Jumaat, 14 Ogos 2009

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 13

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para alim-ulama dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.

Maka apabila engkau dapat dengan bendaharaan ini tercapailah engkau akan maqam ehsan dan hilanglah pada hati engkau daripada segala akwan seperti kata Syaikh رضي الله عنه:

إذا ظهر الحق لم يبق معه غيره

Apabila nyata al-Haq Subhanahuwa Ta’ala, tiada tinggal sertaNya yang lainNya.

Yakni telah mengisyarat Syaikh dengan dia kepada sehingga-hingga sampai orang yang salik. Dan ialah sehingga yang dikehendaki segala ‘arifin dan iaitu maqam fana` yang menghapuskan padanya segala rusum akwan dan menghilangkan ‘ilmu dan ma’lum, maka tiada tinggal padanya melainkan al-Hayyu al-Qayyum.

Maka adalah matahari siang itu apabila nyata, tiada tinggal dilihat segala bintang. Demikian lagi apabila naik terang matahari ma’rifah, maka hilanglah segala atsar yang kauniyah, dan tiada dipandangnya melainkan Waahidul Ahad. Maka berjauh-jauhan antara dua matahari itu. Matahari siang jatuh dan hilang dan demikian matahari ma’rifah tiada hilang dan tiada berpaling. Matahari siang di dapat akan dia dengan mata kepala dan matahari ma’rifah di dapat dengan mata hati, dan ia menerangkan segala jisim dan ia menerangkan akan segala rahsia.

(Dan hasilnya) bahwasanya orang yang salik itu apabila mengambil pada perjalanan kepada Tuhannya dan bersungguh-sungguh ia pada berjalannya dan beradab serta Syaikhnya pada zahir bathinnya, diputuskan segala ‘awaalim hingga hampir dengan sampai kepada maksudnya daripada segala ‘awaalim itu. Maka pertama yang diputuskan ‘Alam Mulk dan iaitu yang didapat akan dia dengan mata kepala, daripada segala ajsam dan lainnya, maka dinamakan dia ‘alam an-Nafs. Kemudian maka ‘alam malakut dan iaitu barang yang dapat akan dia dengan mata hati dan dinamakan dia ‘alam al-Qalb. Kemudian maka ‘alam jabaruut dan iaitu dinamakan ‘alam arwah. Kemudian maka alam lahuut dan dinamakan ‘alam as-Sir dan padanya hilang nama dan segala musamma dan tiada dilihat disana melainkan Tuhan Yang Waahidul Ahad. Dan inilah sehingga-hingga fana` dan daripadanya kembali orang yang ‘arif itu kepada baqa`nya, dan jadi ia mursyid, yakni yang menunjukkan muridin dan tempat ikutan, seperti kata syair:

ولتخلع النعلين خلع محقق – وخلا عن الكونين في مسراه
ولتفن حتى عن فنائك إنه – عين البقاء فعند ذاك تراه

Dan tanggalkan olehmu dua kaus kamu yakni ilmu dan ‘amal itu sebagai tanggal yang sebenar-benarnya,
Dan sucikan di dalam hatimu daripada dua kaun [yakni] dunia dan akhirat

Dan fana`kan olehmu hingga daripada fana`mu, bahwasanya ialah dinamakan maqam baqa`
Maka pada ketika itu melihat engkau akan Dia

Dan katanya lagi:

أني يغيب وليس يوجد غيره لكن شديد ظهوره اخفاه

Betapa hilang dan tiada ada dapat akan yang lainnya tetapi sangat nyataNya itu jadi tersembunyi

Maka, hai orang yang menuntut akan tempat tuntut ini! Dan hai orang yang gemar pada pemberian ini! Sucikanlah olehmu akan ‘amal dengan memandang akan dia dengan pandang riya` dan ahwalnya dengan tilik kepadanya dengan ‘ain dakwa dan segala perkataan dengan ‘ain iqtira’ yakni dusta hal keadaannya, engkau tahqiqkan dengan ‘ubudiah jua seperti kata Syaikh رضي الله عنه …..…………..……. bersambung, insyaAllah.


[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M. Untuk pengetahuan pengunjung al-Fanshuri, kitab ini diajar oleh Tuan Guru Haji Abdul ‘Aziz al-Fathani di Dewan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, Taman Melewar, Gombak. Walaubagaimanapun jadual pengajiannya tidak tetap. InsyaAllah akan di’update’kan sekiranya telah ditetapkan jadualnya. InsyaAllah]



والله تعالى أعلى و أعلم

0 komen:

Related Posts with Thumbnails