2/3 Ramadhan bakal berlalu, maka tinggallah 1/3 yang terakhir, iaitu 10 hari terakhir. 1/3 inilah yang merupakan puncaknya Ramadhan kerana dicelah-celahnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari 1,000 bulan. Bagi mereka yang kental imannya, inilah masa mereka untuk pulun …. Kalau di Makkah, Madinah, Tarim dan lain-lain negara ‘Arab, 10 terakhir inilah masjid-masjid sesak dengan para jemaah beribadat, beri’tikaf …. Berbanding dengan kat tempat kita di Malaysia ni, masjidnya penuh di awal Ramadhan, manakala diakhirnya makin berkurang. Yang penuhnya adalah bazar-bazar Ramadhan, gedung-gedung membeli belah ……. Jom kita ubah tradisi ini. Kita lupakan tentang hariraya dan persiapan untuknya kerana menurut kata sebahagian orang-orang sholeh, hakikat hariraya itu adalah orang yang bertambah keta’atannya dan diampuni dosa-dosanya.
ليس العيد لمن لبس الجديد وإنما العيد لمن طاعاته تزيد،
وليس العيد لمن تجمَّل باللباس والركوب إنما العيد لمن غفرت له الذنوب
Bukanlah hariraya itu bagi orang orang yang memakai persalinan baru, tetapi hariraya itu adalah bagi orang yang keta’atannya bertambah. Dan bukanlah hariaraya itu bagi orang yang berhias dengan persalinan dan tunggangannya, tetapi hariraya itu adalah bagi orang yang telah diampun baginya dosa-dosanya (oleh Allah Ta’ala).
Nah, hanya tinggal 10 hari untuk merebut ganjaran Ramadhan, bahkan di 10 yang terakhir inilah yang terlebih utamanya. Jom kita penuhkan masjid-masjid kita! Jom beri'tikaf! Jom berqiyam!
Firman Allah Ta’ala:
Ertinya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Surah al-Qadar: 1 – 5)
Malam tersebut adalah malam yang penuh dengan keberkatan, sepertimana firmanNya:
إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍ مُّبَـٰرَكَةٍ
Ertinya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat. (Surah ad-Dukhan: 3)
Maka barangsiapa yang beribadat dan menghayati malam yang penuh berkat ini nescaya dia beroleh keampunan dari Allah Ta’ala. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Ertinya: Daripada Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda: Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu dan barangsiapa yang mendirikan akan lailatul qadar (dengan amal ibadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat Ahmad, al-Bukhari dan lain-lain)
Di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan, Junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم lebih bersungguh-sungguh dalam beribadat.
قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ .
Ertinya: Telah berkata Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersungguh-sungguh memperbanyakkan ‘amal ibadat pada 10 malam yang terakhir (dari bulan Ramadhan) berbanding dengan masa yang lain (Hadits riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Majah dan lain-lain)
Baginda صلى الله عليه وآله وسلم juga menyeru, menyuruh umatnya agar lebih bersungguh-sungguh di 10 terakhir Ramadhan ini sepertimana sabda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Ertinya: Daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها bahawalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda: Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim,Abu Daud dan lain-lain)
عن عبادة بن الصامت: أنه سأل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن ليلة القدر، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: في رمضان، التمسوها في العشر الأواخر؛ فإنها في وتر إحدى وعشرين، أو ثلاث وعشرين، أو خمس وعشرين أو سبع وعشرين، أو تسع وعشرين، أو في آخر ليلة
Ertinya: Daripada Sayyidina Ubadah bin ash-Shomit رضي الله عنه bahwasanya beliau telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengenai Lailatul Qadar. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Ianya di dalam bulan Ramadhan, pada 10 yang terakhir, dan bahwasanya ia terjadi pada malam yang ganjil samada malam 21, 23, 35, 27 dan 29 atau pada malam terakhir Ramadhan. (Hadits riwayat Imam Ahmad. Berkata al-Hafidz Ibn Hajar, para perawi hadits ini tsiqah).
Dalam hadits lain yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah, Ibn Jarir, Muhammad bin Nashr dan Ibnu Mardawaih, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
اطلبوا ليلة القدر في العشر الأواخر.
Ertinya: Carilah kalian akan Lailatul Qadar pada 10 yang akhir (dari Ramadhan). (Dur al-Mantsur)
Maka untuk itulah para ulama, berdasarkan hadits-hadits Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan pengalaman para salaf serta dari pengalaman mereka sendiri telah merumuskan jadual dalam menentukan malam yang penuh barokah ini, agar mudah untuk memberi tumpuan kepadanya.
Pun begitu jadual ini adalah sekadar panduan. Bagi mereka yang bersungguh-sungguh beribadat pada 10 malam yang terakhir, dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka mereka akan mendapat ganjaran besar pada malam tersebut. Dan bagi mereka yang terpilih untuk mengetahui malam tersebut dengan disingkapkan tanda-tandanya, maka itu adalah kurniaan yang sangat besar kepadanya.
Imam as-Sayuthi menyebut sebuah hadits di dalam tafsirnya berjudul Dur al-Mantsur:
وأخرج أحمد وابن جرير ومحمد بن نصر والبيهقي وابن مردويه عن عبادة بن الصامت أنه سأل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن ليلة القدر فقال: في رمضان في العشر الأواخر فإنها في ليلة وتر في إحدى وعشرين، أو ثلاث وعشرين، أو خمس وعشرين، أو سبع وعشرين، أو تسع وعشرين، أو آخر ليلة من رمضان من قامها إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه، ومن أماراتها أنها ليلة بلجة صافية ساكنة ساجية لا حارة ولا باردة، كأن فيها قمراً ساطعاً، ولا يحل لنجم أن يرمى به تلك الليلة حتى الصباح، ومن أماراتها أن الشمس تطلع صبيحتها لا شعاع لها، مستوية، كأنها القمر ليلة البدر، وحرم الله على الشيطان أن يخرج معها يومئذ.
Ertinya: Dan telah mengeluarkan Ahmad, Ibnu Jarir, Muhammad bin Nashr, al-Baihaqi dan Ibnu Mardawaih daripada Sayyidina Ubadah bin ash-Shomit رضي الله عنه bahwasanya beliau telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengenai Lailatul Qadar. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Ianya di dalam bulan Ramadhan, pada 10 yang terakhir, dan bahwasanya ia terjadi pada malam yang ganjil samada malam 21, 23, 35, 27 dan 29 atau pada malam terakhir Ramadhan. Barangsiapa yang mendirikan malam ‘Lailatu Qadar’ (untuk beribadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. Di antara tanda-tandanya adalah malam itu keadaannya terang, bersih, tenang, sunyi, tidak panas, tidak dingin, seolah-olah disitu ada bulan bercahaya, tidak ada bintang (seperti panah api) yang dilemparkan pada malam itu sehingga pagi. Daripada tanda-tandanya juga bahawa pada pagi hari itu, matahari terbit tanpa pancaran sinar, bagaikan bulan purnama. Pada hari itu Allah mengharamkan syaithan keluar bersamanya.
Syeikh ‘Abdullah Basmeih, menyebut di dalam kitab Mastika Hadith Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Selain itu para ‘alim ulama juga ada menyebut beberapa tanda atau ‘alamat berhubung dengan malam ‘Lailatul Qadar’ iaitu:
- Ada yang berkata: Orang yang menemui malam ‘Lailatul Qadar’, ia melihat nur yang terang benderang di segala tempat, hatta segala ceruk yang gelap gelita
- Ada pula yang berkata: Ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari malaikat
- Ada juga yang berkata: Ia melihat segala benda (termasuk pohon-pohon kayu) rebah sujud
- Ada pula yang berkata: Doa permohonannya makbul.
Imam al-Tabari رحمه الله memilih ‘qaul’ yang menegaskan: Bahawa semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya ia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan “melihat atau mendengarnya” untuk menemui malam 'Lailatul Qadar'. (al-Fath al-Rabbani 10:296)
Yakni yang penting ialah ta’at mengerjakan ‘amal bakti kerana Allah semata-mata, kerana balasannya tetap terjamin dan akan dinikmati di dunia dan akhirat. – tamat petikan dari Mustika Hadits Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , Jilid 3 -
Seandainya bertemu ‘Lailatul Qadar’ maka perbanyakkanlah membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها iaitu:
1 komen:
Pada waktu itu sesaorang itu akan dikelilingi, disentuh dan dipeluk oleh para-para malaikat. Bila tubuh disentuh oleh para malaikat, seluruh tubuh akan menggeletar atau menggigil dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, penafasan akan menjadi sesak seolah-olah tubuh kita dipeluk sekuat-kuatnya, dan peluh sejuk akan mengalir tanpa disedari. Masa itu kita perlu sujud untuk menghambakan diri pada Allah swt dan dalam sujud itu kita berdoa pada Allah swt. Itu lah saat-saat yang sungguh indah dan tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan keindahan yang dirasai pada saat-saat itu. Itulah tanda Lailatul Qadr dan ia akan dapat dirasai kepada sesiapa yang dipilih oleh Allah swt.
Sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadr, terdapat seorang atau sebilangan malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula pada malam itu sehingga hari-hari berikutnya, hidupnya makin terarah dan hidup mereka akan sentiasa dikawal oleh malaikat.
Jika sebelum ini bisikan iblis dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadr, bisikan malaikat dan fitrahnya akan menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik, inshaAllah. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi lebih sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Inilah tandanya atau ciri-ciri orang yang mendapat Lailatul Qadr.
Petikan dari Blog Hj Lokman A Hamid Perubatan Syifa Al-Hidayah, Sg Pusu Gombak...
Catat Ulasan