Selasa, 18 Ogos 2009

Khutbah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Pada Hari Terakhir Sya’ban

Daripada Sayyidina Salman al-Farisi رضي الله عنه, beliau berkata: Pada akhir bulan Sya’ban, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah pada kami:

Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah menghampiri kalian, bulan yang agung, bulan yang diberkati dan bulan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (yakni malam Lailatul Qadar). Bulan yang Allah menjadikan puasa pada bulan tersebut suatu kefardhuan dan sholat pada malamnya suatu perkara yang disunatkan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan tersebut dengan satu jenis kebaikan, maka dia seolah-olah menunaikan satu kefardhuan pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu kefardhuan pada bulan terse but, maka dia seolah-olah menunaikan 70 kefardhuan pada bulan yang lain. la merupakan bulan kesabaran dan kesabaran ganjarannya adalah syurga, bulan melakukan kebaikan dan bulan bertambahnya rezeki bagi orang yang beriman. Sesiapa yang menjamu orang yang berbuka puasa pada bulan tersebut, akan dikurniakan keampunan, dikurniakan pembebasan dari neraka dan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun dari balasannya.

Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Tidak semua daripada kami mempunyai sesuatu untuk dijamu kepada orang yang berbuka puasa?" Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Allah juga mengurniakan ganjaran ini bagi orang yang menjamu orang yang berbuka puasa walaupun dengan sebiji tamar, atau seteguk air, atau sekali hisapan susu.

Bulan ini, awalnya ialah rahmat, pertengahannya ialah maghfirah dan penghujungnya ialah pembebasan dari neraka. Maka sesiapa yang meringankan kerja pekerjanya pada bulan ini, nescaya Allah mengampunkan dosanya dan membebaskannya dari neraka.

Hendaklah kalian memperbanyakkan pada bulan ini empat perkara: Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian dan dua perkara yang kalian amat perlukan. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian ialah penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sentiasa memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kalian perlukan ialah kalian memohon syurga kepada Allah dan berlindung denganNya dari neraka. Sesiapa yang mengenyangkan orang yang berpuasa, nescaya Allah memberikan kepadanya dari telagaku minuman yang tidak akan menghauskan sehinggalah dia memasuki syurga.”

Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Shohihnya, al-Baihaqi dan Abu al-Syaikh Ibnu Hibban



Antara pengajaran yang dapat dipetik dari hadits diatas:
  • Pentingnya membuat persediaan (ilmu, mental dan fizikal) sebelum ketibaan bulan Ramadhan agar ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah sebelum datangnya Ramadhan untuk memberi peringatan serta motivasi kepada para shahabat untuk bersedia menerima kedatangan Ramadhan.
  • Ramadhan bulan yang sangat istimewa, bulan yang agung lagi diberkati. Oleh kerana itulah kehadirannya dinantikan. Dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengajarkan doakan agar disampaikan kita ke bulan Ramadhan yang mulia itu.
  • Lailatul Qadar, malam yang mana lebih baik dari 1,000 bulan, berlaku pada salah satu malam dari bulan Ramadhan.
  • Pada bulan Ramadhan difardhukan berpuasa pada siangnya dan pada malamnya disunatkan mengerjakan sholat Tarawikh
  • Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran bagi mereka yang bersabar adalah jannah (syurga).
  • Pada bulan Ramadhan ganjaran dilipatkan gandakan. Mengerjakan 1 kefardhuaan di bulan Ramadhan, pahalanya seumpama mengerjakan 70 kefardhuan di bulan lain. Manakala mengerjakan perkara sunat pula ganjaran seumpama mengerjakan yang wajib.
  • Keutamaan menjamu orang berbuka puasa. Rebutlah peluang untuk mendapat minuman dari telaga Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kelak di masyhar dengan memberi minuman kepada orang yang berpuasa. Raihlah keampunan dari Allah dan pembebasan dari api neraka dengan menjamu orang untuk berbuka puasa.
  • Banyakkan mengucapkan لا اله الا الله dan beristighfar di bulan Ramadhan
  • Banyakkan berdoa untuk memohon kepada Allah untuk memasuki syurganya dan pohonlah perlindungan denganNya dari dicampakkan kedalam api neraka di bulan Ramadhan.
  • Rebutlah rahmat, magfirah (keampunan) dan pembebasan dari dari api neraka dengan mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna dan perbanyakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.

Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
27 Sya’ban 1430H

0 komen:

Related Posts with Thumbnails