Rabu, 14 Oktober 2009

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 14

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyayikh tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.


Maka, hai orang yang menuntut akan tempat tuntut ini! Dan hai orang yang gemar pada pemberian ini! Sucikanlah olehmu akan ‘amal dengan memandang akan dia dengan pandang riya` dan ahwalnya dengan tilik kepadanya dengan ‘ain dakwa dan segala perkataan dengan ‘ain iftira’ yakni dusta hal keadaannya, engkau tahqiqkan dengan ‘ubudiah jua seperti kata Syaikh رضي الله عنه:

من تحقق بالعبودية ينظر أعماله بعين الرياء وأحواله بعين الدعوى وأقواله بعين الافتراء

Barangsiapa tahqiq dengan maqam ubudiyyah, menilik akan ‘amalnya itu ‘ain riya` dan halnya itu ‘ain dakwa dan perkataannya itu ‘ain iftira’ yakni adalah adalah ‘alamat ini menunjukkan orang yang bershifat dengan dia, orang itu sudah sebenar-benar ‘ubudiyyah.

(Pertama) iaitu orang yang menilik kepada segala ‘amalnya itu ‘ain riya` sebab yang demikian itu ketiadaan redha ia daripada nafsunya iaitu asal ‘ibadah, seperti firman Allah Ta’ala:

وَمَآ أُبَرِّىءُ نَفْسِيۤ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِٱلسُّوۤءِ
Dan tiada aku lepas daripada diriku daripada keinginan, bahwasanya nafsu itu sungguhnya sangat menyuruh dengan kejahatan [surah Yuusuf: 53]

Kerana asal ma’siat dan lalai dan keinginan itu sebab redha seorang akan dirinya. Dan demikian lagi asal tiap-tiap ta’at dan jaga dan memelihara pekerjaan suruh itu ketiadaan redha kamu daripada dirimu

Dan kerana inilah sungguhnya bershahabat engkau dengan orang jahil tiada mengikut akan hawa nafsunya terlebih baik, lagi banyak kebajikannya daripada bahwasanya bershahabat kamu akan orang yang ‘alim yang mengikut akan nafsunya dan redha akan dia. Maka dimana ada orang yang jahil yang tiada suka akan dirinya dan tiada mengikut akan kehendak tetapi ia ‘aim namanya dan dimana ada ‘alim bagi orang yang mengikut akan hawa nafsunya dan redha akan dia, iaitu hakikat jahil [1].

(Dan kerana inilah) adalah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم apabila selesai daripada sembahyang mengucap istighfar tiga kali. Maka apabila adalah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengucap istighfar kemudian daripada ‘ibadatnya iaitu yang terlebih besar ‘ibadat ‘ibadat sembahyang, sebab takut taqsir padanya dan sanya telah dijadikan Allah baginya [Nabi صلى الله عليه وآله وسلم] sejuk hatinya di dalam sembahyang. Maka betapa orang yang lainnya? Demikianlah kelakuan orang yang ‘arifin, tipa-tiap bertambah terang matahatinya, bertambah ma’rifat dengan ‘aib dirinya dan banyak tuduh bagi dirinya dan ketiadaan redha ia daripadanya.

(Kata Hasan al-Basri): Jikalau jernih yakni ikhlas bagiku dua raka’at, memada akan daku.

Dan kata Ibn ‘Athoillah [didalam hikamnya]: Gemar kamu kepada barang yang disembunyikan daripada ‘aib itu terlebih baik daripada gemar kamu kepada barang yang didindingkan daripadamu pada yang ghaib. Maka adalah karamah itu pada orang yang awwam iaitu mencarikkan ‘adat seperti berjalan di atas air dan terbang di atas hawa [terbang di udara], [dan karamah] pada orang yang khawas itu menukarkan shifat-shifat yang cela dengan shifat kepujian. [2]

(Kata) setengah daripada orang yang ‘arifin, tiada kelakuan yang dipuji itu bahwa dilipat akan perjalanan yang jauh jadi dekat, dan sanya kelakuan yang dipuji itu bahwa engkau lipat daripada engkau itu yakni shifat diri engkau yang basyariyyah yang melawankan shifat rububiyyah hingga ada Tuhan engkau. (Maka yang terlebih) hampir hamba itu daripada Tuhannya, tiada melihat ia baginya hampir.

Maka barangsiapa melihat akan dirinya itu hampir, maka iaitulah orang yang jauh, kerana melihat akan dirinya hampir itu keluar daripada redha ia daripada nafsunya dan menyebutkan dia, maka yang demikian itu menafikan fananya di dalam fana iaitu jalan sampai kepada TuhanNya.

(‘Alamat yang kedua) …………. bersambung di siri akan datang insyaAllah



[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M. Untuk pengetahuan pengunjung al-Fanshuri, kitab ini diajar oleh Tuan Guru Haji Abdul ‘Aziz al-Fathani di Dewan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, Taman Melewar, Gombak. Walaubagaimanapun jadual pengajiannya tidak tetap. InsyaAllah akan di’update’kan sekiranya telah ditetapkan jadualnya. InsyaAllah]



والله تعالى أعلى و أعلم

Notakaki:

[1] Kata-kata Syaikh Ibn ‘Athoillah di dalam Hikamnya:

أصل كل معصية وغفلة وشهوة الرضا عن النفس وأصل كل طاعة ويقظة وعفة عدم الرضا منك عنها

Bermula asal tiap-tiap ma’siat dan ghaflah [kelalaian] dan syahwat itu [adalah] redha daripada nafsu kerana redha itu menutup ia akan ‘aib nafsu dan menegah ia daripada nazor [menilik] kepada Haq Ta’ala dalam segala ahwalnya. Dan asal tiap-tiap taat, dan jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu [adalah] ketiadaan redha daripadamu nafsu.

Kata Shaikh Ahmad bin Muhammad az-Zarruq dalam mensyarahkan kata hikmah diatas: Redha pada nafsu itu tandanya adalah tiga iaitu:-
  • Melihat yang benar bagi nafsunya (رؤية الحق لنفسه) - melihat dirinya yang benar. Maka segala perkara dilakukan adalah bertitik-tolak dari dirinya.
  • Belas kasihan terhadapnya (والشفقة عليها) – memanjakan diri
  • Menutup segala keaibannya dengan mensucikannya (والإ غضاء عن عيوبها بتزكيتها) – iaitu dia melihat keaibannya sebagai baik dengan takwilan.


ولأن تصحب جاهلا لا يرضى عن نفسه خير لك من أن تصحب عالما يرضى عن نفسه
Kerana bahwasanya bersahabat engkau akan orang yang jahil yang tiada redha ia daripada nafsunya terlebih baik daripada bersahabat engkau akan orang yang ‘alim yang redha daripada nafsunya

فأي علم لعالم يرضى عن نفسه وأي جهل لجاهل لا يرضى عن نفسه
Maka mana ilmu yang memberi manfaat bagi yang ‘alim yang redha ia daripada nafsunya dan mana jahil yang memberi mudharat bagi jahil yang tiada redha ia daripada nafsunya serta diketahuinya pada segala ‘aibnya dan barang yang hampirkan dia kepada Tuhannya.

[2] Teksnya:
تشوفك إلى ما بطن فيك من العيوب خيرلك من تشوفك إلى ما حجب عنك من الغيوب
Penglihatanmu kepada yang ter[sem]bunyi dalam dirimu daripada segala yang ‘aib-‘aib itu [iaitu dari] sifat kecelaan dirimu dalam segala perangai dan segala af’al dan segala adab yang menuntut akan dikau daripada jalan istiqamah dan ikhlas terlebih baik bagimu daripada penglihatan kepada dinding yang daripadamu daripada segala ‘aib-‘aib iaitu asrar yang datang ia atasmu kemudian daripada angkat hijab dirimu

Berkata Shaikh Ahmad az-Zarruq [dalam mensyarahkan kata hikmah diatas] bahwa sifat nafsu itu mengabaikan akan keaibannya sebaliknya menuntut atau mencari yang ghaib. Sedangkan yang dituntut adalah sebaliknya, dan baginya tiga wajah iaitu:
  • Isytighal mengetahui keaiban-keaiban diri supaya beradab sedangkan menuntut yang ghaib itu membawa kepada kerosakan
  • Isytighal mengetahui keaiban-keaiban diri membawa kepada kesempurnaan sedangkan menuntut yang ghaib boleh jadi menyampaikan kepada kesesatan
  • Isytighal mengetahui keaiban-keaiban diri bermakna menunaikan hak rububiyah sedangkan menuntut yang ghaib-ghaib itu menghilangkan (melenyapkan) hak ubudiyah

0 komen:

Related Posts with Thumbnails