Jumaat, 19 Ogos 2011

Berhati-hatilah Dalam Berbicara


Tatkala berbicara darihal Junjungan Mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , maka sayogialah kita semua berhati-hati dan memperhaluskan adab berbicara. Biarlah apa yang keluar dari lisan kita yang molek-molek belaka, kerana ditakuti apa yang kita perkatakan itu menyakiti Junjungan Mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Menyakiti Junjungan Mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  besar implikasinya. Maka eloklah kita berpandu kepada nasihat ulama kita, seperti kata al-Qadhi Hussin:


فنحن لا نقول إلا ما يرضي ربنا ويرضي رسولنا صلى الله عليه وآله وسلم ولا نتجرأ على مقامه صلى الله عليه وآله وسلم الشريف ونؤذيه صلى الله عليه وآله وسلم  بالكلام بما لا يرضيه صلى الله عليه وآله وسلم

Maka, kami tidak mengatakan melainkan apa yang diredhai Rabb kami dan apa yang diredhai Rasul kami صلى الله عليه وآله وسلم Dan tidaklah kami memberanikan diri terhadap kedudukan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia dan menyakiti Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dengan perkataan yang tidak diredhai Baginda صلى الله عليه وآله وسلم




Di dalam kitab Intabih Diinuka fil Khathar (Awas Agamamu Dalam Bahaya) oleh al-‘Allamah Abu ‘Abdullah ‘Alwi al-Yamani, pengarang  telah menaqalkan sebahagian daripada fatwa seorang ulama besar Mesir al-‘Allamah asy-Syeikh Muhammad Bakhit yang terhimpun di dalam al-Fatawa al-Islamiyyah mengenai implikasi orang yang yang menyakiti Junjungan Mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Syeikh Muhammad Bakhit bin Hussin al-Muthi’ie al-Hanafi merupakan salah seorang ulama besar Mesir. Lahir pada 10 Muharram 1271H/1854M. Belajar di al-Azhar asy-Syarif. Dilantik menjadi Mufti Besar Mesir pada 9 Shafar 1333 dan menjawat jawatan tersebut sehingga 16 Syawwal 1338. Sepanjang memegang jawatan sebagai Mufti Besar Mesir, beliau telah mengeluarkan 2o28 fatwa. Beliau meninggal dunia di Kaherah pada 21 Rajab 1354H/1935M. Fatwa yang dibicarakan ini bertarikh Rabi’ul Awwal 1338H/25 November 1919M. Sebahagian fatwa tersebut yang dinaqalkan didalam kitab Intabih Diinuka fil Khathor


Soalah 103: Apakah pendapat asy-Syeikh Muhmmad Bakhit al-Muthi’ie mengenai terselamat (dari siksaan api neraka) kedua ayahanda dan bonda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم?

(Jawab) Telah berkata asy-Syeikh al-Muthi’ie: Orang yang berkata ia dengan kewafatan kedua ayahanda dan bonda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم atas kekufuran adalah satu kesalahan yang besar dan nyata. Dia berdosa dan termasuk di dalam orang yang menyakiti RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم, akan tetapi tidak dihukumkan ke atasnya dengan kafir kerana masalah itu bukanlah daripada perkara-perkara yang dharuriyyat agama (yang tidak boleh tidak atau bersangkutan dengan ‘aqidah) yang wajib ke atas mukallaf mengetahinya dengan terperinci.

Begitu juga al-Imam as-Sayuthi menyebut di dalam kitabnya al-Munifah fi al-Aba asy-Syarifah perkataan al-Qadhi Abu Bakar ibn al-‘Arabi al-Maliki:

نقلت بخط الشيخ كمال الدين الشمني والد شيخنا الإمام تقي الدين رحمهما الله تعالى ما نصه : سئل القاضي أبو بكر بن العربي عن رجل قال : إن أبا النبي صلى الله عليه وسلم في النار ، فأجاب بأنه ملعون ، لأن الله تعالى قال :} إن الذين يؤذون الله ورسوله لعنهم الله في الدنيا والآخرة وأعد لهم عذابا مهينا{ ، قال : لا أذى أعظم من أن يقال عن أبيه إنه في النار (الدرج المنيفة في الآباء الشريفة : 103 )

Telah menaqalkan aku dari khat (tulisan) Kamal al-Diin al-Syumuni, bapa kepada Syeikh kami al-Imam Taqiyuddin (yakni Taqiyuddin Yahya bin Kamaluddin Muhammad asy-Syumuni) رحمهما الله تعالى, apa yang telah menashkan beliau: Ditanyai al-Qadhi Abu Bakar ibn al-‘Arabi mengenai seorang lelaki yang telah berkata ia: Sesungguhnya bapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di dalam nereka. Maka menjawab ia (al-Qadhi Abu Bakar ibn al-‘Arabi) dengan bahwasanya orang tersebut terlaknat. Kerana sesungguhnya Allah Ta’ala, telah berfirman ia (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah menyakiti Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala tuduhan yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (Surah al-Ahzab: 69). Beliau (al-Qadhi Abu Bakar ibn al-‘Arabi) berkata: Dan tiada perkara yang menyakiti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang terlebih besar daripada seseorang itu mengatakan bahwa bapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berada di dalam neraka. (ad-Durji al-Munifah fi al-Aba asy-Syarifah: 103)

Maka fahamilah wahai saudara-saudaraku yang dikasihi

Sekian dari
al-fagir ilaLlah abu zahrah
sahur, Juma’at, 19 Rmadhan 1432H/19 Ogos 2011M
taman seri gombak

0 komen:

Related Posts with Thumbnails