Drs. K.H. Achmad Masduqi Machfudh dalam tulisannya telah menukilkan pendapat yang ditulis oleh Almarhum K.H. Ali Ma’sum Krapyak, Yogyakarta dalam bukunya berjudul Hujjah Ahlus Sunnah wal Jamaah:

“…..Imam Abu Hanifah telah ditanya tentang apa yang telah dilakukan oleh Khalifah Umar bin Khattab رضي الله عنه Beliau menjelaskan, “Sholat Tarawih adalah sunnah muakkadah. Umar رضي الله عنه tidak menentukan bilangan 20 rakaat tersebut dari kehendaknya sendiri. Dalam hal ini beliau bukanlah orang yang berbuat bid’ah. Beliau tidak memerintahkan sholat 20 rakaat, kecuali berasal dari sumber pokoknya iaitu dari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.”[60]

3) Jika benar jumlah 11 rakaat itu untuk Sholat Tarawih (dan Witir), ia adalah apa yang dilihat oleh Sayyidatuna ‘Aisyah sahaja

Sebahagian yang lain mengatakan, jumlah yang dikatakan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah, kerana mungkin itulah dilihat oleh Sayyidatuna ‘Aisyah ketika giliran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di rumahnya. Kemungkinan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengerjakannya lebih daripada lapan rakaat pada malam lain ketika giliran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersama isteri-isteri lain [61]

Renungan:

Syaikh Ali Jum’ah ketika menjawab persoalan berapa rakaat Tarawih ini menyebutkan di awal jawapannya:

“Bahawa terdapat golongan yang dengan lantang menyalahkan para Aimmah (Imam-imam mazhab) dan umat yang terdahulu, mengingkari mereka dengan ingkar yang keras dan menuduh para Aimmah dan umat ini melakukan bid’ah (dhalalah). Mereka juga mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dengan kata mereka: “Tidak boleh menambah lebih dari 8 rakaat pada Sholat Tarawih”. “[62]

Beliau menulis lagi:

وَلَمْ تَعْرِفِ اْلأُمَّةُ الْقَوْلَ بِأَنَّ صَلاَةَ التَّرَاوِيحِ ثَمَانُ رَكَعَاتٍ إِلاَّ فِي هَذَا الزَّمَانِ، وَسَبَبُ وُقُوعِهِمْ فِي تِلْكَ الْمُخَالَفَةِ اَلْفَهْمُ الْخَاطِئُ لِلسُّنَّةِ النَّبَوِيَّةِ، وَعَدَمُ قُدْرَتِهِمْ عَلَى الْجَمْعِ بَيْنَ اْلأَحَادِيثِ، وَعَدَمُ اِلْتِفَاتِهِمْ إِلَى اْلإِجْمَاعِ الْقَوْلِي وَالْفِعْلِي مِن لَّدُنِ الصَّحَابَةِ إِلَى يَوْمِنَا هَذَا، فَاسْتَشْهَدُوا بِحَدِيثِ عَائِشَةَ رضي الله عنها...

“Dan umat Islam tidak pernah tahu adanya pendapat yang mengatakan bahawasanya Sholat Tarawih itu 8 rakaat kecuali pada zaman ini (zaman moden ini). Dan sebab terjatuhnya mereka ke dalam perkara khilafiyyah itu ialah kerana kefahaman yang salah kepada sunnah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, ketidak upayaan (ilmu) mereka dalam menghimpunkan antara hadith-hadith dan keengganan mereka merujuk kepada ijma qauli (perkataan) dan ijma’ fi’li (perbuatan) yang berlaku dari zaman para sahabat sehinggalah ke zaman kita ini, lalu mereka terus berhujah dengan hadith Sayyidatuna Aisyah…”[63]


Beliau seterusnya memberi komentar tentang golongan yang keras ini dengan katanya:

إِن لَمْ يَكُن مُسْتَنِدُ الأُمَّةِ فِعْلَ سَيِّدنَا عُمَرَ فَلِمَ تُؤَدِّي التَّرَاوِيحَ فِي جَمَاعَةٍ فِي الْمَسْجِدِ عَلَى إِمَامٍ وَاحِدٍ، وَكَأَنَّ هَؤُلاَءِ يَأْخُذُونَ مِن سُنَّةِ سَيِّدِنَا عُمَرَ جَمْعَ النَّاسِ عَلَى إِمَامٍ طَالَ الشَّهْرُ وَهُوَ مَا لَمْ يَفْعَلْهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَيَتْرُكُونَ عَدَدَ الرَّكَعَاتٍ وَيَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ يُطَبِّقُونَ السُّنَّةَ فَإِن كَانَ هَذَا صَحِيحًا، وَأَنتُمْ لاَ تلتفوا لِفعْلِ سَيِّدِنَا عُمَرَ فَيَجبُ عَلَيْكُمْ أَن تُصَلُّوا التَّرَاويحَ فِي الْبَيْتِ وَتَتْرُكُوا النَّاسَ يُطَبِّقُونَ دِينَ اللهِ كَمَا وَرَثُوهُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.

“Jika tidak berlaku sandaran umat kepada perbuatan Sayyiduna Umar, kenapakah umat Islam menunaikan Sholat Tarawih secara berjemaah di masjid di belakang seorang imam?[64]. Dan adalah mereka[65] itu seolah-olah mengambil salah satu sunah (perlakuan) Sayyiduna Umar umpamanya mengumpulkan orang ramai di belakang seorang imam (untuk sembahyang Tarawih) sepanjang bulan Ramadhan, sedangkan perkara ini tidak pernah dilakukan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم [66] dan mereka meninggalkan bilangan rakaat[67]. Mereka mendakwa bahawa mereka mengikut sunnah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم walau pun memang betul (jika mengikut sunnah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sebab ia adalah ajaran Islam). Dan kamu[68] (jika) tidak memilih perbuatan Sayyiduna Umar, maka hendaklah kamu bersembahyang Tarawih di rumah[69] dan biarkanlah orang ramai mengikut agama Allah (Islam) seperti yang mereka warisi dari para ulama’ mereka. Tidak ada daya (meninggalkan maksiat) dan kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan kekuasaan yang diberikan oleh Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”[70]


Kesimpulan:

  1. Pendapat yang paling kuat tentang jumlah rakaat sholat Tarawih adalah 20 rakaat. Inilah yang dipilih oleh ulama’ Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah [71] Ia telah menjadi ittifaq empat mazhab dan menjadi ijma’ di kalangan ulama’[72]. Walau bagaimana pun, kepada sesiapa yang melaksanakan Sholat Tarawih 8 rakaat (menjadi 11 termasuk 3 rakaat Witir), juga mempunyai asasnya.
  2. Hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah di atas lebih menunjukkan sunnahnya perlaksanaan sholat-sholat Sunat pada waktu malam (Nafilah Qiyam al-Lail) dan bukannya sunnahnya perlaksanaan Sholat Tarawih [73].
  3. Jumlah rakaat Tarawih ini hanyalah masalah furu’iyyah/ khilafiyyah yang tidak seharusnya menimbulkan bimbit-bimbit perpecahan di dalam masyarakat terutamanya masyarakat Islam di Malaysia yang sejak dahulu lagi sudah melaksanakan Sholat Tarawih dengan 20 rakaat.
  4. Pendapat yang mengatakan bid’ah (dhalalah) orang yang mengerjakan Sholat Tarawih lebih dari 8 rakaat atau “ia seperti menambah Sholat Zohor menjadi 5 rakaat”, adalah pendapat yang kurang cermat dalam beristidlal. Hendaklah kita sentiasa insaf dan menyedari kemampuan keilmuan diri sendiri di bandingkan dengan ketokohan, keluasan ilmu, kefahaman dan bashirah serta ketinggian ubudiyyah para ulama’ mu’tabar terdahulu dan sekarang.
  5. Bulan Ramadhan ialah bulan beramal yang seharusnya amal ubudiyyah ditingkat dan digandakan kerana ganjaran besar yang dijanjikan Allah. Secara zahirnya, tentulah semakin banyak amal kebajikan dibuat, maka semakin besarlah juga ganjaran pahalanya. Walau bagaimana pun, setiap amalan mestilah disertai dengan ikhlas.

Antara tulisan yang boleh dirujuk dalam masalah ini ialah Al-Mashabih fi Solah at-Tarawih [74], karangan Imam Sayuthi, Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih[75], karangan Syaikh Muhammad Ali ash-Shabuni, Tahqiq Ahkam Ba’dh Ummahat as-Solawat an-Nafilah[76], karangan Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim, Al-Bayan lima Yasyghal al-Azhan[77], karangan Syaikh Ali Jum’ah dan Risalah Tentang Beberapa Soal Khilafiyah[78], H.M.H. Alhamid Alhusaini lain-lain.

Bagi mereka yang inginkan penjelasan lebih jelas tentang hadith Sholat Tarawih dan perbahasannya secara ilmiah dan mudah serta pendapat golongan yang mengharamkan lebih rakaat pada Sholat Tarawih dan jawapan kepada pendapat ini, bolehlah merujuk buku Tashhih Hadith Shalah at-Tarawih ‘Isyrin Rak’ah wa Ar-Radd ‘ala Al-Albani fi Tadh’ifih (Membetulkan Hadith Sholat Tarawih 20 Rakaat dan Penolakan atas Al-Albani kerana Mendhaifkannya), karangan Syaikh Ismail bin Muhammad al-Anshari, anggota Dewan Mufti (Dar al-Ifta’), Kerajaan Arab Saudi.


Notakaki:

1 - Jawapan ini dinukilkan sepenuhnya daripada buku Menjawab Persoalan Khilafiyyah, tulisan dan susunan Al-Faqir, Ustaz Muhadir bin Haji Joll. (Buku ini akan berada di pasaran sedikit masa lagi, InsyaAllah).
2 - sunat yang sangat dituntut untuk mengerjakannya bagi lelaki dan perempuan.
3 - Lihat Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih, Syaikh Muhammad Ali ash-Shabuni, Jeddah, 1404H/1983M, ms. 38.
4 - Ibid, ms. 49-50.
5 - Lihat Lisan al-Arab, 1/615, perkataan: رَوَحَ rawaha.
6 - Lihat dalam Nail al-Author, 3/289.
7 - Muttafaq alaih dan An-Nasa’i.
8 - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
9 - Riwayat Al-Baihaqi, Ath-Thobrani dan Abd bin Humaid. Walau bagaimana pun, Imam Sayuthi mengatakan: “Hadith ini Dhaif jiddan (terlalu dhaif) tidak boleh digunakan untuk berhujah”. (Lihat Al-Mashabih fi Solah at-Tarawih di dalam Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, Bogor: Ma’had az-Zain al-Makki al-Ali li at-Tafaqquh fi ad-Din, Cetakan Pertama, 1428H/2007M, ms. 172. Kitab Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah ini adalah susunan Syaikhuna, Al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Kitab berbahasa Arab ini setebal 592 muka surat. Syaikh Muhammad Nuruddin telah mengumpul dan menyusun sebanyak 15 buah risalah dan 25 buah perbahasan yang diambil dari kitab-kitab tulisan para ulama’ muktabar termasuklah Al-Allamah al-Imam Ibn Al-Mulqan (guru Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani), Imam Al-Hafiz Jalal ad-Din as-Sayuthi, Al-Allamah Yusuf ad-Dijwi, Al-Allamah Zahid Al-Kauthari, Al-Allamah Syaikh Ismail Uthman Zain al-Yamani dan Al-Allamah Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki).
10 - As-Sunan al-Kubra, Al-Baihaqi, pada bab Apa yang diriwayatkan Tentang Bilangan Rakaat Qiyam pada Bulan Ramadhan, 2/496.
11 - Tashhih Hadith Shalah at-Tarawih ‘Isyrin Rak’ah wa Ar-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh’ifih, karangan Syaikh Ismail bin Muhammad al-Anshari, ms. 7.
12 - Riwayat Al-Baihaqi. Imam Nawawi di dalam Khulashah mengatakan Isnadnya shahih.
13 - Riwayat Malik dalam Al-Muwaththo’.
14 - Ibn Qudamah di dalam Al-Mughni mengatakan bahawa ia diriwayatkan oleh Abu Daud.
15 - Lihat 40 Masalah Agama, K.H. Siradjuddin Abbas, Jakarta: Pustaka Tarbiyah Jakarta, 1425H/ 2005M, 1/318.
16 - Surah Al-Hajj: 77.
17 - Riwayat Al-Bukhari.
18 - Sabil al-Muhtadin li At-Tafaqquh bi Amr al-Din, Al-Imam Al-Allamah Syaikh Muhammad Ahmad bin Abdullah al-Banjari, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Auladih, t.t, 1/11.
19 - Riwayat Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya.
20 - Lihat 40 Masalah Agama, 1/324.
21 - 3/527.
22 - Syaikh Muhammad ‘Ali ash-Shabuni hafizahullah ialah seorang ulama’ besar dan ahli tafsir yang sangat terkenal kerana ilmu dan wara’nya, dari Makkah. Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Fakulti Syari‘ah di Universiti Umm al-Qura’, Makkah. Beliau mengarang banyak kitab terutamanya dalam bidang tafsir dan ilmu-ilmu Al-Qur’an (Ulum al-Qur’an) yang menjadi rujukan ulama’ seluruh dunia termasuklah Mukhtashar Tafsir Ath-Thobari, Mukhtashar Tafsir Ibn Kathir, At-Tafsir wa ‘Ulum al-Qur’an, Shafwah at-Tafasir, At-Tibyan fi ‘Ulum al-Qur’an, Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam dan Qabas Min Nur al-Qur’an. Beliau mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Al-Marhum, Al-Allamah Al-Muhaddith Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki semasa beliau masih hidup.
23 - Lihat Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih, Syaikh Muhammad Ali ash-Shabuni, Jeddah, 1404H/1983M, ms. 54.
24 - Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226.
25 - Lihat Al-Mahalli, 1/217.
26 - Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/127.
27 - 1/360. Lihat juga di dalam I’anah ath-Tholibin, 1/265.
28 - 1/56.
29 - As-Solah ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syaikh Abd al-Qadir Ar-Rahbawi, Al-Qahirah: Dar as-Salam, Cetakan Kedua, 1403H/1983M, ms. 169.
30 - Beliau adalah antara ulama’ besar Islam yang masih hidup pada zaman ini. Beliau mempunyai sanad keempat-empat mazhab. Beliau banyak menulis kitab-kitab yang sangat bermanfaat dalam mempertahankan kesucian aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Antara gurunya yang masyhur ialah Al-Allamah al-Muhaddith, Syaikh Abdullah bin Ash-Shiddiq Al-Ghumari dan Al-Allamah al-Muhaddith al-Muhaqqiq Syaikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah.
31 - ms. 265-266.
32 - 1/276.
33 - ms. 66.
34 - Ibid, ms. 73.
35 - Al-Mabsuth, As-Sarakhsi, 2/144.
36 - Bada’i’ ash-Shana’i’, Al-Kasani, 1/288.
37 - Radd al-Mukhtar ‘ala Ad-Durr al-Mukhtar yang dikenali dengan Hasyiah Ibn Abidin, 2/46.
38 - Asy-Syarh ash-Shaghir, Ad-Dardir, di tepinya ada Hasyiah Al-Allamah Ash-Shawi, 1/404-405.
39 - Al-Fawakih ad-Dawani, An-Nafrawi, 1/318-319.
40 - Al-Mughni, 1/456.
41 - Riwayat Malik dalam Al-Muwaththo’. Lihat Kasysyaf al-Qina’, Al-Bahuti, 1/425.
42 - Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih, ms. 70-71.
43 - 3/659. Lihat juga dalam Tashhih Hadith Shalah at-Tarawih ‘Isyrin Rak’ah wa Ar-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh’ifih, ms. 13.
44 - Damasyq: Maktabah Dar al-Qalam, 1998, ms. 238.
45 - 40 Masalah Agama, 1/324.
46 - Ibid, 1/325.
47 - Mudir (Ketua), Yayasan Ihya’ at-Turath al-Islami, Doha, Qatar.
48 - Ia membawa maksud bahawa apa yang dilihat oleh Sayyidatuna ‘Aisyah sebanyak 13 rakaat itu ialah apa yang hanya dilihatnya di rumahnya dan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengerjakannya secara bersendirian, bukanlah seperti bilangan rakaat yang dikerjakan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم secara berjemaah di masjid kerana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم selalu mengerjakan sholat di masjid.
49 - Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih, ms. 8-9.
50 - Lihat Landasan Amaliyah NU, Lajnah Ta’lif wan Nasyr Nahdlatul Ulama’, Jombang: Darul Hikmah, Cetakan Kedua, 2008, ms. 50.
51 - Semarang: C.V. Toha Putera, Cetakan Pertama, 1986M, ms. 219-224.
52 - Riwayat Muslim.
53 - Riwayat Muslim.
54 - Riwayat Muslim.
55 - Riwayat Muslim.
56 - Riwayat Muslim.
57 - Musnad Imam Ahmad.
58 - Kifayah al-Akhyar, tahqiq, takhrij dan ta’liq oleh Ali Abd al-Hamid Abu al-Khair dan Muhammad Wahbi Sulaiman, Bairut: Dar al-Khair, Cetakan Pertama, 1417H/1996M, ms. 112.
59 - 40 Masalah Agama, 1/319.
60 - ms. 24-40.
61 - Al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami ad-Daqiq (Salah Faham Terhadap Bid’ah), Dr. Abdul Malik bin Abdur Rahman as-Sa’adi, terjemahan Muhammad Fadhli bin Ismail, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, Cetakan Pertama, 2002M, ms. 193.
62 - Al-Bayan lima Yasyghal al-Azhan, Syaikh Ali Jum’ah, Al-Qahirah: Al-Maqthum, Cetakan Pertama, 1425H/2005M, ms. 265.
63 - Ibid, ms. 266.
64 - Umat Islam sejak dahulu lagi memang mengikut ijtihad Sayyiduna Umar ini. Sebab itulah mereka menunaikan Sholat Tarawih secara berjemaah di masjid-masjid.
65 - iaitu orang yang mengatakan menambah rakaat Tarawih lebih dari 8 rakaat adalah bid’ah (dhalalah)
66 - iaitu Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah melakukan atau menyuruh orang orang ramai bersembahyang Tarawih dengan dipimpin oleh seorang imam sepanjang bulan Ramadhan.
67 - iaitu tidak mengikut 20 rakaat seperti yang disuruh oleh Sayyiduna Umar.
68 - iaitu golongan yang membid’ahkan (dhalalah)orang yang sembahyang Tarawih 20 rakaat atau 36 rakaat
69 - Di sini ada dua maksud; pertama: kerana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم selepas sembahyang Tarawih beberapa malam di masjid, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم terus melaksanakannya hanya di rumah dan kedua: orang sedemikian seharusnya tidak membuat masyarakat Islam yang sudah beramal dengan panduan para ulama’ sejak dahulu lagi menjadi bingung kerana pendapat mereka (golongan ini) yang ganjil.
70 - Al-Bayan lima Yasyghal al-Azhan, ms. 266.
71 - Hukum-Hukum Islam Menurut Empat Mazhab, Kiyai Hj. Ab. Hamid Sulaiman, Selangor: Kunjungan Kreatif Sdn. Bhd., Cetakan Pertama, 1995, ms. 76. Lihat juga Al-Kalim ath-Thoyyib: Fatawa ‘Ashriyyah (Fatwa-fatwa Kontemporari), Syaikh Ali Jum’ah, terjemahan H. Hasanuddin Dolah, H. Ribut Hasanuddin Batubara dan H. Muhammad Zuhirsyam, Selangor: Berlian Publications Sdn. Bhd., Cetakan Pertama, 2008,1/51 dan Risalah Tentang Beberapa Soal Khilafiyah, ms. 201-224.
72 - Lihat seperti yang dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Ali ash-Shabuni di dalam kitabnya Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih di atas.
73 - Lihat pendapat dari Syaikh Ali Jum’ah ini di dalam Al-Bayan lima Yasyghal al-Azhan, ms. 266.
74 - Lihat Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms. 172-178.
75 - Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih, Syaikh Muhammad Ali ash-Shabuni, Jeddah, 1404H/1983M.
76 - Tahqiq Ahkam Ba’dh Ummahat as-Selawat an-Nafilah, Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim, ta’liq dan takhrij Mahy ad-Din Husain Yusuf al-Asnawi, Mishr: Dar Ihya’ at-Turath ash-Shufi, Cetakan Kelima, 2002M, ms. 50-58.
77 - Lihat Al-Bayan lima Yasyghal al-Azhan, ms. 265-270.
78 - ms. 201-218.


Artikel ini disiarkan dengan izinan dari penulisnya Ustaz Muhadir bin Haji Joll kepada al-Faqir Abu Zahrah. Dan bagi sesiapa yang inginkan artikel ini di dalam bentuk msword, sila emailkan al-Faqir.

Sekian,
al-Faqir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
6 Ramadhan 1430H / 27 Ogos 2009M



0 komen:

Related Posts with Thumbnails