Jumaat, 30 Mac 2007

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis



(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan bertanya kepada guru atau ustaz yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Sekian.)



وارادتك الاسباب مع اقامة الله في اياك في التجريد انحطاط عن الهمة العلية


Ertinya: Dan berkehendak engkau akan asbab sanya mendirikan Allah akan dikau pada tajrid iaitu turun daripada himmah yang tinggi.


(Yakni) barangsiapa didirikan Allah didalam tajrid dan berkehendak ia kan keluar daripadanya kepada asbab, maka yang demikian itu setengah daripada kurang himmahnya dan jahat adabnya dan adalah ia serta syahwatnya, kerana bahawasanya iradat itu setengah daripada iradatut thob’ie(1) (إرادة الطبع) dan zulmatun nafsi(2) (ظلمة النفس).


(Dan) bahawasanya tajrid kepada orang yang ahli thoriq itu yaitu yang menghilangkan akwan daripada hati dan sirr iaitu maqam yang tinggi. (Dan) telah mendirikan Haq Ta’ala didalamnya segala khawas hamba(3)nya dan segala orang yang arif. Maka apabila mendirikan Haq Ta’ala akan dia kepada maqam khawas maka janganlah turun daripada martabatnya kepada martabat yang kurang.

(Maka) asbab itu bagi segala orang yang ahlul bidayah yang salik mereka itu iaitu orang yang ahlul tawajjuh. (Dan) tajrid itu bagi segala orang yang ahlul muwajjahah(4) yang washil mereka itu, iaitu orang yang ahlul jazbah(5). (Dan) kerana inilah adalah berkehendak yang mempunyai maqam ini kepada asbab itu turun daripada himmah yang tinggi kerana bahawa sanya tajrid itu hal yang diambil daripada Allah dengan tiada wasitah(6) dan jama(7) ( جمع ) atasnya, tiada mani’(8) ( مانع ) dan tiada illat(9). (Maka) orang yang tajrid dalam hal ini yakni dalam hal bekehendak kepada asbab itu seperti orang yang diberi oleh raja pakaian dengan pakaian kesukaan(10), maka dijadikannya melihat-lihat bagi membelakan binatang dan memakai pakaian kesukaan(11).


(Dan) kata setengah masyaikh(12) رضي الله عنهم, adalah umpama orang yang tajrid dan sebab itu seperti dua orang hamba bagi raja, maka katanya bagi seorang, kerjakan olehmu dan makan olehmu daripada kerja tanganmu dan katanya bagi yang seorang tetap engkau kepada aku dan bagikulah mencukup bagimu. Maka manakala keluar salah suatu [seorang] daripada keduanya daripada berkehendak tuannya maka adalah sejahat-jahat adabnya dan datanglah baginya kebinasaan.


(Dan) berkehendak tiap-tiap daripada keduanya serta mendirikan dalam yang satu daripada berjabat atasnya dalam menghasilkan qasadnya dan demikian itu [merupakan] tadbir serta Allah yang jadi ia daripada ketika dan tahqiq dalam taqdir seperti kata muallif (bersambung …..)


______________________________

Notakaki:-

(1) Kehendak atau kemahuan thobi’e

(2) Kegelapan jiwa yang tidak masuk nur hidayah Keinginan hawa nafsu

(3) Bermaksud hamba-hambaNya yang khusus, terpilih lagi istimewa

(4) Ahlul muwajahah adalah mereka yang telah sampai ke martabat yang tinggi disisi Allah. Yang mana hati mereka ini sentiasa dalam keadaan keni’matan bermuraqabah dan bermusyahadah kepada Allah. Mereka juga disebut sebagai ahli jazbah (yakni orang yang majzub). Maka golongan ini dikurnaikan Allah untuk bertajrid, bukan atas kehendak nafsu mereka yang melulu. Sedikit penerangan mengenai jazbah. Menurut Shaikh Abdusshamad al-Falimbani dalam kitab Siyarus Salikin .. “ … dan makna jazbah itu yaitu syuhud akan Allah Ta’ala dan akan shifatnya dan dengan af’alNya dengan sekira-kira fana ia daripada dirinya dan dan daripada perbuatannya dan segala shifatnya. Dan jazbah ini setengah daripada amal yang bathin. Dan inilah makna perkataan Shaikh al-Waliyullah al-Mukammal Sayyidi Shaikh Muhammad as-Samani al-Madani …..”

Jazbah bermaksud tarikan. Yang dimaksudkan disini ialah tarikan al-Haq Ta’ala. Yakni di’tarik’nya seseorang hambaNya yang dikehendakiNya dengan tiba-tiba kesisiNya. Yakni tajalliNya dengan tiba-tiba pada hati hambanya sebagai satu nau’ dari rahmatNya.

Majzub atau jamaknya majazib. Mazjub maananya orang yang mengalami keadaan jazbah. Orang yang mengalami jazbah atau tarikan al-Haq. Yakni tajalliNya dengan tiba-tiba pada hati hambanya sebagai satu nau’ dari rahmatnya. Menurut Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari didalam kitabnya Ad-Durrun Nafis, majzub ialah orang yang diambil Allah Ta’ala dengan terkejut serta diberinya tahu akan mengenal dzatNya, dan sifatNya dan asma’Nya dan af’alNya, daripada tiada mengerjakan ibadat dan talqin gurunya dan ijazah masyaikh.

Lawan kepada ahli jazbah ini ialah ahli saalik iaitu pada istilah bahasanya ialah orang yang berjalan atau orang yang mengembara (ruhani). Pada istilah kaum sufi, salik ialah orang yang melakukan suluk yakni pengembaraan rohani, mendampingkan diri kesisi Allah dengan mengerjakan riyadhah dan mujahadah. Ibn ‘Arabi (dalam kitabnya berjudul Istilah as-Sufiyyah) dan al-Jurjani (dalam kitabnya berjudul at-takrifat) rahimallahu Ta’ala mentakrifkan sekira-kira begini: Orang yang berjalan dari suatu maqam kesuatu maqam, bukan dengan ‘amalnya tetapi dengan halnya. Ilmu yang terhasil baginya ialah secara pengelihatan matahati (‘ainan), yang menolongnya mengelakkan diri dari perkara-perkara yang samar-samar (syubhah), yang menyesatkan (tegasnya, ilmunya bukan setakat otak(aqal) atau kitab, tetapi ilmu duduk dalam hati, yang lahir hasil dari pembukaan hijab)

Adapun menurut Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dalam kitabnya yang bertajuk ad-Durrun Nafis, saalik ertinya orang yang bersungguh-sungguh ia berijtihad berbuat ibadah kepada Allah Ta’ala dengan riyadhoh dan mujahadah dan mengamalkan segala wirid yang diijazahkan akan dia oleh syeikhnya kepadanya dengan tiada cedera ia mengerjakan dia dan menyalahi akan barang yang disuruhkan akan dia oleh gurunya daripada segala ibadat dan lainnya.


Perbezaan diantara majzub dan salik

Telah berkata Syeikh Ibn Abbad didalam syarah hikam Atho’iyyah: Hamba-hamba Allah yang dikhususkan dengan hampir kepada Allah dan sampai kepadaNya itu terbahagi ia kepada dua iaitu orang-orang yang salik dan orang-orang yang majzub. Adapun orang-orang yang salik itu mengambil dalil dengan segala sesuatu untuk sampai kepadaNya. Mereka itulah orang-orang yang berkata: “Tiada kami melihat akan sesuatu, melainkan kami melihat allah sebelumnya”. Tiada syak lagi bahawa dalil selama-lamanya lebih zahir dari pada madlul (yang didalilkan). Mula-mula yang zahir bagi orang-orang salik ialah aasar (bekas-bekas), dan iaitu af’al, maka mereka mengambil dalil atas asma’ dan dengan asma’ atas sifat dan dengan sifat atas wujud dzat. Hal mereka ialah taraqqi (naik setinggat demi setingkat) dan su’ud (naik dari suatu anak tangga kesatu anak tangga). Dari yang serendah-rendah kepada yang setinggi-tingginya.

Mula-mula yang zahir bagi orang-orang majzub ialah hakikat kesempurnaan dzat yang suci, kemudian dialihkan daripadanya kepada musyahadah sifat, kemudian dikembalikan kepada pergantungan kepada asma, kemudian mereka diturunkan kepada menyaksikan (mensyuhudkan) aasar. Hal mereka ialah tadalli (turun) dan tanazzul (turun perlahan-lahan, setingkat demi setingkat) daripada yang tertinggi kepada yang paling rendah. Permulaan orang-orang salik menyaksikan bekas-bekas adalah merupakan kesudahan bagi orang-orang majzub, dan permulaan orang-orang majzub, tersingkapnya hakikat dzat kepadanya adalah merupakan kesudahan orang-orang salik, tetapi tiada dengan ma’ana yang satu. Apa yang dikehendaki orang-orang salik ialah meyaksikan segala sesuatu bagi Allah (lillah), sedangkan apa yang dikehendaki orang-orang majzub ialah menyaksikan segala sesuatu dengan Allah (billah). Orang-orang salik ialah orang-orang yang beramal atas jalan fana’ dan mahw (hilang) dan orang-orang majzub barang yang dijalani dengan mereka ialah jalan baqa’ dan sahw (siuman).



Telah berkata Syeikh Ibnu Atho’illah al Askandari dalam kitabnya Taj al ‘Arus memisalkan orang-orang yang saalik seperti orang yang mengali perigi hingga dapat lubang, maka keluarlah air daripadanya, iaitu sesudah mencarinya. Manakala orang-orang yang majzub itu seperti orang yang mencari air, maka tiba-tiba turun hujan baginya, lalu mengambillah ia apa yang dihajatinya dengan tiada penat jerih mencarinya. InshaAllah, perbahasan mengenai majzun dan saalik akan disentuh oleh Shaikh Ibn Atho’illah dalam kalam hikmahnya yang akan datang. [kalam hikmah 262 – menurut sistem penomboran penterjemah].



(5) Sepertimana keterangan dalam notakaki sebelumnya


(6) Perantaraan


(7) Berhimpun. Kesedaran yang menyatukan terhadap hakikat yang disebalik segala suatu dan segala maujudaat. Lawannya ialah faraq iaitu berpisah


(8) Penghalang


(9) Kerana atau sebab


(10) Yakni diberi anugerah kurniaan harta kekayaan dan pangkat kebesaran


(11) Tamsilan tersebut bermaksud, meskipun seseorang itu sudah kaya-raya serta berpangkat besar mendapat kurnian raja, tetapi dia masih lagi tamak haloba seperti mahu menternak binatang peliharaan, seolah-olah dia tidak berterimakasih dan merasa tidak cukup dengan kurniaan raja.


(12) Antaranya Ibn ‘Ajibah dalam kitab syarah hikam Ibn Athoillah yang bertajuk Iqaadzul Himam

1 komen:

Tanpa Nama berkata...

Al-Hamdulillah.......

Related Posts with Thumbnails