Selasa, 31 Julai 2007

Syaikh Rahmatullah Pengarang kitab اظهار الحق dan Pengasas Madrasah Shaulatiyah di Mekah

Hari ini terasa nak tulih sedikit tentang seorang ulama yang sangat banyak jasanya kepada ummah walaupun saudara aku, sidi abumuhd dah tulih tentangnya (boleh mai baca disini). Bukan pasai apa sebab semalam semasa ke UIA aku ada cerita sikit tentang ulama ini pada anak-anak buah. Ulama yang aku maksudkan ini, namanya adalah Syaikh Rahmatullah bin Khalilurrahman al-Kiranawi al-Hindi. [gambaq sebelah tu keturunan beliau].


Nasabnya

Beliau adalah berketurunan dari Sayyidina Utsman رضي الله عنه
. Nasabnya seperti berikut: Muhammad Rahmatullah bin Khalilurrahman al-Kiranawi bin Khalilullah [ma’ruf dengan nama Khalilurrahman] bin Hakim Najibullah bin Hakim Habibullah bin Hakim Abdurrahim bin Hakim Quthbuddin bin Shaikh Fudhil bin Hakim Diwan Khan Abdurrahim bin Hakim Abdul Karim @ Hakim Beena bin Hakim Hasan bin Abdus Shamad bin bin Abi ‘Ali bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir bin Syaikh Jalaluddin bin Mahmud bin Ya’kub bin ‘Isa bin Ismail bin Muhammad Taqi bin Abi Bakar bin ‘Ali Naqi bin Utsman bin ‘Abdullah bin Shihabuddin bin ‘Abdurrahman bin ‘Abdul ‘Aziz as-Sarqasi bin Khalid bin al-Walid bin ‘Abdul Aziz bin ‘Abdurrahman al-Kabir al-Madani bin ‘Abdullah as-Tsani bin ‘Abdul ‘Aziz al-Kabir bin ‘Abdullah al-Kabir bin ‘Umar bin Utsman bin Affan رضي الله عنه. Dilahirkan di kampung yang bernama Keranah yang terletak tidak jauh dari kota Delhi, India pada tahun 1226H/1811M. Dan menurut riwayat lain beliau dilahirkan Jumadil Awwal 1233/Mac 1818M.

Pendidikan
Keluarga beliau sangat taat dalam agama. Mendapat pendidikan awal di madrasah di kampungnya. Setelah menghafal al-Quran dan mengetahui dasar-dasar bahasa ‘Arab, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di pusat ilmu ketika itu iaitu di kota Delhi. Beliau berguru dengan murid dari Syah Abdul Aziz bin Syah Waliyullah ad-Dahlawi. Sebahagian dari guru-gurunya adalah Maulana Muhammad Hayat, Maulana Mufti Sa’adullah, Maulana ahmad ‘Ali, al-Arifbillah Maulana ‘Abdurrahaman Chishti, Molvi Iman Baksh Shahba’i, Hakim Faiz Muhammad dan ramai lagi. Setelah tamat pengajian, beliau pulang kekampungnya dan membuka madrasah sendiri.

Berdebat dengan paderi kristian

Ketika itu India dibawah cengkaman penjajah Inggeris. Syaikh Rahmatullah sangat sedih melihat keadaan umat Islam India yang ditindas penjajah bahkan mereka juga berusaha merosak dan menghapuskan aqidah dan keyakinan umat Islam India. Beliau sedih apabila melihat paderi-paderi kristian secara terang-terangan mengajak umat Islam menganut kristian. Keadaan ini mendorong beliau untuk tampil menentang mereka terutamanya paderi yang bernama Dr. Fonder yang bongkak dan terang-terangan menghina Islam dan kaum Muslimin. Maka beliau pun mempersiapkan dirinya untuk menghadapi mereka. Setelah bersedia, Syaikh Rahmatullah mengajak paderi Fonder untuk berdebat dikhalayak ramai untuk membuktikan kebenaran Islam dan kepalsuan kristian. Maka pada 11 Rejab 1270H (10 April 1855M) bertempat di Akbarabad Abdul Masih, Agra (yakni sebuah kampung yang dijadikan kampung contoh yang diusahakan oleh para paderi), berlakulah perdebatan antara Syaikh Rahmatullah dengan Paderi Dr. Fonder. Syaikh Rahmatullah bersama seorang pembantu yang juga merupakan juru bicaranya bernama Dr Muhammad Wazir Khan, manakala paderi Fonder bersama rakannya seorang paderi. Pokok perdebatan mereka adalah:

  • Adanya penyelewengan dalam kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru
  • Adanya perubahan pada dua buah kitab tersebut
  • Pembatalan konsep triniti
  • Kebenaran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
  • Kebenaran al-Quran

Diantara syarat perdebatan, siapa yang kalah maka dia mestilah meninggalkan agamanya dan menganut agama yang menang. Selain dari orangramai, perdebatan ini juga dihadiri oleh Smith, District Revenue Officer; Christians Chairman of the Provincial Board; William, magistrate tempatan, William Gilben, jurucakap kerajaan British. Juga dihadiri oleh Mufti Riazuddin, Molvi Faiz Ahmad, Molvi Hazur Ahmed, Molvi Amirullah, Molvi Qamrul Islam, Imam Masjid Jamik Agra dan ramai lagi.

Dipendekkan cerita, berlaku perdebatan ini selama 3 hari, yang mana pada hari ketiga paderi Fonder tidak datang kerana tidak dapat menjawab hujjah-hujjah Syaikh Rahmatullah. Bahkan pada hari pertama lagi paderi Dr Fonder mengakui tentang terdapatnya lapan penyelewengan besar di dalam Kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Akibat dari kekalahan ini paderi Fonder melarikan diri ke Jerman. Manakala maruah umat Islam telah ditebus kembali. Ekoran dari semangat ini, dua tahun selepas itu, berlaku pemberontakan besar di India. Ramai umat Islam yang gugur dalam penentangan ini. Inggeris telah menghantar perisiknya untuk menangkap Syaikh Rahmatullah. Allah Maha Berkuasa untuk melindungi ulama’ yang membela agamaNYA. Beliau dapat menyelamatkan diri ke kota surat di Gujerat dan seterusnya berangkat ke Mekah. Beliau sampai ke kota Mekah pada tahun 1862M iaitu setelah 5 tahun terjadinya pemberontakan besar di India.

Berpindah ke Mekah

Setibanya di Mekah beliau mendapat penghormatan dan layanan yang baik dari Mufti Syafi’iyyah di Mekah ketika itu iaitu Syaikh Ahmad Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304H/1886M). Syaikh Ahmad Zaini Dahlan telah memperkenalkan Syaikh Rahmatullah kepada gabenor Mekah ketika itu iaitu Syarif Abdullah [Syarif Abdullah bin Muhammad al-Aun, dilahirkan pada tahun 1823M dan dilantik oleh Sultan dari Kerajaan Islam Utsmaniah yang berpusat di Turki untuk menjadi amir Mekah menggantikan bapanya 1 Mei 1858M. Beliau wafat di Taif pada 26 Jun 1877M] yang mewakili Khalifah Sultan Abdul Aziz al-Utsmani di Turki [kerajaan Utsmaniah]. Bahkan Syaikh Zaini Dahlan mengizinkan Syaikh Rahmatullah mengajar di Masjidilharam.

Adapun mengenai paderi Fonder [yang pengecut] itu setelah melarikan diri [pasai malu … kalah debat] ke Jerman dan Swizerland , kembali ke London dan kemudiannya di kirim oleh “Church Mission Society of London” ke Turki [kononnya orang sana tak kenai dialah … ]. Di Turki, paderi Fonder ni pergi mengadap Sultan Abdul Aziz, dan dia kelentong habis tentang perdebatan yang berlaku di India. Kununnya dialah yang champion nya. Namun Sultan yang cerdik itu tak telan bulat-bulat, baginda hantar surat pada Gabenor di Mekah untuk mendapat keshahihan berita. Maka Gabenor Mekah pun memberitahu kisah yang sebenar dan seterusnya Sultan Abdul Aziz pun mengundang Syaikh Rahmatullah ke Istanbul, Turki. Maka berangkatlah Syaikh Rahmatullah ke Turki pada tahun 1864M. Maka bila mendengar akan berita kedatangan Syaikh Rahmatullah ke Turki, paderi Fonder yang pengecut teramat itupun bawa diri lari dari Turki, kerana takut berhadapan dengan Syaikh Rahmatullah. [apa tidaknya …. sebelum tu di kelentongnya Sultan … kununnya dialah champion …. ]

Dipendekkan lagi cerita, maka bertitahlah Sultan Abdul Aziz kepada Syaikh Rahmatullah agar beliau menulis hasil perdebatan tersebut ke dalam bahasa Arab untuk dijadikan panduan bagi kaum Muslimin menghadapi dakyah kristian. Beliau pun menulis kitabnya dan diselesaikan dalam tempoh 6 bulan, dan tulisan tersebut beliau namakan Izhharul Haq (اظهار الحق) yang ertinya Menangnya Kebenaran. Seterusnya Sultan telah memerintahkan supaya kitab itu dicetak dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan juga Turki. Dan kitab ini lah yang menjadi rujukan utama Syaikh Ahmad Deedat apabila beliau berdebat dengan paderi kristian.

Membangunkan Madrasah Shaulatiyah

Setelah seselai mengarang kitab Izhharulhaq, Syaikh Rahmatullah kembali ke Mekah dan terus mengajar di Masjidilharam dan juga di rumahnya. Dan seterusnya pada bulan Rabiul Awwal 1285H, beliau membangunkan sebuah madrasah yang lebih sistematik di kampung Syamiyah diatas sebidang tanah. Kemudian seorang perempuan dermawan dari India bernama Shaulatun Nisaa’ Begum telah membeli dan mewakafkan sebidang tanah di kampung Khandarisah , Mekah. Dan pada 15 Sya’ban 1290H, Syaikh Rahmatullah batu meletakkan batu asas untuk membina madrasah yang lebih besar. Syaikh Rahmatullah telah menamakan al-Madrasatus Shaulatiyah sempena mengambil nama Shaulatun Nisaa’, wanita dermawan dari India yang bermurah hari mewakafkan tanah pembangunan madrasah tersebut. Madrasah ini telah melahirkan ramai ulama yang berwibawa.

Murid-murid beliau

Beliau mempunyai murid yang ramai, antaranya adalah: asy-Syarif Hussin bin ‘Ali al-Hasyimi, Qadhi al-Qudhah asy-Syaikh ‘Abdullah Siraj, al-‘Allamah asy-Syaikh Ahmad Abu al-Khair, Amin Muhammad ‘Ali – pengajar, imam dan khatib di Masjidil Haram, al-‘allamah asy-Syaikh As’ad Ahmad ad-Dihan, al-‘Allamah asy-Syaikh Ahmad ‘Ali Hussin an-Najar – Qadhi Thaif, al-‘Allamah asy-Syaikh Ahmad Abul Khair, al-‘Allamah asy-Syaikh Badrul Islam al-Kiranawi, al-‘Allamah asy-Syaikh Hasan ‘Abdul Qadir, al-‘Allamah asy-Syaikh Hasan Kadzim, al-‘Allamah asy-Syaikh Darwish, al-‘Allamah asy-Syaikh Syaraful Haq Shadiqi, al-‘Allamah asy-Syaikh Syihabuddin al-Utsmani al-Kiranawi, al-‘Allamah asy-Syaikh Dhiya-uddin, al-‘Allamah asy-Syaikh Abdurrahman Ahmad Dihan, al-‘Allamah asy-Syaikh Abdurrahman asy-Syibi, al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid ‘Abdullah Muhammad Sholeh az-Zawawi – Mufti Syafi’iyyah di Mekah, al-‘Allamah as-Sayyid ‘Abid Hussin Maliki – Mufti Mazhab Maliki di Mekah, al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdullah Ahmad Abul Khair – Mufti Mazhab Hanafi, al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdul Hamid Baksh al-Falaki, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhmmad al-Ghazi, al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdus Sattar ad-Dahlawi al-Kutbi, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Said Ba Bashil, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Hussin al-Khiyath, al-‘Allamah asy-Syaikh Mulla Muhammad Ismail an-Nawab, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad ‘ali Sulaiman – Imam dan khatib di Masjidilharam, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Sholeh al-Maimuni, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Hashim Asy’ari al-Indonisi, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah, al-‘Allamah asy-Syaikh Abul Khair al-Faruqi al-Hind.

Antara ulama-ulama yang pernah mengajar di Shaulatiyah adalah: Syaikh Salim Rahmatullah (anak beliau), Syaikh Mahmud Arif al-Bukhari, Syaikh Abdul Lathif al-Qari, Syaikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syaikh Mukhtar Makhdum, Syeikh Abdullah al-Bukhari, Syeikh Daud Dihan, Syaikh Abdullah bin al-Hasan al-Kuhaji, Syaikh Hasbullah as-Sanqithi dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani (sebelum jadi Syaikhul Islam Selangor), Sayyid Abdullah az-Zawawi, Mufti Syafi`i Makkah zamannya, Sayyid Muhsin al-Musawa dan ramai lagi. Adapun bekas pelajar Shaulatiyah ini tersangatlah ramainya.

Kitab karangannya

Selain dari Izhharulhaq, Syaikh Rahmatullah juga mengarang beberapa buah kitab lain, antaranya:
• Al-Buruqul Lami’ah (Arab)
• Taqlibul Matha’in (Arab)
• Ahsanul – Ahaditsi fi Ibthalit Tastlist (Arab)
• Izaalatusy syukuk (Urdu)
• I’jaz Isawi (Urdu)
• Mu’addilu Wijajil Mizan (Urdu)
• Mi’yarul-haq (Urdu)
• Izatul Awham (Parsi)

Kembali kealam baqa

Ulama yang banyak menaburkan jasa ini wafat pada malam Jum’at, 22 Ramadhan 1308H/2 Mei 1891M dan dimakamkan di perkuburan Ma’ala. Kuburnya terletak berdekatan dengan makam Ummul Mu’minin, Sayyidatina Khadijah al-Kubra رضي الله عنها[gambaq sebelah - makam Sayyidatina Khadijah al-Kubra رضي الله عنها]. Semoga Allah merahmati ulama yang sangat berjasa ini. Al-Faatihah ……..


Kisah ulama ini boleh dibaca dari tulisan guru kami, Shaikh Fahmi Zamzam di dalam bukunya bertajuk Sejarah Perkembangan Islam di India.

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis - Siri 7



Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis

(Siri – 7)

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis
(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian. Wallahu a'lam)

فلايشككنك في الوعدعدم وقوع الموعودوان تعين زمنه

Maka jangan kiranya memberi syak [keraguan] akan dikau pada janji itu ketiadaan jatuh [jadi atau berlaku] yang dijanjikan dan jikalau tertentu masa masanya sekalipun yakni barangsiapa dijanjikan Tuhannya akan dia suatu dan jikalau ada dita’yinkan [ditentukan] masanya sekalipun kemudian maka tiada jatuh demikian yang dijanjikan itu, maka janganlah memberi syak akan dia yang demikian itu didalam mentasdiqkan [membenarkan dihati] janji Tuhannya.


(Maka sayugianya) atas hamba itu bahawa mengenal ia akan qadarnya (dan) beradab ia serta Tuhannya (dan) sukun(1) ia kepadaNya pada barang yang dijanjikan padanya (dan) tetap ia kepadaNya dan tiada syak ia pada yang demikian itu (dan) tiada berubah iktiqadnya dalamnya, maka barangsiapa ada atasnya bersifat ini maka iaitu ‘arif pada Allah Ta’ala(2). (Maka) jadikan olehmu menyerahkan bagi Tuhanmu pada halnya syukur bagiNya pada yang diperintahkannya bagimu daripada kurnia dan tegah kerana bahawasanya tiada ada syak itu melainkan bagi yang mati hati dan buta mata hati dan kerana inilah kata muallif:

لئلايكون ذلك قدحا في بصيرتك واخمادالنورسر يرتك

Supaya tiada ada demikian syak itu mengurangkan [ketajaman pandangan] pada matahatimu dan memadamkan bagi cahaya rahsiamu dan sungguhnya telah terdahulu sebutnya(3) bahawasanya mata hati itu iaitu nur yang ditaruhkan Allah dalam hati dengan wasithah [perantaraan] kuat iman.

(Bermula) nur ini beroleh pertunjuk aqal dengan dia kepada jalan haq.
Dan apabila menghendaki Allah akan mengurniai seorang hamba daripada segala hambanya akan suatu daripada asrar rububiyyah(4) maka dilimpahkan atasnya daripada rahmaniyyah(5) maka sucilah hatinya daripada syirik yang khofi(6) dan terbukalah matahatinya dengan nur al-hidayah dan beroleh petunjuk demikan hamba itu kepada jalan muhabbah dan tidaklah berkehendak kepada ‘amal dan sebab kerana bahawa sanya:

إذافتح لك وجهة من التعرف فلاتبال معهاوإن قل عملك

Apabila dibukakan bagimu matahatimu pada jalan mengenal pada segala asma’Nya dan shifatNya dan pada yang menegahkan kehendakmu dan dikenalkannya pada qudratNya dan qahharNya akan dikau maka, tiada mengapa sertanya itu dan jika sedikit ‘amal sekalipun kerana wujud ‘amal itu daripada tiada ikhtiar daripadamu dan tiada sebab dan hendaklah engkau syukur akan Dia atas dikurniakannya akan dikau kerana ma’rifatullah itu tiada kesudah-sudahan yang dituntut.


Maka apabila dihadapkan seorang hamba itu pada setengah asbabnya maka dibukakan baginya jalan mengenal daripadanya dan dihadapkannya dengan sakinah [perasaan tenang dan tenteram] dan tetap dalamnya, maka yang demikian itu setengah daripada ni’mat yang amat besar atasnya, maka apabila engkau tilik dengan matahatimu kepada segala tanda Tuhanmu yang menunjukkan atas wahdaniyyahNya(7) maka engkau peroleh tunjuk kepada Haq yang sebenar dan kayalah [yakni tidak berhajat] engkau daripada sebab dan ‘amal yang dengan dia iktisab [mendapat atau memperolehi] ma’rifah.


_____________________________________________________

Notakaki:

(1) Diam tanpa resah gelisah atau tenang tenteram yakni redho hatinya dengan segala ketentuan Allah padanya

(2) Menurut Syaikh Ibn Abbad, barangsiapa memiliki shifat seperti yang tersebut itu, maka dia adalah seorang ‘arifbillah, salilmul bashirah [sejahtera matahatinya] dan munawwarus sarirah [bercahaya sirnya]. Dan kalau ia tidak memiliki shifat sedemikian maka ianya adalah sebaliknya [yakni ia masih belum benar-benar mengenal Allah ….]

(3) Sebagaimana yang telah disebutkan dalam kalam hikmah terdahulu (kalam hikmah ke-5)

(4) Rahsia-rahsia ketuhanan yang merupakan satu anugerah Allah Ta’ala kepada hambaNya. Yang mana rahsia-rahsia ini tiadalah boleh diperolehi dengan pembelajaran tetapi ianya boleh dicapai dengan mengamalkan ilmu dan dhikrullah dengan penuh keikhlasan. Sepotong hadits berbunyi:
مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ أَوْرَثَهُ الله عِلْمَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya: Barangsiapa yang beramal dengan apa yang dia ketahui, nescaya Allah mewariskan kepadanya ilmu yang belum ia mengetahuinya

Didalam syarah hikam Abi Madyan, asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni ada menyentuh hal yang sedemikian. Sila rujuk disini.

(5) Kurniaan limpahan kemurahan Allah Ta’ala

(6) Syirik yang tersembunyi yang tiada dzohir, yang tersembunyi dalam hati. Sila rujuk dibawah kitab Jalaul Qulub (Siri 8)

(7) KeEsaanNya pada af’alNya, sifatNya dan dzatNya

Pengajian Kitab Hikam di Anjung Rahmat, Gombak

Pengajian Kitab Hikam di Anjung Rahmat untuk bulan Ogos.

Sila dapatkan maklumat lanjut disini

Rabu, 25 Julai 2007

Segala kebinasaan lidah – Siri ke 5

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara [dipetik dari kitab Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; juz 3, halaman 78]


Kebinasaan Kelima:

الآفة الخامسة الخصومة
Artinya: Bermula kebinasaan yang kelima itu, iaitu berkelahi dan berbantah-bantahan dan iaitu dicela oleh syara’ dan lagi haram.

Kata Imam al-Ghazali رحمه الله maksudnya:
Dan iaitu dicela pula oleh syara’ dan iaitu bahwa engkau berkelahi akan manusia kerana engkau tuntut daripadanya [supaya] menyempurnakan akan hakmu atau kerana engkau menuntut akan hartamu


(Kerana) sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
إن أبغض الرجال إلى الله الألد الخصام
Artinya: Bermula [bahwasanya] yang terlebih benci seorang laki-laki itu kepada Allah Ta’ala itu, iaitu orang yang sangat kuat berkelahi (Menurut takhrij al-‘Iraqi, hadits ini riwayat al-Bukhari)


Dan (lagi) sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
من جادل في خصومة بغير علم لم يزل في سخط الله حتى ينزع
Artinya: Barangsiapa mujadalah didalam perkelahian dengan tiada ilmu nescaya sentiasa ia di dalam murka Allah Ta’ala hingga kembali ia daripada perkelahiannya kepada berdamai. (Menurut takhrij al-‘Iraqi, hadits ini Ibn Abi ad-Dunya dan al-Asbahani didalam at-Targhib wa at-Tarhib, Dhoif)



Bersambung ke kebinasaan lidah yang keenam …

Selasa, 24 Julai 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 22 – 24

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 22, 23 dan 24)

Penyakit Keduapuluh Dua : Suka menghabiskan masa dengan kerja-kerja dunia yang tidak bermanfaat serta leka dengannya.

Rawatannya : Ialah dengan menumpukan perhatian untuk berfikir dan mengambil sikap tegas meninggalkan kerja-kerja duniawi yang tidak bermanfaat. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:
من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه
Maksudnya: Antara kebaikan untuk agama seseorang itu ialah meninggalkan pekerjaan yang tidak bermanfaat. (Hadits riwayat at-Tirmidhi, Ibn Majah dan Imam Malik dalam Muwattho’)

Penyakit Keduapuluh Tiga : Suka mendzahirkan kepada manusia ketaatan yang dilakukan terhadap Allah. Bahkan ia juga suka sekiranya orang lain mengetahui amal yang telah dilakukannya serta akan memperelok amalnya itu di hadapan manusia.

Rawatannya : Ialah dengan memahami bahawa hakikatnya manusia tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudharat kepada manusia. Oleh itu ia hendaklah beramal dengan penuh ikhlas kepada Allah serta mengikis segala unsur yang boleh merosakkan amal tersebut. Firman Allah Ta’ala:
وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ حُنَفَآء…
Maksudnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya. (Surah al-Bayyinah:5)

Dalam sepotong hadith Qudsi Allah Ta’ala berfirman:
حاكيا عن ربه عزوجل أنه قال من عمل عملا أشرك فيه غيري فأنامنه برئ وهو للذي أشرك
Maksudnya: Sesiapa yang beramal dengan tujuan selain daripadaKu maka Aku berlepas diri daripadanya serta Aku serahkan untuk membalas amalan itu kepada Tuhan yang disembahnya selainKu.(Hadits riwayat Ibn Majah - Kitab Zuhd – Bab: ‘Sesiapa yang melakukan syirik kepada Allah dengan amalannya’)

Penyakit Keduapuluh Empat: Tamak.

Rawatannya: Ialah dengan memahami bahawa sifat tamak ini akan menjerumuskannya ke dalam bahaya riya’ serta kan mencabut kemanisan beribadah kepada Allah. Akhirnya ia akan menjadi hamba abdi kepada makhluq setelah Allah membebaskannya daripada perhambaan sesama makhluq. Nabi صلى الله عليه وسلم memohon perlindungan daripada sifat tamak ini dalam sebuah hadits baginda:

أعوذبك من طمع يجر إلى طمع ومن طمع في غير مطمع
Maksudnya: “Aku memohon perlindunan kepadaMu Wahai Allah daripada sifat tamak yang menjurus kepada ketamakan yang tercela dan aku memohon perlindunganMu daripada sifat tamak yang tidak kena pada tempatnya.”

Seorang ulama’ salaf telah berkata: “Tamak itu adalah satu kefaqiran yang nyata, dan seorang kaya yang tamak itu adalah faqir, seorang faqir yang menjaga maruah itu adalah kaya, sifat tamak itu jugalah yang mencetuskan pembunuhan".


Ar-Rasail al-Darqawiyah - Siri 4

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya belajar dan bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah sesekali diandaikan dengan kefahaman sendiri. Sekian.)

Biarlah ku(1) ceritakan kepadamu betapa halku pada sekali peristiwa bersama saudaraku fiLlah al-Wali al-Sholih al-Syarif al-Hasani Abu al-Abbas Ahmad al-Thohiri رحمه الله didalam masjid al-Qurawiyyin. Kami berdua sedang di dalam syuhud. Dengan tidak semena-mena temanku itu membiarkan dirinya terlalai – atau, kita katakan menjadi lemah – sehingga ia berceloteh seperti orang kebanyakkan. Dengan tiba-tiba dan dengan marah, aku pun berkata padanya: “Kalau kamu hendak menang menang, palu! Dan lontarkan (dia) keluar!”(2). Dengan makna yang sama, kukatakan kepada seorang saudara yang lain: “Usahlah palu Yahudi atau Nasrani atau Muslim, tetapi palulah nafsumu sendiri(3), jangan berhenti memukulnya sehingga ia mati!” Kamu juga hai ikhwani, buanglah samasekali percakapan yang sia-sia, dengan pasti dan tidak dapat tidak, kerana ia adalah daripada sejahat-jahat godaan atau dorongan nafsu dan tiada layak bagi maqam dan hal mu, dan berkata baik sahajalah terhadap manusia, kerana seperti sabda Rasulullah صلي الله عليه وسلم :
من لم يشكر الناس لم يشكر الله
Ertinya: “Barangsiapa tiada bersyukur kepada manusia, tiadalah ia bersyukur kepada Allah”(4)

Lagipun, seperti yang kami katakan – والله أعلم - : Barangsiapa yang tiada mengambil orang lain kedalam perhitungan, yakni tiada mengenal mereka, tiadalah memusyahadahkan Allah pula dengan sempurna; kerana orang yang kamil ialah orang yang tiada terhijab oleh makhluq daripada mengenal al-Kholiq, dan tiada pula terhijab oleh al-Kholiq daripada mengenal makhluq. Ilmu aqli tiada mendinding orang yang sedemikian daripada ilmu laduni, demikian pula ilmu laduni tiada mendindingnya daripada ilmu aqli. Musabbab tiada mendindingnya daripada sebab, demikian pula sebab tiada mendindingnya daripada musabbab, syariat tiada mendindingnya daripada haqiqat, demikan pula haqiqat tiada mendindingnya daripada syariat, suluk tiada mendindingnya daripada jazbah, demikan pula jazbah tiada mendindingnya daripada suluk, demikianlah seterusnya. Ia telah mencapai matlamatnya, ia adalah orang yang kamil, lagi arifbillah, sedang lawannya ialah orang yang rugi. Kita tidak berbicara disini disini tentang orang yang majzub, iaitu orang yang ditarik secara tiba-tiba oleh al-Haq Ta’ala, keluar daripada kongkongan pancaindera, kerana orang majzub ini tiada sekali-kali rugi.


Notakaki:
(1) Maulay al-‘Arabi ad-Darqawi

(2) Yakni: “Kalau kamu hendak menang dalam mujahadah atau hendak menang di negeri akhirat yang kekal, palulah syaitan yang didalam dadamu itu, dan lontarkan dia keluar!”

(3) Kerana nafsumu itu seketat-ketat musuhmu, lebih perlu ditakuti daripada Yahudi dan Nasrani dan Muslim yang ‘asi dan perlu berwaspada terhadap kelibat dan tipu dayanya.

(4) Hadith Ahmad didalam Musnadnya dan at-Tirmidhi dan ad-Dhiya’ daripada Abi Said. Shahih, menurut as-Suyuthi didalam al-Jami’ al-Shaghir.

Khamis, 19 Julai 2007

Wacana Pemikiran Islam



Wacana Pemikiran Islam anjuran PUM Wilayah dengan kerjasama Muafakat adakan pada 21/07/2007 bertempat di Masjid Negara. Sila dapatkan keterangan lanjut disini

Persoalan Puasa Rejab - Bahagian 2

Sambungan dari bahagian -1

Walaubagaimana sekalipun selain daripada kenyataan al-Allamah Ibnu Hajar mengenai memadai untuk beramal Puasa di bulan Rejab dengan beriktibar kepada hadits-hadits yang tersebut sekalipun ada yang dhaif, beliau juga menjelaskan lagi mengenai terdapatnya hadits-hadits yang bertaraf shahih sebagai pegangan para ulama’ yang memfatwakan Puasa Rejab adalah SUNAT. Kita lihat dimuka surat 22 beliau menulis:


“Bahawa yang sebenar adalah perkataan dari orang yang berkata: Sunat berpuasa hari Itsnin dan Khamis, Rejab dan baki hari-hari di Bulan Haram. Sesiapa yang berkata sebaliknya, yaitu “Tidak sunat” dan menegah manusia (dari mendapatkan fadhilatnya) dengan berpuasa, maka orang tersebut salah dan berdosa, kerana penghujung kedudukan orang tersebut sebenarnya adalah bertaraf seorang awam

[Ulasan: Orang awam tidak boleh sewenang-wenang memberi fatwa dan tidak harus diikuti. Maka seseorang awam yang cuba-cuba berfatwa adalah berdosa dan haram diikuti.]

Dimukasurat 23 beliau menyebut lagi:
“Sepertimana satu hadits yang telah menshahihkannya oleh Ibnu Khuzaimah daripada Usamah, “Saya berkata: Wahai Rasululah! Saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan sepertimana Tuan berpuasa Bulan Sya’ban?. Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab: Demikian itu adalah satu bulan yang lalai manusia daripadanya yang berada antara Rejab dan Ramadhan. Maka bulan Sya’ban adalah satu bulan yang diangkat didalamnya semua amal kehadrat Rabbil ‘Alamin. Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa )”.

Maka mengisyaratkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم tatkala melengkungi oleh dua bulan yang agung yaitu Bulan Rajab dan Ramadhan, yang mana manusia berlumba-lumba sibuk (berpuasa dan beribadat) dalam kedua-kedua bulan tersebut, lantas terlupa bulan Sya’ban. Kerana yang demikian, kebanyakan ulama’ berpendapat Puasa di Bulan Rejab terlebih afdhal dari Bulan Sya’ban. - Tammat.

Agaknya siapakah manusia yang sibuk berpuasa di bulan Ramadhan dan Rejab tersebut?. Iaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para shahabat رضي الله عنهم, sudah termaklum mereka adalah sebahagian daripada makna manusia dari lafaz hadits tersebut dan hadits ini juga menjadi dalil kesunatan berpuasa Rejab sebab lafaz: “Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa ” adalah sabda Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri. Mengatakan Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa dibulan Rejab dan tidak sunnah berpuasa dibulan Rejab adalah satu pendustaan juga terhadap Nabi صلى الله عليه وسلم. Telah maklum hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah tersebut adalah hadits shahih.

Seterusnya beliau menambah :
Telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم memandubkan berpuasa di BULAN-BULAN HARAM . Pada hal Rajab adalah sebahagian dari bulan-bulan Haram. Riwayat dari Abi Daud dan lainnya dari Urwah, bahawa beliau telah bertanya Abdullah bin Umar: “Adakah Rasululah صلى الله عليه وسلم berpuasa dibulan Rejab?. Beliau menjawab: Ya dan baginda melebihkannya. Ibnu Umar mengatakannya sampai tiga kali”.

Dan sesungguhnya Abu Qilabah telah meriwayatkan: “Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah mahligai bagi sesiapa yang berpuasa di bulan Rajab”. Imam al-Baihaqi mengulas: “Abu Qilabah salah seorang Tabi’in yang tidak akan berkata mengenainya melainkan diambilnya dari seorang penyampai ( yakni shahabat).

Maka tsabitlah SUNAT berpuasa di Bulan Rajab, bukan makruh. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan makruh adalah fasid bahkan salah sebagaimana yang telah engkau ketahui kelebihan (fadhilat) puasa Sya’ban, padahal puasa Rajab terlebih afdhal darinya. Kerana seafdhal-afdhal bulan selepas Ramadhan ialah Bulan Muharam, kemudian baki-baki bulan Haram, akhirnya barulah Sya’ban. - Tammat.


Ulasan:
Sebahagian manusia mengatakan: “Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa Rejab. Tidak ada nash berpuasa Rejab. Lantaran itu haram puasa Rejab atau makruh. Kalau berkepercayaan Nabi صلى الله عليه وسلم ada berpuasa di bulan Rejab maka Haram sebab dusta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Kalau hendak buat juga tapi mengkhususkan niat Puasa Bulan Rejab maka makruh sebab tidak ada dalil hadits yang terang.”

Sebenarnya semua kenyataan tersebut salah dan kalau menafikan Nabi صلى الله عليه وسلم pernah berpuasa Rejab dengan sebab tidak kerana kejahilannya, maka hendaklah bertaubat. Kalau sengaja-sengaja buat dusta dan kacau-bilau, maka pihak pemerintah (kerajaan) mestilah mengambil tindakan.

Cuba lihat ini, satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, satu lagi hadits yang mana tidak disangsikan lagi keshahihannya. Yang sangsi adalah mereka yang didalam hati berpenyakit. Seperti yang sudah ditimpa kepada puak yang anti ulama’, anti ahli sunnah dan anti mazhab. Barang di jauhkan Allah adanya.

Utsman bin Hakam al-Ansori berkata: Saya telah bertanya Sa’id bin Jubair berkenaan Puasa Rejab sedangkan kami ketika itu masih berada di Bulan Rejab. Beliau (Sa’id ) menjawab: Saya telah mendengar Ibnu Abbas رضي الله عمهما berkata: “Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berpuasa sehingga kami mengatakan (menyangka) beliau tidak berbuka (tidak berhenti puasa), dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan (menyangka) beliau tidak berpuasa”. - Riwayat Muslim.

Terang dalam hadits ini menunjukkan Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa Rejab. Mengatakannya Nabi صلى الله عليه وسلم tak pernah buat adalah dusta.

Kalau mereka berkata: "Aaah! Itu hadits yang menunjukkan harus puasa dibulan Rejab bukan sunat!!!.Memang dibolehkan jika berpuasa tanpa mengaitkan bulan Rejab. Sebab dalilnya hanya bersandarkan dalil yang umum hadits shahih riwayat Muslim tersebut"

Jawab: Lihatlah mereka cuba pusing-pusing. Mula–mula kata tidak sunat Puasa Rejab sebab tidak ada dalil Nabi Puasa. Kemudian berdalih pula mengatakan hadits Muslim tersebut menunjukkan hanya harus bukan sunat.

Lihatlah Syarahan Hadits tersebut dalam Kitab Syarah Muslim, Juzu 8, mukasurat 38-39, cetakan Daarul Syaqafah:

Bab: Berpuasa Nabi صلى الله عليه وسلم dibulan yang selain bulan Ramadhan.

Maksudnya: “Yang Zohir, bahawa maksud Sa’id bin Jubair dengan istidlal (pengambilan hukum) dengan hadits ini bahawa puasa Rejab tidak ditegah dan tidak disunatkan berdasarkan hadits ini untuk ain (diri) puasa Rejab. Bahkan tetapi bagi puasa Rejab sama hukumnya dengan hukum selebihnya bulan-bulan (yakni dengan hukum puasa dibulan-bulan haram). Tidak tsabit pada berpuasa Rejab tegahan dan tidak tidak tsabit nadab (sunat) bagi diri Rejab, tetapi asal hukum berpuasa Rejab, adalah diSUNATkan. Didalam Sunan Abi Daud, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mensunatkan berpuasa dibulan-bulan Haram. Padahal Rejab adalah salah-satu dari Bulan-bulan Haram. Wallahu a’lam”. - Tammat.

Maksud sebenar Imam Nawawi dalam Syarah Muslim tersebut, hanya sahaja dalil Kesunatan Rejab tidak berdalilkan dengan ain (diri) hadits tersebut. Bukan menafikan “Kesunatan Berpuasa dibulan Rejab”. Perhatikan baik-baik. Memang, berdasarkan hadits tersebut kita memahamkan :

1) Nabi صلى الله عليه وسلم pernah berpuasa di Bulan Rejab. Menafikannya sebagai tidak pernah berpuasa dibulan Rejab dan tiada sunnahnya berpuasa dibulan Rejab, adalah satu pembohongan yang mentah-mentah mesti ditolak oleh mereka yang mengerti.

2) Hadits tersebut dilalahnya menunjukkan harus berpuasa di Bulan Rejab. Bukan sunat, bukan juga makruh, barang dijauhi haramnya.

3) Sekalipun hadits tersebut tidak menjadi ain (diri) dalil kesunatan berpuasa Rejab, tetapi berpuasa di bulan Rejab tetaplah juga hukumnya SUNAT berdasarkan hadits-hadits shahih mentsabitkan Puasa Di bulan Haram. Misalnya hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah tersebut dan Imam Abu Daud juga telah meriwayatkan “Seafdhal-afdhal puasa adalah Puasa dibulan-bulan Haram”.

Sebagai penjelasan: Imam Nawawi menyebut: أصل الصوم مندوب اليه. Maksudnya asal hukum berpuasa adalah mandub yaitu diSUNATkan. Ditahkikkan dengan kenyataan “Bulan Rajab adalah salah satu daripada Tadhamun makna ‘Asyh harul Haram”. Tidak ada satu hadits samada yang bertahap shahih mahupun hasan yang boleh dijadikan dalil Pentakhsisan untuk hadits “Asyharul Haram” yang umum maknanya. Bahkan hadits tersebut akan menunjukkan Rajab adalah sebahagian afradnya. Hadits yang khusus berkenaan Puasa Sya’ban dan Bulan Muharam tidak pula sah dan boleh dipakai sebagai pentakhsisan hadits “Asyhurul Haram” sehingga melibatkan puasa di Bulan Rajab. Sebab Muharram, Sya’ban dan Rajab adalah ain atau diri atau masa yang berlain-lainan. Sya’ban bukan bulan Haram. Sya’ban mempunyai dalil yang tersendiri. Sedangkan Muharram dan Rejab adalah afrad “Bulan Haram”. Hadits khusus berkenaan fadhilat Muharram tidak akan melibatkan Rejab. Maka Bulan Rejab tepat diatas ASAL HUKUMnya yaitu SUNAT sebagaimana yang dicatit oleh Imam Nawawi tersebut “Ashlul Saumi Mandhubun ilaih”.

4) Ini juga difahamkan tentulah berlaku perbezaan Bulan Rajab dengan bulan-bulan selain dari bulan Haram misalnya bulan safar. Bulan Safar tidak termasuk Bulan-bulan Haram. Bulan Rejab snat berpuasa, berdalilkan hadits-hadits yang telah lalu. Sementara bulan Safar pula misalnya, tidak disunatkan berpuasa sebab tidak ada dalilnya. Lantaran itu jika ada orang yang berkata “Tidak ada langsung bezanya Bulan Rejab dengan bulan-bulan yang lain, sebab semua hadits-haditsnya adalah maudhu’ dan dhaif. Tidak ada fadhilat, tidak ada pahala kalau puasa, tidak ada ketentuan berpuasa di bulan Rejab dengan berniat umpamanya: Saja aku puasa esok, bulan Rejab…. ” maka satu lagi bohong telah timbul. Sebab memang terdapat perbezaan antara bulan Rejab dengan selain bulan-bulan Haram misalnya Safar tersebut, menunjukkan ada fadhilat atau kelebihan Bulan Rejab. Maka diulangi lagi, “Adalah Mereka yang menafikan secara muthlak fadhilat Bulan Rejab adalah kesalahan yang mesti ditangani oleh pemerintah, lantaran kenakalan yang menjejaskan kepentingan awam”.

5) Maka sebenarnya hendaklah difahami, bahawa Imam Nawawi hanyalah menyatakan Hadits Muslim tersebut tidak menjadi ain dalil Berpuasa Rejab sahaja. Bukan Berpuasa Rejab tidak ada dalilnya.
Kedua-duanya adalah berbeza.

Ada lagi seorang hamba Allah mengatakan: “Tidak betul huraian awak ini sebab Imam Nawawi tidak berkata khusus berpuasa di bulan Rejab, sehingga boleh ditentukan Niat berpuasa Rejab secara khusus?”

Jawab: Kenapa Imam Nawawi mengatakan أصل الصوم مندوب اليه?.Cuba pula awak cernakan?.


Sila lihat pula kitab al-Majmuk juzuk 6 mukasurat 386: “Sebahagian dari puasa yang disunatkan, ialah puasa dibulan-bulan Haram, yaitu Zul-Qa’dah, Zul-Hijjah, Muharram dan REJAB”. - Tammat.

Disini menunjukkan Sunat Puasa Rejab dan adanya pengkhususan Puasa Rejab serta niat-niatnya.

Oleh yang demikian, setiap Muslim semestinya faham untuk membezakan diantara terdapatnya hadits-hadits maudhu’ dan dhaif yang menghikayatkan kelebihan berpuasa dibulan Rejab dengan ketiadaan dalil kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Kedua-duanya perkara tersebut sebenarnya adalah perkara yang berlain-lainan.

Jangan terkeliru dan terpedaya dengan oceh-ocehan mereka yang tidak bertanggung jawab, yang mungkin kononnya terlalu asyik menjaga masyarakat agar tidak berpegang dengan hadits-hadits yang dusta terhadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Langsung terlajak menolak terus Sunat berpuasa dibulan Rejab. Sebenarnya cara mereka sama saja bila berhadapan dengan sebarang isu agama khususnya hukum-hukum agama yang telah maklum diketahui orang ramai. Mereka biasanya mencari-cari ruang yang boleh sedapat mungkin untuk dikritik habis-habisan fatwa-fatwa ulama’ mu’tabar, mengikut kaedah mereka yang kebanyakannya adalah mengelirukan. Meng‘high-light’kan cogan “Penilaian Semula Fatwa-fatwa Ulama’, jangan ikut saja buta tuli”, padahal dalam kebanyakan hal merekalah yang terlebih buta, terutama dalam konteks memahami ibarat-ibarat dan maksud kata-kata dari para ulama’. - Wassalam .

Persoalan Puasa Rejab - Bahagian 1

Sekarang kita berada dibulan Rejab. Suatu hal yang menyedihkan apabila terdapat segolongan manusia jahil tapi berlagak 'alim yang telah mengeluarkan pelbagai pendapat songsang mengenai dengan puasa Rejab. Ada diantara mereka yang membid'ahkan orang yang berpuasa Rejab. Ada yang mengharamkannya. Pendapat-pendapat sebegini meresahkan masyarakat yang telah sedia beramal dengan puasa Rejab. Oleh yang demikian saya bawakan disini satu risalah yang ditulis oleh al-Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Raof al-Bahanjee, al-A'liyy - Pondok Jalan Padang Ragut, Seri Repah, Tampin,. Negeri Sembilan, mengenai persoalan puasa Rejab. Moga-moga dengan tuan-tuan/puan-puan berolah manfaat daripadanya. Website al-Fadhil Tuan Guru boleh dilayari disini



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berkenaan mengenai puasa sunat di bulan Rajab , terdapat segelintir manusia yang mengembar gemburkan larangan berpuasa di bulan Rajab atau cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat dibulan Rajab dan tidak ada kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya ataupun sekurang-kurangnya cuba mengwas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rajab dengan beralasankan hadits- hadits yang mengisahkan fadilat puasa di bulan Rajab adalah dhaif dan maudhu’. Maka mereka melarang atau sekurang- kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rajab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Ini boleh kita lihat kenyataannya daripada jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq al-Imam al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 dalam kitab al-Fatawa al-Kubro al-Fiqhiyah karangan beliau juzu yang kedua, mukasurat 3, cetakan Darul Kutub al-Ilmiah.

Al-Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke-9 Hijrah, kira-kira empat ratus tahun dahulu. Maka, persoalan ini sebenarnya telah dijawab terlebih dahulu kira-kira empat ratus tahun dulu lagi. Tiba-tiba hari ini datang seorang hamba Allah yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu yang dipelajari melebihi tahap masa tiga (3) tahun , cuba membongkar semula masalah ini , atas alasan maudhu dan dhaif haditsnya. Maka tidak sunat puasa di bulan Rejab?. Apakah maksud sebenar beliau ini?, Kalau sekadar untuk memaklumkan maudhu dan dhaif haditsnya sahaja tidaklah menjadi masalah. Tetapi kalau sampai membatalkan hukum sunat berpuasa di bulan Rajab dan melarang orang ramai mendapatkan kelebihan bulan Rajab , maka sudah termasuk kategori melakukan suatu yang bercanggah dengan kepentingan awam Muslimin. Sebenarnya bukan orang ramai yang dilarang mendapatkan fadhilat berpuasa dibulan Rajab, beliaulah yang sepatutnya ditegah daripada menyebar–luas fahaman songsang tersebut.

Al-Allamah Ibnu Hajar al Haitami mengulas:
“Terdapat seorang ahli Feqah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rajab adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya. Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Mahkamah Syariah melarangnya (menegahnya) daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang sepertinya dengan hukuman Takzir yang sungguh- sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab. Seolah-olahnya Faqih (ahli fekah) yang jahil tersebut terpedaya dengan satu hadits yang diriwayatkan yang menyatakan:

“Bahawasanya Neraka Jahanam menyala-nyala bermula daripada haul (pusingan) daripada satu haul kepada satu haul bagi sesiapa yang berpuasa Rajab”.

Padahal Si Jahil yang terpedaya tersebut tidak mengetahui bahawasanya hadits yang termaklum itu adalah batil, dusta yang tidak halallah meriwayatnya sebagaimana yang telah menyebut oleh Syaikh Abu Omar bin Sollah (Ibnu Solah) dan menegah engkau dari (meriwayatkannya), kerana memeliharakan sunnah, dan memeliharakan kebesaran ilmu. Beliau berfatwa berbetulan dengan fatwa Izzudin bin Abdis Salam, yang mana sesungguhnya telah disoal mengenai catitan sebahagian Ahli Hadits terdapatnya TEGAHAN berpuasa di bulan Rajab dan membesarkan bulannya al-Haram, maka adakah sah nazar berpuasa pada keseluruhan bulan Rajab?

Izzudin Abdis Salam menjawab: “Nazar puasanya sah, beliau tersebut sebenarnya telah melazimkan penghampiran diri kepada Allah Taala dengan seumpama mengerjakan puasa . Mereka yang menegah daripada berpuasa di masa tersebut adalah jahil terhadap tempat ambilan (istinbat hukum-hukum syarak). Maka betapa pula dia menegahkan daripada berpuasa padahal bahawasanya para ulama` yang mana mereka telah menyusun (mentadwinkan) hukum–hukum syariah, tidak pernah ada dikalangan mereka seorang pun yang menyebut termasuk larangan yang makruh berpuasa bahkan sebenarnya puasanya adalah merupakan taqarub yakni penghampiran diri kepada Allah Ta’ala kerana berdasarkan beberapa hadits yang shahih yang menyungguh-nyungguh mendorong berpuasa seperti mana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم, berfirman Allah Taala “ Tiap–tiap anak Adam adalah baginya (yakni boleh diketahui hitungan pahalanya) melainkan puasa. Dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : “Sesungguhnya berubah bau mulut seseorang yang berpuasa terlebih harum disisi Allah Taala daripada bau kasturi”.

Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: “ Sesungguhnya seafdhal- afdhal puasa ialah puasa saudaraku Daud عليه السلام. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”. Adalah Nabi Daud عليه السلام berpuasa dengan cara tersebut tanpa mengaitkan dengan bulan- bulan yang selain daripada bulan Rajab dan tanpa mengaitkan selain daripada membesarkan bulan Rajab lain dari apa yang berlaku disisi puak jahiliyah yang mana mereka juga membesarkan bulan Rajab.

Maka Daud عليه السلام dengan sebab berpuasanya bukanlah pula mengikut jahiliyah. Tidaklah kesemua perkara yang dilakukan jahiliyah ditegah melakukannya, melainkan apabila terdapat Tegahan Syariat padanya, atau terdapat dalil-dalil qaedah syariat yang menegahnya. Dan tidak pula ditinggalkan perkara yang sebenar disebabkan kerana terdapat orang-orang yang mengikut sesuatu kebatilan melakukannya.


(Sebenarnya) Orang yang melarang berpuasa (Rejab) tersebut adalah seorang yang jahil yang terserlah kejahilannya. Tidak halal (yakni haram lah) seseorang Islam mengikuti agama orang tersebut. Kerana tidak harus bertaqlid (mengikut) agama orang tersebut disebabkan, seseorang Islam tidak dibenarkan mengikut (sesuatu fatwa) melainkan kepada mereka yang telah masyhur memahami, mengetahui dan mengertinya terhadap segala hukum Allah Ta’ala dan memahami, mengetahui dan mengertinya segala tempat pengambilan hukum yaitu dalil-dalil hukum.

Apa yang telah dibentangkan dan dibangsakan kepada ahli feqah tersebut adalah jauh dari faham, mengerti dan mengetahui berkenaan agama Allah Ta’ala. Maka janganlah diikut pada fatwa dan pendapatnya. Sesiapa sahaja yang mengikutinya, nescaya terpedayalah dengan agama ahli fekah itu”. - Tammat fatwa Izzuddin Abdis Salam.

Seterusnya Ibnu Sholah telah menjelaskan maksud Fatwa Izzuddin Abdis Salam dalam kitab Fatawa Kubro tersebut di muka surat yang sama.

“Dan telah mengisyaratkan oleh Izzuddin Abdis Salam bahawa memadai pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan apa yang telah diriwayatkan oleh beberapa hadits yang menunjukkan atas fadhilat (kelebihan) puasa
Yang mutlak (yakni yang umum, yang menyeluruh) dan
Yang khusus kelebihannya pada BULAN-BULAN HARAM.
Yaitu seperti hadits Abu Daud dan Ibnu Majah dan hadits riwayat selain mereka, daripada al-Bahili: Aku datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Saya adalah seorang lelaki yang datang bertemu Tuan pada tahun yang pertama. Baginda bersabda : Mengapa ku lihat tubuhmu kurus kering?. Jawab al-Bahili: Ya Rasulullah, tidak ada benda yang saya makan disiang hari yang saya makan melainkan (dimakan) pada malam sahaja. Bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم: Siapa pula yang menyuruh engkau mendera dirimu?. Aku menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya kuat (berpuasa). Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dibulan sabar, dan tiga hari selepasnya dan berpuasalah dibulan-bulan Haram” .

Pada satu riwayat lain: “Berpuasalah dibulan sabar dan sehari pada tiap-tiap bulan.” Berkata al-Bahili: Tambahi lagi sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dua hari. Berkata al-Bahili: Tambahilah lagi maka sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah tiga hari selepasnya dan berpuasalah di BULAN HARAM dan tinggallkanlah, puasalah dibulan Haram dan tinggalkanlah. Bersabda Rasululah صلى الله عليه وسلم sambil menghimpunkan jari-jari nya yang tiga kemudian melepaskannya”.

Para Ulama’ telah mengulas bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh al-Bahili berhenti berpuasa (beberapa ketika) kerana mendapati kesusahannya untuk membanyakkan puasa seperti yang telah dinyatakan pada awal-awal hadits pertama, dan sesiapa yang tidak kepayahan (yakni mampu), maka berpuasa keseluruhan adalah satu fadhilat (kelebihan).

Perhatikanlah: Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم dengan berpuasa diBULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang pertama dan Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa dalam sebahagian dari BULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang kedua nescaya engkau akan dapati NAS PERINTAH BERPUASA REJAB atau BERPUASA SEBAHAGIAN DARINYA KERANA REJAB ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA BULAN-BULAN HARAM bahkan ia adalah yang paling AFDHAL dari semua bulan-bulan haram.

Maka perkataan orang jahil tersebut “Bahawa hadits-hadits berpuasa diBulan Rejab adalah maudhu’, jika dia memaksudkannya menyeluruh pada segala hadits-hadits yang menunjuk kepada berpuasa Rejab menurut umumnya hadits dan khususnya, itu sebenarnya adalah satu pendustaan dan pembohongan pula dari si jahil tersebut. Hendaklah dia bertaubat (dari fahamannya dan meyebar-luaskan fatwanya kepada orang ramai) kalau tidak mahu juga, di takzir lah atasnya dengan takzir yang sungguh-sungguh oleh pemerintah (lantaran fahaman songsangnya).

Disatu sudut memang betul juga terdapatnya banyak hadits-hadits yang maudhu, yang dusta berkenaan Puasa Rejab walhal para imam kita tidak langsung berpegang dengan hadits-hadits maudhu’ tersebut sebagai dalil Sunat Puasa Rejab. Jauhlah mereka hendak bertindak sebegitu. Sebenarnya hanyalah mereka berdalilkan sepertimana yang telah saya nyatakan dan terdapat lagi hadits-hadits dan dalil-dalil yang lain.

Sebahagiannya sepertimana terdapatnya hadits-hadits yang popular misalnya hadits yang:

1) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas, beliau telah memarfu’kannya:


. إن في الجنة نهرًا يُقال له رجب، ماؤه أشدُّ بياضًا من اللبن وأحلَى من العسل، مَن صام يومًا من رجب سَقاه اللهُ من ذلك النّهر "

Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu".


(2) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya beliau memarfu’kannya:


مَن صام من رجب يوما كان كصيام سنة ومن صام منه سبعةَ أيّام غُلِّقت عنه أبواب جهنم . ومن صام منه ثمانيةَ أيام فُتِّحتْ أبوابُ الجنّةِ ، ومن صام منه عشرة أيام لم يسأل الله شيأ الا أعطاه الله اياه , ومن صام خمسة عشر يوما نادى مناد من السمأ قد غفر لك ما سلف فاستأنف العمل وقد بدلت سيِّئاتك حسنات ومن زاد زاده الله . ٍ

Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun , dan siapa yg berpuasa didalamnya tujuh (7) hari maka akan ditutup tujuh pintu-pintu neraka Jahannam, dan barangsiapa yg berpuasa lapan (8) hari maka lapan pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa sepuluh (10) hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa limabelas (15) hari, menyerulah penyeru dari langit: “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru, dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.


Kemudian al-Baihaqi telah menaqalkan daripada Gurunya al-Hakim bahawa hadits yang pertama diatas adalah statusnya mauquf atas Abi Qilabah seorang Tabi’in. Orang yang seperti beliau tidak akan berkata-kata melainkan diambil daripada seseorang (yaitu para shahabat) yang perkataannya diambil pula daripada tuan yang menerima wahyu (yaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم).

Mengenai Hadits yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah pula “ Bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa selepas Ramadhan melainkan Rejab dan Sya’ban “. Beliau berkata Isnad hadits tersebut dhaif . - Tammat komentar Ibnu Solah.

Syaikh al-Allamah Ibnu Hajar menjelaskan pula fungsi hadits-hadits dhaif yang berkisar dalam masalah Puasa Rejab ini. Beliau menulis di muka surat 5.

“Sesungguhnya para ulama’ telah menetapkan bahawa hadits-hadits dhaif, mursal, munqothi’, mu’dhal dan mauquf diamalkan dengannya pada fadho`ilil a’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak syak lagi bahawa berpuasa Rejab adalah sebahagian daripada fadho`ilil a’mal. Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits dhaif dan yang sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu melainkan orang-orang yang JAHIL YANG TERPEDAYA”. - Tammat.

Rabu, 18 Julai 2007

Ta'ziah



Ucapan Ta'ziah



Aku mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga keenam-enam anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat helikopter Nuri di Genting Sempah. Marilah kita sama-sama hadiahkan al-Faatihah dan mendoakan mereka semoga Allah mengampuni dosa mereka, mencucuri rahmatNYA keatas ruh mereka dan ditempatkan ruh mereka bersama ruh para syuhada' dan sholehin.


al-Faatihah buat ….

  • Kapt Nor Azlan Termuzi
  • Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof
  • Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara)
  • Sjn Mohd Azmie Md Yassin
  • Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan
  • Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad.

Membaca tasbih rukuk سبحان ربي العظيم وبحمده dan tasbih sujud سبحان ربي الاعلى وبحمده tiada sumber dari as-Sunnah?

"Sebab di UK banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam perkara agama. Banyak perkara “baru” diperkenalkan di sini dan banyak perkara “lama” dan sebati yang tiada sumbernya yang saya lakukan di Malaysia. Contoh mudah seperti penambahan perkataan “wa bihamdih” ketika rukuk dan sujud dan “saiyidina” ketika tahiyat…."


Kenyataan diatas aku jumpa komen disebuah blog seketika aku merayau-rayau dibeberapa buah blog. Aku tidak tahu samada yang memberi komen itu atas dasar ilmu yang disogokkan padanya ataupun atas kejahilannya. Memang aku tidak selesa orang dok pertikai sesuatu amalan yang telah diputuskan oleh para ulama kita secara mengkhinzir buta. Kenyataan sebegitu seolah-olah menyatakan bahwa ulama kita ini bodoh, mengada-adakan atau menambahkan sesuatu dalam agama dan sebagainya. Tapi bagi aku yang buat komen itu sebenarnya jahil. Kalau ngak mau buat, jangan menyalahkan orang lain yang buat. Ulama-ulama kami juga punya dalil. Berlapang dada lah dalam soal khilafiah. Dan berhati-hati dalam memberi komen. Yang buat aku nak komen [walaupun sebenarnya aku bukanlah layak puuuun] kerana dia mengatakan "bahwa amalan seperti penambahan bacaan wabihamdih ketika tasbih rukuk dan sujud adalah amalan yang tiada sumbernya". Ni aku nak habaq mai sumber dia.

Mula-mula mai kita tengok apa kata ulama syafi’iyyah terhadap membaca tasbih rukuk سبحان ربي العظيم وبحمده dan tasbih sujud سبحان ربي الاعلى وبحمده:

Didalam kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syaikh Arsyad al-Banjari, Juz 1, halaman 211 (rukuk) dan 218 (sujud) disebutkan:

(Dan) setengah daripada jumlah yang akmal pada rukuk bahwa dibaca didalamnya سبحان ربي العظيم وبحمده tiga kali dan yang terlebih akmal 11 kali ……. Dan lagi disunatkan bagi yang sembahyang mengucap ia dalam sujudnya سبحان ربي الاعلى وبحمده tiga kali ……

Didalam kitab Bughyah at-Thullab oleh Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni, Juz 1, halaman 130 disebutkan:

(Dan) setengah daripada sunat sembahyang itu mengucap tasbih rukuk dan sujud seperti dibacanya pada rukuk سبحان ربي العظيم وبحمده tiga kali atau lima kali atau lebih bagi yang lain daripada imam iaitu orang yang sembahyang sendirian atau imam yang redha ma’mumnya berpanjang-panjang (dan pada sujud) dibacanya سبحان ربي الاعلى وبحمده tiga kali, [menurut] riwayat Abu Daud ….

Didalam kitab Fathul Muin disebutkan:

Dan (disunatkan) ia membaca سبحان ربي العظيم وبحمده tiga kali sebagai ittaba’ ……….. dan disunatkan membaca waktu sujud سبحان ربي الاعلى وبحمده tiga kali sebagai ittiba’

Syaikh Nawawi al-Banteni (digelar sebagai Imam Nawawi ats-Tsani sewaktu zaman oleh ulama Mekah) menyebut didalam kitab Nihayatuz Zein, halaman 66 dan 69:

Dan disunatkan dalam rukuk membaca سبحان ربي العظيم kerana ittiba’ dan disunatkan menambah وبحمده. Dan disunatkan dalam sujud membaca سبحان ربي الاعلى dan disunatkan pula menambah bacaan وبحمده

Sayyid Abdullah al-Jurdani menyebut didalam Fathul 'Allam, halaman 389 dan 395:

Dan daripada kafiat membaca tasbih dalam rukuk adalah secara sir dengan bahwa dikatakan: سبحان ربي العظيم وبحمده …..
Dan daripada kafiat membaca tasbih dalam sujud adalah secara sir dengan bahwa dikatakan: سبحان ربي الاعلى وبحمده …..

Imam an-Nawawi menyebut didalam al-Majmu’ syarah al-Muhazzab:

Telah berkata ashab kami [shahabat-shabat kami dari mazhab Syafie]: Disunatkan membaca سبحان ربي العظيم وبحمده. Diantara ulama yanh memberikan nash atas sunat mengucapkan وبحمده ialah al-Qadhi Abu Thayyib, al-Qadhi Hussin pengarang kitab Syamil, Imam al-Ghazali dan para ulama selainnya

Persoalannya apa Nabi pernah membaca tambahan وبحمده?


Imam Abu Daud telah meriwayatkan sebuah didalam kitab sunannya, bermaksud
Daripada Uqbah bin Amir رضي الله عنه, telah berkata ia: Maka adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila baginda rukuk, baginda membaca سبحان ربي العظيم وبحمده. Sebanyak tiga kali. Dan apabila baginda sujud, baginda mengucapkan سبحان ربي الاعلى وبحمده sebanyak tiga kali.


Berkata Syaikh Abdul Qadir al-Mandili di dalam kitabnya Sinaran Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-Asy’ari:

Hadits [hadits riwayat yang kat atas tuh!] ini menjadi dalil bagi ulama’ kita atas menambah lafadz وبحمده. Dan tiada boleh dikatakan (bahwa hadits ini dhoif) kerana Abu Daud tiada menghukumkan ia dengan dhoif. Maka segala hadits yang didalam sunannya yang tiada mendhoifkan ia akan dia semuanya sholeh artinya patut jadi dalil dan tiada boleh dikatakan: (ketunggalan oleh al-Laits bin Said pada meriwayatkan tambahan وبحمده maka tiada sah ia menjadi dalil) kerana al-Laits bin Said thiqah (hafidz, ‘adil), dan setengah daripada yang sudah maklum hingga kepada orang-orang yang baharu belajar ilmu hadits perkataan mereka itu زيادة الثقة مقبولة artinya tambahan orang yang kepercayaan diterima akan dia. Bahkan jika fardhu taqdir tiada ada didalam hadits lafadz وبحمده , nescaya boleh juga kita membacanya kerana beramal dengan firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Furqan وسبح بحمده artinya: Dan mengucap tasbih olehmu serta memujinya, kerana dalil itu bukan hadits sahaja seperti yang sudah terdahulu. والله تعالى أعلم. [Sinar Matahari; Halaman 37]


Dalam mukasurat sebelumnya, Shaikh Abdul Qadir al-Mandili menyebut mengenai hadits Abu Daud: Berkata al-Imam Nawawi di dalam al-Adzkar: Bahwasanya barang yang menceritakan dia oleh Abu Daud di dalam sunannya dan tiada menyebut ia akan dhoifnya maka ia (hadits) pada sisinya shohih atau hasan. Dan tiap-tiap daripada keduanya dibuat hujjah dengan dia pada segala hukum, maka lebih lagi pada segala kelebihan.


Berkata Abu Daud kerana menjawab pertanyaan orang Mekah [artinya]:Menyebut aku di dalam kitabku (as-Sunan) akan hadits yang shohih dan akan barang yang menyerupai ia akan dia dan menghampiri ia akan dia. Dan barang yang ada padanya dhoif yang bersangatan nescaya aku terangkan akan dia, dan barang yang tiada menyebut aku padanya akan sesuatu maka ia sholeh (patut dibuat hujjah) dan setengahnya lebih shohih daripada setengah, dan berkata al-Hafidz Ibn Sholah: Bahwasanya hadits yang di dalam Sunan Abi Daud yang tiada mendhoifkan ia akan dia dan tiada ada ia shohih pada sisi orang yang lain daripadanya maka hadits itu hadits hasan…. [demikian petikan dari kitab Sinar Matahari oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili, halaman 36- 37]

Ustaz aku kata: Hadits-hadits mengenai bacaan tersebut, termasuk dari hadits diatas, diriwayatkan oleh imam-iman hadits daripada 5 orang shahabat yang berbeda :

  • Imam Abu Daud daripada shahabat yang bernama Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه
  • Imam Daraqutni daripada shahabat Ibn Mas’ud رضي الله عنه
  • Imam Daraqutni daripada shahabat Huzaifah رضي الله عنه
  • Imam Ahmad dan Imam Daraqutni daripada shahabat Abu Malik al-Asy’ari رضي الله عنه
  • Imam al-Hakim daripada shahabat Abu Juhaifah رضي الله عنه
Walaupun pada sanad setiap riwayat hadits itu terdapat kelemahan, tapi perlu diingat bahwasanya, ianya boleh menjadi kuat dengan adanya sokongan riwayat-riwayat lain.

Didalam Nailul Author, asy-Syaukani, menolak pendapat ulama yang mengingkari adanya tambahan وبحمده dalam tasbih rukuk dan sujud dengan katanya: Beberapa jalan riwayat ini telah saling menguatkan. Maka tertolaklah pengingkaran [terhadap riwayat adanya tambahan وبحمده ]

Kata Syaikh Abdul Haq ad-Dihlawi pada muqaddimah Misykatul Mashobih:

والضعيف إن تعد طرقه وانجبر ضعفه يسمى حسنالغيره
Hadits dhaif, jika berbilang thuruqnya (jalan riwayatnya) dan tertampung kelemahannya [darjatnya terangkat menjadi hadits yang] dinamakan hasan lighairih

Dalam kitab yang sama beliau mengatakan lagi: Hadits dhoif yang telah sampai darjatnya hasan lighairih dengan sebab berbilang thuruqnya, maka para ulama’ telah ijma [pada menyatakan keharusannya menjadi hujjah atau alasan]

Rasanya cukuplah setakat ini komen aku berdasarkan kepada pendapat para ulama. Jadi sebelum mengatakan bahwa sesuatu amal itu tiada sumbernya maka, eloklah mengaji atau kaji dulu secara adil. Jangan main pukoi borong saja!. Atau lebih baik diam saja! InshaAllah kalau ada kesempatan aku komen pulak bab membaca Sayyidina. Ampun maaf andai bahasa aku kasaq.

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah - (Siri - 8)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: hamba Allah yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Fashal (فصل) ini pada menyatakan mengesakan af’al Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan hatimu daripada syirik khafi(1) dengan Allah dan hiasi olehmu akan dia dengan mengesakan af’al Allah supaya lepas engkau di dalam dua negeri daripada azab Allah. Janganlah engkau sangkakan segala perbuatan itu daripada makhluk Allah kerana sekalian perbuatan itu daripada Allah [pada haqiqatnya]. Maka janganlah engkau mengit’tirodkan af’al Allah supaya jangan terbakar engkau dengan api i’tirod kepada Allah kerana Ia yang menggerakkan sekalian alam ini dan mendirikan dia dan [D]ialah yang mentadbirkan bagi sekalian alam, dan yang melakukan sekalian kelakuan alam ini dan sekalian makhluq ini seperti alat بيدي Allah. Maka pada tiap-tiap ketika engkau sebutkan Allah dan bangsakan olehmu akan sekalian perbuatan itu bagi Allah supaya adalah engkau daripada ahlillah. Maka tiada kuasa engkau hendak menyakiti makhluq Allah kerana malu engkau daripada Allah. Dan tiada sakit hatimu daripada perbuatan seseorang kerana sakit hati engkau serta Allah. Kerana [D]ialah yang berbuat segala perbuatan [se]seorang dan takutlah engkau daripada memecahkan hati orang mu’min kerana jadi engkau meruntuhkan ka’bah Allah. Maka lari olehmu daripada makhluq kepada khaliq dan engkau jauhkan daripada bercampur pada segala pekerjaan makhluq dan lepaslah [buanglah] engkau daripada keinginan dan pemarah dan jadi engkau hamba yang suci bagi Allah dan tiada kamu kasih dan benci melainkan kerana Allah dan sampailah engkau kepada khalwat(2) serta Allah.

________________________________________

Notakaki:-

(1) Syirik khafi seperti menurut Syaikh Muhammad Nafis didalam kitabnya Duraratun Nafisah syarah bagi kitab ad-Durrun Nafis: Adapun segala yang menegahkan sampai ia orang yang salik itu berjalan kepada Allah Ta’ala itupun amat banyak juga dan setengah daripadanya itu SYIRIK KHAFI. Artinya syirik yang tersembunyi didalam hati iaiitu membangsakan ia segala perbuatan yang terbit ia daripada makhluq Allah itu kepada makhluq itu juga tiada kepada Allah Ta’ala. Karena pada haqiqatnya yakni yang sebenarnya, segala perbuatan ini sekaliannya terbit ia daripada Allah Ta’ala itu juga. Dan adalah segala makhluq ini seolah-olah alat perkakas perbuatan Allah itu juga. Umpamanya itu dengan tiada disertakan seperti umpama qalam pada tangan orang yang menyurat sebarang kehendak tangan orang yang menyurat itu ……

(2) Menurut ahli tasawwuf, khalwat terbahagi kepada 2 jenis, iaitu yang umum dan yang khusus. Khalwat yang umum iaitu bila seseorang mukmin itu melapangkan masa untuk berzikir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Khalwat yang khusus iaitu bertujuan untuk sampai ke darjat ehsan (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebutkan ان تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك Ehsan itu engkau ubudiyyah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya seandainya engkau tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat engkau).

Khalwat yang khusus terbahagi kepada 2 tahap. Pertama bagi salik, khalwat dilakukan dengan tubuh badan dan hati sekali. Kedua bagi golongan ariffin, khalwat dilakukan dengan hati sahaja walaupun tubuh badan mereka bercampur gaul dengan orang ramai namun hati mereka semata-mata dengan Allah sahaja. Khalwat jenis ini yang dimaksudkan dengan istilah “al-Khalwat fil Jawlah”. Khalwat inilah yang dimaksudkan oleh Shaikh al-Jurjani (w 816H) bila beliau mendefinasikan khalwat sebagai “bisikan sirr beserta Allah semata-mata” (at-Ta’rifaat, hlm. 136).

Asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad bin Abdullah al-Khani, seorang khalifah kepada Syaikh Khalid al-Baghdadi رضي الله عنهم menyebut didalam kitabnya al-Bahjatus Saniah, halaman 83-84 (cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) maksudnya: “kalimah ketujuh : Khilwah dar Anjuman -` Khalwat itu dalam istilah Sufiyyah dikenali sebagai suatu tempat di mana ahli suluk berasingan untuk beribadat dan "anjuman" bermakna "perkumpulan manusia".

Maka makna yang dikehendaki dengannya di sisi mereka adalah bahwa hendaklah hal keadaan hati salik itu hadir berserta dengan al-Haq, dengan hadhir yang "ghaib" dari makhluq sedangkan keadaannnya bergaulan dengan manusia maka pada makna ini jadilah makna kalimah "khalwat dar anjuman" ini dengan makna muraqobah.

(Kemudian ketahuilah) bahwa khalwat itu dua bahagian:

(Yang pertama) - Khalwat dzohir iaitu salik bersunyian dalam sebuah rumah (tempat) yang sunyi dari manusia. Dan dia duduk dalamnya supaya hasil baginya menilik-nilik ke alam malakut dan syuhud pada 'alam jabarut, kerana sesungguhnya pancaindera dzohir itu apabila terhalang maka terbuka pancaindera bathin untuk memerhatikan tanda-tanda alam malakut dan mukasyafah rahsia-rahsia alam jabarut.

(Yang kedua) - Khalwat secara bathin di mana bathinnya sentiasa musyahdah rahsia-rahsia al-Haq dan dzhohirnya (jasadnya) berada di lingkungan manusia dan bergaul dengan mereka sekira-sekira tidak menyibukkan pergaulan dzohir itu dari musyahadahnya yang bathin, maka jadilah ketika itu bathinnya terpisah dari pergaulan dzohirnya. Dan inilah khalwat yang haqiqi sebagaimana yang disebut oleh Allah Ta'ala yang mafhumnya: "Lelaki yang jual beli dan perniagaannya tidak melalaikannya dari dzikrullah".

Dan khalwat inilah yang khusus bagi thoriqah Naqsyabandiyyah kerana pemuka-pemukanya tidak berkhalwat dengan khalwat dzohir dan sesungguhnya khalwat mereka khalwat bathin di sisi perhimpunan manusia sebagaimana kata-kata Khawajah Bahauddin Naqshbandi قدس الله سره; "Thoriqah kami adalah al-suhbah dan kebaikan itu adalah dalam berhimpun".

Sesungguhnya mereka memilih khalwat cara ini kerna mengikuti sunnah Nabi صلى الله عليه وسلمkerna Nabi صلى الله عليه وسلمmemilih berhimpun daripada khalwat dan baginda صلى الله عليه وسلم bersabda : "Seorang mukmin yang mencampuri manusia dan sabar atas kesakitan dari mereka adalah terlebih baik dari mukmin yang tiada mencampuri manusia".

Dan berkata Syeikh Abu Sa'id al-Kharraz قدس الله سره :"Bukanlah orang kamil itu seorang yang timbul darinya beberapa karamah, sesungguhnya orang kamil itu ialah orang yang duduk berserta makhluq, menjual dan membeli dengan mereka, berkahwin dan bercampur manusia sedangkan mereka tiada lalai dari Allah walaupun sedetik". (tammat petikan)

Related Posts with Thumbnails