Jumaat, 14 Ogos 2009

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 52 – 54

Penyakit Kelimapuluh Dua : Tamak

Rawatannya: Ialah hendaklah sentiasa difahami bahawa seseorang itu tidak akan mampu menambahkan sesuatu untuk menjadi miliknya selain daripada ketentuan rezeki yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Hal ini disebut oleh Ibn Mas’ud رضي الله عنه didalam riwayatnya daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, bahawa Allah Ta’ala telah berfirman kepada malaikat:

أكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد

Maksudnya: Tulislah akan rezeki, ajal serta amalannya samada ia mendapat balasan celaka atau bahagia. (Muttafaq ‘alaih. Riwayat dari Ibn Mas’ud. Al-Bukhari dalam bab Bada’ al-Khalq, Muslim bab al-Qadar, Abu Daud bab al-Sunnah, al-Tirmizi bab al-Qadar dan Ibn Majah bab Muqaddimah)

Firman Allah Ta’ala:

…. وَمَآ أَنَاْ بِظَلاَّمٍ لِّلْعَبِيدِ …..

Maksudnya: “Dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaKu.” (Surah al-Qaf:29)

Penyakit Kelimapuluh Tiga : Hasad

Rawatannya: Ialah hendaklah difahami sifat hasad itu adalah memusuhi nikmat Allah Ta’ala. Oleh itu Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda dalam hadits:

قال النبي صلى الله عليه وآله وسلم : لا تحاسدوا

Maksudnya: Janganlah kamu saling berhasad dengki. (Riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab, Muslim dalam kirab al-Bir, al-Tirmizi dalam kitab al-Bir, Abu Daud dalam kitab al-Adab, Ibn Majah dalam kitab al-Du’a, al-mUwattho’ dalam kitab Husn al-Khulq dan Ibn Hanbal 1/5,7)


Firman Allah Ta’ala:

…. وَمَآ أَنَاْ بِظَلاَّمٍ لِّلْعَبِيدِ …..

Maksudnya: “Dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaKu.” (Surah al-Qaf:29)

Penyakit hasad ini menular adalah kerana sedikitnya perasaan kasih sayang dalam hati seseorang terhadap orang-orang Islam.

Penyakit Kelimapuluh Empat : Kekal dalam keadaan melakukan dosa disamping hatinya mengharap untuk mendapat rahmat serta mengharapkan keampunan dari Allah Ta’ala. [1]


Rawatannya: Ialah sentiasa memahami bahawa Allah Ta’ala akan mengurniakan rahmatNya kepada sesiapa yang tidak kekal dalam melakukan dosa. Firman Allah Ta’ala:

وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “….. dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Surah Ali-Imran:135)

Abu al-Faidh berkata: “Kekal melakukan dosa adalah satu perbuatan menghina qadha dan qadar Allah Ta’ala.” Oleh itu hendaklah diketahui bahawa Allah Ta’ala telah menetapkan rahmatNya bagi sesiapa yang melakukan kebaikan. FirmanNya:

إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah Ta’ala itu dekat keapda orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf:56)

Disamping itu Allah Ta’ala juga telah menetapkan keampunanNya kepada sesiapa yang bertaubat. FirmanNya:

وَيٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُواْ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوۤاْ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya.” (Surah Hud:52)

FirmanNya lagi:

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحَاً ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya aku amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal sholeh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Thoha:82)


Notakaki:

[1] Di dalam hal ini al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه menyebut di dalam kitabnya an-Nashoih ad-Diniyyah wal Washoya al-Imaniyyah:

"...Ketahuilah, bahawa mengharapkan pengampunan daripada Allah Subhanahuwa Ta’ala tetapi malas beramal serta selalu saja mensia-siakan masa adalah perkara yang paling merbahaya sekali kepada manusia. Perkara ini sering disebut-sebut oleh kebanyakan orang yang keliru dan terpedaya dari ahli zaman ini. …"

"…. Jika engkau berdosa kemudian tidak segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, malah engkau mengharapkan Allah mengampunimu, dan demikian juga engkau malas mengerjakan amal sholih, sentiasa sibuk dengan urusan keduniaan sepanjang masa, lalu engkau berangan-angan bahwa Allah Ta’ala akan memuliakanmu dan mengangkat darjatmu di dalam syurga bersama-sama para muhsinin, maka nyatalah engkau seorang yang angan-angan kosong lagi terpedaya (tertipu) dan lemah lagi bodoh...."


0 komen:

Related Posts with Thumbnails