Hidupkan Malam Raya
Ramadhan masih berbaki beberapa hari. Masih punya peluang untuk menhidupkan malam-malamnya dengan ibadah. Bahkan malam 27 dan 29 masih belum berlalu …. Pergunakanlah peluang ini sebaiknya.
Sebelum berangkat pulang ke kampung, ingin al-fagir berkongsi mengenai amalan pada malam dan pagi hariraya atas permintaan beberapa orang teman. Semoga ianya berfaedah buat kita semua.
Malam raya adalah satu malam yang sering dilupai untuk dihidupkannya dengan beribadah. Kebiasaannya pada malam ini, orang sibuk dalam membuat persiapan untuk menyambut hariraya keesokkannya. Ada yang sibuk menghiasi rumah, ada yang sibuk menyediakan juadah hariraya, ada yang sibuk membakar lemang, merebus ketupat, mengacau rendang, ada yang sibuk berbual dengan saudara-mara, maklumlah jarang-jarang balik kampung, ada yang sibuk bersama anak-anak membakar mercun, bungaapi dan sebagainya … bahkan kita dapati pada malam tersebut ada masjid-masjid yang menjadi sepi, tidak seperti sebelum di malam-malam Ramadhan.
Sebenarnya pada malam tersebut ada kelebihannya yang tersendiri. Maka jom ubah tradisi kita kepada menghidupkan malam hariraya dengan mengerjakan amal ibadah seperti bertakbir, berdhikir, berdoa dan sebagainya, agar hati kita sentiasa hidup ….. jom kita banyakkan berdoa ……. kerana malam raya adalah Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa) …. Semoga segala ‘amalan kita diterimaNYA dan kita diredhoiNYA …..
Orang yang beribadat pada malam raya, tidak akan mati hatinya. Ibnu Majah meriwayatkan:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ قَامَ لَيْلَتَيِ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ، لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ.
Ertinya: Daripada Sayyidina Abu Umamah رضي الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Barangsiapa berdiri (mengerjakan ibadah) pada malam dua raya (malam ‘eidul fitri dan malam ‘eidul adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, tidak mati hatinya pada hari dimatikan segala hati. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Manakala ath-Thabrani meriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ubadah t, bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبِ
Ertinya: Barangsiapa menghidupkan malam raya fitrah dan malam raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari Allah mematikan hati-hati. (al-Jami’ ash-Shaghir, hadits no 8343: Dhaif)
Disebutkan di dalam Tarikh al-Munziri (marfu’)Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
من أحيا ليلتـي العدين وليلة النصف شعبان لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
Ertinya: Barangsiapa yang menghidupkan dua malam raya (‘eidul fitri dan ‘eidul adha) dan malam nisfu Sya’ban, tidak akan mati hatinya pada hari Allah mematikan hati-hati.
Menurut pendapat ulama, yang dimaksudkan mati hati ialah:
- terbelenggunya hati dengan kecintaan terhadap dunia yang memutuskannya daripada melakukan amalan kebaikan dan kewajiban agama.
- menjadi kafir
- ketakutan hari qiamat.
Maulana Muhammad Zakaiyya al-Kandahlawi, di dalam kitab Fadhilat Ramadhan, menghuraikan maksud hadits “tidak akan mati hatinya pada hari Allah mematikan hati-hati” di atas bahwa ketika terjadinya bermacam-macam fitnah dan kefasadan, ketika hati manusia telah mati, hatinya akan tetap hidup atau dapat dimaksudkan juga yakni pada hari ketika sangkalala di tiup nanti, maka hatinya tetap dalam keadaan sedar, pada saat orang-orang lain dalam keadaan tidak sedar.
Doa dimaqbulkan: Malam hariraya juga adalah malam-malam yang dimaqbulkan doa. Sayyidina Abu Umamah رضي الله عنه meriwayatkan:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَمْسُ لَيَالٍ لا تُرَدُّ فِيهِنَّ الدَّعْوَةُ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَةُ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةُ الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ
Ertinya: Daripada Sayyidina Abu Umamah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasululah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Lima malam yang tidak ditolak pada malam-malam tersebut sesuatu doa: Awal malam daripada Rajab, malam nisfu Sya’ban, malam Jumu’at dan malam ‘eidul fitri dan malam ‘eidul adha – (dikeluarkan oleh ad-Dailami, Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq)
Diriwayatkan dari Sayyidina Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما, beliau berkata:
خَمْسُ لَيَالٍ لَا يُرَدُّ فِيْهِنَّ الدُّعَاءُ: لَيْلَةُ الْجُمْعَةِ، وَأَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةُ الْنِصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَتَا العَيْدَيْنِ
Ertinya: Lima malam yang tidak ditolak padanya akan doa: Malam Jumu’at, awal malam Rejab, malam nisfu Sya’ban dan dua malam raya (‘eidul fitri dan ‘eidul adha) – (dikeluarkan oleh ‘Abdurrazzaq di dalam Mushannaf dan juga al-Baihaqi di dalam Syua’b al-Iman – mauquf)
Imam panutan kita yaitu al-Imam Muhamamd bin Idris asy-Syafie رضي الله عنه menyebut di dalam kitabnya al-Umm:
وَبَلَغَنَا أَنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِيْ خَمْسِ لَيَالٍ : فِيْ لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى، وَلَيْلَةِ الفِطْرِ، وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجِبٍ ، وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ
Ertinya: Telah sampai kepada kami, bahwa doa yang dimustajabkan (yakni yang makbulkan oleh Allah) pada lima malam iaitu pada malam Jum’at, malam raya korban, malam raya fitrah, awal malam daripada bulan Rajab dan malam nisfu Sya’ban.
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ أَحْيَا الْلَيَالِيَ الْأَرْبَعَ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ : لَيْلَةَ التَّرْوِيَةِ ، وَلَيْلَةَ عَرَفَةَ ، وَلَيْلَةَ النَّحْرِ ، وَلَيْلَةَ الْفِطْرِ
Ertinya: Daripada Sayyidina Mu’adz bin Jabal رضي الله عنه, beliau berkata: Rasululah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Barangsiapa menghidupkan malam-malam yang empat, wajib baginya syurga: (Malam-malam tersebut) malam tarwiyah, malam ‘arafah, malam nahar (malam raya korban) dan malam raya fitrah (Imam as-Sayuthi merumuzkan hadits ini dengan tanda Shahih, al-Jami’ ash-Shaghir, hadits no 8342; manakala al-Munawi di dalam mensyarahkan al-Jami ash-Shaghir mengatakan sanadnya dhaif)
Hiasi malam raya dengan bertakbir dan ibadah-ibadah lain: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sememangnya menyuruh kita agar menghiasi malam raya itu dengan bertakbir, bertahmid dan lain-lain.
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: زِيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيْرِ
Ertinya: Daripada Sayyidina Abu Umamah رضي الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Hiasilah kalian akan hari-hari raya kalian dengan takbir. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Maka jom kita pakat perbanyakkan bertakbir kerana ia adalah syi’ar hariraya. Pakat takbir di masjid, di surau, di rumah-rumah dan dijalanan. Biaq bergema malam raya kita dengan takbir. Biaq meriah dengan takbir bukannya dengan lagu-lagu raya, dentuman mercun atau meriam buluh ……
Kata Imam Ibnu Hajar al-Haithami: “Sunat melaungkan takbir (‘eidulfitri) sama ada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara jahr atau yang nyaring, bermula dari terbenam matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga imam mengangkat takbiratulihram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir itu adalah sebagai syi‘ar bagi menandakan waktu Aidilfitri itu telah tiba maka adalah lebih awla dikerjakan atau disambut dengan takbir.”
Cuma yang perlu diingatkan, melaungkan takbir dengan suara jahr adalah disunatkan bagi kaum lelaki sahaja. Adapun bagi perempuan atau khuntsa, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara jahr ketika ada orang lain yang bukan mahram hadir bersama mereka.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: زِيِّنُوْا العَيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ والتَّكْبِيْرِ والتَّحْمِيْدِ والتَّقْدِيْسِ
Ertinya: Daripada Sayyidina Abu Umamah رضي الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Hiasilah kalian akan dua hari raya (‘eidul fitri dan ‘eidul adha) dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis. (Hadits riwayat Abu Nu’aim)
Menghidupkan malam raya dengan beribadat, ganjarannya syurga sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyidina Mu’adz bin Jabal رضي الله عنه, beliau berkata: Rasululah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
مَنْ أَحْيَا الْلَيَالِيَ الْأَرْبَعَ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ : لَيْلَةَ التَّرْوِيَةِ، وَلَيْلَةَ عَرَفَةَ، وَلَيْلَةَ النَّحْرِ، وَلَيْلَةَ الْفِطْرِ
Ertinya: Barangsiapa menghidupkan malam-malam yang empat, wajib baginya syurga: (Malam-malam tersebut) malam tarwiyah, malam ‘arafah, malam hari nahar (malam raya korban) dan malam raya fitrah. (Imam as-Sayuthi merumuzkan hadits ini dengan tanda Shahih, al-Jami’ ash-Shaghir, hadits no 8342; manakala al-Munawi di dalam mensyarahkan al-Jami ash-Shaghir mengatakan isnadnya dhaif)
‘Amalan pada pagi raya: Al-‘Allamah Syeikh ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali bin ‘Abdul Qaadir al-Jawi (Kudus, Indonesia) al-Makki asy-Syafie (pengajar dan Imam mazhab Syafie di Maqam Ibrahim, Masjidilharam) menyebut di dalam kitabnya Kanz an-Najaah wa as-Surur fi ad-Ad'iyah al-Ma`tsurah allati Tasyrah ash-Shuduur:
Daripada apa yang dituntut pada kedua harinya (‘eidul fitri dan ‘eidul adha): Apa yang disebut oleh al-Wanaa`i di dalam risalahnya: Barangsiapa beristighfar pada hari raya setelah sholat shubuh 100x, tidak kekal di dalam buku catatannya suatupun daripada dosa-dosa melainkan dipadamkan daripadanya dan jadilah dia pada hari qiamat aman daripada azab-azab Allah.
Dan barangsiapa berkata: سبحان الله وبحمده 100x pada hari raya dan (setelah selesai membacanya) dia berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berikan akan ganjarannya (yakni ganjaran membaca tasbih) kepada ahli qubur … maka tiada tinggalkan seorangpun daripada orang-orang mati (yang dia hadiahkan pahala bacaannya itu) melain berkata mereka itu pada hari qiamat: Wahai Yang Maha Penyayang, rahmatilah hambaMu ini dan Engkau jadikanlah ganjaran kepadanya syurga.
Dan berkata al-Fasyani di dalam Tuhfatul Ikhwan: Daripada Sayyidina Anas رضي الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Hiasilah kalian akan dua hari raya (‘eidul fitri dan ‘eidul adha) dengan tahlil, taqdis, tahmid dan takbir.
Dan daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم: Barangsiapa berkata سبحان الله وبحمده 300x (pada hari raya) kemudian dihadiahkan (pahalanya) bagi orang yang telah mati darpada muslimin kalangan orang-orang Islam, dimasukkan dalam tiap-tiap kubur 1,000 nur dan dijadikan Allah Ta’ala baginya pada quburnya apabila ia mati (kelak) 1, ooo nur.
Dan kata az-Zuhri: Kata (Sayyiduna Anas رضي الله عنه): Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم : Barangsiapa membaca pada tiap-tiap salah suatu daripada dua hariraya (‘eidul fitri atau ‘eidul adha):
لاَإِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيْتُ، بِيَدِهِ الخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ - ٤۰۰x
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dalam kekuasaanNyalah mempunyai kebaikan dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. – 400x dahulu daripada sholat al-‘eid (sholat raya), dikahwinkan oleh Allah Ta’ala akan 400 hauro` (bidadari syurga) dan seperti ia merdekakan 100 roqobah (hamba sahaya) dan diwakilkan oleh Allah Taala dengan dia malaikat memperbuat baginya beberapa dusun dan menanamkan mereka itu baginya beberapa pohon kayu hingga hari qiamat.
Kata Zuhri: Tiada aku tinggal akan dia sejak aku dengar akan dia daripada Sayyidina Anas رضي الله عنه dan kata Sayyiduna Anas رضي الله عنه : Tiada aku tinggal akan dia sejak aku dengar daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. – tamat petikan. Amalan ini juga disebut oleh al-‘Allamah Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani di dalam Jam’ul Fawaa`id wa Jawaahir al-Qalaa’id, halaman 117.
Meskipun hadits-hadits yang diutarakan diatas dhaif namun boleh beramal dengannya dalam perkara-perkara fadhail ‘amal sepertimana yang disebut oleh ulama-ulama mu’tabar seperti Imam an-Nawawi dan lain-lainnya. Jom ubah tradisi malam dan pagi raya kita! Sekian untuk kesempatan ini, bertemu lagi lepas raya nanti ......
Buat pengunjung al-Fanshuri, al-fagir ucapkan:
تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال
وجعلنا الله وإياكم من العائدين الفائزين
كل عام وأنتم بخير
Sekian dari
al-faqir ilaLlah al-ghani
abu zahrah ‘abdullah thahir al-qadahi
lepas lohoq, 25 ramadhan 1432H/25 ogos 2011M
taman seri gombak
0 komen:
Catat Ulasan