Rabu, 14 Oktober 2009

Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Raslan - 2

Transliterasi Kitab Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari

Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh al-Fagir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyayikh tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.

Pengenalan: Pengarang Kitab Risalah al-Wali ar-Raslan Yang Diberi Gantung Makna Di Dalam Bahasa Melayu – Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. [biografi ini adalah berdasarkan kepada tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan ‘Abdullah]

Beliau adalah al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdulah al-Banjari. Beliau adalah seorang ulama Alam Melayu yang tersohor. Sehingga kini kitab fiqih karangan beliau, yang berjudul Sabil al-Muhtadin menjadi rujukan para ulama di Nusantara dan masih digunakan sebagai teks pengajian dipondok-pondok dan masjid-masjid. Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdulah al-Banjari dilahirkan pada malam Khamis, jam 3 pagi, 15 Safar 1122H/17 Mac 1710M. Dan beliau wafat pada tanggal 6 Syawwal 1227H/3 Oktober 1812M [bermakna pada 3 Syawwal yang lalu, genap haul beliau yang ke 203 mengikut kiraan kalendar Hijrah]. Makam beliau terletak di Martapura, Kalimantan, Indonesia. Di Indonesia beliau dikenali dengan nama Datuk Kalampayan.

Pendidikan: Beliau pernah menuntut ilmu di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah sekitar 5 tahun. Diantara guru beliau adalah:
  • Syaikh ‘Abdurrahman bin ‘Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani
  • Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh
  • Syaikh Muhammad ‘Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani
  • Syaikh Muhamad bin Sulaiman al-Kurdi
  • Syaikh ‘Ataullah
  • Syaikh Muhammad Karim as-Samani al-Madani, dan ramai lagi.
Manakala rakan-rakan seperguruannya ketika menuntut di Mekah dan Madinah ialah:
  • Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani
  • Syaikh ‘Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi (beliau adalah datuk kepada Sayyid Utsman, Mufti Betawi)
  • Syaikh ‘Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah @ Syaikh ‘Abdul Wahhab Bugis (menjadi menantu kepada Syaikh Arsyad)
  • Syaikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari (pengarang kitab ad-Durr an-Nafis)
  • Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Banjari
  • Syaikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani
  • Syaikh Muhammad ‘Asyiquddin bin Shafiyuddin al-Falimbani
  • Syaikh Muhammad Shalih bin Umar al-Samarani (dari Semarang, Indonesia) yang digelar Imam Ghazali Shaghir (Imam Ghazali Kecil)
  • Syaikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi
  • Syaikh ‘Abdur Rahman bin ‘Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi
  • Syaikh Haji Zainuddin bin `Abdur Rahim bin `Abdul Lathif bin Muhammad Hasyim bin `Abdul Mannan bin Ahmad bin `Abdur Rauf al-Fathani.
  • Kiyai Musa Surabaya dan ramai lagi.

Penulisan: Selain dari mengajar, beliau juga aktif di dalam penulisan. Diantara kitab yang beliau karang atau terjemah adalah:
  • Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin, diselesaikan tahun 1188H/1774M
  • Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
  • Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabi` al-Akhir 1195H/1780M (merupakan kitab beliau yang paling terkenal)
  • Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabi’ al-Awal 1196 H/1781 M.
  • Kitab Bab an-Nikah.
  • Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
  • Kanzu al-Ma'rifah
  • Ushul ad-Din
  • Kitab al-Faraid
  • Hasyiyah Fath al-Wahhab
  • Mushhaf al-Quran al-Karim
  • Fath ar-Rahman (kitab yang ditransliterasi ini)
  • Arkanu Ta'lim as-Shibyan
  • Bulugh al-Maram
  • Fi Bayani Qadha' wa al-Qadar wa al-Waba'
  • Tuhfah al-Ahbab
  • Khuthbah Muthlaqah Pakai Makna. Kitab ini dikumpulkan semula oleh keturunannya, Syaikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari (Mufti Martapura). Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, tanpa dinyatakan tarikh cetak.
Keturunan: Hasil dari perkahwinannya, beliau mendapat zuriat yang ramai, iaitu 30 orang. Dan kebanyakan daripada anak-cucu beliau menjadi ulama. Diantara zuriat beliau yang pernah menjawat jawatan mufti dan qadhi:
  • Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Ahmad bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Muhammad As'ad bin Usman. Beliau ialah mufti yang pertama di Kerajaan Banjar.
  • Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As’ad
  • Haji Syihabuddin.
  • Haji Muhammad Khalid bin Allamah Hasanuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Muhammad Nur bin ‘Alimul ‘Allamah Kadi Haji Mahmud.
  • Haji Muhammad Husein bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Jamaluddin bin Haji Abdul Hamid.
  • Syaikh Abdur Rahman Shiddiq bin Haji Muhammad Afif bin Qadhi Abu Naim bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Muhammad Hussein bin Mufti Haji Jamaluddin
  • Haji Abdul Jalil bin Mufti Haji Syihabuddin
  • Haji Muhammad Yunan bin Mufti Haji Muhammad Amin,
  • Haji Sa’id bin Haji Abdur Rahman dan
  • Haji Mukhtar bin Qadhi Haji Hassan.
Adapun yang berpangkat Qadhi, iaitu:
  • Haji Su'ud bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Abu Naim bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
  • Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yassin.
  • Haji Muhammad Amin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Muhammad Ali al-Junaidi bin Qadhi Haji Muhammad Amin
  • Haji Muhammad Said al-Jazuli bin Qadhi Haji Su’ud
  • Haji Muhammad Amin bin Qadhi Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yassin
  • Haji Abdush Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Muhammad Jafri bin Qadhi Haji Abdush Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
  • Haji Bajuri
  • Haji Muhammad As’ad bin Mufti Haji Muhammad Nur bin Qadhi Haji Mahmud.
  • Haji Ibrahim bin Mufti Haji Jamaluddin.
  • Haji Abu Thalhah bin Qadhi Haji Abdus Samad
  • Haji Muhammad Thayib bin Haji Muhammad Qasim.
  • Haji Muhammad bin Haji Muhammad Qasim.
  • Haji Zainal bin Lebai Darun.
  • Haji Abdur Rahman bin Qadhi Haji Muhammad Sa’id.
  • Haji Qasim bin Mu’min.
  • Haji Muhammad Sa’id bin Mu’min.
  • Haji Muhammad Arsyad bin Qadhi Haji Abdur Rahman.
  • Haji Hassan bin Mufti Haji Muhammad Sa’id.
  • Haji Abdur Rauf.
  • Haji Abdul Jalil bin Qadhi Haji Muhammad Arsyad.
  • Haji Ahmad bin Abu Naim.
  • Haji Muhammad Arsyad bin Qadhi Haji Abdur Rauf.

Risalah Fath ar-Rahman Syarah Risalah al-Wali ar-Raslan

اَلْحَمْدُ لِمَنْ تَفَّرَدَ بِالوَحْدَانِيَّةِ وَتَعَزَّزَ بِالنُّعُوتِ الرَّبَّانِيَّةِ وَالصَّلوةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ النَّيِيِّ وَصَحْبِهِ وَعلى آلِهِ وَحِزْبِهِ. وَبَعْدُ، فَإِنَّ عِلْمَ التَّوحِيْدِ مِنْ أَشْرَفِ العُلُوْمِ بَلْ هُوَأَشْرَفُهَا وَمِمَّا أُلِّفَ فِيْهِ الرِّسَالَةُ الرَّسْلاَنِيَّةُ لِلإِمَامِ العَارِفُ بِالله تَعَالى رَسْلاَنِ الدَّمْشِقِى طَيَّبَ اللهُ ثَرَاهُ وَجَعَلَ الجَنَّةَ مَأْوَاهُ

Segala puji bagi yang tunggal [1] dengan wahdaniatnya dan yang mulia ia dengan shifat ketuhanan rabbani [2] dengan shifat dan rahmat Allah dan salam Allah atas nama Nabi Muhammad dan segala shahabatnya dan atas segala keluarganya dan qaumnya. Adapun kemudian daripada itu [3], maka bahwasanya ilmu tauhid itu terlebih [4] mulia daripada segala ilmu tetapi ia terlebih mulianya bermula daripada yang dita’lifkan dalam Risalah Raslaniyyah yakni yang punya ta’lif matan kitab ini [5] bagi iman yang ‘arif bilLahi Ta’ala Wali Raslan, Damsyik nama negerinya, [semoga] diperbaikan [oleh] Allah Ta’ala kiranya akan quburnya dan dijadikan [oleh] Allah Ta’ala kiranya syurga akan tempatnya [6]

وَلمَّاكَانَتْ مِنْ أَبْدَعِ كِتَابٍ فِيْ عِلْمِ التَّوْحِيْدِ صُنِّفَ وَأُجْمِعَ مَوْضُوْعٌ فِيْهِ عَلَى مِقْدَارِحَجْمِهَا أُلِّفَ

Dan tatkala adalah ia daripada keindahan (seindah-indah) kitab pada ilmu tauhid itu yang ditashnifkan daripada selebih-lebih dan dihimpunkan dan diwadha’kan [dihantarkan] padanya atas sekira-kira besar jirimnya (iaitu miqdaatul matn) yang dita’lifkan.

إِسْتَخَرْتُ اللهَ تَعَلَى أَنْ اَشْرَحَهَا شَرْحًا يَّحُلُّ أَلْفَاظَهَا ويُبَيِّنُ مُرَادَهَا وَسَمَّيْتُهُ بِفَتْحِ الرَّحْمَانِ بِشَرْحِ رِسَالَةِ الْوَلِيِّ الرَّسْلاَنِ

Kupohonkan kepada Allah Ta’ala bahwa aku syarahkan ia (ya’ni al-matn - hikam Ibn Raslan) dengan sir, atas syarah yang menghuraikan segala lafaznya (ya’ni [lafaz] matan) dan menyatakan segala kehendaknya (ya’ni [kehendak]matan) dan kunamai akan dia dengan Fath al-Rahman pada syarah Risalah Wali al-Raslan.

Bersambung disiri akan datang, insyaALLAH



Transliterasi berdasarkan kepada kitab Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 2006M/1427H.


Notakaki:

[1] Nota pinggir (tepi) oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Ya’ni tiada siapa-siapa yang bershifat tunggal itu hanya Haq Ta’ala jua

[2] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu yang kaya mutlak

[3] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu sesudah daripada basmalah dan puji-pujian kepada Allah dan sholawat ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan ahli keluarga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan juga shahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

[4] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Yakni terlebih mulianya dan terlebih tingginya dan terlebih diatas daripada segala ilmu iaitu ilmu tauhid akan Haq Ta’ala.

[5] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu Syaikh Raslan namanya, maka dinamai akan dia matan kitab ini Risaalah

[6] Nota pinggir (tepi oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari: Iaitu Wali ar-Raslan



Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah
Gombak, Selangor Darul Ehsan

0 komen:

Related Posts with Thumbnails