Ahad, 25 Mac 2007

(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 4)



Dalil keenambelas

Merayakan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم sekalipun tidak dilakukan pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, adalah bid’ah hasanah kerana termasuk dibawah dalil-dalil syara’ dan kaedah-kaedah yang umum. Ianya dikira sebagai bid’ah kerana dilaksanakan secara bermasyarakat dan bukannya secara individu kerana amalan ini pernah dilakukan secara individu pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, sebagaimana tersebut pada dalil yang kedua belas.


Dalil Ketujuhbelas

Perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh generasi salaf dalam bentuk kemasyarakatan tetapi diamalkan secara perseorangan /individu, dituntut oleh syara’ untuk diamalkan. Apa yang telah tersusun dari segi syara’, dituntut untuk diamalkan. Perkara ini amat jelas dan tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun.


Dalil Kelapanbelas

Telah berkata Imam Syafie رضي الله عنه :

مَا أُحْدِثَ وَخَالَفَ كِتَاباً أَوْ سُنَّةً أَوْ إِجْمَاعًا أَوْ أَثَراً فَهُوَ البِدْعَةُ الضَّالَّةُ ، وَمَا أُحْدِثَ مِنَ الخَيْرِ وَلَمْ يُخَالِفْ شَيْئاً مِنْ ذلِكَ فَهُوَ المَحْمُوْدُ

Artinya: “Suatu perkara yang diadakan dan ia bercanggah dengan kitab, sunnah, ijma’ atau atsar, maka ia adalah bid'ah yang sesat. Dan suatu yang diadakan dari perkara kebaikan dan tidak bercanggah dengan sesuatu dari yang disebutkan tadi, maka ia adalah terpuji”

Malah Imam al-Izz bin Abdussalam, Imam An-Nawawi dan juga Imam Ibnul Atsir telah mengkategorikan bid'ah kepada 5 bahagian seperti mana yang telah kita sebutkan sebelum ini.


Dalil Kesembilanbelas

Setiap perkara kebaikan yang diliputi olehnya dalil-dalil syara', dan tidak bertujuan untuk mereka satu perkara yang baru yang bercanggah dengan syariat, serta tidak mengandungi perkara mungkar, maka ia termasuk dalam agama.
Kata-kata mereka yang taksub bahawa perkara ini tidak pernah dilakukan oleh salaf, bukanlah satu dalil bagi mereka, tetapi dinamakan tiada dalil. Perkara ini amat jelas bagi mereka yang mempelajari dan menyelami ilmu usul fiqh. Malah syari' telah menamakan bid'ah yang baik sebagai sunnah dan dijanjikan pahala bagi pembuatnya, berdasarkan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم:

مَنْ سَنَّ فِيْ الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلا َيَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ

Artinya: Barangsiapa yang memulakan perkara dalam Islam suatu sunnah yang baik, maka dia akan diberi pahala bagi perbuatannya, serta pahala mereka yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun darinya.


Dalil Kedua puluh

Sesungguhnya sambutan maulid merupakan satu bentuk menghidupkan kembali peringatan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Dan ingatan ini adalah sesuatu yang disyariatkan di sisi kita dalam Islam.

Lihatlah berapa banyak ibadat dalam Islam yang disyariatkan oleh Allah untuk menghidupkan ingatan kita kembali kepada peristiwa sejarah lampau. Misalnya dalam amalan haji, disyariatkan sa'ie antara Safa dan Marwah serta melontar jamrah, serta menyembelih binatang di Mina. Semua perkara ini merupakan peristiwa lampau yang dikuatkan kembali ingatan tersebut dengan cara membaharukan kembali gambarannya dengan kenyataan. Dalilnya, sebagaimana firman Allah:

وأذِّن في الناس بالحج

Artinya: “Dan serulah manusia mengerjakan haji” (Surah al-Hajj:27).


Dan firman Allah Ta’ala, cerita Nabi Ibrahim dan Ismail عليهما السلام:


وأرنا مناسكنا

Artinya: Dan tunjukkanlah kepada kami tempat-tempat ibadah kami” (Surah al-Baqarah: 128)


Dalil Kedua Puluh Satu

Setiap apa yang kita nyatakan sebelum ini daripada wajah, dalil serta hujah pensyariatan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم adalah pada sambutan yang bersih dari perkara-perkara mungkar yang dikeji yang perlu kita ingkari. Jika sambutan tersebut mempunyai perkara-perkara yang mungkar seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, melakukan perkara-perakra yang haram, pembaziran dan apa jua yang tidak akan diredhai oleh sohibul maulid صلى الله عليه وسلم sendiri, maka tidak syak lagi pengharamannya dan tegahan padanya kerana ia mengandungi perbuatan yang haram. Oleh itu tegahan ini adalah perkara yang mendatang ('aridh) bukan zat sambutan itu sendiri. Sesiapa yang meneliti perkara-perkara ini tentu jelas sekali.


Bahagian kelima akan segera menyusul …….. insyaAllah

0 komen:

Related Posts with Thumbnails