Sabtu, 31 Mac 2007

(Gambar serban Rasulullah صلى الله عليه وسلم)


Serban

Kat shoutbox sana ada seorang pengunjung ('racing haram') yang tanyakan soal serban. Aku tak tahu nak komen lagu mana. Tapi insyaallah kita sama-sama tengok hadits-hadits dan kata-kata ulama kita mengenainya.

Dalam sebuah buku bertajuk Insan Teladan Sepanjang Zaman terjemahan kitab Syamail Tirmidzi (Shamail Muhammadiah) oleh Imam at-Tirmidzi, tajuk Memakai serban adalah sunnah:

“Sebagaimana yang disebut di dalam Fathul Bari bahawa terdapat perintah memakai serban dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
اعتموا تزدادوا حلما
“Pakailah serban, dengan ini akan menambahi kesabaranmu”.

Allamah ‘Aini (rahmatullah ‘alaih) telah meriwayatkan bahawa seorang telah bertanya Abdullah ibn Umar رضي الله عنهما apakah sunnah memakai serban. Beliau menjawab: Ya.

[Menurut Allamah ‘Aini lagi] Didalam hadith lain dikatakan: “Pakailah serban keraan ia sebagai tanda Islam dan mebezakan seorang Islam dengan kafir.”
- (Tamat petikan dari buku Insan Teladan Sepanjang Zaman)

Seterusnya didalam kitab-kitab fiqih ada menyebut tentang sunatnya berserban sewaktu menunaikan shalat terutamanya pada hari Jum’at. Antara yang sempat saya kutip:

Shaikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari didalam kitab Fathul Muin menyebutkan:

“ (Dan sunat memakai serban – pada hari Jum’at - ) berdasarkan kepada hadits:
ان الله وملائكته يصلون على اصحاب العمائم يوم الجمعة
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bershalawat kepada mereka yang memakai serban pada hari Jum’at.

[Juga berdasarkan kepada hadits:
صلاة بعمامة أفضل من خمس وعشرين بغير عمامة
“Shalat dengan memakai serban serban adalah lebih afdhal daripada 27 dengan tiada memakai serban”. Dan disebut dalam hadits bahawa serban malaikat hari perang Badar berwarna putih dan serban mereka pada hari perang Hunain berwarna merah – tamat – I’anah]. Dan disunatkan memakai serban bagi semua sembahyang (bukan sembahyang Jum’at sahaja). Dan ada disebutkan dalam hadits dhoif tentang fadhilat besarnya memakai serban itu.] – (Tamat petikan dari Fathul Muin, terjemahan dan huraian, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, jilid pertama, halaman 209)

Seterusnya didalam kitab al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr al-Shafi oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathoni atau Syaikh Nik Mat ash-Shoghir , halaman 184-183:

“(Dan sunat) dihiasi dirinya dengan memakai sebaik-baik pakaian dan afdhalnya yang putih. (Dan sunat) memakai serban kerana hadits bahwasanya Allah سبحانه وتعالى dan segala malaikatNya selawat sekeliannya atas yang memakai seban hari Jum’at. Dan sunat memakai serban bagi sekelian sembahyang dan tersebut pada hadits daripada 25 sembahyang dengan tiada serban dan satu Jum’at dengan serban afdhal daripada 70 Jum’at dengan tiada serban. (Dan) tersebut di dalam tuhfah sunat memakai serban bagi kerana sembahyang dan bagi kerana qasod berelok-elok kerana beberapa hadits yang amat banyak padanya” – (Tamat petikan kitab al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr al-Shafi)

Di dalam kitab Bughayatut Thulab karangan al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni:

“ (Dan sunat) memakai serban bagi sembahyang dan qasad menghiasi kerana beberapa hadits yang banyak padanya dan seyogianya panjangnya dan lebarnya dengan barang yang patuttnya dengan orang yang memakai pada adat dia dan masanya dan tempatnya …….

(Bermula) yang terlebih afdhal warna serban itu putih kerana disuruh memakai bagi yang hidup dan bagi orang yang mati dan tiada mengapa dipakai umpama qalansuwah di bawah serban iaitu seperti saputangan dan tiada mengapa memakai qalansuwah [kopiah] dengan tiada serban (Dan sunat) menaruh kunji [ekor serban] dan ditaruhkan dia …..” – (Tamat petikan kitab Bughayatut Thulab, halan 228)


Mantan Mufti Brunei al-Marhum Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Awang Haji Ismail Omar Abdul Aziz di dalam siri fatwanya:-

Perkara: Serban

Serban adalah pakaian orang Islam, (sebagaimana) menurut (apa yang tersebut) dalam al-Muhazzab oleh al-Imam al-Mujtahid Ibrahim asy-Syirazi penyusun mazhab Syafi’I dan dalam Fath al-Muin oleh al-Allamah al-Malabari dan dalam kitab Hasyiah al-Bajuri dan dalam kitab ad-Di’amah fi Ahkam al-‘Imamah oleh guru kepada setengah guru kita as-Sayyid Muhammad bin Ja’far al-Kattani yang mati tahun 1345H, dia sebutkan hadits-hadits menunjukkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم sentiasa memakai songkok [qalansuwah] dengan serban dan dengan tiada serban dan kata-kata ulama dalam perkara serban dan perkataan orang yang mengatakan Rasulullah صلى الله عليه وسلم kadang-kadang melucutkan songkok baginda dan baginda jadikan sekatan (sutrah) dalam sembahyang adalah dhaif kerana tiada tersebut dalam kitab-kitab hadits yang mu’tabar dan diakui.

Tersebut dalam kitab “nizham al-Hukumah Nawabiyah au at-Taratib al-Idariayah” oleh al-Allamah al-Muhaddits as-Sayyid Abdul Hayy al-Kattani, dan ia berkata adalah bapa saya mengambil berat pada mengajar budak-budak yang sudah baligh atau yang hampir baligh bagaimana cara memakai seban, serta menjuntaikan ekor serban, dan penduduk Hijaz sekarang. [yang dimaksud penduduk Mekah dan Madinah sebelum pemerintahan Saudi (Wahabi) iaitu disekitar tahun 20an] mengambil berat padam engajar budak-budak memakai serban, seolah-olah perkara itu lama turun temurun dengan dalil menurut riwayat: Hujjatul Huffaz Mu’arrikh al-Syam Abu al-Qasim Ali bin al-Hasan bin Hibbatullah Ibn ‘Asakir yang mati tahun 571H dalam kitab tarikhnya, daripada al-Imam Malik: Tiada sayogia ditinggalkan dari memakai serban, demi saya pakai serban dan belum ada rambut di muka saya. Dan tersebut dalam al-Madarik berkata Abu Mush’ab, saya dengar al-Imam Malik berkata: Bahwa saya ingat dan belum ada rambut dimuka saya [belum berjanggut saya pakai serban] dan tiada seorang pun daripada kalangan kami (orang muda) masuk Masjid Rasulullah صلى الله عليه وسلم melainkan dengan memakai serban kerana memuliakan Rasulullah صلى الله عليه وسلم .” – (Tamat petikan siri fatwa mantan Mufti Brunei al-Marhum Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Awang Haji Ismail Omar Abdul Aziz)


Untuk mengetahui fahilat-fadhilat memakai serban, maka rujuk sendiri di dalam kitab-kitab seperti Jauharul Mauhub oleh Shaikh Wan Ali bin Abdurrahman @ Tok Wan Ali Kutan yang terkenal itu.

Rasanya cukuplah komen aku setakat ini. Nak pakai serban pakailah dengan qasad mengikuti dan membesarkan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan menghiaskan diri. Kalau tak mau pakai pun janganlah pulak dihina dicaci diperli pada mereka yang memakai serban, serta jangan pulak dibid’ahkan mereka! Manakala yang pakai pulak, seyogia dihiasi juga dengannya akhlaq-akhlaq yang terpuji. ‘Racing haram’ jangan pulak hang pakai serban, naik motor lumba dengan mat rempik ……..

Sekian.Wallahu ‘alam.
-abu zahrah -

0 komen:

Related Posts with Thumbnails