Isnin, 25 Julai 2011

Belasungkawa: Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar Telah Kembali KerahmatuLlah

Gambar: Ihsan dari Akhina Ibnu Fathani
إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ


Awal pagi ini, al-Fagir telah menerima khabar sedih yang mengejutkan dari sahabat di Kedah .... telah kembali kerahmatuLlah Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar pada jam 5 pagi 23 Sya’ban 1432/25 Julai 2011, di Hospital Sultanah Bahyah Alor Setar, Kedah. Jenazah al-Marhum Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan akan di bawa ke Masjid Sultanah untuk disholatkan. Dan menurut apa yang dimaklumkan kepada al-Fagir, beliau akan dikebumikan di Guar Cempedak. [Dato' Syeikh Zakaria adalah merupakan bapa saudara kepada mantan KP JAKIM, Dato' Wan Muhammad bin Dato' Syeikh 'Abdul 'Aziz. Al-Marhum Dato' Syeikh 'Abdul Aziz adalah merupakan abang kepada Syeikh Zakaria dan beliau menjawat jawatan Qadhi Besar Kedah satu ketika dulu]

Beliau adalah seorang ulama ‘senior’ Kedah. Di lahirkan pada 23 Januari 1928 di Kampung Jerai, Mukim Kupang, Kedah. Dalam usia yang lebih kurang 7 tahun beliau di bawa ke Mekah oleh keluarga beliau untuk belajar ilmu agama. Beliau belajar di Madrasah Darul 'Ulum ad-Diniyyah di Makkah dan di Masjidil Haram. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar. Di antara kerjaya beliau: Menjadi Mudir Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyyah, Guar Cempedak, Guru Penolong di Ma’had di Johor, Guru Penolong di Ma’had Mahmud Alor Setar dan Guru Di Ma’had Tahfiz al-Qur’an. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah. Beliau juga seorang yang banyak menghasilkan karya penulisan. Hampir 70 buah buku agama beliau hasilkan. Beliau seorang yang sangat gigih di dalam menyampaikan ilmu agama melalui majlis-majlis pengajian di masjid-masjid dan juga di radio.

Dari dari kiri
Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi, Dato' Syeikh Zakaria Bin Haji Ahmad,
Dato' Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Bin Haji Ahmad,
Y.A.A. Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh, Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir
Berdiri dari kiri
Ustazah Faridah Bt. Hj Ahmad, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof,
Dato' Syeikh Fadzil Bin Haji Awang, Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar, Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim


Antara guru-guru beliau adalah Syeikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani al-Makki (Pak Da El), Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Mutthalib al-Mandili al-Makki, Syeikh Yasin bin ‘Isa al-Fadani, Syeikh Muhammad 'Ali bin Hussin bin Ibrahim bin Hussin al-Maliki (menurut beliau, abang beliau yakni Syeikh 'Abdul 'Aziz berkhidmat atau menjadi khadam kepada Syeikh 'Ali Maliki selama 7 tahun) dan lain-lain. 

Alhamdulillah, al-Fagir pernah beberapa kali menziarahi beliau dan membaca beberapa buah hadits kepada beliau. Sewaktu pertemuan, beliau menceritakan serba sedikit sejarah hidup beliau kepada al-Fagir. Antaranya beliau berkata mengenai guru beliau, Syeikh Yasin al-Fadani …. “saya kenai alif, baa, ta` dengan Syeikh Yasin lah …..” Katanya lagi mengenai guru beliau Pak Da El:  “dia (pak da el) bai’ah (thariqat Syattariyyah) saya semasa saya masih kecik …. waktu bai'ah tu tenggelam tapak tangan saya bawah tapak tangan Pak Da El …..” Alhamdulillah beliau juga bermurah hati untuk mengijazahkan al-Fagir dengan ijazah (‘ammah) yang beliau perolehi daripada guru-guru beliau. 

Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam di Kedah khususnya dan di Malaysia umumnya.

Semoga Allah merahmati beliau dan memberi sebaik-baik ganjaran kepada beliau.

Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah kepada al-Marhum Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار

Antara kitab-kitab yang dihasilkan oleh Syeikh Zakaria








قدمات قوم وماماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء
Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, namun mereka hidup diantara manusia
Maka orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama (orang-orang 'alim), walaupun telah mati mereka itu namun tetap hidup - di hati manusia 

9 komen:

Saladin Convoy berkata...

Inna lillahi wa inna ilaih rajiun. Saya selalu jugak pi dengaq kuliah dia kat Masjid Sultanah Bahyah setiap tengahari Jumaat sebelum solat Jumaat. Sejak saya dah kerja kat Johor, dah tak boleh pi dah, jadi dengaq radio KedahFM ja la (internet). Boleh dikatakan saya ni anak murid, dia Tok Guru saya la.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang syahid dan soleh.

Mekz's! berkata...

inna lillahi wa inna ilaih rajiun.
Mendoakan agar almarhum berada dalam kalangan orang orang yang soleh. amin.

saiful berkata...

Al-Fatihah...

Kehilangan yang amat besar :(

Mohon izin untuk saya masukkan dalam blog saya.

Awanama berkata...

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh

AL-FATIHAH buat Almarhum Sheikh Zakaria.. sedih dan menitis air mata. Saya dari seusia remaja telah menengenali Almarhum sejak mengaji kitab kuliah di Masjid Zahir Alor Setar. Jasa beliau tidak pernah mengenal penat dan lelah sehingga akhir hayat begitu istiqamah dengan penyebaran ilmu Feqh, jasanya amat besar terutama penduduk negeri Kedah, Radio Kedah FM (sejak Radio 3 Alor Setar lagi) merupakan wadah paling banyak dipergunakan oleh Almarhum di petang hari untuk penyampaian kuliah2. Sayunya saya mengingigati semua ini

Semoga Allah mengasihinya seperti para Solehin, Kedah kehilangan seorang lagi Ulamak besar yang Faqih dengan ilmu..

Al-FATIHAH..

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala berkata...

إنا لله وإنا إليه راجعون

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار

anasriz berkata...

Terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang memberi penghargaan dan sokongan kepada Arwah sepanjang hidupnya dalam berdakwah dengan caranya. Juga ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang berdoa setelah Arwah meninggal dunia.

anasriz berkata...

Terima kasih kerana memberi penghormatan tinggi kepada Arwah yang berdakwah dengan caranya. Juga jutaan terima kasih kepada mereka2 yang tidak putus2 berdoa semasa Arwah terlantar di hospital (25 hari) dan juga selepas Arwah meninggal dunia. Semoga ilmu2 yang telah Arwah kongsikan dapat memberi manfaat kepada semua.

lan berkata...

Semalam Ustaz Yahya (harap tidak salah) dari Kedah mari ke surau kami di Kemensah KL

Dia cerita kisah Syeikh Zakaria yang gigih dengan ilmu sepanjang hayatnya sehingga kepermegiannya. Teruja bila mendengarnya

Moga ditempatkan di syurga Allah dan moga kita yang masih hidup dapat terus menjadi hamba Allah yang cintakan ilmu dan ibadah kepadaNya

lan berkata...

إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Related Posts with Thumbnails