إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Selepas sholat dzuhur, 1 Syawwal 1432H, al-fagir menerima sms yang membawa khabar sedih. Tuan Guru Haji Hashim, Pasir Tumboh telah kembali kerahmatuLlah sebentar tadi …...., begitulah ayat sms yang diterima. Terkedu seketika, perasaan sebak menyelubungi diri. Airmata terus mengalir tanpa dipaksa. Allahu Allah …..
21 Syawwal tahun lalu, Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif @ Pak Teh Kroh pergi meninggalkan kita. Hari ini kita mendapat khabar pemergian Tuan Guru Haji Hashim pula. Seorang demi seorang ulama kita berpergian, sampai pada akhirnya tidak ada lagi yang dapat mengantikan mereka, kerana hilangnya mereka amat susah untuk mendapat penggantinya.
Ya, kita mampu mengeluarkan ribuan sarjana, kita mampu mengeluarkan beratus-ratus pemikir Islam, tapi apakah kita mampu mengeluarkan ulama-ulama yang alim dan rabbani? Maka akhirnya nanti tinggallah orang-orang bodoh yang mengaku ulama, berpakaian seperti ulama, bergaya persis ulama, tetapi tidak memiliki ilmu dan akhlak seperti seorang ulama, lalu mereka akan menjawab segala pertanyaan masyarakat awam yang haus dengan ilmu pengetahuan, sehingga mereka sesat lagi menyesatkan.
Benar sekali sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)
Pemergian mereka ini merupakan musibah bagi kita dan umat Islam seluruhnya. Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim (yang ber’amal dengan ilmunya) adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.
Kata Sayyiduna ‘Umar رضي الله عنه: Kematian 1000 abid (ahli ‘ibadah - yang jahil -) yang bangun di malam hari dan berpuasa di siang hati, lebih ringan daripada kematian seorang ulama yang memahami hal-hal yang dihalalkan dan yang diharamkan oleh Allah.
Para ulama yang berjasa ini, walaupun mereka telah pergi, namun jasa dan sumbangan mereka, kenangan bersama mereka tetap segar di dalam ingatan. Mereka tetap hidup dihati-hati para pencinta mereka.
قدمات قوم وماماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء
Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, namun mereka hidup diantara manusia
Maka orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama (orang-orang 'alim), walaupun telah mati mereka itu namun tetap hidup - di hati manusia
Sebagai kenangan, al-Fagir bawakan sedikit biografi Tuan Guru Haji Hashim untuk tatapan bersama.
Tuan Guru Haji Hashim bin Haji Abu Bakar lahir di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah Darul Aman pada tahun 1923. Ayahanda beliau berasal dari Fathani Darus Salam, berhijrah ke Kedah Darul Aman dan berkahwin dengan anak tempatan. Pada tahun 1935, ketika berusia 12 tahun, beliau dihantar oleh keluarga beliau untuk belajar di Darul Ulum, Makkah al-Mukarramah. Beliau belajar di Makkah sehingga tahun 1939. Selain belajar di Darul Ulum, beliau juga mengambil peluang belajar di Masjidil Haram, Makkah daripada ulama-ulama terkenal ketika itu. Guru beliau ketika belajar di Makkah, antaranya, Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Hasan Masyath, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Mandili dan lain-lain.
Sekembalinya dari Makkah pada tahun 1939, beliau menyambung pengajiannya di pondok Tuan Guru Haji Ghazali, Batu 26, Bagan Datoh, Perak Darul Ridhwan atau di kenali dengan Madrasah Irsyadiah. Namun beliau tidak sempat belajar lama disana kerana kehadiran tentera Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Beliau kembali ke Kedah. Seterusnya beliau belajar pula di pondok Tuan Guru Haji ‘Abdul Rahman bin Haji ‘Abdullah di Merbok, Kedah atau di kenali dengan nama Madrasah Sa’adah ad-Darain, pada tahun 1942. Kemudian pada tahun 1944 beliau belajar di Pondok Lebai Idris, Kampung Air Hitam, Jitra, Kedah selama 2 tahun. Beliau seterusnya menyambung pengajiannya di pondok Bunut Payong. Pondok ini diasaskan oleh Tuan Guru Haji ‘Abdullah Thahir bin Haji Ahmad pada tahun 1931 dan merupakan diantara pondok terbesar di Kelantan dan melahirkan ramai tokoh ulama. Pengasas pondok ini adalah merupakan murid kepada Tok Kenali. Ketika di pondok inilah beliau belajar kepada 2 orang guru yang kemudian muncul sebagai ulama besar dan pengasas kepada pondok terbesar di Kelantan, iaitu Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar dan adik beliau, Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Haji Abu Bakar.
Pada tahun 1953, Tuan Guru Haji Hashim berkahwin dengan adik Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Abu Bakar. Tuan Guru Haji Hashim mengambil alih kepimpinan menerajui pondok Pasir Tumboh pada tahun 1987 iaitu setelah kewafatan Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Haji Abu Bakar yang meninggal dunia pada 17 Jun 1987/20 Syawwal 1407. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hashim, Pondok Pasir Tumboh mengalami pembangunan fizikal yang selari dengan arus kemodenan, namun tetap mengekalkan pengajian secara tradisional.
Oleh kerana sumbangan yang besar Tuan Guru Haji Hashim dalam memartabatkan institusi pondok dan melahirkan ramai ulama pelapis, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1428H peringkat negeri Kelantan Darul Na’im. Dan pada Mac, 2010, beliau dianugerahkan gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) yang mebawa gelaran Dato’ Paduka, oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kini menjadi sultan Kelantan Darul Na’im dengan gelaran Sultan Muhammad V).
Selasa, 1 Syawwal 1432H, Tuan Guru Haji Hashim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah lebih kurang 2 tahun terlantar sakit. Ribuan yang datang menziarahinya dan menyembahyangkan jenazah beliau dengan diimamkan oleh YAB Menteri Besar Kelantan. Turut serta menyembahyang beliau adalah Sultan Kelantan Darul Naim, Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan Darul Naim.
الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم والى روح الشيخ الحاج هاشم بن أبي بكر القدحي
الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين
Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.
Semoga patah tumbuh hilang berganti …. Biarpun yang tumbuh atau yang ganti itu tidak sehebat yang telah pergi ……… al-Fagir memohon ampun maaf andaikata ada kesalahan atau kesilapan fakta. Semoga para pengunjung sudi untuk membetulkannya.
Bagi mereka yang ingin untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an untuk al-Marhum Tuan Guru Haji Hashim, bolehlah daftar disini. Foto upacara pengkebumian al-Marhum Tuan Guru Haji Hashim boleh dilihat disini.
Sekian,
al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
jum’at, 4 syawwal 1432H
taman seri gombak, selangor darul ehsanSyeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki menyuapkan air kepada Tuan Guru Haji Hashim ketika menziarahi beliau. |
Guru Mulia Habib Umar bin Muhamad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim menziarahi Tuan Guru Haji Hashim di kediamannya di Pondok Pasir Tumboh |
Tuan Guru Haji Hashim diziarahi oleh as-Sayyid Ahmad bin Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani dan Tuan Guru Haji Haji 'Abdul 'Aziz al-Fathani |
3 komen:
Semoga Allah menggolongkan saya dan seluruh keturunan saya ke dalam golongan orang yang berilmu agama dan bertaqwa kepada Nya. AMIN
Saya baru mendapat tau yang Tok Ayah Hashim telah kembali ke rahmatullah..saya merupakan bekas pelajar pondok pasir tumbuh 1999-2002 semoga roh al marhum dirahmati allah sentiasa..al fatihah takziah dari saya sekeluarga di Putrajaya..
mohon share info dlm artikel nie,syukran
Catat Ulasan