Rabu, 13 Julai 2011

Apa Kata Ulama Kita Mengenai Wahabi - 5


Al-'Alim al-'Allaamah al-'Arif billah asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad ash-Showi al-Mishri al-Khalwati al-Maliki dilahirkan di So`al-Hajar yang terletak di tepi Sungai Nil di sebelah barat Mesir pada tahun 1175H/1761M dan wafat di kota Madinah al-Munawwarah pada 1241H/1825M. Di antara guru-guru beliau adalah asy-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Amiir al-Kabiir (w.1232H), asy-Syeikh Ahmad bin Muhammad ad-Dardiir al-‘Adawi (w.1201H),asy-Syeikh Sulaiman bin Umar al-Jamal (w.1204H), asy-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin ‘Urfah ad-Dasuqi (w.1230H), asy-Sayyid Ahmad bin Idris al-Hasani (w.1253H) dan lain-lain. Manakala murid-murid beliau pula antaranya: asy-Syeikh Muhammad bin ‘Ali as-Sanusi (w.1276H), asy-Syeikh Abu Hamid al-‘Arabi al-Faasi (w.1243H), asy-Syeikh al-Haasyimi ar-Ratbi (w.1253), asy-Syeikh Ahmad asy-Syasyti (w.1255H), asy-Syeikh as-Sayyid Yuusuf bin Ahmad al-Ahdal al-Zabidi (w.1246H) dan lain-lain.

Diantara kitab-kitab yang dikarang oleh Al-'Alim al-'Allaamah al-'Arif billah asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad ash-Showi adalah Bulghah as-Saalik li Aqrab al-Masaalik fi Furu’ al-Fiqh al-Maliki, Hasyiah ‘ala Jauharah at-Tauhiid, Hasyiah ‘ala Syarah ad-Dardiir ‘ala Risaalatihi fi ‘Ilm al-Bayan al-Mussammah Tuhfah al-Ikhwan, Hasyiah ‘ala Syarh al-Khariidah fi al-‘Aqidah lis Syeikh ad-Dardiir, al-Asraar ar-Rabbaniyyah wa al-Fuyuudhaat ar-Rahmaniyyah, Syarh al-Shalawaat ad-Dardiriyyah,  Hasyiah ‘ala Tafsir al-Jalalain, Risalah fi al-Jihaad, Hasyiah ‘ala al-Baidhawi, Risalah fima lil Khalwah min al-Aadab wa asy-Syuruuth, Hasyiah ‘ala Mukhtasor ibn Abi Jamrah, Hasyiah ‘ala Dalailul Khairat, Syarh Hamzaiyyah al-Bushiiri dan lain-lain.

Beliau adalah dikalangan ulama aslus sunnah wal jamaah yang menolak ajaran dan pegangan puak Wahhabi. Satu puak yang sanggup mengkafirkan atau mensyirikkan atau mensesatkan orang-orang yang berbeda pendapat dengan mereka, persis sifat dan kelakuan golongan Khawarij.

Mari kita lihat pada yang beliau tulis di dalam kitab beliau tersebut:


“... Dikatakan juga bahawa ayat ini diturunkan berkenaan puak Khawarij yang memesong/mengubah tafsiran/takwilan al-Quran dan as-Sunnah, untuk menghalalkan darah orang-orang Islam dan harta benda mereka (yakni antara pemesongannya adalah seperti ayat-ayat yang ditujukan kepada orang kafir dan musyrik, mereka alih kepada orang Islam dengan tujuan untuk mengkafirkan dan memusyrikkan sesama umat), sebagaimana yang dapat disaksikan sekarang kelompok yang mempunyai pendapat-pendapat seperti mereka, iaitu satu firqah di bumi Hijaz yang dipanggil mereka itu sebagai al-Wahhabiyyah di mana mereka mengira bahawa mereka adalah atas kebenaran. Ketahuilah bahawasanya mereka adalah pendusta yang dikuasai oleh syaithan sehingga mereka lupa untuk mengingati Allah. Merekalah hizbusy syaithan, ketahuilah bahawa hizbusy syaithan adalah golongan yang rugi. Kita memohon kepada Allah al-Karim agar memutuskan tipu daya mereka …..” nukilan dari cetakan Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah juzuk 3, halaman 255 (manakala dari cetakan  Dar Ihya at-Turaats al-‘Arabi, Juzuk 5, halaman 78)

Al-'Alim al-'Allaamah al-'Arif billah asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad ash-Showi, telah menulis dalam karyanya Hasyiah ‘ala Tafsir al-Jalalain bahawa puak Wahhabi adalah hizbusy syaithan sepertimana nukilan di atas. Agak syadid pandangan Imam ash-Showi ini, namun mungkin ada kebenarannya, jika kita lihat tindakan dan perlakuan mereka terhadap sesama umat terutamannya tatkala mereka menyerang dan menawan Hijaz dahulu, bahkan sehingga kini pun sifat mereka tidak jauh berbeda. 

Namun, bahagian tersebut (nukilan di atas) telah pun dibuang pada beberapa cetakan kebelakangan ini, seperti cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah dan Dar al-Fikr, tahun 1993 seperti yang al-Fagir paparkan dibawah. 






ِِِSekian dari: al-Fagir ilaLlah abu zahrah, Rabu, 11 Sya’ban 1432/13 Julai 2011

0 komen:

Related Posts with Thumbnails