Selasa, 2 Ogos 2011

Membaca Doa Birrul Waalidain di Bulan Ramadhan

Sesungguhnya perintah untuk mengasihi, mentaati, berbakti dan beradab kepada ibubapa banyak disentuh didalam al-Quran dan hadits. Insyaallah al-Fagir akan kongsi bersama beberapa ayat dan hadits semoga ianya menjadi dorongan untuk kita lebih menyayangi ibubapa, berbakti kepada mereka, mengenang akan segala jasa-jasa dan jerih payah mereka membesarkan kita.

Allah Ta’ala berfirman:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُوۤاْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً

Maksudnya:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).(al-Isra’:23)

وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

Maksudnya: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (al-Isra’:24)

FirmanNya lagi

وَٱعْبُدُواْ ٱللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً وَبِٱلْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً وَبِذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَامَىٰ وَٱلْمَسَاكِينِ وَٱلْجَارِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلجَنْبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالاً فَخُوراً

Maksudnya:Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. (An-Nisa’:36)

Firmannya lagi
وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

Firmannya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْناً وَإِن جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَآ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-Ankabut:8)

Firmannya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاَثُونَ شَهْراً حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِيۤ أَنْ أَشكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِيۤ أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِيۤ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ  

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (al-Ahqaf:15)

Rasulullah صلى الله عله وسلم bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللهُ عَنْهُما، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ : رِضَا اللَّهِ فِي رِضَا الْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدَيْنِ ( رواه الترمذي وصححه إبن حبان والحاكم)

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم ,  baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa (Hadits riwayat at-Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ  مَسْعُدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ، أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ؟ قَالَ: الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا، قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: بِرُّ الْوَالِدَيْنِ، قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ (رواه البخاري)

Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه , beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم apakah amal yang disukai Allah? Baginda menjawab: Shalat pada waktunya. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad pada jalan Allah (Hadits riwayat al-Bukhari) 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ َآلِهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ: أُمُّكَ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمُّكَ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمُّكَ؟ قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أَبُوكَ. (رواه البخاري ومسلم)

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah selayaknya mendapat persahabatan yang lebih baik dari saya? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Kemudian ayahmu. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

أخرج السيوطي بسند صحيح عن عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال: وأعظم الناس حقا على الرجل أمه.

Dikeluarkan oleh Imam as-Sayuthi dengan sanad yang shahih daripada A’isyah رضي الله عنها bahwasanya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: “…. Dan orang yang mempunyai sebesar-besar hak atas seorang (anak) itu ialah ibunya.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani, Rasuluullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): “Berbaktilah kamu semua kepada ibubapamu agar supaya (kelak) berbaktilah kepadamu semua anak-anakmu ……”

Abul Hasan al-Mawardi meriwayatkan sepotong hadits, maksudnya: Sesungguhnya telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai seorang ibu (yang sudah tua), yang aku dukung dibelakangku, aku tidak pernah bermasam muka kepadanya, aku berikan hasil pencarianku kepadanya. Sudahkah aku membalas budinya? Rasulullah menjawab: Tidak! Walaupun satu tarikan nafas panjangnya. Lelaki itu bertanya lagi: Mengapa demikian? Rasulullah menjawab: Kerana (dahulu) ibumu memeliharamu dengan harapan engkau hidup (panjang umur), manakala engkau memelihara ibumu padahal engkau ingin ia (segera) mati

Tersebut didalam hadits bahwasanya mendurhakai ibubapa itu termasuk didalam akbarul kabaair (sebesar-besar dosa dari dosa besar).

Dalam sepotong hadits yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin ‘Ujrah رضي الله عنه , beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Datanglah kalian ke mimbar. Kemudian kami datang. Maka apabila baginda naik tangga pertama, baginda berkata آمين lalu apabila baginda menaiki tangga kedua, baginda juga berkata آمين , bila baginda melangkah ketangga ketiga, baginda berkata: آمين . Maka apabila baginda turun dari mimbar, kami berkata: Wahai Rasulullah, sungguh hari ini kami telah mendengar dari engkau sesuatu yang belum pernah kami dengar. Baginda bersabda: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata: Celakalah orang yang membiarkan bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja sehingga dia tidak diampuni. Aku berkata: آمين. Lalu ketika akau naik ketangga kedua dia berkata: Celakalah orang yang mendengar namamu, tetapi dia tidak bershalawat keatasmu. Aku berkata: آمين. Bila aku melangkah naik ketangga ketiga, Jibril berkata: Celakalah orang yang mempunyai kedua ibubapa yang telah tua keduanya atau salah seorang diantara keduanya, namun mereka tidak dapat memasukkannya ke syurga (yakni gagal untuk melayani dan berkhidmat kepada mereka, yang mana ianya membolehkan seseorang mendapat syurga). Aku berkata: آمين. (Hadits riwayat: al-Hakim, Ibn Hibban, ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Maka di antara cara bagi seorang anak untuk berbakti kepada kedua ibubapanya adalah dengan mendoakan keduanya setiap kali selepas sholat, terlebih-lebih lagilah di bulan Ramadan yang mulia ini, kerana di bulan ini doa-doa di perkenankan Allah. Paling kurang bacalah:

رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Di dalam kitab Kanz an-Najaah wa as-Surur fi ad-Ad'iyah al-Ma`tsurah allati Tasyrah ash-Shuduur karya al-‘Allamah asy-Syeikh ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali  bin ‘Abdul Qaadir al-Quddus al-Makki asy-Syafie disebutkan bahawa diantara perkara yang utama di lakukan di bulan Ramadhan adalah mendoakan kedua ibubapa pada setiap malam di bulan Ramadhan dengan Doa Birr al-Waalidain yang karang oleh al-Imam al-‘Arifbillah Muhammad bin Ahmad bin Yahya bin Abi al-Hibb at-Tarimi رضي الله عنه (wafat 611H, beliau adalah guru kepada al-Ustadz al-Adzom al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali Ba'Alawi). Marilah kita mengamalkannya ……




دعاء بـر الوالدين لابن أبي الحبّ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى أَمَرَنَا بِشُكْرِ الْوَالِدَيْنِ، وَالإِحْسَانِ إِلَيْهِمَا، وَحَثَّنَا عَلَى اغْتِنَامِ بِرِّهِمَا، وَاصْطِنَاعِ الْمَعْرُوْفِ لَدَيْهِمَا، وَنَدَبَنَا إِلَى خِفْضِ الْجَنَاحِ مِنَ الرَّحْمَةِ لَهُمَا، إِعْظَامًا وَإِكْبَارًا، وَوَصَّانَا بِالتَّرَحُّمِ عَلَيْهِمَا كَمَا رَبَّوْنَا صِغَاراً.



Segala puji-pujian bagi Allah yang telah memerintahkan kami bersyukur (berterima kasih) kepada kedua ibubapa dan berbuat baik kepada keduanya, dan yang mendorong kami atas merebut kemuliaan berbakti kepada keduanya, dan melakukan perkara ma’ruf kepada keduanya, yang menyuruh kami agar merendah diri kepada keduanya sebagai pengagungan dan penghormatan terhadap keduanya dan yang mewasiatkan kami dengan menyayangi keduanya sebagaimana mereka memelihara kami ketika kami masih kecil.



اَللَّهُمَّ فَارْحَمْ وَالِدِيْنَا ((ثلاثا))، وَاغْفِرْ لَهُمْ، وَارْضَ عَنْهُمْ رِضًا تُـحِلُّ بِهِ عَلَيْهِمْ جَوَامِعَ رِضْوَانِكَ، وَتُـحِلُّهُمْ بِهِ دَارَ كَرَامِتِكَ وَأَمَانِكَ، وَمَوَاطِنَ عَفْوِكَ وَغُفْرَانِكَ، وَأَدِرَّ بِهِ عَلَيْهِمْ لَطَائِفَ بِرِّكَ وَإِحْسَانِكَ



Ya Allah ya Tuhanku, Engkau rahmatilah (kasihanilah, sayangilah) kedua ibubapa kami (3 kali), Engkau ampunilah lagi mereka,  Engkau redhailah daripada mereka dengan keredhaaan yang dengannya Engkau memberikan segala keredhaanMu, dan dengannya Engkau menempatkan mereka pada negeri kemuliaanMu dan keamananMu, dan negeri kemaafanMu dan keampunanMu, dan limpahkanlah ke atas mereka akan kehalusan kebaikanMu dan keihsananMu.



اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ مَغْفِرَةً جَامِعَةً تَـمْحُوْ بِـهَا سَـالِفَ أَوْزَارِهِمْ، وَسَيِّئَ إِصْرَارِهِمْ، وَارْحَمْهُمْ رَحْمَةً تُنِيْرُ لَهُمْ بِـهَا الْمَضْجَعَ فِى قُبُوْرِهِمْ، وَتُؤَمِّنُهُمْ بِـهَا يَوْمَ الْفَزَعِ عِنْدَ نُشُوْرِهِمْ.



Ya Allah ya Tuhanku, Engkau ampunilah mereka dengan keampunan yang menyeluruh yang Engkau hapuskan dengannya kesalahan-kesalahan mereka yang telah lalu dan perbuatan-perbuatan buruk mereka yang terus dilakukan. Rahmatilah mereka dengan rahmat yang dengannya Engkau sinari tempat perbaringan mereka di kubur-kubur mereka dan Engkau amankan mereka pada hari ketakutan ketika mereka dibangkitkan.



اَللَّهُمَّ تَحَنَّنْ عَلَى ضُعْفِهِمْ كَمَا كَانُوْا عَلَى ضُعْفِنَا مُتَحَنِّنِيْنَ، وَارْحَمِ انْقِطَاعَهُمْ إِلَيْكَ كَمَا كَانُوْا لَنَا فِى حَالِ انْقِطَاعِنَا إِلَيْهِمْ رَاحِمِيْنَ، وَتَعَطَّفْ عَلَيْهِمْ كَمَا كَانُوْا لَنَا فِى حَالِ صِغَرِنَا مُتَعَطِّفِيْنَ.



Ya Allah ya Tuhanku, Engkau kasihanilah mereka atas kelemahan mereka sebagaimana mereka dulu pernah mengasihani kami atas kelemahan kami, tetaplah Engkau mengasihi mereka ketika mereka terputus dariMu sebagaimana mereka tetap mengasihani kami ketika kami dalam keadaan terputus dari mereka, dan Engkau lembutlah terhadap mereka sebagaimana mereka lembut kepada kami ketika kami masih kecil.



اَللَّهُمَّ احْفَظْ لَهُمْ ذَلِكَ الوُدَّ الَّذِي أَشْرَبْتَهُ قُلُوْبَـهُمْ، وَالْحَنَانَةَ الَّتىِ مَلَأْتَ بـِهَا صُدُوْرَهُمْ، وَالْلُطْفَ الَّذِي شَغَلْتَ بِهِ جَوَارِحَهُمْ، وَاشْكُرْ لَهُمْ ذَلِكَ الْجِهَادَ الَّذِي كَانُوْا فِيْنَا مُجَاهِدِيْنَ، وَلاَ تُضَيِّعْ لَهُمْ ذَلِكَ الْإِجْتِهَادَ الَّذِى كَانُوْا فِيْنَا مُجْتَهِدِيْنَ، وَجَازِهِمْ عَلَى ذَلِكَ الْسَـعْيِِ الَّذِي كَانُوْا فِيْنَا سَاعِيْنَ، وَالرَّعْيَ الَّذِي كَانُوْا لَنَا رَاعِيْنَ، أَفْضَلَ مَاجَزَيْتَ بِهِ السُّعَاةَ الْمُصْلِحِيْنَ، وَالرُّعَاةَ النَّاصِحِيْنَ.



Ya Allah ya Tuhanku, Engkau peliharalah bagi mereka kecintaan itu yang Engkau tanamkan pada hati-hati mereka, kasih-sayang yang Engkau penuhi dengannya dada-dada mereka dan kelembutan yang Engkau sibukkan dengannya anggota tubuh mereka. Berilah balasan kepada mereka atas perjuangan mereka mengasuh kami. Janganlah Engkau sia-siakan kesungguhan mereka di dalam mengasuh kami dan berilah ganjaran atas usaha mereka yang mereka lakukan pada diri kami dan pemeliharaan yang mereka jalankan terhadap kami dengan ganjaran terbaik yang telah Engkau berikan kepada mereka yang berusaha dan melakukan pembaikan dan mereka yang memelihara dan memberikan nasihat.



اَللَّهُمَّ بِرَّهُمْ أَضْعَافَ مَا كَانُوْا يَبَـرُّوْنَنَا، وَانْظُرْ إِلَيْهِمْ بِعَيْنِ الرَّحْمَةِ كَمَا كَانُوْا يَنْظُرُوْنَنَا.



Ya Allah ya Tuhanku, Engkau berikanlah kebaikan kepada mereka berlipat ganda dari kebaikan yang mereka berikan kepada kami dan tiliklah (pandanglah) mereka dengan tilikan rahmat sebagaimana mereka menilik kami.



اَللَّهُمَّ هَبْ لَهُمْ مَا ضَيَّعُوْا مِنْ حَقِّ رُبُوْبِـيَّتِكَ بِـمَا اشْتَغَلُوْا بِهِ فِى حَقِّ تَرْبِـيَّتِنَا، وَتَـجَاوَزْ عَنْهُمْ مَا قََصَّرُوْا فِيْهِ مِنْ حَقِّ خِدْمَتِكَ، بِمَا آثَرُوْنَا بِهِ فِى حَقِّ خِدْمَتِنَا، وَاعْفُ عَنْهُمْ مَا ارْتَكَبُوْا مِنَ الشُّبُهَاتِ مِنْ أَجْلِ مَا اكْتَسَبُوْا مِنْ أَجْلِنَا، وَلاَ تُؤَاخِذْهُمْ بِـمَا دَعَتْهُمْ إِلَيْهِ الْحَمِيَّةُ مِنَ الْـهَوَى لمِاَ غَلَبَ عَلَى قُلُوْبِـهِمْ مِنْ مَحَبَّتِنَا، وَتَحَمَّلْ عَنْهُمُ الظُّلاَمَاتِ الَّتِي ارْتَكَبُوْهَا فِيْمَا اجْتَرَحُوْا لَنَا وَسَعُوْا عَلَيْنَا، وَالْطُفْ بِـهِمْ فِى مَضَاجِعِ الْبِلَى لُطْفًا يَزِيْدُ عَلَى لُطْفِهِمْ فِى أَيَّامِ حَيَاتِـهِمْ بِنَا



Ya Allah ya Tuhanku, Engkau kurniakanlah kepada mereka balasan yang baik atas apa yang telah mereka sia-siakan dalam hal kewajipan terhadapMu kerana kesibukan mereka dalam mendidik kami, ampunilah mereka atas kekurangan mereka dalam meng’abdi kepadaMu kerana mereka mendahulukan kami dalam melayani kami, ampunilah mereka atas segala perbuatan syubhat yang mereka lakukan disebabkan mereka melakukan usaha untuk kami, janganlah Engkau balas mereka atas dorongan nafsu mereka kerana hati mereka dikuasai perasaan cinta kepada kami, ampunilah segala ketidak adilan yang mereka lakukannya kerana mereka lakukannya untuk kami dan demi keperluan kami dan berilah kelembutan kepada mereka dalam ujian kesusahan mereka dengan kelembutan yang lebih daripada kelembutan mereka terhadap kami ketika mereka hidup bersama kami.



اَللَّهُمَّ وَمَا هَدَيْتَنَا لَهُ مِنَ الطَّاعَاتِ، وَيَسَّرْتَهُ لَنَا مِنَ الْـحَسَنَاتِ، وَوَفَّقْتَنَا لَهُ مِنَ الْقُرُبَاتِ، فَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تَجْعَلَ لَهُمْ مِنْ صَالِحِ أَعْمَالِنَا حَظًّا وَنَصِيْباً، وَمَا اقْتَرَفْنَاهُ مِنَ السَّيِّئَاتِ، وَاكْتَسَبْنَاهُ مِنَ الْخَطِيْئَاتِ، وَتَـحَمَّلْنَاهُ مِنَ التَّبِعَاتِ، فَلاَ تُلْحِقْهُمْ مِنَّا بِذَلِكَ حُوْبًا، وَلاَ تَـحْمِلْ عَلَيْهِمْ مِنْ ذُنُوْبِنَا ذَنُوْبًا.



Ya Allah ya Tuhanku, apa yang Engkau berikan petunjuk kepada kami berupa ketaatan, apa yang Engkau mudahkan kepada kami berupa kebaikan, dan apa yang Engkau berikan taufiq kepada kami berupa pendekatan diri kepadaMu, kami memohon kepada Engkau agar Engkau berikan habuan pahala dan bahagian ganjaran kepada mereka dari amal-amal kami yang baik-baik. Manakala segala keburukan yang kami lakukan dan segala kesalahan yang kami perbuat dan kelemahan kami menurut ajaran agama, maka janganlah Engkau kaitkan dosa itu kepada meraka dan janganlah tanggungkan  mereka daripada dosa-dosa kami.



اَللَّهُمَّ وَكَمَا سَرَرْتَـهُمْ بِنَا فِى الْحَيَاةِ فَسُرَّهُمْ بِنَا بَعْدَ الْوَفَاةِ.



Ya Allah ya Tuhanku, sebagaimana Engkau mengembirakan mereka dengan kami dalam kehidupan ini, maka bahagiakanlah pula mereka dengan kami setelah kematian.



اَللَّهُمَّ وَلاَ تُبَلِّغْهُمْ مِنْ أَخْبَارِنَا مَا يَسُوْؤُهُمْ، وَلاَ تُـحَمِّلْهُمْ مِنْ أَوْزَارِنَا مَا يَنُوْؤُهُمْ، وَلاَ تُـخْزِهِمْ بِنَا فِى عَسْكَرِ اْلأَمْوَاتِ لِمَا نُحْدِثُ مِنَ الْمُخْزِيَاتِ، وَنَأْتِي مِنَ الْمُنْكَرَاتِ، وسُـرَّ أَرْوَاحَهُمْ بَأَعْمَالِنَا فِى مُلْتَقَى اْلأَرْوَاحِ، إِذَا سُـرَّ أَهْلُ الصَّلاَحِ بِأَبْنآءِ الصَّلاَحِ



Ya Allah ya Tuhanku, janganlah Engkau sampaikan kepada mereka berita-berita tentang kami yang mengecewakan mereka, janganlah Engkau tanggungkan atas mereka daripada dosa-dosa kami yang memberatkan mereka, dan janganlah Engkau hinakan mereka dengan kami di hadapan tentera kematian dengan hal-hal yang membawa ke’aiban yang kami lakukan dan kemungkaran-kemungkaran yang kami kerjakan. Bahagialah  ruh-ruh mereka dengan ‘amal-‘amal baik kami di tempat bertemunya segala arwah ketika orang-orang sholeh berbahagia dengan anak-anak mereka yang sholeh.



اَللَّهُمَّ وَلاَ تُوْقِفْهُمْ مِنَّا عَلَى مَوْقِفِ افْتِضَاحٍ، بـِمَا نَجْتَرِحُ مِنْ سُوْءِ اْلاِجْتِرَاحِ.



Ya Allah ya Tuhanku, janganlah Engkau tempatkan mereka dengan sebab di tempat terbukanya ‘aib kerana perbuatan buruk yang kami lakukan.



اَللَّهُمَّ وَمَا تَلَوْنَا مِنْ تِلاَوَةٍ فَزَكَّيْتَهَا، وَمَا صَلَّيْنَا مِنْ صَلاَةٍ فَتَقَبَّلْتَهَا، وَمَا تَصَدَّقْنَا مِنْ صَدَقَةٍ فَنَمَّيْتَهَا، وَمَا عَمِلْنَا مِنْ أَعْمَالٍ صَالِحَةٍ فَرَضِيْتَهَا. فَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تَجْعَلَ حَظَّهُمْ مِنْهَا أَكْبَرَ مِنْ حُظُوْظِنَا، وَقَسْمَهُمْ مِنْهَا أَجْزَلَ مِنْ أَقْسَامِنَا، وَسَهْمَهُمْ مِنْ ثَوَابـِهَا أَوْفَرَ مِن سِهَامِنَا، فَإِنَّكَ وَصَّيْتَنَا بِبِرِّهِمْ، وَنَدَبْتَنَا إِلَى شُكْرِهِمْ، وَأَنْتَ أَوْلَى بِالْبِرِّ مِنَ الْبَارِّيْنَ، وَأَحَقُّ بِالْوَصْلِ مِنَ الْمَأْمُوْرِيْنَ.



Ya Allah ya Tuhan kami, apa yang kami baca daripada al-Qur’an lalu Engkau sucikannya (beri pertambahan pahala padanya), dan sholat yang kami dirikan lalu Engkau menerimanya dan apa yang kami sedeqahkan lalu Engkau tumbuhkan (keberkatannya) dan apa yang kami amalkan daripada segala ‘amalan yang baik lalu Engkau meredhainya, maka, kami memohon kepadamu Ya Allah ya Tuhan kami bahwa Engkau menjadikan bahagian mereka dari hal itu lebih besar daripada bahagian kami, bahagian yang mereka terima darinya lebih banyak berbanding bahagian kami, dan bahagian mereka daripada ganjaran pahala lebih melimpah daripada bahagian kami, kerana sesungguhnya Engkau telah berpesan kepada kami untuk berbuat baik kepada mereka dan menyuruh kami berterima kasih kepada mereka. Engkaulah yang lebih utama dengan kebaikan daripada orang-orang yang berbuat baik, dan lebih berhak untuk dihubungi (dalam segala hal) daripada orang-orang yang diperintahkan.



اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا لَهُمْ قُرَّةَ أَعْيُنٍ يَوْمَ يَقُوْمُ اْلأَشْهَادِ، وَأَسْمِعْهُمْ مِنَّا أَطْيَبَ النِّدَاءِ يَوْمَ التَّنَادِ، وَاجْعَلْهُمْ بِنَا مِنْ أَغْبَطِ اْلآبَاءِ بِاْلأَوْلاَدِ، حَتىَّ تَـجْمَعَنَا وَإِيَّاهُمْ وَالْمُسْلِمِيْنَ جَمِيْعًا فِى دَارِ كَرَامَتِكَ، وَمُسْتَقَرِّ رَحْمَتِكَ، وَمَحَلِّ أَوْلِيَائِكَ، مَعَ الَّذِيْنَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّيْنَ وَالصِّدِّيْقِيْنَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِيْنَ، وَحَسُنَ أُوْلَئِكَ رَفِيْقًا، ذَلِكَ الْفَضْلُ مِنَ اللهِ وَكَفَى بِاللهِ عَلِيْمًا.



Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikanlah kmai bagi mereka sebagai penyejuk mata pada hari bangkitnya para saksi,  Engkau perdengarkanlah kepada mereka  panggilan yang terbaik pada hari orang-orang saling berpisah, dan Engkau jadikanlah mereka ibubapa yang paling lekat dengan anak-anaknya sehingga Engkau mengumpulkan kami dan mereka serta kaum muslimin semuanya di negeri kemuliaanMu, tempat rahmatMu, dan tempat para kekasihMu bersama orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat-nikmat atas mereka daripada para Nabi, para shiddiqin, para syuhada dan para sholihin, mereka itulah teman-teman yang baik. Itulah keutamaan daripada Allah dan cukuplah dengan Allah Maha Mengetahui.



سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ، وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ، وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍالنَّبِيِّ اْلأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا.



وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب

Sekian dari

العبد الحقير الفقير إلى عفو ربه

abu zahrah al-qadahi

taman seri gombak
dhuha,  Selasa 2 Ramadhan 1432/2 Ogos 2011


2 komen:

PakNik berkata...

Pak Nik mohon izin untuk salin doa Birrul Walidain untuk disebarkan kepada murid-murid yang belajar al Qur'an dengan Pak Nik

al-fagir abu zahrah berkata...

Silakan Ustaz Pak Nik.

Related Posts with Thumbnails