Ahad, 25 Mac 2007

(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 1)



Mengapa Kita Mesti Merayakan Keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم?

Banyak pendapat telah disuarakan dari segi hukum mengenai merayakan hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Bagaimana pun tidaklah menjadi tujuan saya yang utama untuk membahaskan soal ini, kerana apa yang sering saya fikirkan dan difikirkan oleh para cendikiawan, adalah mengenai masalah-masalah yang jauh lebih penting daripada perkara ini. Tetapi oleh kerana desakan para shahabat yang ingin mengetahui pendapat saya dalam hal ini dan kerana saya takut terdiri dalam golongan mereka yang menyembunyikan ilmu pengetahuan, maka saya menuliskan risalah ini dengan harapan agar Allah Ta’ala mengarahkan kita semua ke jalan yang benar. آمين


Sebelum saya membentangkan dalil-dalil saya mengenai mengadakan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, saya suka menjelaskan di sini beberapa perkara:-


Pertama:
Kami mengatakan harus merayakan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم dan harus berkumpul untuk mendengar sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bershalawat kepadanya, mendengar qasidah-qasidah yang memujinya, mengadakan jamuan makan, yang mana semua ini akan menimbulkan kegembiraan dan ketenangan di hati sanubari kaum muslimin.


Kedua:
Kami tidak mengatakan sunnah merayakan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم, pada malam tertentu sahaja, malah siapa yang mengi’tiqadkan sedemikian, sebenarnya dia telah membuat satu bid’ah didalam agama. Sebab mengingati dan menghayati sejarah صلى الله عليه وسلم itu adalah wajib dilakukan pada setiap waktu dan masa dengan sepenuh jiwa.


Memang benar, merayakan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم pada bulan keputeraannya merupakan seruan yang lebih kuat dalam mengumpulkan lebih ramai umat Islam untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Ini akan meninggikan lagi syiar Islam, menghubungkan kisah-kisah zaman dahulu dengan zaman kini, dan mendatangkan manfaat bagi mereka yang tidak hadir daripada mereka yang hadir.


Ketiga:
Kumpulan-kumpulan seperti ini merupakan satu perantaraan dan peluang keemasan untuk berdakwah. Kesempatan ini harus tidak diabaikan, terutama sekali apabila menjadi satu kewajipan bagi para pendakwah dan para ulama untuk mengingatkan umat Islam tentang riwayat hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم, mengenalkan mereka tentang akhlaq, pergaulan, ibadah baginda serta mengajak mereka kepada kebaikan, dan menjauhkan diri mereka daripada bencana, bid’ah dan fitnah.



Dalil-dalil Yang Mengharuskan Merayakan Hari Keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم


Dalil Pertama


Bahawa merayakan hari keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم, melambangkan satu kegembiraan dan kebahagiaan terhadap junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Malah orang kafir (abu Lahab) juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.(1)


Telah disebutkan di dalam kitab al-Bukhari, bahawa Abu Lahab telah diringankan siksaannya pada tiap-tiap hari Itsnin kerana ia telah membebaskan hambanya Tsuwaibah, apabila hambanya itu membawa khabar akan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم.


Hal ini juga diterangkan dalam sebuah syair al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Nasiruddin ad-Dimasyqi:-

إِذَكَانَ هَذَا كَافؤرًا جَاءَ ذَمُّهُ * بِتَبَّتْ يَدَاهُ فِيْ الجَحِيْمِ مُخَلَّدًا
أَتَى أَنَّهُ فِيْ يَوْمٍ الإِثْنَيْنِ دَائِمًا * يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُوْرِ بِأَحْمَدَا
فَمَا الظَّمُّ بِالعَبْدِ الذَّيْ كَانَ عُمْرُهُ * بِاَحْمَدَ مَسْرُوْرًا وَمَاتَ مُوَحِّدَا

Artinya:

Jikalau sikafir ini (Abu Lahab) yang telah datang cercaan Allah kepadanya (di dalam surah al-Masad) dan celakalah kedua tangannya didalam neraka selama-lamanya

Telah datang (khabar) sesungguhnya dia pada setiap Isnin sentiasa diringankan (azab siksa) darinya kerana kegembiraan dengan kelahiran Muhammad (صلى الله عليه وسلم)


Maka tidak syak lagi, bagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembira dengan Muhammad (صلى الله عليه وسلم) dan mati dalam keadaan mengesakan Allah (sudah tentu mendapat kelebihan melebihi daripada apa yang dikurniakan kepada Abu Lahab)

Kisah ini diriwayatkan didalam Shahih al-Bukhari, bab nikah dan dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya al-Fath. Juga diriwayatkan oleh Imam Abdurrazak as-San’ani didalam kitabnya al-Musannaf (jilid 7 mukasurat 478), al-Hafiz didalam kitabnya al-Dala’il, Ibn Katsir di dalam kitabnya, al-Bidayah bab as-Sirah an-Nabawiyyah (jilid 1 mukasurat 224). Ibn ad-Daiba asy-Syaibani didalam kitabnya Hada’iq al-Anwar (jilid 1, mukasurat 134), Imam Hafiz al-Baghawi didalam kitabnya Syarah Sunnah (jilid 9 mukasurat 76), Ibn Hisyam dan as-Suhaili didalam al-Raudh al-Unuf (jilid 5 mukasurat 192), al-Amiri didalam kitabnya Bahjatul Mahaafil (jilid 1 mukasurat 41).


Imam al-Baihaqi berkata, bahawa walaupun hadits ini hadits mursal, tetapi ia boleh diterima kerana telah dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari hadits ini di dalam kitabnya. Para ulama yang telah disebutkan tadi, juga sependapat menerima hadits ini kerana perkara itu terdiri dari bab manaqib dan khosois (keistimewaan), fadhoil (kelebihan) dan bukannya perkara berkaitan hal hukum halal dan haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadits pada bab manaqib atau ahkam.


Berkenaan dengan manfaat seorang kafir daripada amal perbuatannya sendiri, banyak ulama telah membahaskannya. Tetapi tidak dapat saya terangkan sepenuhnya disini. Asalnya adalah apa yang disebutkan di dalam kitab al-Bukhari berkenaan dengan Abu Thalib mendapat keringanan siksa disebabkan doa Rasulullah صلى الله عليه وسلم.



Dalil Kedua


Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri memuliakan hari keputeraannya, dan bersyukur kepada Allah Ta’ala pada hari keputeraannya, diatas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke atas wujudnya di alam semesta ini, yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud diatas mukabumi ini.

Baginda صلى الله عليه وسلم memuliakan hari keputeraannya juga dengan berpuasa. Hal ini diterangkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيْهِ وُلِدْتُ، وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ (رواه الإمام مسلم في الصحيح في كتاب الصيام)

Artinya: Nabi صلى الله عليه وسلم pernah ditanya akan sebab baginda berpuasa pada hari Itsnin. Baginda menjawab: Pada hari itu aku diputerakan, dan pada hari itu juga wahyu turun kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim; Bab Puasa)(2)

Ini jelas menunjukkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم pernah menyambut hari keputeraannya. Cuma bentuknya sahaja berlainan, namum haqiqatnya sama, iaitu samada disambut dengan berpuasa, atau mengadakan jamuan makan atau berkumpul untuk mengingati baginda atau bershalawat ketas baginda ataupun mendengar ajaran-ajaran, pesanan-pesanan dan petunjuk dari baginda صلى الله عليه وسلم.



Dalil Ketiga


Sesungguhnya bergembira dengan Baginda صلى الله عليه وسلم dituntut melalui perintah Al-Quran dari firman Allah Ta'ala :

قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ...

Artinya: “Katakan (wahai Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira …” (Surah Yunus:58)
Maka Allah Ta'ala lah yang memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat, dan Nabi صلى الله عليه وسلم sebesar-besar rahmat. Allah Ta'ala telah berfirman :

وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Artinya: “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam”. (al-Anbiya:107)


Dan dikuatkan lagi tafsiran ini, pakar dalam pentafsiran al-Quran, hibrul ummah wa turjumaanul Quran al-Imam Ibn Abbas رضي الله عنهما. Abu Syeikh meriwayatkan dari Ibn Abbas رضي الله عنهما pada membicarakan ayat di atas beliau telah berkata: فصل الله ialah ilmu, manakala ورحمته adalah Muhammad صلى الله عليه وسلم. Allah telah berfirman: وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ “Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”(3)

Maka kegembiraan dengan baginda صلى الله عليه وسلم adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat, dan pada setiap keutamaan, tetapi dikuatkan lagi tuntutan ini pada setiap hari itsnin dan setiap kali bulan Rabi’ul Awwal. Ini adalah kerana kuatnya kesesuaiannya serta bertepatan dengan waktunya.


Dalil Keempat:


Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم selalu mengambil kira ikatan masa, dengan peristiwa-peristiwa besar dalam agama yang telah berlalu sebelumnya. Apabila datangnya masa berlakunya peristiwa tersebut ia menjadi peluang bagi mengingatinya dan membesarkan hari tersebut kerana peristiwa tersebut.

Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri telah menetapkan kaedah ini seperti mana dijelaskan dalam hadits shahih bahawa ketika baginda berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura'. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab: itulah hari Fir'aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta'ala. Maka Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ

Artinya: Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa.(4)



Dalil Kelima


Bahawa menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم membawa kita bershalawat dan mengucapkan salam kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, yang mana hal ini sangat dituntut sebagimana firman Allah Ta'ala:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً

Artinya: Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bershalawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman shalawatlah keatasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam.” (Surah al-Ahzab:56)


Apa yang berasaskan sesuatu yang dituntut oleh syara', maka ia turut dituntut oleh syara'. Malah shalawat ke atas baginda صلى الله عليه وسلم mempunyai faedah yang tidak terkira banyaknya, dimana pena ini tidak sanggup menghitung kesan-kesan nuraninya yang menyelubungi orang yang bershalawat dan salam itu.

Bahagian kedua akan segera menyusul …….. insyaAllah

__________________________________________________________

Notakaki:-

1) al-Hafiz Syamsuddin ibn al-Jazari menyebut didalam kitabnya ‘Urf al-Ta’rif bi Muulid asy-Syarif:
قد رؤى أبو لهب بعد موته في النوم، فقيل له: ما حالك؟ فقال: في النار إلا أنه يخفف عني كل ليلة اثنين وأمص من بين إصبعي ماء بقدر هذا، وأشار لرأس أصبعه، وإن ذلك بإعتاق لثويبة عند ما بشرتني برلادة النبي صلى الله عليه وسلم وبإرضاعها له.

Artinya: Bahawa seseorang (yakni Sayyiduna Abbas رضي الله عنه) bermimpi melihat Abu Lahab selepas kematiaannya. Maka dia bertanya tentang keadaannya? Abu Lahab menjawab: Aku berada di dalam neraka tetapi diringankan azabku pada setiap malam itsnin dan aku menghisap air diantara 2 jariku sekadar ini (sambil mengisyaratkan hujung jarinya). Yang demikian itu kerana aku membebaskan Tsuwaibah ketika dia mengkhabarkan kepadaku tentang berita gembira mengenai keputeraan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan kerana aku telah menyuruhnya menyusukan Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Sekiranya Abu Lahab seorang kafir yang dicela di dalam al-Quran mendapat balasan di dalam neraka kerana kegembiraannya diats keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم apatah lagi perasaan gembira yang lahir dari hati seorang muslim yang mentauhidkan Allah?


2) Asy-Syeikh Dr Isa bin Abdullah Mani' al-Himyari menyatakan di dalam Bulugh al-Ma’mul fi al-Ihtifa’ wa al-Ihtifal bi Maulid ar- Rasul, nash ini menunjukkan dengan jelas tetnag keharusan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dan pada hadits ini tiada ihtimal yang lain.

Beliau berkata melalui hadits diatas, saya tidak mendapati sebarang jawapan yang menyokong pendapat golongan anti-maulid ini. Malah sekiranya mereka berpegang bahawa sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم hanya dibolehkan dengan melakukan ibadah puasa dan tidak boleh dilakukan dengan ibadat lain lain seperti membaca shalawat, membaca sirah Nabi صلى الله عليه وسلم , bersedekah dan sebagainya, maka golongan ini termasuk didalam golongan ahli zahir, yang hanya mengikut buta zahir hadits tanpa merujuk kepada kaedah usul dan mereka mengkhususkan hadits ini tanpa ada dalil yang mengtakhsiskannya.


3) Ad-Durrul Mantsur Juz 3, Halaman 308


4) Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka.
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قدم المدينة فوحد البهود صياما يوم عاشوراء، فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما هذا اليوم الذي تصومونه؟ فقالوا: هذا يوم عظيم أنحى الله فيه موسى وقومه، وغرق فرعون وقومه، فصامه موسى شكرا، فنحن نصومه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فنحن أحق وأولى بموسى منكم، فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم، وأمر بصيامه.

Artinya: “Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Setelah sampai ke Madinah, maka baginda mendapati kaum Yahudi sedang berpuasa hari ‘Asyura. Maka baginda bertanya kepada mereka: apakah hari kamu berpuasa ini? Jawab mereka: Iannya adalah hari yang besar, dimana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya dan Allah menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya. Maka Musa berpuasa kerana bersyukur keatasnya dan kami berpuasa kerana bersyukur (diatas ni’mat tersebut). (Mendengar jawapan mereka) maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم.pun bersabda: Kami lebih berhak dan lebih utama (memperingati) Musa daripada kalian. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Pun berpuasa dan memerintahkan (shahabat-shahabat baginda) berpuasa (pada hari tersebut).”


Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Memuliakan hari Nabi Musa diselamatkan, menunjukkan bahawa menyambut maulid Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Adalah disyariatkan di dalam Islam, sebagaimana di dalam fatwanya yang dinaqalkan oleh al-Hafiz as-Sayuthi di dalam Husn al-Maqasid fi ‘Amal al-Maulid. (Sila lihat al-Hawi al-Fatawa) Beliau menyatakan, dari dalil diatas dapat diambil pengajaran bahawa:

a) Hendaklah kita bersyukur di atas kurniaan Allah yang telah menghapuskan kebathilan dan menegakkan kebenaran

b) Umat Islam dianjurkan supaya memperingati pada setiap tahun hari-hari yang dianggap penting dalam Islam.

Justeru, melahirkan rasa kesyukuran kepada allah boleh terhasil dengan pelbagai cara ibadat sepeti bershalat, bersedekah, membaca la-Quran dan sebaginya. Sesungguhnya apakah nikmat yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat kepada kita?

0 komen:

Related Posts with Thumbnails