Khamis, 11 Ogos 2011

Meraih Keberkatan di Dalam Bersahur

Sepertiga Ramadhan telahpun berlalu. Bagaimana dengan puasa kita? Seperkara yang mungkin sesetengah orang memandang remeh adalah bersahur (makan soq kata orang utara). Bersahur itu adalah merupakan satu sunnah. Kebiasaannya ramai yang akan bersahur pada awal-awal Ramadhan, namun apabila diri sudah boleh menyesuaikan diri dengan puasa maka ada yang sudah tidak bersahur lagi. Maka mereka tidak bangun untuk bersahur atau mereka bersahur awal (yakni sebelum berlalunya separuh daripada malam) dengan berterawih lantas makan lalu tidur. …. Alangkah ruginya perbuatan sedemikian, kerana bersahur mempunyai banyak kelebihan dan keberkatan. Untuk itu, al-Fagir ingin berkongsi sesuatu mengenai bersahur. Semoga menjadi perangsang bagi kita semua untuk mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم meraih pelbagai keberkatan di dalam bersahur.

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidina Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِيْ السُّحُوْرِ بَرَكَةً

Ertinya: Bersahurlah kalian kerana sesungguhnya dalam bersahur itu mempunyai keberkatan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim at-Tirmidhi, an-Nasai, Ibnu Majah dan lain-lain)

Di dalam hadits yang lain, riwayat Imam Ahmad:

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : عَلَيْكُمْ بِغِذَاءِ السَّحَرِ،فَإِنَّهُ هُوَ الْغِذَاءُ الْمُبَارَكُ

Ertinya: Daripada Sayyidina al-Miqdaam ibn Ma’di Karib, daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Hendaklah kalian makan sahur kerana sesungguhnya ianya makanan yang diberkati.

Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sedang bersahur lalu bersabda:

إِنَّهَا بَرَكَةٌ أَعْطَاكُمُ اللَّهُ إِيَّاهَا فَلَا تَدَعُوهُ

Ertinya: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kalian, maka janganlah kalian meninggalkannya. (Hadits riwayat an-Nasai’)


Keberkatan bersahur: Diantara keberkatan bersahur adalah:
1 - Dimaksudkan dengan berkat di dalam hadits di atas ialah al-ajru (balasan) dan al-tsawaab (ganjaran pahala) daripada Allah Ta’ala sebagaimana disebut oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Baari.

2 – Berkat kerana mengikuti akan sunnahnya Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Setiap sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang kita ikuti, maka disana terdapat keberkatan.

3 - Berkat kerana dengan bersahur akan menambah kekuatan ke atas orang yang berpuasa. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ: اسْتَعِيْنُوْا بِالطَّعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ، وَ بِالْقَيْلُوْلَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Ertinya: Dari Sayyidina Ibnu Abbas رضي الله عنهما , dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Mohonlah kalian (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperolehi kekuatan berpuasa di siang hari, dan dengan tidur sebentar sebelum waktu zuhur (qailulah) supaya memperolehi kekuatan untuk berqiyamullail. (Hadits riwayat: Imam Ibnu Majah dan  Ibnu Khuzaimah)

4 – Berkat kerana waktu sahur adalah waktu turunnya rahmat, doa diangkat dan dosa diampuni.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ ، قَالَ : قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ الدُّعَاءِ أَُسْمَعُ ؟ قََالَ : جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ ، وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Ertinya: Daripada Sayyidina Abi Umamah رضي الله عنه beliau berkata:Dikatakan (kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ) : Wahai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bilakah waktu doa itu didengar? Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Pada waktu tengah malam dan selepas sholat fardhu. (Hadits riwayat at-Tirmidhi)

Sayyiduna ‘Amru bin ‘Abasah رضي الله عنه menceritakan bahawa beliau mendengar Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنَ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الْآخِرِ ، فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ

Ertinya: Saat yang paling dekat di antara ar-Rabb terhadap hambaNya adalah di penghujung malam yang akhir, maka apabila engkau mampu menjadi sebahagian daripada mereka yang mengingati Allah pada ketika itu maka engkau lakukanlah. (Hadits riwayat Imam al-Tirmidhi)

5 – Berkat kerana ia membeza puasa orang Islam dan puasa ahlul kitab.

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Daripada Sayyidina ‘Amru al-Ash رضي الله عنه bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Perbedaan di antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur. (Hadits riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidhi, an-Nasai, ad-Darimi dan lain-lain)

6- Berkat kerana pada Allah dan malaikatNya bershalawat, yakni mengirimkan rahmat kepada mereka yang bersahur.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : السُّحُورُ أَكْلَةٌ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جَرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Ertinya: Daripada Sayyidina Abi Sa’id al-Khudri رضي الله عنه beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Bersahur itu adalah makan yang berkat. Maka jangan kalian meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kalian hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta’ala dan malaikatNya bershalawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadits riwayat Imam Ahmad)

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الأَرْقَمِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَسَحَّرُوا فَنِعْمَ غِذَاءُ الْمُسْلِمِ السُّحُورُ، تَسَحَّرُوا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُصَلِّي عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Ertinya: Daripada Sayyidina ‘Abdurrahman bin al-Arqam رضي الله عنه, beliau berkata, telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Bersahurlah kalian, maka sebaik-baik makanan seorang muslim adalah sahur. Bersahurlah kalian kerana sesungguhnya Allah Azza wa Jalla bershalawat (merahmati) ke atas orang yang bersahur.

7 – Orang yang  mengakhirkan sahurnya sentiasa di dalam kebaikan.

عَنْ أَبِي ذَرٍّ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْإِفْطَارَ ، وَأَخَّرُوا السُّحُورَ
وَفِيْ رِوَيَةٍ: لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ، وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Ertinya: Daripada Sayyidina Abu Dzar al-Ghiffari رضي الله عنه, beliau berkata, telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Sentiasalah umatku dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur. Dan pada riwayat yang lain: Sentiasalah umatku dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan bersahur dan menyegerakan berbuka puasa. (Hadits riwayat Imam Ahmad)

9 - Berkat kerana di samping bangun untuk bersahur, seseorang itu bolehlah terus melakukan ‘amal-‘amal sholeh seperti berwudhu, bersholat, membaca al-Qur’an, berdoa, berdhikir dan lain-lainnya sehinggalah terbit fajar. Pada waktu sahurlah, waktu yang sangat sesuai untuk seseorang hamba itu bermunajat kepada Rabbnya.


 
Qashidah Waqt as-Sahar karangan Guru Mulia Habib Umar  حفظه الله

Bilakah bermulanya waktu sahur?: Adapun waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga sebelum terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur tetapi ianya cuma makan biasa sahaja dan tidak ada baginya pahala sunat bersahur, dan tidak mendapat kelebihan-kelebihan serta keberkatan bersahur.

Asy-Syeikh Abu as-Su`uud ad-Dusuuqi al-Maliki dalam Haasyiah ad-Dusuuqi juzuk 1 halaman 503 menyatakan:-
وتأخير السحور أي للثلث الأخير من الليل ويدخل وقت السحور بنصف الليل الأخير وكلما تأخر كان أفضل، فقد ورد أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يؤخره بحيث يكون ما بين فراغه منه وبين الفجر قدر ما يقرأ القارئ خمسين آية

Ertinya: Dan mentakhirkan sahur iaitu ke sepertiga malam yang akhir, dan masuknya waktu untuk bersahur dengan pertengahan malam yang akhir dan jika diakhirkan ianya adalah afdhal. Maka telah warid bahawasanya Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah mengakhirkan sahur sehingga kira-kira selesainya Baginda daripada bersahur dan terbitnya fajar (masa) kadar apa yang dibaca si pembaca 50 ayat."

Waktu afdhal: Dan afdhal mengakhirkan sahur, iaitu sekira-kira selesai daripada sahur dan terbit fajar shodiq (yakni masuknya waktu shubuh) dalam kadar pembacaan 50 ayat al-Qu’ran, sebagaimana diperbuat oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para shahabat رضي الله عنهم.


Apakah yang dielok dimakan? Pastinya yang halal. Dan sebaik-baiknya makan buah tamar, sebagaimana yang disebut oleh junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Ertinya: Daripara Sayyidina Abi Hurairah رضي الله عنه  daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang beriman adalah tamar. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : نِعْمَ السُّحُورُ التَّمْرُ ، وَنِعْمَ الإِدَامُ الْخَلُّ ، وَرَحِمَ اللَّهُ الْمُتَسَحِّرِينَ .

Ertinya: Daripada Sayyidina Abi Hurairah رضي الله عنه  daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda bersabda: Sebaik-baik makanan sahur adalah tamar dan sebaik-baik lauk adalah cuka dan Allah merahmati orang-orang yang bersahur. (Hadits riwayat Ibnu ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq)

Paling kurang minumlah seteguk air.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : السُّحُورُ أَكْلَةٌ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جَرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Ertinya: Daripada Sayyidina Abi Sa’id al-Khudri رضي الله عنه beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Bersahur itu adalah makan yang berkat. Maka jangan kalian meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kalian hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta’ala dan malaikatNya bershalawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadits riwayat Imam Ahmad)


Akhirkata, marilah kita bersahur kerana cinta kita kepada kekasih kita Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Tanda cinta itu meneladani Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya; mengamalkan segala sunnah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya, berusaha beradab dengan adab Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dalam segala keadaan, baik dikala susah, maupun senang, dikala cergas maupun malas.

Bersahurlah walaupun dengan seulas tamar ataupun seteguk air ataupun dengan sesuap makanan!


Disusun dengan bantuanNYA oleh
al-fagir ila afwi rabbihi
abu zahrah al-qadahi
isnin, 8 ramadhan 1432H/ 8 ogos 2011
taman seri gombak

0 komen:

Related Posts with Thumbnails