Selasa, 10 November 2009

Pasai Apa Kita Tolak Fahaman Wahabi - 2

Antara sebabnya lagi kita tolak fahaman Wahhabi, pasai depa ni tasyaddud (keraih kedekiang dalam mengutarakan pendapat depa sampai mensyirikkan, membid'ah dholalahkan golongan yang ber'amal pada masalah furu), jumud (statik, dalam memahami dalil orang lain) dan ta'assub (fanatik dalam pendapat dan methodologi depa saja.... depa saja betoi, orang lain salah)

Wahai saudara-saudaraku, mai kita tengok tulisan saudaraku Ustaz Raja Mukhlis tulih tentang sikap depa tu.



Ramai di kalangan masyarakat, awamnya mahupun ahli ilmunya, berkemungkinan, terkeliru tentang pertembungan Wahabi dengan golongan kontra terhadap mereka. Mereka yang terkeliru mengatakan: “Mengapa perlu bersungguh-sungguh dalam menentang Wahabi?”

Golongan yang bertanya dan saling bertanya tentang persoalan yang sebegitu sebenarnya tidak mendapat gambaran yang sempurna tentang pertentangan dan pertembungan tersebut.

Gambaran Pertama: Golongan ilmuan yang menolak dan menentang golongan yang dikatakan sebagai Salafi atau Wahabi, menentang mereka (Salafi Wahabi), bukan kerana nama mereka Wahabi atau Salafi, tetapi kerana mereka menentang pemikiran dan Wahabisme tersebut yang mengandungi unsu-unsur seperti tasyaddud, jumud dan sebagainya yang menjuruskan kepada perpecahan dalam umat Islam. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, penggunaan istilah Wahabi bukanlah semata-mata merujuk kepada seseorang, tetapi penggunaannya lebih luas dari itu. Wahabi menurut mereka yang menentangnya adalah merujuk kepada suatu golongan yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga ciri tersebut yang mampu menghancurkan kesatuan umat Islam iaitu:

Tasyaddud (terlalu keras) dalam menghukum, dengan bersikap mudah membid’ahkan sesuatu perkara ijtihadi dalam urusan Islam, sehingga membawa kepada takfir (mengkafirkan sesama Islam) secara sewenang-wenangnya.

Jumud (statik) dan sempit dalam kaedah menggali hukum, sehingga membuat suatu kaedah hukum yang amat sempit iaitu, “apa yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., maka ia adalah hujah kepada haramnya, atau bid’ahnya perkara tersebut” sedangkan kaedah tersebut menyempitkan mafhum[1] ijtihad dalam masalah istinbat[2] hukum.

Taasub (fanatik) kepada sesuatu aliran pemikiran atau metodologi pemikiran, sehingga membawa kepada sikap menyalahkan mereka yang tidak sependapat dengan mereka, sehingga ada yang sampai menyesatkan mereka yang tidak sependapat dengannya, hatta dalam masalah ijtihad fiqhiyah[3] yang merupakan ruang khilaf (perselisihan) pendapat di kalangan para ulama, zaman berzaman.

Tiga sikap ini merupakan sikap-sikap yang menyebabkan umat Islam berpecah-belah, kerana menafikan adab ikhtilaf (adab berselisih pendapat) sehingga menyebabkan umat Islam saling kafir-mengkafirkan antara satu sama lain. Sikap-sikap inilah yang ditentang oleh golongan yang dikatakan “penentang-Wahabi” (anti-Wahabi), yang mana, sikap-sikap tersebut wujud dalam kebanyakkan mereka yang mengaku Salafi dan Wahabi khususnya di tanah Hijaz dan sebagainya.

Adapun mereka yang mengaku memperjuangkan manhaj salafus sholeh atau mendakwa salafi, namun tidak bersikap dengan tiga sikap yang disebutkan, maka mereka bukanlah sasaran penentangan anti-Wahabi, bahkan, pada hakikatnya, golongan anti-Wahabi tersebut juga adalah pendokong manhaj salafus sholeh, cuma tidaklah mendakwa diri mereka sebagai salafi, kerana bagi mereka, tiada ertinya menisbahkan diri mereka dengan nama salafi, kerana hakikatnya, salafi bukanlah suatu nama yang merujuk kepada suatu bentuk pemikiran atau suatu mazhab, namun ianya sekadar merujuk kepada tempoh zaman yang pernah dilalui oleh umat Islam (iaitu tiga kurun awal tahun hijrah dalam umat Islam).

Gambaran Kedua: Tidak dapat dinafikan, ada di kalangan golongan penuntut ilmu, yang masih belum matang dalam dunia keilmuan Islam, cepat terpegun dengan sesuatu manhaj pemikiran yang baru didapatinya. Lantas, kononnya sebagai suatu anjakan paradigma, mereka segera berpegang dengan kaedah pemikiran tersebut, dek sikap tergopoh-gopoh dalam menilai sesuatu.

Antara manhaj pemikiran baru yang menarik minat sesetengah golongan penuntut ilmu yang belum matang tersebut ialah, pemikiran Wahabi yang dibincangkan sebelum ini. Ini kerana, Wahabisme (dari sudut istilah akedemik) seolah-olah nampak sebagai suatu pemikiran yang membawa kepada tajdid[4] dan islah[5] mentaliti masyarakat Islam umumnya, di samping mengembalikan kemurnian aqidah umat Islam (yang kononnya sebelum ini sudah tersasar dari kefahaman aqidah Islam yang sebenar).

Pada persepsi mereka, Wahabisme membawa kepada:
  • Kesatuan Pemikiran: kerana menolak perselisihan pendapat dalam bidang agama Islam.
  • Pemurnian Aqidah: kerana menolak ajaran-ajaran yang dianggap membawa kepada syirik (walaupun pada hakikatnya, ajaran-ajaran tersebut memang ada dalam Islam dan tidak membawa kepada syirik).
  • Tajdid (pembaharuan) Umat Islam: kerana ia menegah taqlid[6] dan menggalakkan ijtihad, yang kononnya membuka minda masyarakat umat Islam.

Persepsi-persepsi mereka sebenarnya SALAH kerana, Wahabisme bukanlah membawa ketiga-tiga tersebut, tetapi membawa ketiga-tiga unsur yang telah diperkatakan sebelum ini (Tasyaddud, Jumud dan Taasub), yang disembunyikan di sebalik tiga slogan zahir yang terdapat pada persepsi mereka tersebut iaitu: Tauhidul Fikrah (Kesatuan Pemikiran), Pemurnian Aqidah dan Tajdid.

Golongan penuntut yang terkeliru, boleh jadi terkeliru kerana kegagalan mereka memahami bahawa, Islam ini dirosakkan oleh dua perkara iaitu: berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu sehingga akhirnya merosakkannya dan berlebih-lebihan dalam menolak sesuatu sehingga akhirnya merugikan diri sendiri. Jalan tajdid bukanlah dengan berlebih-lebihan, tetapi dengan mengembalikan umat Islam kepada kesederhanaan (I’tidal) dan pertengahan (wasathiyah), yang merupakan sifat semulajadi (fitrah) umat Islam, khususnya dari sudut ajarannya.

Apabila kita meletakkan Wahabisme (dengan makna penggunaan istilahnya yang meluas), dalam neraca I’tidal (kesederhanaan dan pertengahan) Islam, kita dapati bahawa, ianya bukanlah suatu pola pemikiran yang sederhana, yang diperlukan untuk tajdid (pembaikian umat Islam), tetapi lebih membawa kepada tafsid (memusnahkan umat Islam).

Jika kita menyelami slogan pertama Wahabisme, yang menyeru kepada kesatuan pemikiran, kita bersetuju bahawa, umat Islam harus bersatu, tetapi adakah kesatuan pemikiran dalam segenap aspek merupakan suatu agenda praktikal?

Kita dapati, dalam sumber syariat Islam sendiripun (Al-Qur’an dan As-Sunnah), terdapat dua bahagian iaitu, qot’ie (jelas atau putus) dan zhonni (kesamaran atau tidak jelas).

Adapun Qot’ie terbahagi kepada dua iaitu:

Qot’ie at-Thubut: Sesuatu dalil yang jelas dan putus bahawa ianya dari Allah Ta’ala dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم seperti al-Qur’an dan Hadits Mutawatir.

Qot’ie ad-Dilalah: Sesuatu dalil yang jelas dan putus makna nash (lafaz wahyu) tersebut kerana ianya tidak berkemungkinan membawa kepada makna-makna lain dalam kaedah bahasa arab dan sebagainya.

Begitu juga tentang Dzonni, di mana ia turut terbahagi kepada dua iaitu:

Dzonni at-Thubut: Kesamaran dalam menisbahkan sesuatu dalil atau nash tersebut kepada Allah Ta’ala dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم seperti Hadits Ahad (perawinya tidak melebihi tiga orang dalam satu masa).

Dzonni ad-Dilalah: Kesamaran makna sesuatu ayat atau lafaz zahir nash tersebut, menurut kaedah bahasa Arab dan sebagainya.

Sesetengah para ulama’ menjelaskan bahwa, 70% daripada sumber hukum Islam bersifat dzonni (tidak jelas). Oleh yang demikian, para ulama’ berselisih pendapat dalam menggali hukum dari sumber-sumber hukum tersebut, kerana kesamarannya.

Oleh yang demikian, kaedah usul fiqh (asas menggali hukum fiqh) menjelaskan bahawa, dalam mengistinbath (menggali) hukum melalui dalil-dalil yang zhonni (yang merupakan 70% daripada al-Qur’an dan as-Sunnah), maka dibolehkan berijtihad bagi ahli ijtihad yang sudah cukup dalam ilmu alat untuk berijtihad.

Jadi, ada banyak sebab mengapa para ulama’ berselisih pendapat dalam masalah zhonni, antaranya kerana perbezaan kaedah pemikiran mereka sendiri, antara satu sama lain. Oleh yang demikian, perselisihan pendapat memang tidak dapat dielakkan terutamanya dalam masalah fiqh yang furu’ yang berkaitan dengan dalil-dalil zhonni. Jadi, untuk menyatukan pemikiran dan mazhab dalam seluruh urusan agama tidak praktikal, bahkan sikap berlebihan dalam memaksa umat Islam bersatu dalam satu-satu pendapat dan mazhab lebih mengundang kepada bencana yang lebih besar iaitu: taasub (fanatik) dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Dalam berhadapan dengan realiti perselisihan pendapat yang berlaku dalam umat Islam, bukan dengan cara memaksa mereka bersatu dalam pemikiran (yang merupakan agenda tidak praktikal), tetapi menerapkan nilai-nilai adab ikhtilaf[7] (adab dan tatakarma dalam perselisihan pendapat), iaitu menghormati pendapat orang lain, dan tidak mengingkari golongan yang tidak sependapat dengan kita, dalam masalah khilaf (yang diperselisih ulama’ mengenainya), selagimana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip usul Islam yang murni, sepertimana yang sangat ditekankan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri (yang menjadi ulama’ kesayangan sesetengah golongan yang mengaku salafi di Malaysia, padahal beliau sendiri menafikan diri sebagai salafi).

Adapun slogan kedua, tentang pemurnian aqidah yang dikatakan, cuba dilakukan oleh mereka yang mendokong gagasan pemikiran Wahabisme, maka ianya perlu dinilai semula. Niat yang baik untuk memurnikan aqidah umat Islam adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Tidak dapat dinafikan, ada “segelintir” dari masyarakat Islam yang tergelincir dari aqidah Islam yang murni, seperti memuja jin, di samping meminta tolong dari mereka dengan cara sihir, dan sebagainya, maka ianya perlu dibersihkan, kerana ilmu-ilmu kebomohan itu sendiri dilarang oleh Islam kerana akan membawa kepada syirik.

Adapun golongan Wahabi (kebanyakkannya), bukan sekadar menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat, tetapi menolak perkara-perkara yang mempunyai dasarnya dalam Islam, yang mana ianya, sekurang-kurangnya merupakan perkara-perkara yang khilafiyah (yang diperselisih ulama’ mengenainya), atas nama pemurnian aqidah.

Ada yang sanggup mengharamkan ziarah kubur “para wali”, mengharamkan tawassul, mengharamkan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, bahkan ada yang sampai menghukum kafir dan syirik bagi pelaku-pelaku perkara-perkara tersebut. Ada di kalangan mereka yang mengkafirkan dan memfasiqkan mereka yang mengerjakan sholat di masjid yang berhampiran dengan kubur, menuduh orang yang bertawassul dengan orang yang telah meninggal duniai sebagai penyembah kubur, menuduh orang yang menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, mengangkat Nabi صلى الله عليه وسلم sepertimana orang-orang Nasrani, takkala menyembah Nabi Isa عليه السلام dan sebagainya. Kalau di Malaysia tidak kelihatan sikap tuduh-menuduh ini, menurut anda, tetapi di negara-negara arab khususnya Arab Saudi, ianya merupakan suatu perkara yang hebat diketengahkan oleh pengaku-pengaku Salafi (baca: Wahabi, menurut penentang mereka).

Fenomena ini bukan sahaja merupakan suatu usaha mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah Ta’ala seperti ziarah kubur, atau bukan sahaja bersikap tasyaddud (keras) dan jumud dalam masalah yang perselisihan pendapat mengenainya dalam medan ilmiah, seperti masalah tawassul, tetapi ianya sudah membawa kepada saling tuduh-menuduh dan mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.

Ketahuilah wahai penuntut ilmu yang terpegun dengan Wahabi dan Wahabisme, atau golongan salafi moden ini bahawa, agenda mereka lebih menjurus kepada kerosakan syakhsiyah[8] umat Islam dari memurnikan aqidah mereka.

Contohnya, semata-mata kerana “Su’uz Zhon” (buruk sangka) terhadap penziarah kubur dari kalangan umat Islam, dengan menyangka mereka menyembah kubur takkala memuliakan si mati, ada di kalangan mereka (Wahabi) sanggup mengharamkan suatu ajaran yang mempunyai sandaran dalam Islam seperti ziarah kubur, khususnya para wali, dengan alasan untuk mencegah syirik. Adakah dari prasangka, boleh menghukum seseorang itu syirik? Adakah matlamat menghalalkan cara? Adakah kaedah sad ‘az-zaro’ik (mencegah mudorat) dalam masalah ini releven takkala kaedah persepsi mereka dalam melihat kemudaratan itu cuma dari prasangka?

Kata mufti Mesir, Syaikh Dr. Ali Jum’ah: “Kalau ada segelintir orang yang sembah kubur, bukan syariat ziarah kubur itu menjadi masalahnya. Masalahnya pada kefahaman orang tersebut. Kalau dia memang menyembah si mati, kubur tidak ada pun, dia akan sembah si mati, seperti orang Nasrani. Jadi, yang perlu dibetulkan ialah aqidah umat Islam, dalam proses pembelajaran dan tarbiah, bukan mengharamkan ziarah kubur dan sebagainya. Logikkah takkala seseorang muslim yang bertawaf di ka’abah, dia menyangka bahawa, ka’abah itulah tuhannya, tindakan yang perlu diambil ialah memusnahkan ka’abah tersebut Atau, menjelaskan kepada orang tersebut, siapakah Tuhan sebenar? Jadi, penyelesaian di sini, juga penyelesaian untuk masalah sebelum ini (ziarah kubur)…”

Oleh itu, agenda mengetengahkan konsep menutup pintu syirik dengan mengharamkan perkara-perkara yang ada sandarannya dalam Islam, seperti tawassul, ziarah kubur (hatta kubur para wali) dan sebagainya, merupakan suatu perkara yang membawa kepada pecah belah dan buruk sangka sesama Islam. Selagimana perkara-perkara tersebut diperselisihkan oleh para ulama’ dan yang mendokongnya mempunyai dalil dari sumber Islam, maka tidak boleh mengingkarinya, apatah lagi mengkafirkan pelakunya dan membid’ah dholalahkannya.

Adapun slogan zahir ketiga dalam gagasan Wahabisme, ialah tajdid umat Islam, dengan kedua-dua agenda sebelum ini, maka jelaslah ianya tidak praktikal. Kedua-dua agenda yang dilakukan oleh golongan Wahabi atau pengaku salafi moden (dalam terminologi yang kita maksudkan sebelum ini), bukan membawa kepada pemurnian dan pembaharuan umat Islam, tetapi secara praktikalnya, ia membawa kepada kemelut perpecahan yang amat bahaya bagi umat Islam iaitu, perpecahan, saling kafir-mengkafirkan dan saling bid’ah membid’ahkan.

Adapun agenda untuk menggalakkan semua masyarakat berijtihad khususnya dalam masalah fiqh islami, merupakan suatu perkara yang amat menyulitkan masyarakat dan membahayakan mereka.

Ia menyulitkan kerana, untuk berijtihad, seseorang perlu menguasai pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu bahasa Arab, ilmu usu; fiqh, menghafal al-Qur’an dan hadits dan sebagainya, yang merupakan suatu bebanan buat sesetengah masyarakat awa. Bahkan, sejak zaman para sahabat lagi, ada di kalangan mereka yang berijtihad dan ada di kalangan mereka yang bertaklid, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti dalam bukunya Al-LaMazhabiyah (Golongan yang Tiada Mazhab).

Oleh itu, mengharamkan taqlid kepada para imam mujtahid yang empat nan muktabar seperti Imam Abu Hanifah, al-Maliki, asy-Syafi’e, Ahmad bin Hanbal رضي الله عنهم, merupakan suatu bebanan dan bahkan merosakkan institusi fiqh islami itu sendiri. Ia membebankan kerana bukan semua orang muslim boleh berijtihad kerana tidak mampu menguasai pelbagai bidang ilmu alat untuk berijtihad, di samping merosakkan syariat itu sendiri, kerana orang-orang awam yang tidak ada kepakaran berijtihad, akan lebih mengukur syariat tersebut sesuai dengan hawa nafsu mereka.

Oleh yang demikian, ketiga-tiga agenda Wahabi yang utama tersebut merupakan penjurus kepada kepincangan dan perpecahan dalam umat Islam kerana ketiga-tiga ciri pemusnah yang terkandung dalam pola dan metodologi pemikiran mereka iaitu:
  • Ta’asub (fanatik puak sendiri)
  • Jumud (statik dan tertutup)
  • Tasyaddud (berlebih-lebihan dan bersikap keras)

Gambaran ketiga: Istilah Wahabi itu sendiri suatu yang abstrak. Oleh yang demikian, sesetengah golongan ilmuan yang terperangkap dengan kesempitan makna istilah Wahabi dari sudut akedemik, akan lalai daripada memahami makna istilah Wahabi yang digunakan oleh golongan penentang Wahabisme.

Seperti yang dijelaskan dalam gambaran pertama sebelum ini, majoriti golongan yang menentang Wahabi bukan kerana namanya Wahabi, atau mereka dinisbahkan kepada Syaikh Muhammad Abdul Wahab, atau kerana mereka mengaku Salafi, dan sebagainya, tetapi ianya lebih merujuk kepada tiga sikap yang merosakkan, yang disebutkan sebelum ini, yang dibawa dalam arus pemikiran kebanyakkan golongan yang mengaku pendokong Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab (Wahabi) mahupun yang mengaku sebagai salafi.

Golongan yang terkeliru ini kadangkala sering meremehkan penentang-penentang Wahabi kerana pada mereka, golongan Wahabi tidak lain melainkan suatu mazhab dalam Islam juga. Bahkan, lebih dari itu, ada golongan yang kagum dengan kesungguhan dirinya dalam melakukan penyelidikan ilmiah, seolah-olah merasakan diri mereka sudah cukup memahami kebenaran dengan penyelidikan yang banyak, tidak senang dengan penentang-penentang Wahabi dan menuduh penentang-penentang Wahabi berburuk sangka dengan pendokong-pendokong Syaikh Muhammad Abdul Wahab dan berburuk sangka terhadap Syaikh Muhammad Abdul Wahab itu sendiri.

Oleh itu, mereka tampil membela Wahabi, dan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab, dengan bercakap tentang fakta-fakta yang tersurat, dan menjelaskan siapakah Wahabi sebenarnya kepada penentang-penentang Wahabi, seolah-olah golongan yang menentang Wahabi tersebut tidak mengenali siapakah Wahabi yang mereka tentangi selama ini.

Ada di kalangan mereka yang mengetengahkan kebaikan-kebaikan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan kelayakkannya untuk bergelar mujaddid di zamannya, bagi menolak penentang-penentang Wahabi yang seolah-olah menentang suatu manusia yang sempurna, tiada kesilapan langsung.

Golongan ini, mencelah antara pertembungan anti-Wahabi dengan “Wahabi” seolah-olah ingin menjadi pendamai antara keduanya, padahal lebih mengelirukan mereka yang sedang keliru, termasuk diri mereka sendiri.

Bukankah dalam gambaran pertama tadi, kita sudah jelaskan, penentangan-penentangan mereka yang mengaku menentang Wahabi, sasaran mereka adalah “Wahabi” dalam istilah kefahaman mereka, iaitu mereka yang mendokong tiga sikap merosakkan masyarakat tersebut, yang mana mereka mengaku salafi atau wahabi dalam menyebarkan agenda mereka dan mempraktikkannya dalam masyarakat Islam.

Hakikatnya, penentangan terhadap golongan Wahabi tidak akan terhenti selagi mereka tidak meninggalkan tiga sikap yang memecahkan umat tersebut. Adapun semata-mata menisbahkan diri kepada salaf, atau menisbahkan diri kepada Syaikh Muhammad Abdul Wahab, bukanlah sasaran mereka yang mengaku menentang Wahabi selagi mereka tidak bersikap dengan tiga sikap berkenaan, yang menjadi sikap kebanyakkan yang mengaku pengikut Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab dan pengaku salafi di era moden ini. Tetapi, timbul persoalan, kenapa mereka yang menisbahkan diri kepada Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab seoalah-olah terbahagi kepada dua, ada yang bersikap dengan tiga sikap pemusnah umat Islam tersebut, dan ada yang tidak bersikap dengan tiga sikap tersebut?

[1]Mafhum: Kefahaman tentang sesuatu.
[2] Istinbat: Pengalian atau pengeluaran hokum dari sumber-sumber Islam, seperti al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma`, Qiyas dan sebagainya.
[3] Masalah yang mana, para ulama’ berijtihad mengenainya.
[4] Tajdid: Pembaharuan
[5] Islah: Pembersihan atau pemurnian dan pembaikpulihan
[6] Taqlid: Mengikut sesuatu Mazhab seseorang ulama’ Mujtahid dalam bidang fiqh.
[7] Ikhtilaf: Berselisih pendapat
[8] peribadi

Wallahu a'lam...
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin ar-Razi al-Azhari


Sekian dari
Abu Zahrah, Taman Seri Gombak
22 Dhulqaedah 1430/ 10 November 2009

Pasai Apa Kita Tolak Fahaman Wahabi - 1

Pasai kita tolak fahaman Wahhabi? Jawabnya pasai yang utamanya, depa ni menyebaqkan ‘aqidah yang menjuruih kepada musyabbihah dan mujassimah.

Antaranya depa kata:
الله جالس على الكرسي
Ertinya: Allah duduk atas Kursi (disebut di dalam kitab Fathul Majid karangan ‘Abdurrahman bin Hasan bin Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, halaman 365, cetakan Darussalam, Riyadh)

قال ابن باز: الله قوق العرش بذاته
Ertniya: Telah berkata Ibn Baz: Dzat Allah Ta’ala itu ditas ‘arasy (disebut di dalam Majalah Haji, bilangan 49, juzuk 11, tahun 1415H, halaman 73 – 74)

قال العثيمين: الكرسي موضع قدمي الله
Ertinya: Telah berkata Utsaimin: al-Kursi itu adalah tempat letak kedua kaki Allah (disebut di dalam kitabnya Tafsir Ayat al-Kursi, halaman 19, Maktabah Ibnu Jauzi)

قال ابن باز: نفي الجسمية والجوارح والأعضاء عن الله من الكلام المذموم
Ertinya: Telah berkata Ibn Baz: Penafian jisin dan anggota bagi Allah adalah kata-kata yang tercela. (Tanbihat fi Radd ‘ala Man Taawwal Shifat, karangan Ben Baz, terbitan Risalah Ammah lil Ifta Riyadh)

Dalam sebuah buku berjudul Tauhid as-Salaf as-Sholeh – Pegangan Beragama Untuk Umat Islam karangan Haji Abdul Malek Hussin dan telah disunting dan dikemaskini oleh ‘Abdul Hadi Abdul Malek. “…. kenyataan selama ini mengatakan Allah tidak bertempat bukan sahaja MUSYRIK bahkan SAMA pegangan dengan seorang atheis. Dengan mengatakan Allah tidak bertempat, bermakna Allah tidak wujud. Kiri tidak ada (kalau ada, Allah itu bertempat), kanan pun tidak ada (kalau ada, Allah itu bertempat), seterusnya sama juga bila ditanya: Atas, bawah, depan, belakang semuanya menyatakan Allah itu tiada. Dengan itu: Dimana Allah? Jawab: Tidak tahu Keputusan: Allah itu tidak bertempat, maknanya: Allah tidak wujud.

Maka saudara-saudaraku, mai kita tengok pulak apa kata ulama ahlus Sunnah wal Jamaah. Artikel ini ambo petik dari tulisan teman ambo Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin al-Azhari.

Aqidah Salafus-Sholeh Dan Tanzih (Menyucikan Allah Ta’ala Daripada Tempat dan Kejisiman)

Mafhum Istilah "Tempat"

Dari sudut bahasa, tempat bererti: Sesuatu yang meliputi sesuatu jisim. Dari sudut istilah: Suatu yang menjadi lapangan bagi sesuatu jisim. (At-Tanzih karangan Dr. Umar Abdullah Kamil). Oleh yang demikian, sesuatu yang bertempat bererti, ia adalah sesuatu yang berjisim. Oleh kerana itulah, aqidah Islam yang murni menyucikan Allah Ta’ala daripada tempat kerana zat Allah Ta’ala tidak berjisim.

Tempat itu adalah sesuatu yang mempunyai ukuran tertentu, begitu juga dengan jisim. Adapun jisim itu adalah sesuatu yang mempunyai saiz tertentu, ukuran tertentu, had-had tertentu, batasan-batasan tertentu dan sebagainya yang mengambil ruang dan tempat. Oleh yang demikian, Maha Suci Allah Ta’ala daripada bertempat dan berjisim. Inilah aqidah Islam yang murni menurut Al-Qur'an, As-Sunnah dan aqidah para salafus-soleh.

Firman Allah Ta’ala:
قُل لِّمَن مَّا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضِ قُل للَّهِ
Katakanlah: "Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Kepunyaan Allah." (Surah Al-An'am: 12)

Imam Fakhruddin ar-Razi berkata: ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Ta’ala tidak bertempat, kerana semua tempat yang ada dalam langit dan bumi adalah kepunyaanNya, yang merupakan ciptaanNya. (sila rujuk buku asas at-taqdis).

Perkataan Salafus-Sholeh dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah Ta’ala.

قال سيدنا علي رضي الله عنه: كان- الله- ولا مكان ، وهو الان على ما- عليه- كان اهـ. أي بلا مكان - الفرق بين الفرق لأبي منصور البغدادي:333

Sayyidina Ali رضي الله عنه pernah berkata: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu tidak bertempat. Dia sekarang dalam keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa bertempat)”. (al-Firaq bainal Firaq karangan Abu Mansur: 333)

قال أيضا: إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته - الفرق بين الفرق لأبي منصور البغدادي:333

Sayyidina Ali رضي الله عنه berkata lagi: “Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan Arasy, sebagai tanda kekuasaanNya, bukan sebagai tempat untuk Dia duduki” (al-Firaq bainal Firaq: 333)


من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود . - حلية الأولياء: ترجمة علي بن أي طالب: 73:1

Sayyidina Ali رضي الله عنه berkata lagi: “Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah” (Hilyatul Auliya’: 1/73)

وقال التابعي الجليل الإمام زين العابدين علي بن الحسين بن علي رضي الله عنهم ما نصه: أنت الله الذي لا يحويك مكان - إتحاف السادة المتقين: 380:4

Imam Ali Zainal Abidin bin Al-Husein رضي الله عنه berkata: “Sesungguhnya, Engkaulah Allah, yang tidak bertempat” (Ittihaf Saadah al-Muttaqin: 4/380)

أنت الله الذي لا تحد فتكون محدودا - إتحاف السادة المتقين)

Imam Ali Zainal Abidin رضي الله عنه berkata lagi: “Engkaulah Allah yang tidak mempunyai sebarang had...” (Ittihaf Saadah al-Muttaqin: 4/380)


وقال الإمام جعفر الصادق بن محمد الباقر بن زين العابدين علي بن الحسين رضوان الله عليه من زعم أن الله في شيء، أو من شيء، أو على شيء فقد أشرك.

Imam Ja’far as-Shodiq رضي الله عنه berkata: “Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala berada pada mana-mana tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka dia telahpun syirik...” (risalah Al-Qusyairiyah: 6)


قال الإمام أبو حنيفة النعمان بن ثابت: " كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء - الفقه الأبسط ضمن مجموعة رسائل أبي حنيفة بتحقيق الكوثري ص 25

Imam Abu Hanifah رضي الله عنه berkata: Allah Ta’ala itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk. Maka, Allah Ta’ala wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya. (al-Fiqh al-Absath: 25)


قال الإمام أبو حنيفة النعمان بن ثابت: ولقاء الله تعالى لأهل الجنة بلا كيف ولا تشبيه ولا جهة، حق

Beliau berkata lagi: Pertemuan dengan Allah Ta’ala bagi ahli syurga tanpa kaifiyat, tanpa tasybih dan tanpa sudut adalah benar (al-Washiyah: 4)


ونقر بأن الله سبحانه وتعالى على العرش استوى من غير أن يكون له حاجة إليه واستقرار عليه ، وهو حافظ العرش وغير العرش من غير احتياج - كتاب الوصية ، ضمن مجموعة رسائل أبي حنيفة بتحقيق الكوثري ص/ 2

Beliau berkata lagi: Kami mengakui Allah Ta’ala beristiwa atas Arasy tanpa berhajat kepadanya ataupun tanpa menetap di atasnya. Dialah yang menjaga Arasy dan selain daripada Arasy tanpa memerlukannya. (Kitab al-Washiyyah karangan Imam Abu Hanifah yang ditahqiq oleh Imam al-Kauthari, halaman 2)


وقال الإمام محمد بن إدريس الشافعي: إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته

Imam As-Syafi’e رضي الله عنه berkata: “Allah Ta’ala wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah Ta’ala berubah sifatNya atau zatNya.” (Ittihaf Saadah al-Muttaqin: 2/24).


وأما الإمام الجليل أبو عبد الله أحمد بن محمد بن حنبل الشيباني فقد ذكر الشيخ ابن حجر الهيثمي أنه كان من المترهين لله تعالى عن الجه ة والجسمية، ثم قال ابن حجر ما نصه: وما اشتهر بين جهلة المنسوبين إلى هذا الإمام الأعظم من أنه قائل بشيء من الجهة أو نحوها فكذب وبهتان وافتراء عليه"

Imam Ahmad bin Hanbal رضي الله عنه pula, menurut Syaikh Ibn Hajar al-Haithami bahawasanya, beliau (Imam Ahmad) dalam kalangan mereka yang menyucikan Allah Ta’ala daripada sebarang tempat dan kejisiman. Kemudian, Ibn Hajar berkata: Adapun yang masyhur dalam kalangan orang-orang jahil yang menisbahkan kepada Imam yang agung ini, bahawa beliau bercakap tentang (Allah Ta’ala) bertempat dan sebagainya, maka ia merupakan sesuatu yang dusta, tipu daya dan rekaan ke atas beliau" (al-Fatawa al-Haditsiyyah: 44)

وكذا كان على هذا المعتقد الإمام شيخ المحدثين أبو عبد الله محمد ابن إسماعيل البخاري صاحب الصحيح ( ٢٥٦ ه( فقد فهم شراح صحيحه أن البخاري كان يتره الله عن المكان والجهة

Imam Al-Bukhari رضي الله عنه dalam Shahih Al-Bukhari itu sendiri menurut mereka yang mensyarahkannya, bahawasanya beliau menyucikan Allah Ta’ala daripada tempat dan sudut.

وقال الإمام الحافظ الفقيه أبو جعفر أحمد بن سلام ة الطحاوي الحنفي ( ٣٢١ ه ( في رسالته (العقيدة الطحاوية) ما نصه: "وتعالى - أي الله - عن الحدود والغايات والأ ركان والأعضاء والأدوات، لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات"

Imam at-Tohawi رضي الله عنه berkata juga: “Maha Tinggi dan Suci Allah Ta’ala daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat).” (ss-Siqaat: 1/1)


وقال الحافظ محمد بن حبان ( ٣٥٤ ه) صاحب الصحيح المشهور بصحيح ابن حبان ما نصه: "الحمد لله الذي ليس له حد محدود فيحتوى، ولا له أجل معدود فيفنى، ولا يحيط به جوامع المكان ولا يشتمل عليه تواتر الزمان"

Imam Ibn Hibban رضي الله عنه berkata: “Segala puji bagi Allah Ta’ala yang tidak mempunyai sebarang batasan yang membatasinya lalu meliputinya, dan tiada bagiNya masa yang terbatas yang akan menyebabkan Dia fana, dan tiada tempat yang dapat meliputiNya, dan tiada termasuk dalam lingkaran masa. (as-Siqaat: 1/1)

وقال الحافظ محمد بن حبان ( ٣٥٤ ه): كان- الله- ولا زمان ولا مكان

Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak tertakluk kepada tempat dan masa” (Al-Ihsan fi Tartib Sahih Ibn Hibban: 4/8)


وقال الحافظ محمد بن حبان ( ٣٥٤ ه): ينزل - يعني الله - بلا آلة ولا تحرك ولا انتقال من مكان إلى مكان

Beliau berkata lagi: Allah Ta’ala turun tanpa alat, tanpa pergerakan, tanpa perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain (Al-Ihsan fi Tartib Sahih Ibn Hibban: 2/136)

وقال الشيخ أبو سليمان أحمد بن محمد الخطابي ) ٣٨٨ ه ( صاحب ) معالم السنن ( ما نصه: وليس معنى قول المسلمين إن الله على العرش هو أنه تعالى مماس له أو متمكن فيه أو متحيز في جهة من جهاته

Imam Abu Sulaiman Ahmad Al-Khitobi رضي الله عنه berkata: "Bukanlah makna perkataan kaum muslimin bahawa Allah Ta’ala atas Arasy it bahawa Dia menyentuhnya atau menetap di atasnya, atau mengambil tempat daripada salah satu sudut daripada sudut-sudutnya… (A'lamul Hadits: 2/147)

قال الامام أحمد ، فقد نقل ابو الفضل التميمي رئيس الحنابلة عن الامام احمد مانصه : كان يقول - أي الإمام أحمد - في معني الاستواء هو العلو والارتفاع ولم يزل الله عاليا رفيعا قبل أن يخلق عرشه فهو فوق كل شىء والعالي علي كل شىء... علا ولا يجوز أن يقال استوي بمماسه ولا بملاقاه تعالي الله عن ذلك علوا كبيرا والله تعالي لم يلحقه تغيير ولا تبدل ولا تلحقه الحدود قبل خلق العرش ولا بعد خلق العرش

Imam Ahmad رضي الله عنه berkata, seperti yang dinukilkan oleh Abu Al-Fadhl At-Tamimi, penghulu ulama' Hanabilah (ulama-ulama bermazhab Hanbali), daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata tentang makna istiwa: "Iaitu ketinggian darjat dan keagunganNya. Allah Ta’ala sentiasa Maha Tinggi dan Maha Tinggi (darjatNya) sebelum Dia menciptakan Arasy. Dia di atas setiap sesuatu dan Maha Tinggi (kedudukanNya) daripada setiap sesuatu… Tidak boleh seseorangberkata bahawasanya, istiwa itu zat Allah Ta’ala menyentuh Arasy atau menempatinya. Maha Suci Allah Ta’aladaripadanya (bertempat tersebut) setinggi-tinggiNya. Dia tidak akan berubah-ubah, tidak dibatasi dengan sebarang batasan sebelum penciptaan Arasy dan setelah kejadian Arasy tersebut" (Risalah at-Tamimi: 2/265-290)

قال الامام الطبري رحمه الله : فتبين إذا أن القديم بارىء الأشياء وصانعها هو الواحد الذي كان قبل كل شىء ، وهو الكائن بعد كل شىء ، والأول قبل كل شىء ، والآخر بعد كل شىء، وأنه كان ولا وقت ولا زمان ولا ليل ولا نهار، ولا ظلمة ولا نور ولا سماء ولا أرض ولا شمس ولا قمر ولا نجوم ، وأن كل شىء سواه محدث مدبرمصنوع...

Imam at-Tabari رضي الله عنه berkata: Jelaslah bahawa Allah Ta’ala qadim, Tuhan kepada seluruh makhluk dan Penciptanya. Dialah yang Maha Esa yang wujud sebelum sesuatu wujud. Dia juga kekal setelah kewujudan makhluk. Dialah yang Maha Awal sebelum segala sesuatu dan Maha Akhir setelah segala sesuatu. Allah Ta’ala itu wujud tanpa masa, zaman, siang, malam, tanpa kegelapan dan tanpa cahaya, tanpa langit, tanpa bumi, tanpa matahari, tanpa bulan dan tanpa bintang. Semua selainNya adalah baharu yang ditadbir dan diciptakan (olehNya). (Tarikh at-Tabari : 1/26)

وقال إمام أهل السنة أبو الحسن الأشعري (324 ه): نصه : كان الله ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان

Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari رضي الله عنه berkata: Allah Ta’ala wujud tanpa bertempat. Dia menciptakan Arasy dan Kursi tanpa memerlukan kepada tempat. (Tabyiin Kazbul Muftari: 150)

قال الله تعالى مخبرا عن خليله إبراهيم صلوات الله عليه وسلامه –( لَمَّا أَفَلَ قَالَ لا أُحِبُّ الآفِلِينَ) (الانعام/76) في قصة أفول الكوكب والشمس والقمر وتحريكها من مكان إلى مكان ما دل على أن ربه عز وجل لا يجوز عليه شىء من ذلك ، وأن من جاز عليه الأفول والانتقال من مكان إلى مكان فليس بإله

Beliau berkata lagi: Allah Ta’ala mengkhabarkan daripada Ibrahim عليه السلام dalam ayat: "Ketika ia (bintang) lenyap maka Baginda (Ibrahim) berkata, aku tidak suka kepada yang lenyap". Dalam kisah tersebut, bintang, matahari dan bulan bergerak-gerak, kejap adan kejap tiada, berpindah dari tempat ke suatu tempat, menunjukkan bahawa Allah Ta’ala tidak bersifat dengan sifat tersebut (bergerak dari tempat ke tempat). Setiap yang boleh lenyap dan berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat maka ia bukan tuhan. (Risalah Istihsan Al-Khaudh: 45)

على ما كان ، وكان على ما عليه الان ، جل عن التغير والزوال والاستحالة

Telah berkata Imam Abu Mansur Al-Maturidi رضي الله عنه : "Sesungguhnya Allah Ta’ala wujud tanpa bertempat…Dia wujud kini sama seperti wujudNya sebelum ini, dan sehingga kini wujud seperti sebelumnya. Maha Suci Allah Ta’ala daripada berubah-ubah, hilang mahupun daripada kemustahilan. (at-Tauhid karangan Imam Maturidi: 69)

وقال الصوفي أبو عثمان المغربي سعيد بن سلام (373 هـ) فيما نقله عنه أبو القاسم عبد الكريم بن هوازن القشيري (469 هـ) ونصه: أنه كما كان ولا مكان فهو الآن كما كان... ) الرسالة القشيرية: 5)

Imam Abu Uthman Al-Maghribi Sa'id bin Salam (373H) berkata (seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Qusyairi: Sesungguhnya Allah Ta’ala itu wujud tanpa tempat. Dia wujud kini seperti sedia kala juga… (ar-Risalah al-Qusyairiah: 5)

قال الشيخ أبو بكر محمد بن إسحق الكلاباذي الحنفي (385 هـ) في بيان عقيدة الصوفية ما نصه : اجتمعت الصوفية على أن الله لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان (التعرّف لمذهب أهل التصوف)

Imam Al-Kalabazi (385 H) berkata tentang aqidah para sufi (sejak dari zaman salafus soleh): Telah ijma' dalam kalangan sufi bahawasanya Allah Ta’ala itu tidak bertempat dan tidak dilingkari oleh masa. (At-Ta'arruf : 33)

Demikianlah beberapa perkataan para ulama' ahlus-sunnah wal jamaah dari kalangan salafus-soleh sendiri, yang menyucikan Allah Ta’ala daripada sebarang tempat dan jisim. Semoga kita dapat mengikuti jejak para salafus-soleh dalam menyucikan Allah Ta’ala daripada sebarang kekurangan termasuklah daripada sifat-sifat kejisiman dan tempat.

Semoga kita semua mengikut aqidah salafus soleh yang sebenar dalam menyucikan Allah Ta’ala daripada kelaziman tempat dan kejisiman yang merupakan antara sifat-sifat makhluk yang serba kekurangan. Semoga Allah Ta’ala memelihara kemurnian aqidah kita dalam mengikut aqidah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, para sahabat رضي الله عنهم, para salafus sholeh dan aqidah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah (al-Asya'irah dan al-Maturidiyah).

Wallahu a'lam...
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin ar-Razi al-Azhari

Selain dari itu saudara-saudara juga boleh membaca disini mengenai permasalahan diatas.

Sekian dari
Abu Zahrah, Taman Seri Gombak
22 Dhulqaedah 1430/ 10 November 2009

Kitab-kitab Ulama Dalam Menolak Fahaman Wahhabi

Awalnya ambo ambil keputusan untuk menamatkan operasi blog al-Fanshuri dan berkaitan dengannya. Namun beberapa orang teman ambo telah meminta ambo mempertimbangkan semula keputusan tersebut dan meminta untuk diactivekan semula blog-blog ambo … pada mulanya ambo rasa keberatan, tetapi melihatkan beberapa isu yang sedang hangat diperbahaskan iaitu WAHABI maka ambo pun memutuskan untuk meneruskan operasi al-Fanshuri, walaupun sumbangannya tidak seberapa.

Mengenai isu Wahhabi, mungkin di kalangan masyarakat tertanya-tanya kenapa kita sibuk-sibuk nak lawan dengan Wahhabi? Ulama-ulama lain tak sibuk pun? Ketahuilah, pada realitinya, sejak dari zaman berzaman para ulama ahlus sunnah bangun menentang kehadiran fahaman Wahhabi yang membawa perpecahan di kalangan umat Islam. Fahaman Wahhabi telah memberikan sumbangan terbesar terhadap kehancuran perpaduan umat Islam dengan bermodalkan perkara yang remeh-temeh. Dan yang lebih parah lagi … aqidah yang mereka sebarkan menjurus kepada musyabbihah dan mujassimah. Sejak dari mula timbulnya fahaman Wahhabi, ulama-ulama ahlus sunnah wal jama’ah telah menulis kitab untuk menolak fahaman Wahhabi ini antaranya:-
  • Fasl al-Khitab fi Radd ‘ala Muhammad ibn Abdil Wahhab oleh Syaikh Sulaiman ibn Abdil Wahhab. Inilah merupakan kitab yang pertama yang menolak fahaman Wahhabi yang ditulis oleh saudara kandung pengasas fahaman Wahhabi.
  • As-Sowa’qul Ilahiyyah fi Raddi ‘ala al-Wahhabiyyah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Sulaiman ibn ‘Abdul Wahhab al-Najdi
  • Fitnah al-Wahhabiyyah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaluddin ar-Rembawi)
  • Ad-Durarus Saniyah fi al-Raddi ‘ala al-Wahhabiyyah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, maaflah ambo lupa tajuknya)
  • Khulasatul Kalam fi Bayani 'Umara` al-Balad al-Haram karangan al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan
  • Saif al-Jabbar oleh Syaikh Fadhlur Rasul
  • Al-Aqwal al-Mardiyyah fi al-Radd 'ala al-Wahhabiyyah oleh al-Syaikh al-Faqih 'Atha' al-Kasam al-Dimashqi al-Hanafi
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Syaikh Sholeh al-Kuwaisy al-Tunisi
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Abu Hafs Umar al-Mahjub
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Syaikh Muhammad Sholeh al-Zamzami al-Syafie
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Syaikh Ibrahim ibn Abdul Qadir al-Tarabulasi al-Riyahi al-Tunisi
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Mufti Madinah Zubir di Bashrah - Syaikh Abdul Muhsin al-Asyniqiri al-Hanbali
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Mufti Fez - Syaikh al-Makhdum al-Mahdi
  • Ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Qadhi Jamaa’ah di Maghribi - Syaikh Ibn Kiran
  • Ar-Radd ‘ala Ibni Abdil Wahhab oleh Syaikhul Islam Tunisia- Syaikh Ismail al-Tamimi al-Maliki
  • Ar-Radd ‘ala Ibni Abdil Wahhab oleh Syaikh Ahmad al-Misri al-Ahsa’i
  • Ar-Radd ‘ala Ibni Abdil Wahhab oleh al-‘Allamah Barakat al-Syafie al-Ahmadi al-Makki
  • Ar-Radd ‘ala Muhmmaad ibn Abdil Wahhab karangan Muhammad ibn Sulaiman al-Kurdi asy-Syafie, guru dan syaikh bagi Ibn ‘Abdul Wahhab. Disebut oleh Ibnu Marzuq asy-Syafie: Syaikhnya ini telah berfirasat bahwa dia akan menjadi orang yang sesat dan meyesatkan seperti mana firasat syaikhnya Muhammad Hayat as-Sindi dan dan ayahnya [ayahnya Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab].
  • At-Taudhih ‘ala Tauhid al-Khallaq fi Jawab Ahli al-Iraq ‘ala Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab karangan Syaikh ‘Abdullah Affendi al-Rawi
  • Al-Haqiqah al-Islamiyah fi ar-Raddi ‘ala al-Wahhabiyyah oleh Syaikh Abdul Ghani ibn Sholeh Hamadah.
  • Ad-Dalil Kafi fi ar-Radd ‘ala al-Wahhabi oleh Syaikh Misbah ibn Muhamad Syabqalu al-Beiruti
  • Radd Muhtar ‘ala Durr al-Mukhtar oleh Ibn ‘Abidin al-Hanafi al-Dimasyqi
  • Al-Haq al-Mubin fi ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyin oleh Syaikh Ahmad Sa’id al-Faruqi al-Sirhindi al-Naqsyabandi
  • Al-Haqaiq al-Islamiyah fi Radd ‘ala Maza’im al-Wahhabiyyah bi Adillah al-Kitab wa al-Sunnah al-Nabawiyyah oleh Syaikh Malik ibn Syaikh Mahmud.
  • Ar-Rudud ‘ala Muhammad ibn Abdul Wahhab oleh al-Muhaddits Sholeh al-Fullani al-Maghribi. Telah berkata Sayyid ‘Alawi ibn Ahmad al-Haddad bahwa kitab yang besar ini mengandungi risalah dan jawapan daripada para ulama’ mazhab yang empat, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dalam menolak pendapat/fahaman Muhammad ibn Abdul Wahhab.
  • Ar-Radd ‘ala Muhammad ibn Abdul Wahhab oleh Syaikh Abdullah al-Qudumi al-Hanbali al-Nablusi
  • Risalah fi Musyajarah baina Ahl Makkah wa Ahl Nadj fil ‘Aqidah oleh Syaikh Muhammad ibn Nasir al-Hazimi al-Yamani
  • Sa’adah ad-Darain fi ar-Radd ‘ala Firqatain – al-Wahhabiyyah wa Muqallidah al-Zhahiriyyah oleh Syaikh Ibrahim ibn Utsman ibn Muhammad al-Samhudi al-Manshuri al-Misri
  • Al-Saif al-Batir li ‘Unuq al-Munkir ‘ala al-Akabir oleh al-‘Allamah al-Habib ‘Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthubul Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad.
  • As-Suyuf al-Masyriqiyyah li Qat’ie A’naaq al-Qailin bi Jihah wa al-Jismiyah oleh Syaikh ‘Ali ibn Muhammad al-Maili al-Jamali al-Tunisi al-Maghribi al-Maliki
  • Raudh al-Majal fi al-Radd ‘ala Ahl al-Dholal oleh Syaikh Abdurrahman al-Hindi al-Delhi al-Hanafi
  • Sidq al-Khabar fi Khawarij al-Qarn al-Tsani Asyara fi Itsbathi ‘an al-Wahhabiyyah min al-Khawarij oleh Syaikh al-Syarif ‘Abdullah ibn Hassan Basya ibn Fadhi Basya al-‘Alawi al-Husaini al-Hijazi
  • Al-Minhah al-Wahbiyyah fi Raddi al-Wahhabiyyah oleh Syaikh Daud bin Sulaiman al-Baghdadi an-Naqsyabandi al-Khalidi
  • Al-Haqaaiq al-Islamiyyah fi ar-Raddi ‘ala al-Mazaa’im al-Wahhabiyyah bi Adillah al-Ktab wa as-Sunnah an-Nabawiyyah oleh al-Hajj Malek Bih ibn Asy-Syaikh Mahmud, Mudir Madrasah al-‘Irfan, Kutbali, Mali
  • Misbah al-Anam wa Jala-uz-Zhalam fi Raddi Syubah al-Bid’i an-Najdi Allati Adhalla biha al-‘Awwam oleh al-‘Allamah al-Habib ‘Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthubul Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘alwi al-Haddad. Di dalam kitab ini, pada halaman 3, beliau berkata bahawa kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab telah disampaikan oleh ramai ulama secara tawatur dalam tulisan-tulisan mereka daripada orang-orang yang tsiqah dari kalangan ulama-ul-akhyar (terpilih) dan selain mereka, yang telah melihat dengan matanya sendiri dan mendengar dengan telinganya sendiri akan kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya dan juga dari tulisan-tulisan, perkataan, perbuatan dan perintah Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya. Pada halaman 15, al-Habib berkata: Aku telah diberitahu oleh seorang tua yang bersinar wajahnya kerana kesholehannya dan sudah melebihi 80 tahun umurnya, salah seorang pemuka kita keluarga Abu 'Alawi yang lahir dan membesar di Makkah dan kerap berulang alik ke Madinah. Nama beliau Musa bin Hasan bin Ahmad al-'Alawi berketurunan Sayyidina 'Uqail bin Salim, saudara Sayyidina Quthubus-Syahir asy-Syaikhul Kabir Abu Bakar bin Salim. Beliau berkata:- "Aku dahulu berada di Madinah belajar kepada asy-Syaikh Muhammad Hayat (as-Sindi al-Madani). Muhammad bin 'Abdul Wahhab juga berulang-alik ke majlis Syaikh Muhammad Hayat seperti murid-murid lainnya. Aku mendengar daripada orang-orang sholeh dan ulama, sebagai kasyaf daripada mereka, firasat mereka mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab di mana mereka menyatakan bahawa dia akan sesat dan menyesatkan Allah dengannya orang yang dijauhkan dari rahmatNya dan yang dibinasakanNya"
  • An-Nuqul as-Syar’iyyah fi Raddi ‘alal Wahhabiyyah oleh Hasan ibn ‘Umar ibn Ma’ruf as-Shatti al-Hanbali
  • Nasiha li Ikhwanina Ulama Najd oleh as-Sayyid Yusuf ibn Sayyid Hasyim ar-Rifaie
  • Tahakkum al-Muqallidin bi Mudda`i Tajdid ad-Din karangan Syaikh Muhammad bin 'Abdur Rahman bin 'Afaliq al-Hanbali, seorang ulama yang sezaman dengan Muhammad ibn Abdul Wahhab dan telah mencabar keilmuannya sehingga Ibnu 'Abdul Wahhab membisu seribu bahasa
  • Saiful Jihad li Mudda`i al-Ijtihad karangan Syaikh 'Abdullah bin 'Abdul Lathif asy-Syafi`i
  • Tarikh al-Wahhabiyyah oleh Ayyub Sabri Pasha (meninggal dunia tahun 1308H/1890M). Beliau adalah merupakan Laksamana Armada Laut di zaman pemerintahan Sultan ‘Abdul Hamid Khan II. Kitab karangan beliau ini menceritakan tentang Wahhabi secara terpeinci. Sebahagian kandungan kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk Faham Wahhabi dan Penyelewengannya. Beliau juga merupakan pengarang kitab Mir’ah al-Haramain
  • Faydul Wahhab fi Bayan Ahl al-Haq wa Man Dhalla 'an ash-Shawab karangan Syaikh 'Abdur Rabbih bin Sulaiman asy-Syafi`i
  • As-Sarim al-Hindi fi 'Unuqin-Najdi karangan Syaikh 'Atha` al-Makki;
  • As-Sarim al-Hindi fi Ibanat Tariqat asy-Syaikh an-Najdi karangan Syaikh 'Abdullah bin 'Isa bin Muhammad as-San`ani
  • Al-Basha`ir li Munkiri at-Tawassul ka Amtsal Muhammad ibn Abdul Wahhab karangan Syaikh Hamd-Allah ad-Dajwi
  • Risalah Irsyadul Jaawiyyin ila Sabilil 'Ulama-il-'Aamiliin karangan Tuan Guru Haji 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin 'Utsman al-Fathoni
  • Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-Asy’ari [pelopor fahaman Wahabi di Perlis] karangan Syaikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili
  • Tajrid Saif al-Jihad li Mudda’I al-Ijtihad karangan Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdul Lathif asy-Syafie. Beliau menolak pendapat Muhammad bin ‘Abdul Wahhab ketika hayatnya.
  • Al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab karangan Syaikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Mandili
  • Kitab Senjata Syari'at karangan Ustaz Abu Zahidah bin Haji Sulaiman dan Abu Qani'ah Haji Harun bin Muhammad as-Shamadi al-Kalantani. Kitab ini telah ditaqridz oleh Syaikh 'Abdullah Fahim, Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussin Kedah dan Tuan Guru Haji 'Abdurrahman Merbuk, Kedah.
  • Al-Fajr ash-Shodiq fi al-Radd ‘ala al-Maariq karangan Syaikh Jamil Affendi Shodiqi az-Zuhawi.
  • Al-Ushul al-Arba’ah fi Tardid al-Wahhabiyyah/ Al-‘Aqaid as-Shohihah fi Tardid al-Wahhabiyyah karangan Muhammad Hasan, Shohib al-Sirhindi al-Mujaddidi.
  • Al-Awraq al-Baghdadiyyah fi al-Jawabat an-Najdiyyah karangan Syaikh Ibrahim ar-Rawi al-Baghdadi.
  • Al-Bara’ah min al-Ikhtilaf fi ar-Radd ‘ala Ahli asy-Syiqaq wa an-Nifaq wa ar-Radd ‘ala Firqah al-Wahhabiyyah al-Dhallah karangan Syaikh Zainul ‘Abidin as-Sudani.
  • Al-Barahin as-Sati’ah karangan Syaikh Salamah al-‘Azzami
  • Risalah fi Ta’yid Madzhab as-Sufiyyah wa ar-Radd ‘ala al-Mu’taridhin ‘Alaihim karangan Syaikh Salamah al-‘Azzami
  • Risalah fi Jawaz at-Tawassul fi ar-Radd ‘ala Muhammad ibn ‘Abdil Wahhab karangan al-‘Allamah Syaikh Mahdi al-Wazaani, Mufti Fez, Maghribi.
  • Risalah fi ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah karangan Syaikh Qasim Abi al-Fadhl al-Mahjub al-Maliki
  • Al-Risalah ar-Raddiyyah ‘ala at-Tho’ifah al-Wahhabiyyah karangan Syaikh Muhammad ‘Atholah yang dikenali sebagai Ato ar-Rumi
  • ‘Iqd Nafis fi Radd Syubhat al-Wahhabi al-Ta’is karangan Syaikh Ismail Abi al-Fida` at-Tamimi at-Tunisi. Beliau adalah seorang yang faqih dan ahli sejarah.
  • Al-Madarij as-Saniyyah fi Radd al-Wahhabiyyah karangan Maulana Aamir al-Qadiri, guru di Darul Ulum al-Qadiriyyah, Karachi, Pakistan
  • Dan banyak lagi kitab yang menolak fahaman Wahhabi yang ditulis ulama sejak dari tercetusnya fahaman ini. Dan sampai sekarang pun masih ada ulama yang menulis kitab untuk menolak fahaman Wahhabi. Banyak, banyak ..... lenguh jari-jemari ambo nak taip .......

Sekian dari;
al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
22 Dhulqaedah 1430/10 November 2009


Khamis, 22 Oktober 2009

Manaqib al-Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al-Haddad

Sempena Memeperingati Haul al-Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al-Haddad 1430H, ambo ada menulis sekelumit manaqib mengenai beliau رضي الله عنه . Bagi yang berminat untuk mengenali beliau رضي الله عنه, silalah kesini.

Faedah Membaca Manaqib dan Mengingati Orang-orang Sholeh

Dalam sebuah haFaedahdits riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus daripada Sayyidina Muadz رضي الله عنه


ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنة

Maksudnya: Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kaffarah (bagi dosa), mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kepada syurga. (menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir dan al-Munawi didalam Faidhul Qadir, hadits ini dhoif)


Muhammad bin Yunus رحمه الله تعالى berkata: Tiada melihat aku akan sesuatu yang terlebih manfaat bagi hati daripada mengingati riwayat hidup orang-orang sholeh.

قال سفيان بن عيينة رحمه الله تعالى: عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة

Sufyan bin Uyainah رحمه الله تعالى mengatakan bahawa ketika menyebut orang-orang sholeh akan bercucuran rahmat.


Imam Junaid al-Baghdadi رحمه الله تعالى pula berkata: Hikayat (kisah orang-orang sholeh) itu adalah merupakan tentera dari tentera-tentera Allah Ta’ala dimana Allah menetapkan hati para auliyaNya dengan kisah-kisah tersebut. Maka ditanyai oleh orang kepada Imam Junaid: Apakah engkau mempunyai asas menyokong katamu itu? Maka beliau menjawab: Dalil atau penyokong bagi kenyataannya itu adalah firman Allah [bermaksud]: Dan semua kisah-kisah Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), yang dengannya Kami teguhkan hatimu. (Surah Hud:120).

Moga-moga dengan menyebut kisah-kisah mereka, akan menambah kecintaan kita kepada mereka. آمين

Didalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Dzar رضي الله عنه, dimana beliau berkata: Wahai Rasulullah! Seorang lelaki mengasihi suatu kaum sedangkan ia tidak mampu ber’amal dengan ‘amalan mereka? Maka baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Engkau, wahai Abu Dzar bersama sesiapa yang engkau kasihi. Mudah-mudahkan kita digolongkan kedalam golongan auliyaNYA lantaran kerna cinta kita kepada mereka. آمين.

Didalam kitab Jala adh-Dholaam ‘ala ‘Aqidatil Awwam disebutkan: Ketahuilah, seyogia bagi setiap muslim yang menuntut kelebihan dan kebaikan (dari Allah Ta’ala) bahwa dia mencari baraakah, nafaahat, maqbulnya doa dan turunnya rahamaat pada auliya’ didalam majlis perhimpunan mereka, samada ketika mereka masih hidup atau telah wafat, ketika berada disisi kubur mereka atau ketika berziarah atau ketika menyebut keutamaan mereka dan membaca manaqib mereka.

Rabu, 21 Oktober 2009

Rauhah Imam al-Haddad: Jangan Terpedaya Dengan Keajaiban Seseorang Sebelum Melihat Bagaimana Dia Berpegang Kepada al-Quran dan as-Sunnah

Al-Imam Al-Habib Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad menyebut di dalam kitabnya Risalah al-Mu’awanah:


وكل من لم يبالغ في التمسك بالكتاب والسنة، ولم يبذل وسعه في متابعة الرسول صلى الله عليه وآله وسلم ، وهو مع ذلك يدعي أن له مكانة من الله تعالى، فلا تلتفت إليه ولا تعرِّج عليه، وإن طار في الهواء ومشى على الماء وطويت له المسافات وخرقت له العادات، فإن ذلك يقع كثيراً للشياطين والسحرة والكهان والرافين والمنجمين وغيرهم من الضُّلال


Dan tiap-tiap mereka yang tidak bersungguh-sungguh pada berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah, dan tidak mencurahkan segenap upayanya pada mengikut akan jejak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , dan dia serta yang demikian itu mendakwa bahwasanya adalah baginya [mendapat] pangkat kedudukan daripada Allah Ta’ala, maka jangan engkau berpaling kepadanya [mendengar dakwaannya] dan jangan engkau cenderung [memberi perhatian] atasnya, dan jika terbang ia di udara, dan berjalan ia di atas air dan dilipat baginya perjalanan [perjalanan yang jauh menjadi pendek/singkat] dan dicarik baginya akan adat [berlaku kepadanya perkara-perkara luarbiasa], maka bahwasanya demikian itu banyak jatuh [banyak terjadi] bagi [kepada] syaithan dan tukang sihir dan tok nujum dan lain daripada demikian itu daripada orang-orang yang sesat”

Selasa, 20 Oktober 2009

Pembahagian Hati

Al-Muttaqin TV | Saluran Ilmiah Anda : Pembahagian Hati



Kitab: Minhajul 'Arifin
Karangan: Imam al-Ghazali رضي الله عنه
Penyampai: Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki حفظه الله
Tempat: Puncak Jabal Humaisara. Disinilah terletaknya makam Syaikh Abu Hasan asy-Syadhuli رضي الله عنه.

Tetamu Undangan Majlis Haul al-Imam al-Habib 'Abdullah al-Haddad 1430H

Rabu, 14 Oktober 2009

Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Raslan - 2

Transliterasi Kitab Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari

Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh al-Fagir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyayikh tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.

Pengenalan: Pengarang Kitab Risalah al-Wali ar-Raslan Yang Diberi Gantung Makna Di Dalam Bahasa Melayu – Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. [biografi ini adalah berdasarkan kepada tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan ‘Abdullah]

Beliau adalah al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdulah al-Banjari. Beliau adalah seorang ulama Alam Melayu yang tersohor. Sehingga kini kitab fiqih karangan beliau, yang berjudul Sabil al-Muhtadin menjadi rujukan para ulama di Nusantara dan masih digunakan sebagai teks pengajian dipondok-pondok dan masjid-masjid. Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdulah al-Banjari dilahirkan pada malam Khamis, jam 3 pagi, 15 Safar 1122H/17 Mac 1710M. Dan beliau wafat pada tanggal 6 Syawwal 1227H/3 Oktober 1812M [bermakna pada 3 Syawwal yang lalu, genap haul beliau yang ke 203 mengikut kiraan kalendar Hijrah]. Makam beliau terletak di Martapura, Kalimantan, Indonesia. Di Indonesia beliau dikenali dengan nama Datuk Kalampayan.

Pendidikan: Beliau pernah menuntut ilmu di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah sekitar 5 tahun. Diantara guru beliau adalah:
  • Syaikh ‘Abdurrahman bin ‘Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani
  • Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh
  • Syaikh Muhammad ‘Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani
  • Syaikh Muhamad bin Sulaiman al-Kurdi
  • Syaikh ‘Ataullah
  • Syaikh Muhammad Karim as-Samani al-Madani, dan ramai lagi.
Manakala rakan-rakan seperguruannya ketika menuntut di Mekah dan Madinah ialah:
  • Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani
  • Syaikh ‘Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi (beliau adalah datuk kepada Sayyid Utsman, Mufti Betawi)
  • Syaikh ‘Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah @ Syaikh ‘Abdul Wahhab Bugis (menjadi menantu kepada Syaikh Arsyad)
  • Syaikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari (pengarang kitab ad-Durr an-Nafis)
  • Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Banjari
  • Syaikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani
  • Syaikh Muhammad ‘Asyiquddin bin Shafiyuddin al-Falimbani
  • Syaikh Muhammad Shalih bin Umar al-Samarani (dari Semarang, Indonesia) yang digelar Imam Ghazali Shaghir (Imam Ghazali Kecil)
  • Syaikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi
  • Syaikh ‘Abdur Rahman bin ‘Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi
  • Syaikh Haji Zainuddin bin `Abdur Rahim bin `Abdul Lathif bin Muhammad Hasyim bin `Abdul Mannan bin Ahmad bin `Abdur Rauf al-Fathani.
  • Kiyai Musa Surabaya dan ramai lagi.

Penulisan: Selain dari mengajar, beliau juga aktif di dalam penulisan. Diantara kitab yang beliau karang atau terjemah adalah:
  • Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin, diselesaikan tahun 1188H/1774M
  • Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
  • Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabi` al-Akhir 1195H/1780M (merupakan kitab beliau yang paling terkenal)
  • Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabi’ al-Awal 1196 H/1781 M.
  • Kitab Bab an-Nikah.
  • Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
  • Kanzu al-Ma'rifah
  • Ushul ad-Din
  • Kitab al-Faraid
  • Hasyiyah Fath al-Wahhab
  • Mushhaf al-Quran al-Karim
  • Fath ar-Rahman (kitab yang ditransliterasi ini)
  • Arkanu Ta'lim as-Shibyan
  • Bulugh al-Maram
  • Fi Bayani Qadha' wa al-Qadar wa al-Waba'
  • Tuhfah al-Ahbab
  • Khuthbah Muthlaqah Pakai Makna. Kitab ini dikumpulkan semula oleh keturunannya, Syaikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari (Mufti Martapura). Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, tanpa dinyatakan tarikh cetak.
Keturunan: Hasil dari perkahwinannya, beliau mendapat zuriat yang ramai, iaitu 30 orang. Dan kebanyakan daripada anak-cucu beliau menjadi ulama. Diantara zuriat beliau yang pernah menjawat jawatan mufti dan qadhi:
  • Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Ahmad bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Muhammad As'ad bin Usman. Beliau ialah mufti yang pertama di Kerajaan Banjar.
  • Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As’ad
  • Haji Syihabuddin.
  • Haji Muhammad Khalid bin Allamah Hasanuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Muhammad Nur bin ‘Alimul ‘Allamah Kadi Haji Mahmud.
  • Haji Muhammad Husein bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Jamaluddin bin Haji Abdul Hamid.
  • Syaikh Abdur Rahman Shiddiq bin Haji Muhammad Afif bin Qadhi Abu Naim bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Muhammad Hussein bin Mufti Haji Jamaluddin
  • Haji Abdul Jalil bin Mufti Haji Syihabuddin
  • Haji Muhammad Yunan bin Mufti Haji Muhammad Amin,
  • Haji Sa’id bin Haji Abdur Rahman dan
  • Haji Mukhtar bin Qadhi Haji Hassan.
Adapun yang berpangkat Qadhi, iaitu:
  • Haji Su'ud bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Abu Naim bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yassin.
  • Haji Muhammad Amin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Muhammad Ali al-Junaidi bin Qadhi Haji Muhammad Amin
  • Haji Muhammad Said al-Jazuli bin Qadhi Haji Su’ud
  • Haji Muhammad Amin bin Qadhi Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yassin
  • Haji Abdush Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Muhammad Jafri bin Qadhi Haji Abdush Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Bajuri
  • Haji Muhammad As’ad bin Mufti Haji Muhammad Nur bin Qadhi Haji Mahmud.
  • Haji Ibrahim bin Mufti Haji Jamaluddin.
  • Haji Abu Thalhah bin Qadhi Haji Abdus Samad
  • Haji Muhammad Thayib bin Haji Muhammad Qasim.
  • Haji Muhammad bin Haji Muhammad Qasim.
  • Haji Zainal bin Lebai Darun.
  • Haji Abdur Rahman bin Qadhi Haji Muhammad Sa’id.
  • Haji Qasim bin Mu’min.
  • Haji Muhammad Sa’id bin Mu’min.
  • Haji Muhammad Arsyad bin Qadhi Haji Abdur Rahman.
  • Haji Hassan bin Mufti Haji Muhammad Sa’id.
  • Haji Abdur Rauf.
  • Haji Abdul Jalil bin Qadhi Haji Muhammad Arsyad.
  • Haji Ahmad bin Abu Naim.
  • Haji Muhammad Arsyad bin Qadhi Haji Abdur Rauf.

Risalah Fath ar-Rahman Syarah Risalah al-Wali ar-Raslan

اَلْحَمْدُ لِمَنْ تَفَّرَدَ بِالوَحْدَانِيَّةِ وَتَعَزَّزَ بِالنُّعُوتِ الرَّبَّانِيَّةِ وَالصَّلوةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ النَّيِيِّ وَصَحْبِهِ وَعلى آلِهِ وَحِزْبِهِ. وَبَعْدُ، فَإِنَّ عِلْمَ التَّوحِيْدِ مِنْ أَشْرَفِ العُلُوْمِ بَلْ هُوَأَشْرَفُهَا وَمِمَّا أُلِّفَ فِيْهِ الرِّسَالَةُ الرَّسْلاَنِيَّةُ لِلإِمَامِ العَارِفُ بِالله تَعَالى رَسْلاَنِ الدَّمْشِقِى طَيَّبَ اللهُ ثَرَاهُ وَجَعَلَ الجَنَّةَ مَأْوَاهُ

Segala puji bagi yang tunggal [1] dengan wahdaniatnya dan yang mulia ia dengan shifat ketuhanan rabbani [2] dengan shifat dan rahmat Allah dan salam Allah atas nama Nabi Muhammad dan segala shahabatnya dan atas segala keluarganya dan qaumnya. Adapun kemudian daripada itu [3], maka bahwasanya ilmu tauhid itu terlebih [4] mulia daripada segala ilmu tetapi ia terlebih mulianya bermula daripada yang dita’lifkan dalam Risalah Raslaniyyah yakni yang punya ta’lif matan kitab ini [5] bagi iman yang ‘arif bilLahi Ta’ala Wali Raslan, Damsyik nama negerinya, [semoga] diperbaikan [oleh] Allah Ta’ala kiranya akan quburnya dan dijadikan [oleh] Allah Ta’ala kiranya syurga akan tempatnya [6]

وَلمَّاكَانَتْ مِنْ أَبْدَعِ كِتَابٍ فِيْ عِلْمِ التَّوْحِيْدِ صُنِّفَ وَأُجْمِعَ مَوْضُوْعٌ فِيْهِ عَلَى مِقْدَارِحَجْمِهَا أُلِّفَ

Dan tatkala adalah ia daripada keindahan (seindah-indah) kitab pada ilmu tauhid itu yang ditashnifkan daripada selebih-lebih dan dihimpunkan dan diwadha’kan [dihantarkan] padanya atas sekira-kira besar jirimnya (iaitu miqdaatul matn) yang dita’lifkan.

إِسْتَخَرْتُ اللهَ تَعَلَى أَنْ اَشْرَحَهَا شَرْحًا يَّحُلُّ أَلْفَاظَهَا ويُبَيِّنُ مُرَادَهَا وَسَمَّيْتُهُ بِفَتْحِ الرَّحْمَانِ بِشَرْحِ رِسَالَةِ الْوَلِيِّ الرَّسْلاَنِ

Kupohonkan kepada Allah Ta’ala bahwa aku syarahkan ia (ya’ni al-matn - hikam Ibn Raslan) dengan sir, atas syarah yang menghuraikan segala lafaznya (ya’ni [lafaz] matan) dan menyatakan segala kehendaknya (ya’ni [kehendak]matan) dan kunamai akan dia dengan Fath al-Rahman pada syarah Risalah Wali al-Raslan.

Bersambung disiri akan datang, insyaALLAH



Transliterasi berdasarkan kepada kitab Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 2006M/1427H.


Notakaki:

[1] Nota pinggir (tepi) oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Ya’ni tiada siapa-siapa yang bershifat tunggal itu hanya Haq Ta’ala jua

[2] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu yang kaya mutlak

[3] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu sesudah daripada basmalah dan puji-pujian kepada Allah dan sholawat ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan ahli keluarga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan juga shahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

[4] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Yakni terlebih mulianya dan terlebih tingginya dan terlebih diatas daripada segala ilmu iaitu ilmu tauhid akan Haq Ta’ala.

[5] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu Syaikh Raslan namanya, maka dinamai akan dia matan kitab ini Risaalah

[6] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu Wali ar-Raslan



Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah
Gombak, Selangor Darul Ehsan

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 14

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyayikh tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.


Maka, hai orang yang menuntut akan tempat tuntut ini! Dan hai orang yang gemar pada pemberian ini! Sucikanlah olehmu akan ‘amal dengan memandang akan dia dengan pandang riya` dan ahwalnya dengan tilik kepadanya dengan ‘ain dakwa dan segala perkataan dengan ‘ain iftira’ yakni dusta hal keadaannya, engkau tahqiqkan dengan ‘ubudiah jua seperti kata Syaikh رضي الله عنه:

من تحقق بالعبودية ينظر أعماله بعين الرياء وأحواله بعين الدعوى وأقواله بعين الافتراء

Barangsiapa tahqiq dengan maqam ubudiyyah, menilik akan ‘amalnya itu ‘ain riya` dan halnya itu ‘ain dakwa dan perkataannya itu ‘ain iftira’ yakni adalah adalah ‘alamat ini menunjukkan orang yang bershifat dengan dia, orang itu sudah sebenar-benar ‘ubudiyyah.

(Pertama) iaitu orang yang menilik kepada segala ‘amalnya itu ‘ain riya` sebab yang demikian itu ketiadaan redha ia daripada nafsunya iaitu asal ‘ibadah, seperti firman Allah Ta’ala:

وَمَآ أُبَرِّىءُ نَفْسِيۤ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِٱلسُّوۤءِ
Dan tiada aku lepas daripada diriku daripada keinginan, bahwasanya nafsu itu sungguhnya sangat menyuruh dengan kejahatan [surah Yuusuf: 53]

Kerana asal ma’siat dan lalai dan keinginan itu sebab redha seorang akan dirinya. Dan demikian lagi asal tiap-tiap ta’at dan jaga dan memelihara pekerjaan suruh itu ketiadaan redha kamu daripada dirimu

Dan kerana inilah sungguhnya bershahabat engkau dengan orang jahil tiada mengikut akan hawa nafsunya terlebih baik, lagi banyak kebajikannya daripada bahwasanya bershahabat kamu akan orang yang ‘alim yang mengikut akan nafsunya dan redha akan dia. Maka dimana ada orang yang jahil yang tiada suka akan dirinya dan tiada mengikut akan kehendak tetapi ia ‘aim namanya dan dimana ada ‘alim bagi orang yang mengikut akan hawa nafsunya dan redha akan dia, iaitu hakikat jahil [1].

(Dan kerana inilah) adalah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم apabila selesai daripada sembahyang mengucap istighfar tiga kali. Maka apabila adalah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengucap istighfar kemudian daripada ‘ibadatnya iaitu yang terlebih besar ‘ibadat ‘ibadat sembahyang, sebab takut taqsir padanya dan sanya telah dijadikan Allah baginya [Nabi صلى الله عليه وآله وسلم] sejuk hatinya di dalam sembahyang. Maka betapa orang yang lainnya? Demikianlah kelakuan orang yang ‘arifin, tipa-tiap bertambah terang matahatinya, bertambah ma’rifat dengan ‘aib dirinya dan banyak tuduh bagi dirinya dan ketiadaan redha ia daripadanya.

(Kata Hasan al-Basri): Jikalau jernih yakni ikhlas bagiku dua raka’at, memada akan daku.

Dan kata Ibn ‘Athoillah [didalam hikamnya]: Gemar kamu kepada barang yang disembunyikan daripada ‘aib itu terlebih baik daripada gemar kamu kepada barang yang didindingkan daripadamu pada yang ghaib. Maka adalah karamah itu pada orang yang awwam iaitu mencarikkan ‘adat seperti berjalan di atas air dan terbang di atas hawa [terbang di udara], [dan karamah] pada orang yang khawas itu menukarkan shifat-shifat yang cela dengan shifat kepujian. [2]

(Kata) setengah daripada orang yang ‘arifin, tiada kelakuan yang dipuji itu bahwa dilipat akan perjalanan yang jauh jadi dekat, dan sanya kelakuan yang dipuji itu bahwa engkau lipat daripada engkau itu yakni shifat diri engkau yang basyariyyah yang melawankan shifat rububiyyah hingga ada Tuhan engkau. (Maka yang terlebih) hampir hamba itu daripada Tuhannya, tiada melihat ia baginya hampir.

Maka barangsiapa melihat akan dirinya itu hampir, maka iaitulah orang yang jauh, kerana melihat akan dirinya hampir itu keluar daripada redha ia daripada nafsunya dan menyebutkan dia, maka yang demikian itu menafikan fananya di dalam fana iaitu jalan sampai kepada TuhanNya.

(‘Alamat yang kedua) …………. bersambung di siri akan datang insyaAllah



[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M. Untuk pengetahuan pengunjung al-Fanshuri, kitab ini diajar oleh Tuan Guru Haji Abdul ‘Aziz al-Fathani di Dewan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, Taman Melewar, Gombak. Walaubagaimanapun jadual pengajiannya tidak tetap. InsyaAllah akan di’update’kan sekiranya telah ditetapkan jadualnya. InsyaAllah]



والله تعالى أعلى و أعلم

Notakaki:

[1] Kata-kata Syaikh Ibn ‘Athoillah di dalam Hikamnya:

أصل كل معصية وغفلة وشهوة الرضا عن النفس وأصل كل طاعة ويقظة وعفة عدم الرضا منك عنها

Bermula asal tiap-tiap ma’siat dan ghaflah [kelalaian] dan syahwat itu [adalah] redha daripada nafsu kerana redha itu menutup ia akan ‘aib nafsu dan menegah ia daripada nazor [menilik] kepada Haq Ta’ala dalam segala ahwalnya. Dan asal tiap-tiap taat, dan jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu [adalah] ketiadaan redha daripadamu nafsu.

Kata Shaikh Ahmad bin Muhammad az-Zarruq dalam mensyarahkan kata hikmah diatas: Redha pada nafsu itu tandanya adalah tiga iaitu:-
  • Melihat yang benar bagi nafsunya (رؤية الحق لنفسه) - melihat dirinya yang benar. Maka segala perkara dilakukan adalah bertitik-tolak dari dirinya.
  • Belas kasihan terhadapnya (والشفقة عليها) – memanjakan diri
  • Menutup segala keaibannya dengan mensucikannya (والإ غضاء عن عيوبها بتزكيتها) – iaitu dia melihat keaibannya sebagai baik dengan takwilan.


ولأن تصحب جاهلا لا يرضى عن نفسه خير لك من أن تصحب عالما يرضى عن نفسه
Kerana bahwasanya bersahabat engkau akan orang yang jahil yang tiada redha ia daripada nafsunya terlebih baik daripada bersahabat engkau akan orang yang ‘alim yang redha daripada nafsunya

فأي علم لعالم يرضى عن نفسه وأي جهل لجاهل لا يرضى عن نفسه
Maka mana ilmu yang memberi manfaat bagi yang ‘alim yang redha ia daripada nafsunya dan mana jahil yang memberi mudharat bagi jahil yang tiada redha ia daripada nafsunya serta diketahuinya pada segala ‘aibnya dan barang yang hampirkan dia kepada Tuhannya.

[2] Teksnya:
تشوفك إلى ما بطن فيك من العيوب خيرلك من تشوفك إلى ما حجب عنك من الغيوب
Penglihatanmu kepada yang ter[sem]bunyi dalam dirimu daripada segala yang ‘aib-‘aib itu [iaitu dari] sifat kecelaan dirimu dalam segala perangai dan segala af’al dan segala adab yang menuntut akan dikau daripada jalan istiqamah dan ikhlas terlebih baik bagimu daripada penglihatan kepada dinding yang daripadamu daripada segala ‘aib-‘aib iaitu asrar yang datang ia atasmu kemudian daripada angkat hijab dirimu

Berkata Shaikh Ahmad az-Zarruq [dalam mensyarahkan kata hikmah diatas] bahwa sifat nafsu itu mengabaikan akan keaibannya sebaliknya menuntut atau mencari yang ghaib. Sedangkan yang dituntut adalah sebaliknya, dan baginya tiga wajah iaitu:
  • Isytighal mengetahui keaiban-keaiban diri supaya beradab sedangkan menuntut yang ghaib itu membawa kepada kerosakan
  • Isytighal mengetahui keaiban-keaiban diri membawa kepada kesempurnaan sedangkan menuntut yang ghaib boleh jadi menyampaikan kepada kesesatan
  • Isytighal mengetahui keaiban-keaiban diri bermakna menunaikan hak rububiyah sedangkan menuntut yang ghaib-ghaib itu menghilangkan (melenyapkan) hak ubudiyah

Haul al-Imam al-Habib 'Abdullah al-Haddad 1430H

Rauhah al-Imam al-Habib 'Abdullah al-Haddad: Sifat Lemah-lembut Dalam Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar

Quthbul Da’wah wal Irsyad, Ghauts al-‘Ibaad wal Bilaad, al-Imam al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه, menyebut di dalam kitabnya yang terkenal bertajuk an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah tentang besarnya pengaruh sifat lemah-lembut tatkala menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran:


الأخذ بالرفق عليه مدار كبير
(واعلم) – أن الأخذ بالرفق واللطف, وإظهار الشفقة والرحمة عليه مدار كبير عند الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر, فعليك به ولاتعدل عنه, ما دمت ترجو نفعه وحصول المقصود به. وورد أيضا: إنه لايأمر بالمعروف وينهى عن المنكر إلا رفيق فيما يأمر به, رفيق فيما ينهى عنه.
وكذلك ينبغي للإنسان أن يكون عاملا بما يأمر به, مجتنبا لما ينهى عنه, فإنه يكون لكلامه وقع في القلوب, وهيبة فى الصدور. وقد ورد الوعيد الشديد في حق من يأمر بالخير ولا يأتيه, وينهى عن الشرّ ويأتيه, وهذا هو الأفضل والأولى, وإلا فعلى الإنسان أن يأمر وينهى وإن كان غير عامل بما يدعو إليه, فإن العالم الذي لايعمل بعلمه ولايعلِّمه الناس أخس حالا وأشدّ عقابا من الذي يعلم ولا يعمل. والله أعلم.


Sikap Lemah Lembut Sangat Besar Pengaruhnya

(Ketahuilah) bahawasanya bersikap lemah lembut dan menampakkan rasa kasih sayang mempunyai pengaruh besar dalam amar ma’ruf dan nahi mungkar. Oleh kerana itu hendaklah engkau bersikap sedemikian dan jangan berpaling darinya selama engkau masih mengharapkan manfa’at sikap itu dan tercapainya tujuan amar ma’ruf nahi mungkar.

Dalam sebuah hadits diriwayatkan bahwa tidak boleh menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar kecuali orang yang lemah lembut ketika menyuruh kepada yang ma’ruf dan ketika mencegah dari yang mungkar.

Oleh yang demikian, seharusnya bagi orang yang menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar itu mengamalkan dan menerapkan apa yang ma’ruf tersebut dan meninggalkan apa yang mungkar tersebut, sebab hal itu dapat membuat perkataannya lebih jatuh (meresap) ke dalam hati dan terkesan di dalam dada (orang yang mendengarnya). Bahkan ada riwayat yang menyebutkan ancaman keras bagi orang yang menyuruh kepada kebajikan namun dia sendiri tidak melakukannya dan mencegah dari yang mungkar namun dia sendiri melakukannya.

Ini adalah sikap yang lebih baik dan lebih utama. Akan tetapi setiap manusia berkewajiban menyuruh dan melarang sekalipun dia tidak mengamalkan apa yang dia sampaikan, sebab orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya dan tidak mengajarkan atau tidak memberitahukannya kepada orang lain adalah lebih hina dan lebih berat siksaannya daripada orang yang mengajarkan atau memberitahukan ilmunya namun tidak mengamalkan. Allahu a’lam.

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 55 - 57

Penyakit Kelimapuluh Lima: Melaksanakan ketaatan kepada Allah Ta’ala tanpa rasa kecintaan serta kerelaan.

Rawatannya: Ialah melazimi lapar serta dahaga (puasa), bermusafir dalam suasana yang panjang dan sukar dan melawan kehendak nafsu. Oleh itu saya mendengar Mansur bin Abu Yazid al-Bistami berkata: “Aku mendengar bapa saudaraku al-Bustami berkata kepada ayahku al-Bustami, apakah yang paing menyukarkan tuan disepanjang perjalanan menuju Allah Ta’ala? Dia menjawab: Bukanlah suatu yang mudah bagimu untuk memimpin jiwamu ke jalan Allah. Ya! Betul, aku telah mendidik nafsuku mentaati Allah dan ia tidak pernah patuh secara sukarela. Lantas akupun mengekangnya selama setahun.”


Penyakit Kelimapuluh Enam: Tamak dan rakus menghimpun harta benda dunia serta bersifat kedekut.

Rawatannya: Ialah sayugia difahami bahawa umur setiap manusia akan berakhir dan ajal akan menjelang tiba. Jadi berusahalah mencari harta-benda sesuai dengan kadar umur yang masih ada serta kawallah sifat kedekut itu supaya tidak berleluasa. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

قال النبي صلى الله عليه وآله وسلم: أيكم مال وارثه أحب إليه من ماله؟ فقالوا: ليس منا أحد إلا وماله أحب إليه من مال وارثه, فقال : مالك ما قدمت ومال وارثك ما أخرت

Maksudnya: “Sesiapa diantara kamu yang lebih sayang kepada harta yang diperolehi secara warisan daripada harta yang diusahakan sendiri? Para sahabat berkata: Tiada dikalangan kami yang lebih sayang pada harta yang diwarisnya daripada hartanya sendiri. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Harta yang kamu usahakan sendiri akan lebih kamu utamakan daripada harta yang kamu warisi.”


Penyakit Kelimapuluh Tujuh: Bergaul serta bersahabat dengan orang yang suka melakukan dosa serta menentang kebenaran.[1]

Rawatannya: Ialah membiasakan diri bersahabat dengan orang yang sentiasa patuh menunaikan perintah Allah Ta’ala dan mendapat keredhaanNya. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam hadith:

قال النبي صلى الله عليه وآله وسلم: من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya: “Sesiapa yang meniru-niru gaya hidup sesuatu kaum, mereka termasuk ke dalam golongan itu.” [Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad]

Sebahagian para salaf berkata: “Bergaul dengan orang yang melakukan dosa akan melahirkan sangka buruk terhadap orang sholeh.” Sebahagian yang lain pula berkata: “Hati yang tersisih daripada Allah Ta’ala akan merasa benci kepada orang yang melaksanakan suruhan Allah Ta’ala.”

Notakaki:
[1] Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, maksudnya;
Sesungguhnya, perumpamaan orang yang duduk bersama orang sholeh dan duduk bersama orang jahat ialah seperti pembawa minyak wangi dan tukang besi. Pembawa minyak wangi samada ia akan memberi minyak wangi kepadamu atau mungkin kamu membeli minyak wangi daripadanya ataupun paling tidak kamu dapat menghidu bau yang menyegarkan daripadanya. Adapun tukang besi, dia mungkin akan menghanguskan pakaianmu atau kamu akan mencium bau yang tidak menyenangkan. [Hadits riwayat al-Bukhari]

Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم lagi, maksudnya:
Seseorang lelaki itu atas agama temannya, maka hendaklah seseorang diantara kalian memperhatikan dengan siapa dia berteman [Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidhi]

Selasa, 13 Oktober 2009

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah - Siri 5

Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى [keturunan Syaikh Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى] (1288H/1867M – 1358H/1939M) – Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Faqir al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh, tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya anda tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri, ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Isi kandung kitab ini hendaklah dipelajari kepada tuanguru yang arif dan berkelayakan. Ampun maaf diatas segala kelemahan pentransliterasi. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian


Maka nyatalah dengan yang tersebut itu bahwasanya makrifat ahlus sunnah wal jamaah, makhluk ini tiada sekali-kali mempunyai perbuatan [pada hakikatnya] barang perbuatan ada ia hanya sanya yang berlaku di dalam ‘alam ini semuanya af’aal Allah Ta’ala [pada hakikatnya]. Maka ketika itu tetaplah Allah Ta’ala Wahdaniyah pada af’aal. Mustahil padaNya kam muttasil pada af’aal dan kam munfashil pada af’aal melainkan yang ada pada makhluk ini usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas keduanya dan keduanya itulah takluk hukum syarak. Maka barangsiapa yang mengusahakan amar (perintah) Allah Ta’ala, maka dibalas dengan syurga dan barangsiapa yang mengusahakan yang nahi (ditegah) Allah Ta’ala maka dibalas dengan neraka. Maka jangan sekali-kali engkau melampaui Syariat Muhammadiyah [syariat yang dibawa oleh Baginda رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم]. Jikalau engkau melampaui akan yang demikian itu nescaya jadi kafir zindiq engkau, seperti kata Sulthanul Auliya’ [Syaikh] ‘Abdul Qadir al-Jilani قدس الله سره:
كل حقيقة لا تؤيدها الشريعة فهي زيدقة

Ertinya: Tiap-tiap haqiqat yang tiada meneguhi akan dia oleh syariat iaitu zindiq.[1]

……… bersambung disiri akan datang, insyaAllah ….. والله تعالى أعلى و أعلم

[Transliterasi berdasarkan kepada kitab Risalah 'Amal Ma'rifat MengEsakan Allah oleh Syaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad 'Afif al-Banjari. Terbitan Khazanah al-Fathoniyyah, Kuala Lumpur, Malaysia, 2005M/1426H]


Notakaki:

[1] di dalam kitab al-Fath ar-Rabbaani, Sulthanul Auliya asy-Syaikh ‘Abdul Qadir al-Jilani رضي الله عنه berkata:

كل حقيقة لا تشهد لها الشريعة فهي زندقة، طر إلى الحق عزوجل بجناحي الكتاب والسنة، ادخل عليه ويدك في يد الرسول صلى الله عليه وآله وسلم

Ertinya: Setiap haqiqat yang tidak disaksikan baginya dengan syariat, maka ia adalah zindiq. Terbanglah kepada al-Haq عز وجل dengan sayap al-Kitab dan as-Sunnah. Masuklah kepadaNya sedangkan tanganmu dalam gengaman tangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

Beliau رضي الله عنه juga berkata: Meninggalkan ibadah yang fardhu [kerana menyangka sudah terangkat taklif, kerana sudah mencapai maqam hakikat dan ma’rifat] adalah zindiq, melakukan perkara yang dilarang adalah ma’siat. Tidak gugur sautu kefardhuan daripada seseorang ketika ia berada di dalam satu hal di antara ahwalnya.

Selasa, 6 Oktober 2009

Majlis Haul Dan Wacana Pemikiran al-'Allamah Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani

MAJLIS HAUL


WACANA PEMIKIRAN


Keterangan lanjut sila ke sini



Related Posts with Thumbnails